Thrash metal ialah subgenre heavy metal yang muncul pada zaman New Wave of British Heavy Metal (NWOBHM), sekitar awal 1980-an. Genre ini bercirikan tempo muzik yang laju dan rancak berserta lirik dan tema yang agak anarkis dan nihilistik.

Antara lagu terawal yang bergenrekan thrash metal ialah ‘Stone Cold Crazy’ oleh Queen. Walau bagaimanapun, liriknya masih bercirikan pop mainstream. Lagu-lagu yang benar-benar thrash metal dimulakan oleh kumpulan seperti Diamond Heads (Am I Evil), Black Sabbath (Symptoms of the Universe), Iron Maiden (The Troopers) dan lain lain kumpulan NWOBHM. Kemudian, sekumpulan anak muda yang pada asalnya merakamkan lagu mereka di bilik garaj, akhirnya merevolusikan dunia muzik dan diikuti oleh sahabat-sahabat mereka.

1. Metallica

Ditubuhkan pada penghujung tahun 1981, kumpulan ini menampilkan James Hetfield, Lars Ulrich, Dave Mustaine dan Cliff Burton sebagai ahli pada asalnya dan bermain di bilik garaj. Oleh kerana masalah ketagihan alkohol yang dihadapi Dave Mustaine, beliau dipecat dan digantikan oleh Kirk Hammet sebagai gitaris utama.

Album pertama mereka, Kill ‘Em All ialah perintis kepada genre thrash metal. Sebagai contoh, lagu-lagu seperti No Remorse, Metal Militia dan Phantom Lord menampilkan tempo muzik yang laju dan riff gitar yang kompleks. Teknik itu diteruskan hingga album Master of Puppets.

Dari segi teknik gitar, gitaris bass, Cliff Burton memperkenalkan ton ‘distorted bass’, gitar bass yang dimainkan seperti gitar elektrik dalam mod ‘distorted’, menjadikan bunyinya seperti gitar elektrik cuma lebih mendalam bunyinya seperti intro lagu For Whom the Bell Tolls. Gitaris utama Kirk Hammet, walaupun tak sehebat Dave Mustaine, mencipta kelainan tersendiri dengan ‘shredding’ yang lebih indah dan harmoni seperti lagu ‘Master of Puppets’ dan ‘One’. Dalam album …And Justice For All, Metallica bereksperimentasi dengan tempo muzik yang berlainan dan kompleks, menjadikan muziknya sebagai ‘progressive metal’, sebagaimana ‘progressive rock’ bagi band Pink Floyd dan Led Zepellin. Oleh sebab itu, album tersebut mempunyai komposis muzik yang terindah berbanding kesemua album-album mereka. Antara contoh lagu yang indah itu ialah ‘One’, ‘Harvester of Sorrow’ dan ‘Eye of The Beholder’ yang sangat progresif.

Metallica juga antara medium yang mempopularkan budaya pop Cthulhu, dewa raksasa dalam mitologi Cthulhu ciptaan H.P Lovecraft. Lagu-lagu seperti ‘Call of Ktulu’, ‘The Thing That Should Not Be’ dan ‘Dream No More’ menceritakan tentang marabahaya bernama Cthulhu yang bangkit dari tempatnya beradu. Hal ini telah menjadikan lagu-lagu berkenaan sinonim dengan budaya pop mitologi Cthulhu seperti Necronomicon dalam filem Evil Dead, Cabin in The Woods, Dunwich Horror dan sekali lagi, Cthulhu.

Karya agung: Master of Puppets, One, Spit Out The Bone

2. Megadeth

Setelah dipecat oleh Metallica, Dave Mustaine berdendam dengan Metallica dan pilih untuk membuat kumpulan thrash metal yang baru untuk menyaingi Metallica. Mustaine memulakan pencariannya dan pada tahun 1986, album Peace Sells…But Whos Buying? diterbitkan.

