Toyotomi Hideyoshi merupakan seorang daimyo yang hidup pada kurun ke-16. Beliau dianggap sebagai ‘penyatu Jepun’ kedua, menyusuli Oda Nobunaga dan mendahului Tokugawa Ieyasu. Memandangkan beliau dilahirkan dalam keluarga petani sebelum mendaki tangga sosial sebagai lelaki paling berkuasa di Jepun, kisah hidup Toyotomi Hideyoshi dianggap agak menarik.
HIDEYOSHI MULA MENEMPA NAMA
Sejarahwan tidak mempunyai banyak maklumat perihal kehidupan awal Toyotomi Hideyoshi. Apa yang diketahui, beliau lahir pada tahun 1537 (ada juga yang menyebut 1536 atau 1539) di Nakamura, Owari. Bapanya yang bernama Yaemon merupakan seorang petani atau ashigaru (tentera pejalan kaki) yang berkhidmat untuk klan Oda. Pada usia belia, Hideyoshi dihantar ke kuil untuk mendalami ilmu pengetahuan. Namun, gaya hidup yang sedemikian tidak kena dengan jiwanya justeru Hideyoshi melarikan diri dan memulakan petualangannya di bumi Jepun. Menurut beberapa sumber, Yaemon meninggal dunia semasa Hideyoshi berusia tujuh tahun. Kemudian, ibunya mengahwini seorang lagi orang bawahan klan Oda.
Hideyoshi pada mulanya mencurahkan khidmat bakti kepada Matsushita Yukitsuna, seorang pembesar dalam klan Imagawa yang berpangkalan di Wilayah Totomi. Kemudian, beliau membawa diri ke Wilayah Suruga untuk berkhidmat kepada orang atasan Yukitsuna, iaitu daimyo Imagawa Yoshimoto. Beberapa tahun kemudian, Hideyoshi pulang ke kampung halamannya dan menurut beberapa sumber, beliau turut membawa lari sejumlah wang yang diamanahkan kepadanya.
Pada tahun 1558, Hideyoshi pulang ke Owari dan menumpahkan kesetiaan kepada Oda Nobunaga. Menurut sumber tradisi, Hideyoshi dikisahkan berkhidmat sebagai pembawa sandal Nobunaga dan turut terlibat dalam Pertempuran Okehazama 1560. Dalam pertempuran tersebut, pasukan Oda yang saiznya lebih kecil berjaya menyerang hendap dan menewaskan pasukan Imagawa Yoshimoto. Lebih daripada itu, Yoshimoto sendiri terkorban sekaligus merintis laluan buat Nobunaga untuk meluaskan lagi kekuasaannya.
HIDEYOSHI MERAIH KUASA
Walaupun Hideyoshi sudah mencurah khidmat untuk klan Oda selama beberapa tahun, nama beliau hanya mula menonjol dalam catatan sejarah pada tahun 1573. Pada tahun itu, klan Asai dari Omi dihapuskan oleh Nobunaga dan Hideyoshi dikurniakan tiga buah daerah di bahagian utara wilayah itu.
Semenjak itu, Hideyoshi menempa nama baik sebagai komander tentera mahupun penguasa wilayah. Memasuki tahun 1582, Nobunaga dikhianati oleh salah seorang panglimanya, Akechi Mitsuhide. Rentetan itu, Nobunaga membvnvh diri di sebuah kuil di Kyoto yang bernama Honno-ji dan kem4tiannya dituntut bela oleh Hideyoshi dalam Pertempuran Yamazaki, di mana Mitsuhide ditewaskan.
Pemergian Nobunaga disusuli oleh krisis pewarisan kuasa dalam klan Oda, memandangkan setiap kerabat disokong oleh pembesar-pembesar yang berbeza. Hideyoshi sendiri menumpahkan sokongan kepada cucu Nobunaga yang bernama Oda Hidenobu. Pendiriannya ini berlawanan dengan beberapa pembesar lain, seperti Tokugawa Ieyasu yang mahu menaikkan Oda Nobukatsu, putera tertua Nobunaga yang masih hidup. Namun akhirnya, konflik ini dimenangi oleh Hideyoshi dan Hidenobu pun diangkat sebagai daimyo baru klan Oda.
Walau bagaimanapun, hakikatnya pewaris sebenar Nobunaga adalah Hideyoshi berikutan Hidenobu pada waktu itu masih kecil. Salah seorang seteru utama Hideyoshi adalah Shibata Katsuie. Dengan tewasnya Katsuie dalam Pertempuran Shizugatake 1583, pengaruh Hideyoshi semakin melebar. Namun, konflik antara beliau dan Ieyasu Tokugawa yang memuncak pada tahun 1584 menyaksikan kisah yang berbeza, di mana ia berakhir dengan perdamaian.
PEMERGIAN HIDEYOSHI
Pada tahun sama Katsuie dikalahkan, Hideyoshi memulakan projek pembinaan istana di Osaka. Pembinaan tersebut bertujuan untuk memperagakan kekuasaannya, di samping menjadi simbol impiannya yang mahu menyatukan Jepun. Penyatuan semula kepulauan itu di bawah satu kepimpinan berjaya direalisasikan pada tahun 1590, setelah klan Hojo yang berpusat di Edo (Tokyo moden) ditundukkan.
Walau bagaimanapun, impian Hideyoshi tidak hanya sebatas kepulauan Jepun sahaja. Beliau juga berhasrat mahu menguasai Korea, China, dan bahkan India. Pun begitu, kedua-dua serangan yang dilancarkan ke atas Korea berakhir dengan kegagalan.
Pada tahun 1598, Hideyoshi meninggal dunia pada usia 62 tahun. Walaupun kesihatannya banyak terjejas dek kekalahannya di Korea, kerisauannya yang lebih utama tertumpu pada nasib putera mahkotanya, Toyotomi Hideyori yang baru berusia lima tahun. Beliau berusaha seupaya mungkin untuk menjamin kedudukan puteranya itu. Namun ternyata, kekuasaan klan Toyotomi sudah pun tiba di pengakhiran dan kini, giliran klan Tokugawa pula untuk memerintah Jepun.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (16 Jun 2017). Toyotomi Hideyoshi: How and Adventuresome Peasant Boy Became Japan’s Second Great Unifier. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/toyotomi-hideyoshi-how-adventuresome-peasant-boy-became-japan-s-second-great-021442
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih