LAUT AEGEAN bagaikan sebuah tasik yang luas, hampir sahaja dikelilingi daratan. Di bahagian barat dan utaranya nun terbentang tanah besar Eropah; di arah timur pula Asia Minor manakala ke arah selatan pula ialah kepulauan Crete yang memisahkan ia dari lautan Mediterranean.

Sepanjang pesisiran Aegean pula dicorakkan dengan teluk-teluk semenanjung, dan bertaburan ratusan pulau-pulau di persekitarannya. Ini adalah sebahagian mukabumi yang mengalami iklim panas sederhana dengan hujan musim sejuk serta musim panas yang kering. Di sinilah peradaban Barat bermula, di pulau Crete, terletak di persimpangan Eropah dan Afrika, menjadi lokasi antara permulaan tamadun awal kemanusiaan yang agung.

Foto: Masyarakat Minoan menyambut keraian

Dengan meniru peradaban jiran mereka di Mesir Kuno pada permulaannya, penduduk awal Crete secara beransur-ansur berkembang sehingga ke Zaman Gangsa selepas 3000 Sebelum Masihi. Untuk beberapa ratus tahun setelah itu, kemajuan mereka agak perlahan tetapi menjelang 2000 SM, mereka telah membentuk satu ketamadunan yang unik dan gemilang. Di pesisiran, dengan akses kepada kapal dagang, industri membangun pesat dengan pengeluaran tembikar dan tukangan logam yang menjadi permintaan dagangan yang tinggi pada era itu.

Disebabkan kemahiran mereka sebagai bangsa maritim, kemahiran nautikal dan keberanian merentas lautan, penduduk Crete memonopoli pengangkutan laut dan perdagangan maritim serta menjadi mewah dan berkuasa. Kota-kota besar dan megah dibina, malah di Knossos, ibukota kerajaan ditubuhkan yang bukan sahaja melingkungi pulau Crete, tapi banyak kepulauan jiran lain juga di  Laut Aegean. Kerajaan maritim kepulauan ini digelar Empayar Minoan, nama yang berasal dari raja lagenda mereka yang dikenali sebagai Minos.

PERADABAN TAMADUN YANG GEMILANG

Foto: Kota Purba Minoan di Knossos

Walaupun merupakan salah satu ketamadunan yang agung di zaman peradaban silam yang lain, tiada langsung yang dapat diketahui dari tamadun ini – termasuk kewujudannya – sehinggalah pada awal abad ini di mana Sir Arthur Evans, seorang pakar arkeologi Inggeris, memulakan penggalian ekskavasi di tapak purba Crete dan menemui bukti kewujudannya.

Untuk tempoh 60 tahun berikutnya, para pakar arkeologi telah melengkapkan teka teki berkenaan sejarah Crete yang hilang, mengembalikan semula sejarah tamadun yang gemilang dan sofistikated ini yang menguasai di kepulauan rantau Laut Aegean dan berkembang di serata Lautan Mediterranean seribu tahun sebelum Pericles dan Zaman Keemasan Klasikal Yunani.

Foto: Bangsawan dan perwira Minoan berserta rahib wanita kultus ular

Namun begitu, kejatuhan dan kemusnahan dramatik pengaruh Minoan serta tamadunnya terus menjadi satu misteri. Kehancuran Minoan mungkin sahaja bukan dari pemberontakan atau pencerobohan anasir luaran. Tidak ada ketamadunan lain (termasuk Mesir Kuno yang tidak memiliki kekuatan maritim, mereka adalah kerajaan daratan ketika itu -) di rantau Mediterranean yang memiliki sumber dan kekuatan maritim untuk menewaskan kaum Minoan serta memusnahkan empayar mereka. Jadi apakah punca kemusnahan total sebuah tamadun yang agung dan terkehadapan itu?

Jika perbuatan manusia bukan punca kejatuhan dan kemusnahannya, hanya kemungkinan bencana alam yang dahsyat sahaja mampu menjadi faktornya. Kejadian bencana alam itu mempunyai keupayaan memusnahkan sumber dan kota-kota Minoan sampai ke tahap ia tidak mampu untuk pulih kembali.

KEMUSNAHAN DARI BENCANA ALAM SEMULAJADI

Foto: Letusan Santorini di zaman purba

Bukti kemusnahan akibat bencana alam memang wujud. Pada abad 1600 SM,  gunung berapi Santorin, sebuah pulau di utara Crete, meletus dengan dahsyat menghamburkan jutaan tan asap dan habuk gunung berapi ke atmosfera, menghasilkan gegaran  atmosferik & tsunami besar yang terhasil turut dikenali “ombak gadang”. Menerusi kaedah ‘radiocarbon dating‘ ke atas sisa kayu dan gigi manusia yang ditemui di tapak kota purba yang tertimbus lapisan debu volkanik dekat Pulau Santorin oleh Professor A. G. Galanopoulos dari University of Athens mendapati letusan dahsyat Santorin bermula sekitar 1450 – 1480 SM.

Bukti arkeologi juga mengesahkan sekitar tahun 1480SM, beberapa bencana alam seperti gempa bumi turut memusnahkan istana-istana mewah Minoan dan membawa kepada perubahan drastik yang menyebabkan kepupusan tamadun Minoan. Kemusnahan utama sebagaimana pendapat diterimapakai kini, adalah letupan dahsyat gunung berapi Santorin yang sebelum dan selepas letusan diikuti beberapa siri gempa bumi yang teruk. Bagi menggambarkan keadaan kemusnahan alam ini, perlu diterangkan mengenai lokasi geologi dan sejarah kawasan ini.

KESAN KEKUATAN GUNUNG BERAPI

Foto: Pembentukan kaldera di Pulau Santorini


Beberapa gugusan pulau kecil membentuk gunung berapi Santorin adalah sebahagian rantaian kepulauan dipanggil Cyclades, utara Crete. Beberapa pulau volkanik lain yang berada di gugusan yang sama sehinggalah ke Pulau Methana di pesisir Peloponnesus. Garisan lingkaran volkanik yang lain turut menjalar ke arah utara-selatan, mengikut pesisiran Asia Minor. Dari semua kepulauan volkanik ini, hanya 2 iaitu Santorin dan Nisyros, telah meletus mengikut catitan sejarah.

Santorin dahulunya sebuah pulau volkanik yang besar berketinggian 5000 kaki. Saki baki pulau Santorin telah berpecah kepada Pulau Thera (letusan Santorini juga dikenali letusan Thera / Therasian – Pandangan Reza Shah) dan Pulau Therasia serta sebuah pulau kecil, Aspronisi.

Kemusnahan akibat letupan dahsyat Santorin di kurun 15SM jelas menyamai letusan Krakatoa yang berlaku pada 26 Ogos 1883 di Selat Sunda, Indonesia. Kita hanya mengetahui serba sedikit mengenusi letusan gunung berapi Santorin, tetapi banyak analogi perbandingan dapat dilakukan berdasarkan kejadian letusan Krakatoa, yang tercatat sempurna dalam rekod sejarah kini.

PERIUK API GERGASI

Kita tahu misalannya, bila Krakatoa meletup pada tahun 1883 Masihi, keseluruhan utara pulau berkenaan hancur musnah melibatkan kemusnahan 10 batu persegi permukaan pulau dengan anggaran 700 kaki kepada depresi ke dalam laut dengan kedalaman lebih 900 kaki di bawah permukaan laut. Bunyi letusan Krakatoa boleh didengar 3000 batu jauhnya dan lautan sekeliling dipenuhi habuk dan sakibaki lava serta puing-puing letusan.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 1 kubik batu bahan-bahan letusan dihamburkan ke ketinggian lebih 17 batu jauhnya ke udara dan habuk-habuk ini ditiup angin serata dunia sehingga menjejaskan kesan cahaya mentari di langit dan kualiti udara global bertahun lamanya. Kuantiti habuk volkanik berkumpul hinggap di dek kapal-kapal laut sejauh 1600 batu jauhnya. Letusan Krakatao turut menghasilkan bencana tsunami berketinggian lebih 100 kaki dan memusnahkan 295 pekan serta kampung Jawa Barat dan di Selatan  Sumatra dan memakan korban seramai 36,380 orang.

Foto: Lukisan skematik geologi Santorini

Letusan Santorin berkemungkinan amat mirip Krakatoa, tapi melebihi beberapa kali ganda kekuatannya. Letusan volkanik ini dianggap sebagai berasal hidromagnetik. Letusan volkanik jenis ini bermula apabila laut sejuk menyusup masuk ke ruang-ruang lava di bawah tapak Santorin.

Apabila berlaku percampuran air laut yang sejuk dengan lava menghasilkan tekanan wap stim yang akhirnya meletupkan permukaan gunung berapi. Bila letusan berkenaan hilang beransur-ansur kekuatannya, permukaan gunung Santorin ditelan bumi akibat berlaku lohong kosong di bawah tapak gunung berkenaan menghasilkan depresi daratan melurut ke bawah permukaan bumi dipanggil kaldera di lautan.

Bila berlaku kaldera, secara sekaligus 15 kubik batu air laut memenuhi ruang ini dan terhasillah gelombang air laut di mana berketinggian hampir ratusan kaki. Jumlah air yang melimpah ini berterusan sepanjang Laut Aegean. Beberapa tsunami gergasi  terhasil di seluruh laut Aegean dan timur Mediterranean dengan kelajuan 350 batu sejam. Gelombang atmosferik dari letusan berkenaan dan kejadian dasar laut yang runtuh turut menghasilkan tsunami susulan. Tidak syak lagi, tsunami-tsunami gergasi ini amat tinggi saiznya dan membadai memusnahkan hampir kesemua kota Minoan di pesisir Crete serta sekitar gugusan pulau Cycladic.
 

DINDING BUMI MENGHAMBUR KELUAR

Foto: Gambaran sakibaki kaum Minoan yang cuba menyelamatkan diri akibat dibadai tsunami

Dari kebanyakan istana-istana indah dan penempatan Minoan di utara dan timur Crete, hanya Knossos sahaja yang selamat dari kemusnahan tsunami. Knossos terletak jauh ke daratan pulau Crete dam dipisahkan dari laut dengan siri banjaran bukit bukau. Mahligai Knossos pula nampaknya menjadi mangsa kemusnahan dari siri gempa bumi yang berlaku beberapa kali sebelum dan selepas letusan Santorin.

Kerja-kerja arkeologi di sekitar gugusan kepulauan Aegean telah menemui bukti anggaran saiz dan kesan-kesan tsunami ini. Di pulau Anafi, 15 batu di timur Santorin terdapat lembah dengan tanah tinggi berketinggian 820 kaki, hasil lapisan dasar laut sedalam 15 kaki ditemui. Di tapak arkeologi di Pulau Amnisos, Professor Spyridon Marinatos, tokoh arkeologi Greece terkemuka menemui bukti kesan bangunan purba pesisir yang telah dihanyutkan ombak besar. Dalam tapak asas dan ruang tapak berkenaan dia menemui sebahagian besar kuantiti lapisan lumpur serta pasir lautan.

Di lokasi di pulau yang sama, bukti tambahan kesan tsunami ditemui dari villa (rumah purba) fresco. Sebahagian besar dinding dan sisi bilik serta struktur telah runtuh / tenggelam dalam keadaan yang agak pelik. Dinding menghala keluar dan beberapa batu monoliths seberat beberapa tan dan bersaiz 6 kaki panjang serta 3 kaki lebar telah terkeluar dari kedudukan asal atau hilang begitu sahaja. Ini merupakan kesan-kesan struktur binaan yang ditarik air ke arah laut.

Pakar seismologi percaya bahawa pada zaman silam, Crete telah menghadapi anggaran 3 kali gempabumi setiap 100 tahun. Siri-siri gempa bumi ini diikuti gempa bumi susulan memusnahkan kebanyakan istana dan mahligai Minoan di Crete sepanjang sejarah peradaban Minoan. Kemusnahan besar yang pertama ke atas Mahligai Knossos dari gempa bumi pada 1720 SM dan ia dibina semula sehinggalah dimusnahkan kembali oleh beberapa siri gempa bumi pada kurun ke  14 Sebelum Masihi.

Sir Arthur Evans, dalam penggaliannya di Knossos, menemui bukti kemusnahan melampau yang diakibatkan oleh gempa bumi yang berlanjutan. Secara spesifik dia menemui banyak rumah kediaman Minoan yang rosak akibat bongkah-bongkah batu besar, struktur rumah terpisah sejauh 20 kaki dari posisi asal. Malah ketika Evans masih di Crete, sebanyak 2 kali gegaran gempabumi boleh dirasai, diselangseli bunyi gegaran yang kuat naik dari dalam tanah ke daratan seperti bunyi dengusan lembu jantan.

Menurutnya, terdapat hubungkait antara lembu jantan yang disembah kaum Minoan dan gegaran bumi. Poseidon, dewa kegemaran kaum Minoan bukan sahaja Dewa Laut, malah juga pencipta gempa. Dewa Bumi mengikut kepercayaan Minoan pula, menyimpan seekor lembu jantan di bawah permukaan daratan dan sekali sekala jika Dewa marah, akan melepaskan lembunya untuk menggegarkan bumi.

KETAKSTABILAN GEOLOGI

Foto: Pulau Santorini dari sudut udara

Kekerapan aktiviti seismik di rantau ini dapat dijelaskan dengan pengetahuan geologi terkini mengenai pembentukan strukturnya. Menurut teori berkenaan, seluruh bahagian Barat dan Selatan Greece berada di persimpangan 2 zon kerahan kerak dimana pentas benua Eurasia berpisah dari Afrika memandangkan dua benua ini perlahan-lahan bergerak.

Kerahan utama yang melalui kawasan Laut Timur Mediterranean sepanjang selatan pesisir Crete adalah sebahagian sambungan zon pemisahan Jordan, satu lagi kerak pemisahan muncul di Semenanjung Arab yang menolak ke arah blok benua Eurasia.

Kerana sistem tektonik yang tidak stabil ini, seluruh kawasan Kepulauan Aegean termasuk ke dalam sebahagian dari zon aktif seismik di dunia. Gunung berapi Santorin dan Aetna serta banyak lagi gunung berapi yang telah dorman atau tiada lagi adalah warisan aktiviti seismik dan tidak syak lagi pernah meletus banyak kali sepanjang kewujudan geologikalnya.

TEORI BARU MENGENAI ATLANTIS

Foto: Atlantis sebagaimana yang digambarkan Plato (keadaannya secara bulatan sfera seolah seperti pulau Santorin sebelum ia meletup (rujuk rajah pembentukan Santorin sebelum & selepas letusan Santorin berlaku)

Baru-baru ini ada pendapat menyokong bahawa kepulauan Santorin, Crete dan sebahagian pulau di Aegean adalah benua mitos Atlantis yang hilang sebagaimana yang diterangkan oleh Plato dalam kisahnya. Teori ini kemudian ditambah dengan kemajuan sebuah peradaban yang terkehadapan di Atlantis sebagaimana yang digambarkan Plato – berkemungkinan adalah tamadun Minoan dan Santorin pula dahulunya sebahagian daripada kota-kota mewah metropolis Minoan yang dimusnahkan oleh letusan gunung berapi dan ditelan tsunami.

ADAKAH PARAS LAUT NAIK DAN MENELAN ATLANTIS

Kerja-kerja arkeologi terkini di pulau Santorin mendapati wujudnya sebuah kota Minoan purba berusia 3500 tahun yang ditenggelami hampir separuh ke dasar laut. Kerja penggalian yang dilakukan oleh University of Athens menemui rumah kediaman Minoan dari rumah setingkat, 2 tingkat hingga 3 tingkat serta pelbagai artifak Minoan yang lain. Ketiadaan tengkorak atau rangka manusia di tapak kota itu menyatakan bahawa penghuni kota mendapat amaran awal sebelum letusan berlaku dan sempat meninggalkan pulau berkenaan.

Samada Santorin dan penempatan Minoan yang lain di kepulauan Aegean merupakan sebahagian dari tamadun Atlantis yang hilang belum dapat dipastikan sepenuhnya. Lagenda Atlantis sebagaimana lagenda lainnya tidak dapat disahkan kerana hanya berdasarkan cerita dongeng rakyat dari mulut ke mulut. 

Kemungkinan bahawa Atlantis atau sebahagian kota-kota utamanya tenggelam akibat oleh paras lautan yang meningkat naik tidak boleh ditolak. Yang pastinya, kenaikan paras lautan berlaku di seluruh dunia dan melibatkan semua lautan serta laut dalam. Kesannya ketinggian paras lautan turut melibatkan Lautan Mediterranean disebabkan ia bersambung dengan lautan Atlantik melalui selat kecil Gibraltar.

Paras laut telah berubah sepanjang 20 000 tahun lalu disebabkan kecairan glacier dan kecairan ais dari kutub utara dan selatan. Ini secara drastik mempengaruhi kandungan air di lautan & kadar peningkatan air laut. Pada penghujung 20 000 tahun setelah dunia menuju ke era setelah Zaman Glacier Wisconsian, glacier telah mencair dan mengecil ke utara serta kadar ketinggian laut meningkat lebih 270 kaki.

Dari 8000 SM hingga 3000SM, laut telah meningkat secara mendadak hingga 18-21 kaki berbanding masa sekarang. Ketika 1600 Sebelum Masihi, kadar ketinggian paras laut meningkat, kemudian menurun ketika musim antara glacier yang singkat. Pada 700SM, kadar ketinggian paras laut Mediterranean dalam 12-15 kaki lebih rendah dari paras sekarang & pada 800 Masihi, paras laut meningkat 7 kaki persegi di bawah paras laut sekarang.

Namun begitu, paras laut kembali meningkat tahun demi tahun sejajar dengan kecairan ais di kutub & meningkat dalam kadar 1.15 millimeter setiap tahun. Ini adalah anggaran konservatif yang dibuktikan menerusi penemuan arkeologi, hutan yang ditenggelami air dan kesan bukti tidak langsung.

MINOAN DIHENTAM GEMPA BUMI

Foto: Tinggalan Istana Minoan

Kenaikan paras laut telah menenggelamkan bayak kawasan rendah berhampiran pesisir pantai di Lautan Mediterranean & sebahagian kota pesisir. Banyak penempatan pesisir Minoan di Laut Aegean telah ditenggelami air atau ditemui separuh tenggelam ke dasar laut. Dianggarkan pada kurun ke 15 SM, pada masa letusan Santorin berlaku, paras air laut kurang dari 12 kaki berdasarkan paras laut sekarang.

Kota purba Minoan yang ditemui separuh tenggelam di Santorin mungkin pernah ditenggelami air laut yang meningkat naik (tsunami) diikuti pula dengan tanah runtuh (akibat gegaran letusan) serta gempa bumi susulan. Namun begitu, keadaan tapak kota dan bangunan yang terpelihara di Santorin menolak kemungkinan tanah runtuh sebagai salah satu faktor.

Di kawasan lain di Mediterranean, kesan bukti peninggalan kota-kota purba kawasan pesisir ditenggelami air telah ditemui. Kenaikan paras laut bagaimanapun tidak akan dapat menenggelamkan kawasan benua daratan yang luas, seperti kisah Atlantis yang diceritakan Plato. Lagipun, kenaikan paras laut adalah secara berkala dan bukan hanya dipengaruhi masalah bencana semulajadi.

Apa yang dapat dipastikan, letusan gunung berapi dan siri limpahan tsunami sahaja tidak memusnahkan kesemua peradaban Minoan. Kota dan penempatan Minoan yang jauh dari pesisir nampaknya terselamat dari kemusnahan letusan Santorin dan beberapa siri tsunami yang membadai sebahagian besar kota serta penempatan pesisir Minoan yang lain di seluruh laut Aegean. Namun kejadian bencana Santorin adalah satu punca tragedi permulaan kejatuhan empayar maritim purba ini.

Bagi penduduk Minoan di Crete, beberapa kejadian gempa bumi selama 200 tahun berturutan melemahkan lagi kebangkitan empayar ini. Usaha pemulihan empayar Minoan dengan pembinaan kota-kota yang musnah sebelum ini terbantut ditambah pula keperitan membina kembali kemegahan peradaban mereka oleh pemerintah. Debu-debu volkanik dari Santorin telah merosakkan tanaman, membuatkan tanah pertanian menjadi tidak subur dan berlaku era krisis kekurangan sumber makanan yang terlalu teruk.

Kenyataan bahawa kemusnahan tamadun Minoan secara langsung berpunca dari letusan Santorin, habuk-habuk volkanik dan beberapa siri tsunami telah terbukti dengan penemuan lain. Didapati bahawa pada 1400 SM, terdapat migrasi besar-besaran penduduk Minoan ke timur pulau Crete. Kawasan ini telah selamat dari kesan langsung letusan Santorin dan dimana ia sesuai menjadi kawasan pertanian.

Penghijrahan besar besaran oleh penduduk Minoan Crete dan penghuni Minoan di gugusan kepulauan Aegean ke tanah besar Greece dan Peloponnesus turut berlaku pada masa itu. Pelarian Minoan yang berhijrah ke tanah besar Greece telah memperkenalkan adat budaya mereka, kesenian dan kemahiran maritim Minoan kepada penduduk asal Greece iaitu Yunani Mycenae.

Orang Yunani Mycenae dari Peloponnesus pada masa itu kini telah menjadi satu kuasa baru di zaman Yunani purba. Mengambil peluang kejatuhan dan kelemahan dinasti Minoan di Crete, dinasti Mycenea menjajah Knossos dan keseluruhan pulau Crete. Pada sekitar 1400 SM, kebangkitan tamadun Yunani Mycenea bermula di Greece, turut mengadaptasi beberapa kemajuan peradaban dari Minoan.

Dengan kehadiran tamadun Mycenae, huruf penulisan tercipta dan rekod sejarah Greece Era Purba mula ditulis. Peradaban tamadun Minoan, yang dimusnahkan oleh letusan Santorin, siri-siri tsunami, gempa-gempa bumi susulan akhirnya melalui era kejatuhan, kemerosotan, menyembah bumi dan lenyap ditelan zaman bersama keunikan identiti Minoannya.

RUJUKAN: 

1) Artikel asal: Pararas-Carayannis, George. The Waves That Destroyed the Minoan Empire. Sea Frontiers, Vol 19, No. 2, p. 94

2) Pararas-Carayannis, George. The Destruction of the Minoan Civilization. Encyclopaedia Grollier, Science Supplement, pp 314-321

3) Perennial Atlantis, Sea Frontiers, Vol. 18, Nos. 1 & 2

4) Dokumentari BBC – Atlantis: End of the World Birth of A Legend
 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Reza Shah telah berumur 40-series, seorang "self-declared" mecha-anime-gunjin Otaku-tua-kutuk-tak-sedar-diri. Juga peminat sejarah amatur serta sosio-geopolitik global, penulis di zaman mudanya adalah tersohor sebagai "keyboard warrior" dalam membela agama, bangsa & negara di laman mIRC, Internet Mailing List (IML) dan forum-forum, di Internet. Kini dia bersara dari dunia menghempas keyboard, dan lebih suka mengarang "fan-fiction" berbentuk fiksyen sejarah untuk Macross / Robotech. Oh, penulis telah berkhidmat 20 tahun dalam bidang pengajian tinggi dari sebuah Pusat Matrikulasi di Sarawak dan sudah sedekad bertugas di sebuah Universiti GLC di Semenanjung. Banzaiiiii!

Comments are closed.