Dalam kalangan gitaris utama kumpulan-kumpulan thrash metal, Mustaine lah yang paling berbakat sekali. Beliau suka bermain secara teknikal, menjadikan riff dan solonya lebih rumit berbanding kumpulan-kumpulan lain. Oleh kerana beliau pernah menggubah lagu semasa masih dengan Metallica, ada sesetengah corak lagu Megadeth hampir sama dengan Metallica.

Sebagai contoh, ambil lagu ‘Mechanix’ yang 100% sama dengan lagu ‘The Four Horsemen’ cuma dimainkan lebih laju dan lirik yang berlainan. Sama juga dengan lagu ‘Wake Up Dead’ yang mempunyai riff lagu ‘Ride the Lightning’. Tiada konflik yang berlaku dari segi hak intelek muzik kerana Metallica mengiktiraf kerja gubahan Mustaine bagi album Kill ‘Em All dan Ride the Lightning.

Lagu ‘Holy Wars’ ialah opus magnum bagi Megadeth. Riff dan rentak dram yang pantas, disertai dengan bunyi ‘distortion’ seperti ‘industrial metal’, tak menghairankan kalau lagu ini mampu bersaing dengan sengit terhadap ‘Master of Puppets’ yang tak mampu dicabar, sekaligus mengotakan janji Mustaine dalam bersaing dengan Metallica.

Kebanyakan lagu-lagu Megadeth adalah sangat kompleks, sampai pada satu tahap lagu-lagunya hampir tak mampu dimainkan. Mungkin sebab itulah kerosakan saraf tangan Mustaine berlaku, kerana kelajuan dan kompleksiti gitar yang dimainkannya.

Dari segi budaya pop, Megadeth mengangkat tema kemusnahan dan nihilisme. Malah, nama Megadeth itu sendiri diilhamkan daripada buletin tentang kuasa pemusnahan nuklear yang mampu mematikan jutaan orang. Mega-Death. Dalam satu temubual, Mustaine menceritakan George Orwell antara individu yang mempengaruhinya, sekaligus mempengaruhi tema Megadeth. George Orwell merupakan penulis profilik yang kerap menyentuh tema distopia dan apokalips seperti novel 1984 yang kembali hangat selepas perlantikan Donald Trump sebagai Presiden USA.

Karya Agung: Holy Wars, Hangar 18, Symphony of Destruction.

3. Anthrax

Dalam keluarga Big 4 of Thrash Metal, Anthrax adalah yang paling unik. Anthrax adalah seperti Red Hot Chilli Pepper bagi alternative rock dan System of A down bagi nu metal, di mana mereka yang paling banyak main-main, humor.

Apa yang dimaksudkan berkenaan humor ini ialah tema yang dibawa mereka. Sebagai contoh, lagu ‘Efilnikufesin’ menyentuh tentang hidup seorang pelawak pada zaman mereka yang meninggal. Cuba anda terbalikkan perkataan lagu tersebut. Hal ini ditambah dengan penyanyi mereka, Joey Belladona yang mempunyai suara lunak dan tinggi, menjadikannya penyanyi terbaik dalam kalangan Big 4.

Selain itu, mereka pernah bereksperimentasi dengan lagu metal dan rap hip hop, mewujudkan lagu ‘Im the Man’. Lagu ini menjadi bukti utama kenapa mereka inilah kumpulan yang paling main-main dan tak kisah dengan pandangan elitis metal. Walau bagaimanapun, harus diingatkan lagu ini jugalah yang bertanggungjawab mencipta subgenre heavy metal yang baru yakni nu metal, gabungan heavy metal dan rap. Kalau bukan kerana Anthrax, mungkin kita takkan ada System of A Down, Linkin Park, Limp Bizkit dan KoRN.

Kumpulan ini juga yang paling rapat sekali dengan Metallica. Mereka pernah berkongsi pentas ketika gig sekitar 1980 dan sempat menyaksikan zaman Metallica masih mempunyai Dave Mustaine sebagai gitaris utama. Oleh sebab itu, Metallica dan Anthrax masing-masing ada menyebut tentang kumpulan mereka dalam memoir masing-masing.

Untuk budaya pop, mereka terkenal dengan mempopularkan budaya ‘moshing’ dalam konsert rock dek lagu mereka, ‘Caught In A Mosh’. Budaya pop Judge Dredd juga menjadi popular kerana lagu ‘I Am the Law’ yang menceritakan kehebatan Judge Dredd, sang hakim, sang juri, sang pelaksana.

Karya Agung: Caught In A Mosh, I Am the Law, Madhouse.

4. Slayer

Ditubuhkan oleh peminat muzik biasa-biasa, yang kerja biasa-biasa, kumpulan ini akhirnya menjadi kumpulan Big 4 yang paling ekstrem dan ganas.

Tempo muziknya sahaja yang boleh bersaing dengan Megadeth, menjadikan muziknya ekstrem dan brutal, seumpama mendengar petir bertempur dengan dewa dewi dan raksasa. Sebagai contoh, lagu ‘Raining Blood’ mempunyai tempo muzik yang sangat pantas, dan solo muzik yang laju itu ditutupi dengan bunyi guruh dan hujan ribut. Setiap lagunya saya berani jamin otak anda akan terasa seperti dilanggar badai dan taufan kuat. Sebab itu Slayer diminati elitis metal, kerana gayanya yang sangat metal.

Walau bagaimanapun, imej mereka yang gelap selalu terpalit dengan kontroversi. Sebagai contoh, lagu mereka ‘Angel of Death’ adalah berkenaan Joseph Mengele, seorang pegawai Nazi yang bertanggungjawab terhadap genosid kaum Israel pada zaman Perang Dunia Kedua. Lagu itu menceritakan tentang seksaan dan eksperimen yang dikenakan oleh orang Nazi kepada bangsa Yahudi seperti dijahit bersama, dibeku dan dibakar hidup-hidup serta diracunkan. Mereka juga dituduh bersimpati dengan Nazi kerana logo kumpulan mereka menampilkan burung helang yang digunakan Nazi.

Dari segi budaya pop, mereka bertanggungjawab dalam melahirkan genre death metal, genre yang lebih rancak dan disertai nyanyian jerit. Oleh kerana imej mereka yang gelap dan brutal, black metal juga diinspirasikan oleh mereka melalui imej ‘satanic’. Sebab itulah, saya tak beberapa arif tentang Slayer melainkan lagu-lagu Slayer yang terkenal kerana tak suka imej mereka.

Karya Agung: Raining Blood, Angel of Death, South of Heaven.

KONKLUSI:

Jadi, untuk apa saya membicarakan tentang pengaruh Big 4 of Thrash Metal? Kerana sumbangan mereka terhadap jati diri orang Amerika Syarikat.

Umum diketahui USA merupakan sebuah negara yang terdiri daripada bermacam-macam etnik dan bangsa, lalu dihimpunkan di bawah satu panji negara bangsa. Berlainan dengan kita yang kaya dengan budaya, mereka perlu menciptakan budaya tersendiri bagi mereka.

Heavy metal yang pada asalnya dibawa oleh United Kingdom, akhirnya berpindah kuasa ke USA kerana Big 4 of Thrash Metal. Seni muzik thrash metal ini penting kerana menjadi budaya orang Amerika Syarikat dan juga menjadi ‘soft power’ geopolitik-ekonomi mereka, sebagaimana K-pop bagi Korea Selatan dan anime bagi Jepun.

Saya berani jamin, kalau anda tanya siapa Metallica pada orang lain, semua orang kenal lagu ‘Enter Sandman’. Kerana ‘soft power’ ini, budaya Amerika Syarikat berjaya menerobos ke seluruh dunia kecuali Korea Utara. Nampak kecil, tapi impaknya besar.

Khas daripada Ammar Akmal, seorang pendengar muzik rock dan metal semenjak dia berumur 4 tahun.

-A. Akmal


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Leave A Reply