Selama bertahun-tahun, Tokyo sentiasa menjadi tumpuan. Ia dianggap simbol kehebatan ekonomi Jepun dan menjadi antara megalopolis terbesar di dunia dengan KDNK lebih besar daripada KDNK Belanda. Tetapi akibat pandemik Covid-19 dan perubahan gaya hidup mendorong ramai penduduk meninggalkan Tokyo.
Salah seorang yang berbuat demikian ialah Kazuya Kobayashi, 40. Dia sentiasa berangan membuka restoran ramen. Selepas meninggalkan Tokyo, Kobayashi melihat Sano di Tochigi sebagai lokasi terbaik untuk merealisasikan impiannya.
Selain dikenali sebagai tempat bermulanya sukan kriket di Jepun, Sano turut dikenali kerana mempunyai banyak restoran ramen. Sesetengah daripadanya bergelut mencari pewaris untuk meneruskan perniagaan mereka.
Populasi Tokyo berkurangan buat kali pertama pada 2021 dalam tempoh suku abad. Tahun lepas menyaksikan Tokyo kehilangan 48,592 orang berbanding tahun sebelumnya.
Bagi Hiroshi Takahashi, pengerusi NGO Pusat Sokongan Balik Kampung, beliau merasakan usaha kerajaan Jepun untuk merancakkan semula pertumbuhan wilayah-wilayah negara itu sejak 2015 sudah membuahkan hasil. NGO ini menerima 70,000 permohonan rundingan dan nasihat daripada individu yang berminat untuk berhijrah ke luar Tokyo. Majoriti daripada mereka berumur di bawah 50 tahun.
Destinasi popular bagi mereka yang mahu berpindah ialah Shizuoka. Wilayah ini terletak di pesisir pantai Lautan Pasifik dan boleh tiba di sana menerusi Shinkansen (keretapi peluru Jepun) dalam tempoh sejam. Ini disusuli oleh Fukuoka yang terletak kira-kira 550 batu di barat daya Tokyo.
Sebelum ini, agak sukar melihat perkara ini berlaku. Ini kerana banyak syarikat lebih suka menekankan kerja di pejabat – kadang-kadang memakan masa yang lama dan bebanan kerja yang tinggi. Tetapi semua itu berubah susulan pandemik Covid-19.
Sejak pandemik tercetus, banyak syarikat terpaksa beradaptasi dan melaksanakan konsep kerja dari rumah. Dengan situasi pandemik yang semakin terkawal, ada syarikat yang mahukan pekerja mereka kembali ke pejabat. Tetapi pandemik Covid-19 menunjukkan pekerja boleh mengehadkan waktu mereka di pejabat tanpa mengorbankan produktiviti mereka kepada syarikat.
Menurut Takahashi, antara tarikan utama Tokyo terutama pada era pasca-WWII ialah perkembangan pesat ekonomi pada ketika itu. Jika dapat tinggal di Tokyo, ia dianggap satu impian tercapai bagi mana-mana anak tempatan yang berasal dari luar Tokyo.
Bagaimanapun, tambahnya lagi, situasi itu berubah apabila gelembung ekonomi Jepun pecah kira-kira 30 tahun lalu. Dengan negara bergelut dengan situasi deflasi, situasi ekonomi penduduk terjejas sama sekali. Ini mendorong sesetengah penduduk Tokyo untuk meninggalkan ibu negara Jepun itu.
Selain faktor ekonomi, faktor lain yang menyumbang kepada penghijrahan keluar mereka ialah kualiti kehidupan, penjagaan kanak-kanak dan kos sara hidup. Tambah Takahashi lagi, trend penghijrahan yang diberi gelaran ‘Sayonara Tokyo’ itu akan berterusan walaupun selepas pandemik Covid-19 berakhir.
Ini turut disokong dengan keputusan kaji selidik kerajaan yang dilancarkan baru-baru ini. Separuh daripada responden yang berusia 20 tahun ke atas menyatakan minat untuk berhijrah ke luar Tokyo.
Antara bandar yang mengambil kesempatan daripada trend ini ialah Sano. Dua tahun sebelumnya, bandar ini melancarkan projek migrasi ramen bagi menarik chef berkelayakan seperti Kobayashi.
Mana-mana individu yang layak bukan saja mendapat latihan dari penyediaan makanan hinggalah pengurusan dan perakaunan. Pihak berkuasa tempatan turut menawarkan insentif kewangan dan memadankan chef yang layak dengan restoran-restoran ramen yang bersesuian. Polisi ini digubal bagi mengekang trend pengurangan populasi yang berlaku di Sano.
Selain Sano, bandar pergunungan Chichibu turut menawarkan insentif sama kepada mana-mana penduduk Tokyo yang mahu berhijrah ke situ. Terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Tokyo, ia mempunyai populasi seramai 60,000 orang.
Bagi menggalakkan lebih ramai penduduk berhijrah ke situ, pihak berkuasa menawarkan insentif wang untuk mereka mengubahsuai rumah atau membeli kenderaan di situ. Mereka juga berpeluang untuk tinggal di rumah orang tempatan selama seminggu bagi merasai suasana kehidupan sekitar Chichibu.
Bagi Gakuto Nishimura, 24, dia langsung tidak menyesal meninggalkan bandar kelahirannya Tokyo dan menetap di Chichibu. Baginya, ia bukan saja lebih berpatutan dari segi kos sara hidup. Tetapi Chichibu turut menjanjikan kualiti kehidupan yang lebih tenang dan hijau. Dan jika diberi peluang untuk kembali sekalipun ke Tokyo, Nishimura akan tetap menolaknya.
RUJUKAN
McCurry, J. (2022, 15 Mac). Why are Tokyo residents saying sayōnara to Japan’s capital?. The Guardian.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih