Ketiga-tiga keluarga organisme terawal, prokariot, eukariot dan arkea, kesemuanya mempunyai mekanisme untuk berkembang biak. Kemudian kita lihat pula organisme kompleks seperti siput dan manusia, juga mempunyai mekanisme untuk berkembang biak. Semua benda hidup mampu membiak.

Kita lihat pula dari sudut pandangan dangkal manusia berkenaan cinta. Pernikahan ialah sejenis kontrak bagi memeterai keluarga. Menurut Bertrand Russell, manusia bernikah kerana mahu menjadikan memori indah mereka kekal selama-lamanya. Mereka bernikah kerana cinta. Namun, inilah benda yang aku ingin kritik, tekankan dan persoalkan. Apa itu cinta dari segi konteks marital love?

Sekiranya kita berkahwin kerana mahu berkembang biak, maka apa beza kita dengan organisme halus? Sekiranya kita berkahwin kerana cinta sahaja, betulkah apa yang kita rasa cinta itu, cinta? Sejauh mana pemahaman kita tentang cinta?

Selalunya dalam setiap kisah cinta pasti ada titik pertemuan antara dua insan berkenaan. Di sini, aku ingin tahu, apa yang menyebabkan A jatuh cinta pada B? Bermula daripada pertemuan tersebut, emosi mereka akan berkecamuk. Api, asid, lava, bom. Perasaannya meletup letup. Pelakuran nuklear. Aneurysm otak. Terasa seperti ingin terbang. Melayang-layang. Terapung. Titik noktah. Titik bermula. Adakah kerana rupanya? Kalau ya, sejujurnya itu bukan cinta. Itu hanyalah tindak balas biokimia hormon, feromon dan psikologi yang membawa kepada tujuan utama kewujudan makhluk yakni untuk sentiasa wujud. Membiak. Tak lain tak bukan, A jatuh cinta pada B kerana sistem biologinya mahu membiak.

Sebut tentang biokimia, terbit satu lagi persoalan. Apakah minda kita ini hanyalah sebuah mesin yang sarat dengan bahan biokimia? Ini bermakna pemikiran kita tertakluk pada bahan kimia. Ini juga membawa makna kita tak mempunyai kesedaran. Tiada kesedaran bermakna tiada roh, sekaligus memberi makna kita tak mempunyai roh. Bagi kes ini, aku pilih untuk sanggah. Aku percaya pada roh. Aku juga percaya manusia mempunyai kehendak bebas. Adakah cinta itu naluri biologi ataupun entiti kehendak bebas?

Bagi aku, cinta itu ialah esen. Bukan naluri biologi. Cinta boleh wujud tanpa mengira bentuk dan juga boleh wujud tanpa jasad. Kita ambil analogi ‘manusia terapung’ Ibnu Sina bagi hal ini. Katakanlah ada manusia terjatuh di satu lohong kelam buat selama-lamanya, tanpa penghujung. Pancainderanya tak mampu berfungsi. Sudah tak berguna. Manusia ini akan mula persoalkan apakah dia yang sedang terjatuh ini, berjasad ataupun tidak? Hal ini sebab dia tak boleh nak rasa apa-apa. Yang ada hanyalah pemikirannya sahaja. Kalau dia bersuara, nanti dia akan tanya, yang tu suara tekak atau suara hati?

Pada saat ini, yang wujud hanyalah esen sahaja. Tahap dekonstruksi terakhir. Kita aplikasikan ‘pisau Ockham’ di sini. Pancainderanya dianggap sudah mati, oleh itu kita buang benda tersebut. Yang ada hanyalah pemikiran/kesedarannya sahaja. Kita letakkan cinta di situ. Adakah dia mampu buang cinta? Seks, ya. Cinta, tak. Oleh itu, cinta ialah esen. Seks ialah kehendak sistem biologi manusia, cinta ialah sesuatu yang muncul bukan daripada sistem biologi, tapi mampu mempengaruhi sistem biologi.

Sekarang, masuk satu persoalan. Cinta ni hasil takdir ataupun kehendak bebas? Sekiranya cinta itu esen, sekiranya cinta itu roh, mampukah cinta wujud tanpa melibatkan aspek jasmani?

Katakanlah, aku adalah entiti yang tahu tentang takdir. Katakanlah, ada satu pasangan ni memang dah ditakdirkan untuk bersama sampai mati. Masalahnya di sini ialah mereka berdua ni buta, pekak, bisu dan lumpuh/cacat/amputasi kaki dan tangan. Ingat, cuma aku sahaja yang tahu bahawa mereka ni adalah pasangan yang ditakdirkan. Persoalan di sini ialah, mampukah mereka bercinta? Macam mana mereka nak bercinta? Macam mana aku nak yakinkan pada orang ramai bahawa mereka ni bercinta? Macam mana dua ketul daging hidup yang terputus hubungan dengan dunia luar, boleh bercinta? Aku namakan eksperimen pemikiran ni sebagai paradoks pasangan cacat sempena insipirasi aku daripada lagu One oleh Metallica. Cinta ni dah semacam paradoks teko Russel.

Ini secara tak langsung telah menyebabkan aku runsing dan sakit kepala. Sebenarnya, cinta ni wujud atau tak? Kalau cinta itu bukanlah produk biologi, kenapa persoalan paradoks tadi tak boleh dijawab? Kalau cinta itu adalah perkara metafizik, kenapa kita perlu membiak? Bukanlah aku nak menolak cinta. Aku tahu cinta itu apa dan pernah rasakan benda tersebut. Sekali. Sekarang, ia sudah menjadi hal silam. Hati aku sudah tertutup. Sekarang, hal cinta dan berkahwin itu adalah benda yang terakhir sekali aku ambil kisah. The least of my concern. Cuma, itulah.. persoalan aku tak terjawab lagi.

Jadi, menurut pemikiran aku yang dangkal, cinta itu adalah gabungan antara dua perkara tersebut dan saling melengkapi antara satu sama lain. Cinta itu adalah semacam dua benang; benang fizikal dan metafizikal, yang disulam dan menyambungkan antara insan ke insan yang lain.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Leave A Reply