Dalam bahagian kali ini, akan dibahaskan mengenai kota yang didiami oleh Nabi Ishak a.s. bersama ayahnya, Nabi Ibrahim a.s sehingga tiba hari kewafatan.

Di dalam kitab suci agama Islam, Quran, tidak dinyatakan secara mendalam berkaitan kehidupan Nabi Ishak a.s. Tetapi Ibnu Katsir mengisahkan bagaimana perjalanan Nabi Ishak a.s sebelum kewafatan Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Nabi Ibrahim a.s mengetahui masanya untuk hidup di atas muka bumi tidak lama, baginda menasihati Nabi Ishak a.s supaya berkahwin dengan segera. Baginda tidak mahu anaknya berkahwin dengan perempuan dari orang Kanaan (Palestin) kerana masyarakat Kanaan pada waktu itu masih kekal menyembah dewa berhala.

Maka, Nabi Ibrahim a.s menghantar seorang utusannya ke negeri Harran di Iraq yang mana tempat tersebut pernah menjadi tempat persinggahan baginda ketika keluar dari kota Ur. Penduduk di negeri tersebut telah beriman kepada Allah swt, maka ia menjadi negeri pilihan Nabi Ibrahim a.s untuk menyambung keturunannya melalui Nabi Ishak a.s. Seorang gadis dari Harran bernama Rebekkah binti Bethuel dipilih untuk menjadi isteri kepada Nabi Ishak a.s.

Hasil dari perkahwinan diantara Nabi Ishak a.s dan Rebekkah lahirnya dua orang anak lelaki kembar yang bernama Esau dan Yaakub. Kedua orang mereka dibesarkan dalam keadaan serba kasih sayang sehinggalah dewasa. Tatkala mencapai usia yang sudah matang, maka Allah swt menurunkan wahyu berkenaan perlantikan Yaakub sebagai seorang utusanNya.

Berita ini menggembirakan hati Nabi Ishak a.s dan Nabi Yaakub a.s. Tetapi, berita gembira ini menjadi sebuah berita buruk buat Esau. Esau yang irihati dengan Nabi Yaakub a.s mengancam untuk membunuh kembarnya. Setelah menerima ancaman dari saudaranya, maka Nabi Yaakub a.s memutuskan untuk membawa diri dari tanah Kanaan.

Daripada sumber Yahudi, anak kembar Nabi Ishak a.s iaitu Esau merupakan ‘bapa’ bangsa Rum dan Nabi Yaakub a.s sendiri merupakan ‘bapa’ bangsa Israel.

Setelah beberapa bepergian di luar Kanaan, maka Nabi Yaakub a.s pulang semula ke Hebron dan tinggal bersama bapanya Nabi Ishak a.s dan saudaranya, Esau. Tidak diceritakan secara lanjut bagaimana kehidupan Nabi Ishak a.s, tetapi menurut para mufassir Quran, baginda menghabiskan masanya berdakwah kepada penduduk Kanaan atau Hebron tanpa henti.

Akhirnya, Nabi Ishak a.s wafat ketika berumur 180 tahun di Hebron dan jasad baginda dimakamkan oleh kedua orang anaknya bersebelahan jasad Nabi Ibrahim a.s di dalam sebuah gua. Dalam agama Kristian dan Yahudi, gua ini terkenal dengan nama ‘Cave of the Patriarchs’ dan dalam agama Islam, ia dipanggil sebagai ‘Sanctuary of Abraham’ atau Masjid Ibrahim.

Dari kisah ringkas di atas, kita melihat bagaimana singkatnya pengenalan hidup seorang nabi yang diutuskan oleh Allah swt untuk berdakwah di bumi Hebron. Nama baginda hanya disebutkan di dalam Quran sebanyak 16 kali sahaja iaitu:

1. Surah al-Baqarah ayat 133, 136 dan 140.

2. Surah Ali-Imran ayat 84.

3. Surah an-Nisa ayat 163.

4. Surah al-An’am ayat 84.

5. Surah al-Hud ayat 71.

6. Surah Yusuf ayat 6 dan 38.

7. Surah Ibrahim ayat 39.

8. Surah Maryam ayat 49.

9. Surah al-Anbiyaa ayat 72.

10. Surah al-Ankabut ayat 27.

11. Surah as-Shaffat ayat 112 dan 113.

12. Surah as-Shad ayat 45.

Ayat-ayat Quran di atas hanya menerangkan sosok peribadi dan anugerah yang Allah swt limpahkan ke atas keturunan mereka. Jadi, bagaimana dan di mana sumber untuk mengetahui kehidupan Nabi Ishak a.s selanjutnya?

KEHIDUPAN AWAL NABI ISHAK A.S.

Kalau pembaca sudah membaca tajuk sebelumnya mengenai Nabi Ibrahim a.s, ketika berita kelahiran Nabi Ishak a.s disampaikan, baginda bersama isterinya pada ketika itu menetap di daerah Hebron yang pada waktu itu dikenali sebagai tanah Kanaan (Palestin).

Nabi Ishak a.s dilahirkan di Hebron ketika Nabi Ibrahim a.s dan isterinya Sarah mencapai umur yang sudah lanjut. Nabi Ishak a.s dibesarkan di Hebron sehinggalah mencapai waktu kewafatannya. Baginda ditugaskan oleh Allah swt untuk berdakwah kepada penduduk Hebron.

(Pautan: https://thepatriots.asia/babylonia-kota-kelahiran-baginda-nabi-ibrahim-a-s )

Kalau dilihat pada kronologi waktu sejarah, siapakah yang menetap di Hebron pada waktu tersebut?

MASYARAKAT KANAAN

Sejarah penempatan awal Hebron (Kanaan).

Peradaban Kanaan berkembang pada sekitar abad ke-17 SM atau abad ke-18 SM. Di antara rentang waktu ini, sudah wujud penempatan manusia, sistem pentadbiran dan kota di Hebron. Kota tersebut dikenali sebagai Tel Rumaida atau Tel Hebron dan kota ini diyakini sebagai tempat yang dihuni oleh keluarga Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ishak a.s oleh ilmuwan Yahudi.

Sisa runtuhan benteng kota Tel Rumaida dari tahun 2000 SM-1600 SM.

Kawasan ini mula dihuni oleh manusia sekitar tahun 3,500 SM. Zaman pun berlalu. Kawasan yang pada mulanya hanya sebuah penempatan biasa bangkit menjadi sebuah penempatan besar. Pada sekitar tahun 2800 SM-2500 SM, penempatan berkembang luas sehingga mencapai 30 dunam (1 dunam: 1000 m² yang bersamaan dengan 30,000 m²).

Dunam merupakan ukuran tanah yang digunapakai oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah dan Israel. Penempatan ini tanpa diduga ditinggalkan tanpa berpenghuni sehinggalah pada sekitar tahun 2000 SM-1600 SM kawasan ini dihuni semula oleh masyarakat Kanaan lalu ia mula dibangunkan secara mendadak pada sekitar tahun 1800 SM.

Dalam rentang waktu tersebut, kawasan ini dilindungi dengan pembinaan benteng kota yang dibangunkan daripada batu-batu besar. Ketinggian benteng ini hanya mencapai 3-5 meter sahaja. Keluasan kawasan ini menjadi lebih besar apabila dinaiktarafkan sebagai sebuah kota. Dinyatakan keluasan kota pada waktu ini sekitar 4.8 hektar (48,000 m²) sahaja (tidak termasuk dengan penempatan di luar benteng kota), kemungkinan keluasannya mencapai sehingga ke lokasi ‘Sanctuary of Abraham’.

Pada sekitar tahun 1600 SM-1500 SM, tiada tanda-tanda kehidupan dan penempatan manusia di sini. Tiada penemuan yang menyatakan mengapa kawasan ini ditinggalkan selama beberapa abad. Kawasan Tel Rumaida diyakini kembali dihuni pada sekitar tahun 1200 SM-1000 SM dengan penemuan beberapa buah penempatan di tapak arkeologi Tel-Rumaida. Kawasan ini hancur dan ditinggalkan tanpa berpenghuni pada sekitar tahun 586 SM ketika zaman pemerintahan Dinasti Achaemenid di Mesopotamia.

Daripada kenyataan fakta di atas, kita akan melihat pada tahun 2000 SM-1600 SM, iaitu waktu dimana diyakini kelahiran Nabi Ibrahim a.s, kelahiran Nabi Ismail a.s, kehancuran kota Sodom dan kelahiran Nabi Ishak a.s.

Pada waktu ini, ia dikenali sebagai Zaman Pertengahan Gangsa Fasa I dan II. Kerajaan apa yang berkuasa dan membina benteng kota di sini? Daripada hasil penemuan arkeologi di tapak Tel-Rumaida, iaitu sebuah tablet tanah liat dari abad ke-17 SM (1700 SM-1601 SM) 16 SM (1600 SM-1501 SM) bertulisan Cuneiform, yang menyatakan tentang hal ehwal ekonomi, nama empat orang individu dan senarai nama haiwan.

Masyarakat Kanaan yang diyakini menetap dikawasan ini pada rentang waktu tersebut berada dibawah satu bumbung dengan masyarakat Hurrian dan Amorite, yang mana kota agraria ini ditadbir oleh sebuah administrasi bebas yang dikawalselia oleh seorang raja yang melakukan hubungan kerjasama dengan pemimpin kota-kota lainnya.

Jika dilihat, ketiga buah masyarakat ini hidup berdampingan memajukan kota Tel-Rumaida.

Bagaimanapun, sampai sekarang tiada rekod yang jelas persoalan kerajaan dan pemimpin yang berkuasa di Tel-Rumaida pada waktu tersebut. Tetapi para ilmuwan menyatakan penemuan benteng dari abad ke 2000 SM-1600 SM ini menyamai dengan tahun kehidupan Nabi Ibrahim a.s di Hebron. Rekod di mana kawasan ini dihuni oleh manusia sebelum ia ditinggalkan.

Walaupun tiada rekod lanjut, tetapi kita boleh melihat kawasan Tel-Rumaida merupakan satu-satunya kawasan di sekitar Hebron yang dihuni oleh manusia dan kawasan ini berdekatan dengan gua yang diyakini menempatkan jasad Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ishak a.s. Maka, teori pada waktu ini mampu menyatakan yang kota Tel Rumaida merupakan kota di Hebron yang dikatakan di dalam kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ishak a.s.

Jadi, bagitulah serba sedikit maklumat yang dapat diambil daripada beberapa buah sumber dari pandangan agama Islam dan agama Yahudi. Maklumat kehidupan Nabi Ishak a.s hanya dinyatakan seperti yang dikisahkan di atas.

Wallahu’alam.

RUJUKAN:

1. Kisah Para Nabi, Nabi Ishak oleh Ibnu Katsir.

2. Tel-Rumeida, Hebron Archeology Park oleh Yonathan Mizrachi.

3. The Judean Mountains Biblical Period oleh A.Ofer.

4. City of Abraham: History, Myth and Memory: A Journey Through Hebron oleh Edward Platt.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.