Di satu bahagian berhampiran muara Sungai Melaka, wujud sebuah muzium yang dikenali sebagai Muzium Samudera. Muzium yang dibuka pada 1998 itu bertujuan memberi pencerahan kepada orang ramai tentang peranan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa satu ketika dahulu.
Tetapi bagi ramai sejarawan Nusantara, kelibat replika kapal Portugal, Flor de la Mar yang menjadi sebahagian daripada muzium ini merupakan satu perkara yang menyakitkan. Ini kerana yang lebih layak dibina sebagai replika yang mempamerkan prestij Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa ialah kapal ghali Mendam Berahi. Ketika ini, usaha penyelidikan dan pembinaan semula kapal tersebut sedang berjalan.
Ada sebab kenapa Flor de la Mar dibenci sebegitu rupa. Kapal ini merupakan sebuah kapal jenis carrack yang banyak digunakan oleh kuasa-kuasa Eropah sekitar abad ke-14 dan ke-15. Kapal carrack menjadi pilihan kerana mempunyai badan yang stabil di lautan dan mempunyai kapasiti penyimpanan yang banyak – berguna untuk perjalanan perdagangan yang jauh seperti Afrika dan Asia.
Dibina sekitar 1502 di Lisbon, Portugal, Flor de la Mar dianggap kapal yang terbesar mengikut kategori kapal carrack (berat 400 tan) dan yang terindah dari segi reka bentuk. Selepas siap, ia dihantar ke India buat kali pertama pada tahun sama di bawah pimpinan sepupu Vasco da Gama, Estevao da Gama yang menjadi sebahagian daripada Armada India Keempat.
Armada ini kemudiannya terlibat dalam satu insiden membabitkan sebuah kapal yang membawa jemaah haji dari Calicut (kini Calcutta) ke Makkah, Mirim. Insiden ini menyaksikan 400 orang jemaah haji termasuk 50 orang wanita, pemilik kapal dan seorang diplomat mati dibunuh selepas kapal tersebut dibakar. Selain menjarah harta berharga, 20 orang kanak-kanak malang ini turut diculik dan dilarikan kembali ke Portugal untuk dikristiankan.
Insiden berdarah ini merupakan permulaan penglibatan Flor de la Mar dalam kempen imperialisme Portugal di Asia. Antara kawasan yang pernah jadi saksi kelibatnya di perairan mereka ialah pelabuhan Hormuz (1507), Diu (1508), Goa (1510) dan Melaka (1511). Tetapi ekspedisi penaklukan Melaka yang dianggap paling penting kerana Melaka yang diperintah Kesultanan Melayu Melaka (KMM) merupakan pelabuhan antarabangsa yang penting.
Atas sebab itu, pihak Portugal melihat penaklukan ini sebagai kunci mengawal perdagangan antarabangsa memihak kepada mereka khususnya dalam soal rempah-ratus. Dan ini berjaya direalisasikan pada 1511 apabila Melaka jatuh ke tangan mereka. Disebabkan nilainya sebagai pelabuhan antarabangsa, terdapat banyak barang berharga yang bernilai tinggi sebagai rampasan perang. Bagi ketua ekspedisi Alfonso de Albuquerque, harta-harta ini patut dibawa pulang buat tatapan Raja Manuel I Portugal.
Tetapi keputusan tersebut merupakan satu kesilapan besar yang dilakukannya. Ini kerana sepanjang sejarah perkhidmatan Flor de la Mar, kapal ini beberapa kali mengalami kerosakan semasa pelayaran termasuk pelayaran pulang ke India sekitar 1506 dan 1507. Akibat kerosakan dalam pelayaran berkenaan, Flor de la Mar tersadai di Mozambique selama berbulan-bulan sebelum sebuah lagi kapal Portugal tiba dan menghulurkan bantuan dari segi pembaikan.
Agaknya kalau sudah rambang mata, pertimbangan logik sudah tidak terpakai dari segi keselamatan. Selain harta rampasan perang, Flor de la Mar turut membawa harta peribadi de Albuquerque dan ufti yang dihantar Raja Siam kepada Raja Manuel I. Walaupun sudah dinasihati agar mempertimbangkan semula keputusan tersebut, beliau bertegas mahukan kapal itu digunakan untuk mengangkut semua harta itu pulang ke Portugal.
Flor de la Mar bertolak dari Melaka sekitar akhir tahun 1511. Semasa kapal itu berlayar sekitar Pasai di timur laut Sumatera, tiba-tiba ia dilanda ribut mengakibatkan kapal tersebut karam dan membunuh ramai orang. Orang yang dianggap punca kemalangan ini iaitu de Albuquerque juga hampir mati lemas sebelum diselamatkan oleh saki-baki krew yang masih hidup.
Disebabkan nilai harta yang tersimpan dalam kapal yang tinggi, ia dianggap sebagai salah satu kapal karam berharga yang menjadi buruan pemburu harta karun sehingga hari ini. Tetapi jika ada pun, mungkin hanya sedikit saja yang akan ditemui.
Ini disebabkan lokasinya yang berhampiran dengan Aru, salah satu bekas wilayah jajahan KMM, bisa saja pemerintah KMM dalam buangan Sultan Mahmud Shah mengarahkan harta-harta ini diambil semula oleh Aru atau Orang Laut. Tidak mustahil harta-harta ini kemudiannya digunakan untuk membiayai perbelanjaan perang baginda bagi mendapatkan semula Melaka dari Bintan, markas sementara baginda selepas meninggalkan Muar dan Pahang.
Pastinya de Albuquerque juga sedar tentang hakikat ini selepas Melaka diserang dari 1515 hingga 1519. Logiklah Sultan Mahmud dapat membentuk pakatan negeri-negeri Melayu menggunakan prestij baginda sebagai Sultan Melaka untuk menyerang dan menghalau Portugal dari bumi Melaka. Tetapi semua ini masih memerlukan sejumlah harta yang banyak untuk menjayakannya.
Tidak mahu perkara ini berlanjutan dan secara tidak langsung membalas dendam atas kehilangan Flor de la Mar, Bintan diserang pada 1526. Ini memaksa Sultan Mahmud berundur ke Kampar dan mangkat di sana pada 1528. Dua putera baginda, Raja Ali dan Raja Muzaffar kemudiannya menjadi pengasas dua buah kesultanan baru iaitu Kesultanan Johor dan Kesultanan Perak.
Tetapi itu tidak menghalang pemburu harta karun mencuba nasib mereka. Sekitar 1992, seorang pemburu harta karun bernama Bob Marx mendakwa telah menjumpai lokasi sebenar bangkai Flor de la Mar. Bagaimanapun, ia kemudiannya mencetuskan isu perebutan khazanah kapal berkenaan membabitkan tiga buah negara iaitu Portugal, Malaysia dan Indonesia.
Nak harapkan masalah ini selesai begitu saja, jangan haraplah. Ini kerana situasi Flor de la Mar mirip situasi mana-mana bangkai kapal lama yang menjadi rebutan pelbagai negara selama bertahun-tahun seperti San Jose. Selagi mana bangkai kapal sebegini terus dilihat dari segi nilai material dan bukan nilai sejarah, maka yang rugi ialah sejarah negara-negara yang terlibat.
Ramai dalam kalangan Melayu ingin tahu tentang sejarah Melaka. Selalu sangat dengar pasal kerajaan hebat yang pernah berdiri di situ. Maka kami membuka jendela untuk anda masuk ke laluan masa dan kembali ke zaman Kesultanan Melayu Melaka terdahulu dengan hanya satu pembelian di Shopee: https://shopee.com.my/The-Patriots-Tasjil-Anis-Salatin-Rahsia-Agung-Melaka-i.238336777.3439494308?
RUJUKAN
Heritage Daily. (2022, 16 Mei). Flor de la Mar – The lost treasure ship.
Mingren, W. (2016, 5 Julai). The Lost Treasure of Flor de la Mar, Flower of the Sea. Ancient-Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih