Surah Maryam ayat 41: Ceritakanlah (hai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam al-Kitab (Al Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan, lagi seorang nabi.

Dalam bahagian pertama ini, kita akan melihat sumber-sumber yang menyatakan tentang tahun kelahiran Nabi Ibrahim a.s dengan menyamakannya dengan kronologi sejarah dunia untuk menemui nama kota, nama kerajaan dan nama pemimpin yang diyakini berselisih dengan period waktu kenabian baginda.

62 buah ayat daripada 6666¹ ayat di dalam Quran mengisahkan tentang Nabi Ibrahim a.s. Daripada 62 buah ayat tersebut, saya akan mengambil beberapa ayat yang menerangkan perjalanan Nabi Ibrahim a.s mengikut susunan kitab sejarah karangan Ibnu Katsir iaitu Kisah Para Nabi. 

(Ada pelbagai pendapat mengenai jumlah ayat dalam Quran iaitu 6000 ayat oleh Ibnu Katsir, 6204 ayat, 6014 ayat, 6219 ayat, 6225 ayat, 6226 ayat dan 6236 ayat oleh Abu Amar ad-Dani).

Setelah terjadinya peristiwa banjir besar yang menenggelamkan dunia iaitu ‘The Great Flood’, kehancuran kota Iram di Semenanjung Arab dan kehancuran kota Hegra di Hijaz, Allah swt telah menghantar seorang lagi utusanNya ke atas muka Bumi ini. Boleh melihat penulisan tentang dua orang utusan Allah swt sebelum kelahiran Nabi Ibrahim a.s:

IRAM: ATLANTIS PADANG PASIR (Nabi Hud a.s).
https://thepatriots.asia/iram-kaum-ad-nabi-nuh-atlantis-padang-pasir/

HEGRA: LAUNGAN GEMPITA (Nabi Saleh a.s) https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=634279486984645&id=100012077979449

Nabi Ibrahim merupakan keturunan dari Nabi Nuh a.s dan Nabi Saleh a.s, bermula dari Tarikh bin Sarough bin Raghu bin Phaligh bin Aher bin Saleh bin Arfghshand bin Sam bin Nuh.

Dua buah pendapat status ayah kandung Nabi Ibrahim a.s:

1. Pendapat pertama dari sumber Islam adalah Azar adalah bapa saudaranya. Tarikh merupakan ayah kandung kepada Nabi Ibrahim a.s dan meninggal dunia sebelum kelahiran baginda. Dari kecil, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Azar. Tarikh dianggap sebagai ayahnya berdasarkan pendapat ahli tafsir yang menyatakan panggilan ‘abi’ kepada Azar di dalam surah at-Taubah ayat 114 disandarkan kepada bapa saudaranya:

“وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ…”

Imam Mufti menyatakan, Azar berasal dari bangsa Akkadia yang datang ke Harran dan berpindah ke kota Ur. Setelah Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di kota Ur, baginda dibawa oleh bapanya tinggal di kota Babylonia.

2. Pendapat kedua dari sumber Kristian adalah Tarikh. Di dalam buku Al-Islam oleh Iftikhar Ahmed Mehar, dinyatakan Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di kota Urfa. Pada waktu itu, kota Urfa dibawah jajahan al-Kaldaieen (Babylonia). Selain Nabi Ibrahim, Tarikh juga mempunyai dua orang anak yang lainnya iaitu bernama Nahur dan Haran. Abang baginda, Nahur meninggal dunia sebelum kelahiran Nabi Ibrahim a.s dan adiknya, Haran berkahwin dan mempunyai seorang anak bernama Lut. Lut inilah yang bakal diutuskan sebagai seorang nabi ke kota Sodom, Laut Mati. 

Daripada kedua buah pendapat di atas, kedua-duanya menghampiri kebenaran dari sudut sejarahnya.

Tiga buah pendapat lokasi kelahiran Nabi Ibrahim a.s:

1. Lokasi pertama kelahiran baginda pula adalah di daerah Harran yang terletak berhampiran dengan kota Urfa. Setelah itu, baginda dibawa oleh ayahnya tinggal di kota Babylonia.

2. Lokasi kedua kelahiran baginda adalah di kota Ur.

Adakah kota Ur atau kota Ur Qasdim yang dimaksudkan di dalam kisah Nabi Ibrahim a.s?

Kota Ur, Iraq: Merupakan sebuah kota penting kepada Dinasti Sumeria. Dr. Jamal Abdul Hadi di dalam bukunya, Jazirah al-Arab, beliau menyatakan yang kota Ur dan Babylonia hancur dijarah oleh bangsa Ailam dan Amorite (Raja Hammurabi) setelah Nabi Ibrahim a.s meninggalkan bumi Babylonia.

Kota Ur Qasdim, Turki: Nama Ur Qasdim dinyatakan sebanyak empat kali di dalam Perjanjian Lama iaitu di dalam bab Genesis dan Nehemiah. Di lokasi inilah, Nabi Ibrahim a.s dipercayai dibakar oleh kaumnya. 

(Nabi Ibrahim a.s tidak dibakar oleh Raja Namrud, walhal baginda dibakar oleh masyarakatnya sendiri).

3. Lokasi ketiga kelahiran baginda adalah di kota Babylonia. Sebelum dimajukan sebagai sebuah kota, Babylonia hanyalah sebuah kawasan daerah kecil pada zaman pemerintahan Sumeria. Kota Babylonia mula dibangunkan pada sekitar tahun 2300 SM oleh Dinasti Akkadia dan setelah itu ia menjadi sebuah ibukota ketika zaman pemerintahan Raja Hammurabi dari Dinasti Babylonia pada tahun 1792 SM.

Setelah kematian Raja Hammurabi pada 1750 SM, Dinasti Babylonia berpecah dan menjadi daerah-daerah kecil yang diperintah oleh penguasa masing-masing. Kota Babylonia kembali dijadikan sebagai ibukota oleh Dinasti Neo-Babylonia setelah kekalahan Dinasti Assyria pada tahun 626 SM. Kota Babylonia jatuh buat selama-lamanya pada tahun 539 SM ke tangan penguasa dari tanah Parsi, Raja Cyrus Agung dari Dinasti Achaemenid. Perlu diketahui, kota Babylonia pernah dikuasai oleh lima buah kuasa besar iaitu Dinasti Akkadia, Dinasti Babylonia, Dinasti Assyria, Dinasti Neo-Babylonia dan Dinasti Achaemid.

Daripada ketiga lokasi ini, majoriti memegang pendapat kedua, Nabi Ibrahim a.s.dilahirkan di kota Ur dan mendapat tugas dakwah di kota Babylonia. Dan Harran merupakan tempat persinggahan Nabi Ibrahim a.s setelah baginda menerima perintah Allah swt untuk keluar dari kota Ur. 

Maklumat mengenai tahun kelahiran Nabi Ibrahim a.s tidak diketahui secara tepat, tetapi boleh dibahagikan kepada dua pendapat besar dari kedua buah sumber dari agama Islam dan agama Kristian:

1. Dari buku Encyclopedia of Islam dinyatakan yang jarak waktu Nabi Ibrahim a.s lahir setelah dua peristiwa besar iaitu peristiwa banjir besar Nabi Nuh a.s yang berlaku 1263 tahun yang lalu dan peristiwa penciptaan Bumi yang berlaku 3337 tahun yang lalu.

2. Mengikut pendapat agama Islam, tiada bukti jelas mengenai tahun kelahiran Nabi Ibrahim a.s tetapi melalui beberapa pendapat dan khilaf diantara para sejarawan dan mufassirin, mereka memegang pendapat muktabar, iaitu:

Nabi Ibrahim a.s lahir pada tahun 1996 SM dan wafat pada tahun 1821 SM ketika berumur 175 tahun. Nabi Musa a.s lahir pada tahun 1571 SM dan jarak waktu antara tahun kewafatan Nabi Ibrahim a.s dan tahun kelahiran Nabi Musa a.s adalah selama 250 tahun. 

Berbeza pula pandangan dalam agama Kristian tentang tahun kelahiran Prophet Abraham. 

4. Di dalam buku Islam, Science & Renaissance: Their Impact on Universe & Society oleh Prof. Syed Akheel Ahmed, dinyatakan di dalam Perjanjian Lama (Old Testament), jarak tahun di antara kewafatan Nabi Adam a.s dan kewafatan Nabi Ibrahim a.s adalah selama 2123 tahun. Dari tahun kewafatan Nabi Ibrahim a.s, ditempuhi selama 3 abad (3000 tahun) sebelum kelahiran Jesus (Nabi Isa a.s). Prophet Jesus lahir pada tahun 1 M.

Walaupun kedua-dua pendapat ini diteorikan mengikut sebab-sebab tertentu, tetapi kita dapat melihat tahun-tahun di atas dan melihat pada kronologi sejarah dunia. Malangnya, masih belum ditemui jawapan yang tepat untuk mengetahui tahun kelahiran Nabi Ibrahim a.s, tetapi dapat diketahui, kejadian ini berlaku pada pertengahan abad ke-20 SM, iaitu ketika pemerintahan kerajaan Sumeria-kerajaan Babylonia di dataran Mesopotamia.

KENABIAN IBRAHIM A.S: SERUAN DARI PEMILIK ALAM.

Dari kecil, Ibrahim dikurniakan kecerdikan yang luar biasa. Kecerdikan inilah yang telah menyelamatkan diri baginda daripada bergelumang di dalam penyembahan berhala dan alam.

Surah al-Anbiyaa ayat 51: Dan sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Ibrahim hidayah kebenaran sebelum (Musa dan Harun) dan adalah Kami mengetahui (keadaan) nya.

Ayah baginda, Azar merupakan salah seorang pembuat dan pengukir berhala yang paling mahsyur di kota Ur. Berhala-berhala yang dibuat oleh ayahnya dibina daripada bahan pelepah pokok kurma, batu dan kayu. Ketiga-tiga bahan utama ini mudah didapatkan dan boleh dijual dengan harga yang murah. Selain ukiran yang cantik, harga yang rendah juga merupakan salah satu sebab berhala buatan ayahnya laku keras.

Ketika di usia kanak-kanak, baginda sering menggunakan berhala-berhala yang diukir oleh ayahnya sebagai barang permainan. Adakalanya, baginda bertanya fungsi berhala tersebut dan apa kebaikan jika ia disembah.

Pada suatu hari, Ibrahim yang ketika itu masih berumur tujuh tahun bertanyakan sebuah soalan ketika melihat ayahnya mengukir sebuah berhala yang pelik, bertelinga besar. Nabi Ibrahim bertanya apakah benda tersebut lalu si ayah menjawab kembali dengan mengatakan yang berhala tersebut bernama Marduk, dewa sembahan mereka.

Dewa segala dewa inilah yang menciptakan kehidupan, memberikan kegembiraan dan rezeki kepada manusia. Telinga Dewa Marduk menandakan bahawasanya di telinga inilah terletaknya segala kebijakan sang dewa. Ibrahim ketawa.

Dari waktu itulah, Ibrahim mula berasa sangsi dan menolak idea untuk menyembah berhala yang diukir oleh manusia lalu dianggap sebagai Tuhan. Bagaimana sebuah batu yang dianggap berkuasa segalanya, tetapi mengharapkan seorang manusia untuk menciptakannya? Siapa yang lebih berhak dipanggil Tuhan? Apakah si ayahnya atau sang dewa?

Kesangsian Ibrahim mula bergelojak dari kecil sehinggalah baginda memasuki usia remaja.

Seiring berjalannya waktu, Nabi Ibrahim a.s tumbuh besar dan melepasi batas waktu balighnya. Menginjak usia remaja dan semakin dewasa, Ibrahim yang pada mulanya suka mencela dan mengejek berhala-berhala yang dibuat dan disembah oleh masyarakat lama kelamaan menjadi sebuah amarah.

Baginda benci melihat betapa sombongnya masyarakat yang menyembah sesuatu yang tidak mampu melakukan apa-apa. Pada waktu ini, Ibrahim mula terdetik di hatinya untuk mencari pemilik alam yang sesungguhnya.

Perjalanan baginda bermula.

Pada suatu malam, baginda membawa dirinya menuju ke sebuah gunung yang berhampiran dengan kota Ur, dan melihat pemandangan tembok kota dari atas. Berhampiran puncak gunung tersebut, baginda memasuki sebuah gua dan bersandar pada dinding gua sambil melihat langit malam. Cahaya bintang bergemerlipan dan bulan bersinar menerangi alam. Baginda tertanya seorang diri. Sesungguhnya, ‘siapakah’ pencipta alam ini?

Mengikut para tafsir Quran, kenabian Ibrahim a.s bermula setelah baginda melihat langit pada malam tersebut. Allah swt menurunkan wahyu kepadanya, supaya sedar dan berdakwah memimpin masyarakatnya menyembah Allah swt.

MARDUK: BERHALA YANG MENGHAYUNKAN KAPAK.

Ketika kelahiran Nabi Ibrahim a.s, kota tersebut dipenuhi oleh kepercayaan masyarakat menyembah berhala, alam dan para penguasa. 

Pertama, berhala. Berdasarkan salah satu kisah di atas, Marduk diyakini sebagai Pemimpin Segala Dewa. Mengikut catatan sejarah, Marduk merupakan dewa sembahan masyarakat awal Sumeria ketika mereka membuka penempatan di daratan Mesopotamia.

Pada zaman pemerintahan Raja Hammurabi (abad ke-18 SM), Dewa Marduk diangkat rasmi sebagai dewa sembahan utama Kerajaan Babylonia dan dewa penjaga kota Babylonia. Segala dewa yang disembah oleh masyarakat Sumeria diteruskan oleh masyarakat Akkadia, Babylonia dan Assyria.

Kedua, alam. Selain menyembah berhala, ada sebahagian masyarakat menyembah alam seperti matahari, bintang, planet dan bulan. Masyarakat Sumeria sememangnya terkenal dalam kepakaran mengkaji langit. Ini berdasarkan bukti dari penemuan batu tanah liat yang berumur 3500 SM-3200 SM.

Ketiga, penguasa. Penyembahan kepada penguasa bukan sahaja dianuti oleh masyarakat Tamadun Mesir, malahan ia sudah dilakukan oleh masyarakat Tamadun Mesopotamia. Keagungan sang raja diangkat sebagai dewa di atas dunia berdasarkan kekuasaan dan kelicikannya dalam menjaga reputasinya daripada pemberontakan rakyat. Segala ucapan adalah hukumnya. Pada zaman pemerintahan Sumeria, raja dianggap sebagai dewa dan rakyat wajib mematuhi segala titahnya.

Ketiga-tiga agama majoriti yang dianuti oleh masyarakat Babylonia pada waktu itu semuanya diselami dan dihayati oleh baginda sendiri melalui sudut pandang yang berbeza. Baginda ingin mengemukakan alasan logik di balik ketiga-tiga agama khayalan tersebut. 

1. Penyembahan kepada bintang dan planet.

Surah al-An’am ayat 75 sehingga 78:

75: Demikianlah Kami memperlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin.

76: Ketika malam telah gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: “Inilah Tuhanku”, tetapi tatkala bintang itu tenggelam, dia berkata: “Saya tidak suka kepada yang tenggelam”.

77: Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: “Inilah Tuhanku”. Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang yang sesat”.

78: Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar”. Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: “Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan”.

Melalui ayat-ayat Quran di atas, Nabi Ibrahim a.s pergi bertemu dengan para penyembah alam semesta dan mengemukakan alasan-alasan kukuh tersebut. Bagaimana sebuah bulan, bintang, matahari atau planet layak disembah sekiranya ia hilang?

Bukankah ia Tuhan dan tidak patut tenggelam timbul? Nabi Ibrahim a.s menyeru mereka untuk menyembah Allah swt, kerana Dia tidak pernah hilang dari pandangan, tidak pernah timbul atau tenggelam. Tetapi ajakan baginda ditolak mentah-mentah, bahkan para penyembah alam menggertak untuk membunuh baginda ataupun memohon dewa sembahan mereka mencelakakan kehidupan baginda.

Surah al-An’am ayat 80 sehingga 82.

80: Dan dia dibantah oleh kaumnya. Dia berkata: “Apakah kamu hendak membantah tentang Allah, padahal sesungguhnya Allah telah memberi petunjuk kepadaku”. Dan aku tidak takut kepada (malapetaka dari) sembahan-sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah, kecuali apabila Tuhanku menghendaki sesuatu (dari malapetaka) itu. Pengetahuan Tuhanku meliputi segala sesuatu. Maka apakah kamu tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya)?”.

81: “Bagaimana aku takut kepada sembahan-sembahan yang kamu persekutukan (dengan Allah), padahal kamu tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan-sembahan yang Allah sendiri tidak menurunkan hujah kepadamu untuk mempersekutukanNya. Maka dimanakah diantara dua golongan itu yang lebih berhak memperoleh keamanan (dari malapetaka), jika kamu mengetahui?”.

82: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Setelah menyampaikan seruannya ke atas para penyembah berhala, baginda meneruskan dakwahnya ke atas para penyembah berhala pula.

2. Penyembahan kepada berhala.

Setiap kali Nabi Ibrahim melemparkan hujah, baginda diberi pertolongan dari Allah swt.

Surah al-An’am ayat 83: Dan itulah hujah Kami yang Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi kaumnya. Kami tinggikan siapa yang Kami kehendaki beberapa darjat. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Dalam menghadapi hujah dengan para penyembah berhala, Nabi Ibrahim a.s bersoal-jawab dengan para penyembah berhala, termasuk ayahnya.

Surah al-Anbiyaa ayat 52 sehingga 56.

52: (Ingatlah), ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?”.

53: Mereka menjawab: “Kami mendapati bapa-bapa kami menyembahnya”.

54: Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan bapa-bapamu berada dalam kesesatan yang nyata”.

Ucapan yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim a.s menimbulkan amarah para penyembah berhala, lalu mereka berkata kembali tentang tujuan kedatangan baginda, adakah baginda mengucapkan ayat tersebut dengan bersungguh-sungguh atau sekadar mengejek?

55: Mereka menjawab: “Apakah kamu datang kepada kami dengan sungguh-sungguh ataukah kamu termasuk orang-orang yang bermain-main?”.

56: Ibrahim berkata: “Sebenarnya Tuhan kamu ialah Tuhan langit dan bumi yang telah menciptakannya, dan aku termasuk orang-orang yang dapat memberikan bukti atas yang demikian (kenyataan) itu”.

Penyembahan kepada raja bersambung dibawah tajuk kecil, ‘Namrud: Debat Diantara Hidup Dan Mati’.

Melalui ayat dari Quran, diterangkan kisah tentang bagaimana Nabi Ibrahim a.s menghancurkan berhala-berhala di sebuah kuil tatkala para masyarakat sedang menyambut perayaan di luar kota. 

Kisah Nabi Ibrahim a.s menghancurkan berhala diwahyukan Allah swt di dalam surah al-Anbiyaa dari ayat 57 sehingga 59:

57: Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan tipu daya terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya.

Pada suatu hari, masyarakat di kota Ur sedang mengadakan sebuah perayaan di kota dan kuil Ziggurat ditinggalkan kosong.

(Perayaan yang dikenalpasti disambut secara besar-besaran dari masyarakat Mesopotamia adalah Akitu. Perayaan Akitu disambut sejak dari 2000 SM dan ia bertujuan menyambut tahun baharu pada setiap penghujung bulan Mac. Perayaan ini dapat dijejaki dari zaman pemerintahan Sumeria dan Babylonia).

Nabi Ibrahim a.s yang tidak menyertai perayaan tersebut. Baginda memberikan alasan bahawasanya sedang sakit dan tidak mampu menghadiri perayaan menyembah dewa yang diraikan di tebing sungai Euphrates atau Tigris.

(Kuil sembahan masyarakat tamadun Mesopotamia lebih dikenali sebagai Ziggurat. Kebanyakan binaan Ziggurat yang ditemui, diperkirakan berusia diantara 2200 SM sehingga 500 SM. Sebanyak 25 buah Ziggurat yang dikenalpasti berasal daripada kerajaan Sumeria, Babylonia dan Assyria. Ziggurat Ur di kota Ur merupakan salah satu ziggurat yang binaanya masih dalam keadaan utuh dan baik).

Setelah seisi kota kosong, Nabi Ibrahim a.s melangkah kakinya dengan laju menuju ke ziggurat sambil membawa sebilah kapak yang baru diasah.

58: Maka Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur berpotong-potong, kecuali yang terbesar (ketua) dari patung-patung yang lain, agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya.

Sesampainya di dalam kuil Ziggurat, Nabi Ibrahim a.s melihat pelbagai berhala yang disusun dengan rapi menghiasi dalaman kuil. Di hadapan para berhala tersebut, terdapat beberapa hidangan makanan yang mana ia dijadikan sebagai bahan persembahan. Dalam kesemua berhala tersebut, berhala Marduk merupakan sosok dewa yang paling besar dan berada di tengah ruangan kuil. 

Tanpa membuang masa, Nabi Ibrahim a.s menghayunkan kapak yang baru diasahnya dengan laju membelah berhala-berhala di sekeliling kuil. Kesemua berhala kecil dan berhala sampingan dihancurkan baginda kecuali hanya satu yang disisakannya iaitu berhala Dewa Marduk. Baginda mengenggam kapak lalu mengikat tali pada hulunya dan kapak itu digantung ke leher berhala Dewa Marduk. Setelah selesai urusannya, baginda beransur pulang ke rumahnya.

59: Mereka berkata: “Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim”.

Usainya majlis perayaan yang gilang-gemilang tadi, para masyarakat mula beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing. Badan yang keletihan, mata yang lesu. Ada sebahagian masyarakat mengambil masa sebentar singgah di kuil berdoa kepada berhala sebelum pulang ke rumah.

Ia ibarat rutin harian bagi penyembah berhala memohon kerahmatan dan keselamatan untuk menghadapi hari besok. Tatkala itu, lolongan dan teriakan kuat bergema dari kuil. Masyarakat yang pada awalnya sudah membaringkan tubuh, bangun terpinga-pinga mendengar jeritan tanpa diduga.

Mereka berpusu-pusu berlari menuju ke arah suara jeritan tersebut. Sesampainya di kuil, mereka berasa amat terkejut dan marah apabila melihat bongkahan dan serpihan sisa berhala yang hancur, memenuhi ruangan lantai kuil. 

Mereka menoleh wajah sesama sendiri. Mereka tahu. Hanya seorang sahaja yang berani melakukan perkara yang menjijikkan ini. Tidak lain tidak bukan, ulah Nabi Ibrahim a.s.

KOBARAN API DINGIN DI DADA LANGIT.

Ada tiga pendapat lokasi peristiwa Nabi Ibrahim a.s dibakar iaitu di kota kuno Ur, kota kuno Babylonia dan kota kuno Urfa, Turki. Daripada ketiga-tiga ini, sejarawan lebih meyakini kota Urfa sebagai lokasi tersebut.

60: Mereka berkata: “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim”.

Pendeta kuil memandang dengan lirikan mata yang sayu kepada masyarakat kota yang telah memenuhi perkarangan kuil. Dia bertanya kepada mereka, siapa yang bertanggungjawab di atas kehancuran berhala ini? Maka ada diantara mereka yang mengetahui, memberikan jawapan.

Orang yang bertanggungjawab itu adalah Nabi Ibrahim a.s. Mereka beralasan kerana, dari kecil sampai ke dewasa, Ibrahim sangat membenci dengan berhala-berhala yang disembah oleh masyarakat kota. Tanpa berlengah, pendeta kuil memerintah untuk pergi menangkap dan membawa Nabi Ibrahim a.s ke perkarangan kuil.

61: Mereka berkata: “(Kalau demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang banyak, agar mereka dapat menyaksikan”.

Tatkala Nabi Ibrahim a.s dibawa ke hadapan masyarakat kota, datang seorang pendeta kuil dan bertanya.

62: Mereka bertanya: “Apakah kamu, yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?”.

Maka, Nabi Ibrahim a.s menjawabnya.

63: Ibrahim menjawab: “Sebenarnya berhala yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara”.

Mereka merenung sosok berhala Dewa Marduk yang duduk diam tanpa bergerak sedikitpun. Pandangan mereka terarah kembali kepada Nabi Ibrahim a.s.

64: Maka mereka telah kembali kepada kesedaran dan lalu berkata: “Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang-orang yang menganiaya (diri sendiri)”.

Mereka menolak tuduhan Nabi Ibrahim a.s, kerana mereka tahu yang berhala Dewa Marduk tidak mampu melakukan perbuatan seperti itu. Bergerak bangun lalu menghancurkan para berhala dengan hayunan kapak?

65: Kemudian kepala mereka jadi tertunduk (lalu berkata): “Sesungguhnya kamu (hai Ibrahim) telah mengetahui bahwa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara”.

Setelah menerima jawapan mereka, baginda bersuara.

66: Ibrahim berkata: “Maka mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepada kamu?”.

Mereka hanya berdiam diri. Perasaan serba salah menyelubungi diri. Tidak terdetik langsung di hati mereka berfikir seketika tentang bukti yang jelas secara logik akal yang telah disampaikan oleh Nabi Ibrahim a.s.

Mereka tenggelam di dalam kesombongan yang nyata walaupun mereka tahu, mereka bersalah. Baginda kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat kota.

67: “Ah, (celakalah) kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka apakah kamu tidak memahami?”.

Pendeta kuil tidak mahu lagi ucapan dan seruan Nabi Ibrahim a.s menggoyahkan keimanan penganut berhala masyarakat kota. Beliau mengambil langkah seterusnya untuk menangkap dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas baginda.

Baginda dipenjara dan pendeta kuil menyeru kepada masyarakat kota untuk menggali lubang yang luas dan dalam di tengah-tengah kota Ur. Beliau juga mengeluarkan seruan ke atas masyarakat kota untuk mencari dan mengumpulkan kayu api. Setelah kayu-kayu api dikumpulkan, mereka meletakkannnya di dalam lubang tersebut. 

68: Mereka berkata: “Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak”.

Nabi Ibrahim a.s dibawa ke tengah-tengah kota. Badan baginda diikatkan oleh para penyembah berhala di atas sebuah kenderaan pelontar batu (manjanik). Manjanik tersebut dihadapkan ke arah lubang api yang telah dibakar oleh mereka. Maka sebelum Nabi Ibrahim a.s dilemparkan dengan manjanik ke dalam marakan api, Allah swt mengutuskan malaikat Jibril.

Tanpa berbasa-basi, manjanik tersebut melempar tubuh Nabi Ibrahim a.s ke dalam kobaran api. Saat itulah, Allah swt memerintahkan api untuk berubah menjadi sejuk.

69: Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim”.

Api yang dinyalakan oleh masyarakat kota menjulang tinggi di dada langit kota. Cahaya putih kekuningan menerangi malam yang gelap. Bau kayu-kayu api yang dibakar menyebar seisi kota. Percikan api memuntahkan baranya. Asap berkepul-kepul memenuhi disela-sela bangunan dan rumah yang dibina.

Setelah beberapa lama kayu-kayu api dibakar habis tanpa sisa, api pun perlahan-lahan menjadi kecil. Kobaran yang menjulang tinggi, kembali menjadi rendah. Asap bakaran mulai hilang dari pandangan. Dan pada waktu itulah sebuah keajaiban mukzijat utusan Tuhan mula kelihatan.

70: Mereka hendak berbuat makar terhadap Ibrahim, maka Kami menjadikan mereka itu orang-orang yang paling rugi.

Nabi Ibrahim a.s diselamatkan Allah swt daripada dibakar rentung oleh masyarakatnya sendiri. Jasad baginda tidak sedikitpun tercalar, apatah lagi dimamah api. Baginda dalam keadaan yang baik, masih hidup dan utuh. 

Masyarakat kota dan pendeta kuil yang melihat kejadian tersebut terdiam tanpa berkata apa-apa. Mulut mereka terkunci rapat. Tiada bicara mahupun jeritan atau sorakan. Apakah sihir yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s ini?

Nabi Ibrahim a.s tetap tidak berputus asa walaupun baginda dibakar oleh mereka. Baginda tetap menyeru mereka menyembah Allah swt. Tetapi hasilnya tetap sama.

Walaupun ditunjukkan berkali-kali mukjizat ataupun kebenaran, masyarakat kota tetap menolak kenabian Ibrahim a.s.

Baginda bersedih.

NAMRUD: DEBAT DI ANTARA HIDUP DAN MATI.

3. Penyembahan kepada raja atau penguasa.

Di dalam Quran dikisahkan tentang perdebatan diantara Nabi Ibrahim a.s dengan penguasa Kerajaan Babylonia. Tiada dicatatkan di dalam Quran mengenai siapakah gerangan raja tersebut, bahkan nama kerajaannya melainkan nama raja tersebut disebutkan di dalam kitab Perjanjian Lama (Old Testament) melalui bab Book of Genesis dan Book of Chronicle.

Ya, nama Raja Namrud tidak disebutkan di dalam Quran, tetapi para sejarawan dan mufassir Quran meyakini Raja Namrud yang dikatakan di dalam Perjanjian Lama adalah sang penguasa yang berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s di kota Babil (Babylonia).

Tatkala tersebarnya khabar tentang bagaimana seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai utusan Allah swt, menghancurkan berhala di kota Ur dan terselamat jasadnya daripada dibaham jilatan api, seorang raja bernama Namrud mengundang Nabi Ibrahim a.s ke singgahsananya di kota Babylonia.

Undangan tersebut bukannya sebuah undangan terhormat, tetapi ia merupakan sebuah undangan seorang raja yang ingin menyelamatkan takhtanya. Raja Namrud ingin menyedarkan Nabi Ibrahim a.s, siapakah Tuhan yang sesungguhnya di atas dunia ini. Sang raja membuka pentas debat yang dihadiri oleh masyarakat kota. 

Surah al-Baqarah ayat 258: Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat (berdebat dengan) Ibrahim tentang Tuhannya (Allah). Kerana Allah telah memberikan kepada orang itu (Namrud) pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: “Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan”. Orang itu berkata: “Saya dapat menghidupkan dan mematikan”. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat”. Lalu terdiamlah orang kafir itu, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Perdebatan diantara seorang raja bernama Namrud dan utusan Allah bernama Ibrahim a.s berlangsung dikhalayak ramai. Raja Namrud pun mula membuka sesi debat dengan Nabi Ibrahim a.s. Raja Namrud bertanya:

“Siapakah Tuhanmu wahai Ibrahim?”.

Nabi Ibrahim a.s menjawab: “Allah. Tuhanku yang mampu menghidupkan dan mematikan manusia”.

Raja Namrud membalas kembali: “Aku pun mampu menghidupkan dan mematikan manusia. Aku mampu memberikan keampunan kepada manusia sekiranya dia akan dihukum bunuh dan aku juga mampu mematikan manusia dengan menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya”.

Nabi Ibrahim a.s menjawab kembali: “Tuhanku mampu menerbitkan matahari dari Timur. Jikalau dirimu Tuhan, maka sekarang, terbitkanlah matahari dari Barat”.

Cabaran Nabi Ibrahim a.s tidak mampu dijawab kembali oleh Raja Namrud. Beliau terdiam. Masyarakat dan para bangsawan yang menyaksikan perdebatan ini mula berbisik sesama sendiri. Keyakinan mereka kepada Raja Namrud sebagai Tuhan mulai goyah.

Nabi Ibrahim a.s meninggalkan Raja Namrud terpinga-pinga di singgahsananya lalu baginda kembali meneruskan kerja dakwahnya di kota Ur.

Bagaimana dengan menara Babel? Bukankah ada cerita mengenai bagaimana Raja Namrud ingin mencabar Tuhan Nabi Ibrahim a.s dengan membina sebuah menara yang tinggi untuk mencapai dan menakluk langit?

Itu sebenarnya adalah kisah dari versi Perjanjian Lama dan bukannya kisah dari al-Quran sendiri. Kisah ini dapat dibaca di dalam bab Genesis 11:1-9. Bahkan nama Raja Namrud sendiri merupakan sosok dari kitab Perjanjian Lama. Di dalam al-Quran, tidak disebutkan secara spesifik siapakah nama sebenar raja tersebut. Hanya disebutkan sebagai penguasa.

HIJRAH: SELANGKAH MENUJU KEREDHAANNYA

Babylonia-Harran-Mesir-Damaskus-Kanaan-Bakkah.

Sekian lamanya berdakwah di kota Ur dan kota Babylonia, seruan baginda tidak dapat diterima malahan status kenabian baginda ditolak dan dipersoalkan, bahkan mereka memulaukan baginda.

Wahyu Allah swt telah diterima. Nabi Ibrahim diperintah untuk keluar dari kota Ur. Sebelum meninggalkan tempat kelahirannya, Nabi Ibrahim a.s mengajak ayahnya untuk menyembah Allah swt buat kali terakhir. Baginda berharap, seruan terakhirnya ini diterima oleh ayahnya. Tetapi berlaku sebaliknya. 

Surah at-Taubah ayat 114: Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk ayahnya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada ayahnya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa ayahnya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

Ayah baginda, berkeras tidak mahu meninggalkan agama nenek moyang mereka. Baginda kecewa.

Setelah sekian lamanya menempuhi pelbagai ujian dalam perjalanan menyampaikan seruan dakwahnya, akhirnya Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s bersama isterinya, Siti Hajar dan anak saudaranya, Nabi Lut a.s keluar dari kota Babylonia dan menuju ke daerah Harran. Pada waktu penghijrahan ini, Nabi Ibrahim a.s berumur 37 tahun. Tidak disebutkan di dalam al-Quran lokasi migrasi Nabi Ibrahim a.s melainkan disebutkan tentang Mesir, Kanaan dan Mekah.

(Ada pendapat yang mengatakan, setelah Nabi Ibrahim a.s terselamat daripada dimamah api dan mengalahkan seorang raja dalam perdebatan, ramai manusia datang membenarkan kenabian baginda. Tetapi kerana keimanan mereka yang masih lemah, kesombongan yang masih utuh, menyayangi harta daripada segalanya, mereka kembali ke agama nenek moyang mereka).

Dr. Jamal Abdul Hadi, di dalam bukunya Jazirah al-Arab, beliau menyatakan yang kerajaan Sumeria dikalahkan oleh bangsa Ailam (Akkadia) dan Amorite (Raja Hammurabi) berdasarkan daripada penemuan kisah seorang penyair Sumeria. Kejadian ini mula berlaku sejak abad ke-20 SM.

Setelah beberapa lama tinggal di Harran, baginda membawa mereka menuju ke Kanaan (Palestin). Di tanah Kanaan, Nabi Luth a.s diperintahkan oleh Allah swt untuk berdakwah di kota Sodom. Nabi Ibrahim a.s dan Sarah meneruskan perjalanan ke Kemet (nama lama Mesir).

Berpisahnya dua orang bersaudara untuk membawa misi dakwah suci mereka.

(Dinyatakan antara sebab lain Nabi Ibrahim a.s dan Sarah berpindah ke Mesir kerana pada waktu itu, Kanaan ditimpa musim kemarau yang panjang).

SITI HAJAR: DATANGNYA DARI KEHINAAN, PERGINYA DENGAN KEMULIAAN.

Di Mesir inilah, baginda menghadapi ujian yang lainnya.

Kisah bagaimana penguasa Mesir menghadiahkan hamba miliknya kepada Sarah berdasarkan hadis Rasulullah saw dari Abu Hurairah r.a, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari No.3358.

Dikisahkan, pada suatu hari, seorang pengawal atau pengintip raja Mesir diperintah untuk mendatangi kediaman milik Nabi Ibrahim a.s. Tatkala utusan raja Mesir melihat kecantikan Sarah, beliau terus menyimpan hasratnya untuk menyampaikan berita kecantikan Sarah kepada rajanya.

Setelah pertemuan dengan Nabi Ibrahim a.s bersama Sarah, utusan raja tersebut berlari menuju ke istana. Beliau menyampaikan berita gembira tersebut kepada raja Kemet. Raja Mesir yang pada waktu itu gemar menggumpulkan wanita sebagai hamba atau gundiknya, terus mengutuskan utusan tersebut untuk mengundang Nabi Ibrahim a.s ke istananya. Sesampainya di sana, baginda ditanya oleh sang raja Mesir:

“Siapakah wanita itu?”.

Nabi Ibrahim a.s menjawab: “Beliau adalah saudariku”.

Setelah puas mendengar jawapan tersebut, sang raja melepaskan Nabi Ibrahim a.s dan menitahkan pengawalnya untuk menghantar pulang Nabi Ibrahim a.s dan menjemput Sarah ke istananya dengan segera. 

Tatkala sesampainya di rumahnya, baginda berpesan kepada Sarah untuk tidak memberitahu kebenaran kepada raja Mesir. Sarah akur. 

Sarah dibawa ke istana dan didandani dengan layaknya sebagai orang yang bakal hidup di istana. Setelah disiapkan segalanya, Sarah dihantar ke sebuah bilik. Pada waktu tersebut, Sarah berasa sangat takut dan berdoa kepada Allah swt untuk melindungi maruah dirinya. Doanya termakbul.

Sang raja memasuki bilik. Hasratnya untuk berbuat buruk kepada Sarah tidak kesampaian. Tubuh sang raja menjadi lumpuh dan keras setiap kali ingin menyentuh Sarah. Setelah tiga kali tidak berjaya untuk mendekati Sarah, sang raja bertitah: “Lepaskanlah aku, nescaya aku berjanji tidak akan menyakitikimu”.

Sarah berdoa kepada Tuhan buat kali kedua.

Doa Sarah untuk melepaskan raja Kemet dimakbulkan. Sang raja berasa sangat bersalah diatas perbuatannya. Baginda melepaskan Sarah untuk kembali ke rumahnya. Sebelum Sarah meninggalkan ruangan istana, baginda menghadiahkan seorang hamba perempuan kepadanya, iaitu Siti Hajar.

Selain hadis shahih di atas yang mengisahkan bagaimana bertemunya diantara Siti Hajar dan Sarah, ada sebuah hadis lagi yang memberikan sebab mengapa Nabi Ibrahim a.s berbohong dengan mengatakan Sarah sebagai adiknya dan bukan sebagai isterinya. 

Dari hadis shahih Imam Bukhari, Rasulullah saw bersabda: Ibrahim a.s tidak pernah berbohong kecuali tiga kali. Pertama, perkataannya ketika diajak untuk beribadah kepada berhala Tuhan mereka (penyembah berhala) dan Ibrahim a.s menjawab: “Sesungguhnya aku sakit”. Kedua, perkataannya: “Sebenarnya patung besar itulah yang melakukannya”. Ketiga, perkataannya tentang Sarah: “Sesungguhnya dia saudariku”.

Bohong dan tipuan dari Nabi Ibrahim a.s bukanlah sebuah kebohongan yang merosakkan status kenabiannya tetapi ia adalah sebuah tauriyah (menyembunyikan sesuatu).

Daripada kisah di atas, para ahli hadis dan ahli tafsir mengemukakan dua pendapat status Siti Hajar sebelum diberikan sebagai hadiah kepada Sarah iaitu:

1. Pendapat pertama mengatakan bahawasanya Siti Hajar adalah puteri dari seorang Raja Mesir sebelumnya. Ketika Dinasti Hyksos menakluk Mesir, maka Siti Hajar ditawan lalu dijadikan sebagai seorang hamba.

Menurut sudut sejarah Mesir, jikalau terjadinya peristiwa penaklukan Mesir oleh Dinasti Hyksos dari tanah Kanaan (Palestin), tarikh yang sepatutnya berlaku adalah pada tahun sekitar 1650 SM. Dan Dinasti Hyksos bukan mengalahkan satu kerajaan Mesir sahaja, bahkan dua buah kerajaan iaitu kerajaan Dinasti Ketigabelas yang berpusat di kota Memphis dan kerajaan Dinasti Keempatbelas yang berpusat di kota Avaris.

Setelah berjaya menghancurkan kedua buah kerajaan kuat ini, Dinasti Hyksos menjadikan Avaris sebagai pusat pemerintahannya dan ia digelar sebagai Dinasti Kelimabelas. Sehingga kini, hanya ada empat orang raja Dinasti Hyksos yang diketahui iaitu Sakir-Har, Khyan, Apepi dan Khamudi.

Kalau kita melihat pada tahun 1650 SM adalah sebuah pemerintahan baharu Dinasti Hyksos, kita boleh melihat pada tarikh kehancuran kota Sodom. Bukankah jarak waktu diantara kehancuran kota Sodom dan Dinasti Hyksos di Mesir tidak terlalu jauh?

Pada pandangan ilmuwan dari sumber Kristian, kota Sodom diyakini hancur pada sekitar tahun 1897 SM atau 1896 SM atau 2065 SM atau 1900 SM atau terakhir sekali, 2070 SM

Antara kesemua ini tarikh ini, tarikh 1896 SM, 1897 SM dan 1900 SM menghampiri waktu pemerintahan Dinasti Hyksos (1650 SM-1541 SM) atau waktu kelahiran Nabi Ibrahim a.s (1996 SM-1821 SM)?

1900 SM-1800 SM (Fasa waktu kenabian Ibrahim a.s, kehancuran Sodom dan kewafatan Nabi Ibrahim a.s).

1600 SM-1500 SM (Fasawaktu pemerintahan Dinasti Hyksos).

Fasa Dinasti Hyksos masih jauh dari waktu kenabian Ibrahim a.s.

Jadi, pendapat ini mungkin salah atau kurang tepat dari pentarikhan kronologi sejarah. Kemungkinan Siti Hajar merupakan seorang puteri dari kerajaan Mesir yang bukannya ditawan oleh Dinasti Hyksos.

Untuk mengetahui bagaimana Dinasti Hyksos berkuasa dan dikalah di bumi Mesir, pembaca boleh membacanya di pautan:

https://thepatriots.asia/firaun-ahmose-i-pejuang-kemerdekaan-rakyat-mesir-penghancur-dinasti-hyksos/

2. Pendapat kedua pula mengatakan, memang sejak dari awal, Siti Hajar adalah seorang hamba abdi dan bukannya anak seorang raja Mesir.

Ada yang mengatakan, ia bersumber dari Israiliyat.

Walaupun kedua buah pendapat ini dikemukakan, tetapi status kemuliaan Siti Hajar tidak mampu dipersoalkan. Beliau sememangnya seorang wanita yang dimuliakan Allah swt, seiring dengan Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s. 

ISMAIL: SEBUAH PERPISAHAN KELUARGA.

Sarah yang mengetahui dirinya sudah lanjut usia dan tidak mampu melahirkan anak, meminta Siti Hajar untuk menjadi madunya. Dari hasil perkahwinan Siti Hajar dan Nabi Ibrahim a.s, lahirlah seorang bayi lelaki yang dinamakan Ismail. Ketika Ismail dilahirkan, umur Nabi Ibrahim a.s mencapai 90 tahun.

Kemesraan diantara Nabi Ibrahim a.s dan Siti Hajar semakin memuncak setelah kelahiran Ismail. Sarah berasa sangat sedih dan iri hati dengan kebahagiaan mereka berdua. Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s untuk membawa Siti Hajar dan Ismail keluar dari Damaskus dan dibawa ke sebuah tempat bernama Mekah. Nabi Ibrahim a.s tahu bahawasanya, kawasan tersebut tiada apa-apa kehidupan melainkan debuan padang pasir yang panas. Namun, baginda akur dengan perintahNya.

KEBERKATAN ZAMZAM: KELAHIRAN BUMI MEKAH.

Nabi Ibrahim a.s melakukan perjalanan ke bumi Bakkah (nama lama Mekah) selama tiga kali sahaja mengikut Ibnu Saad dalam buku Tabaqat al-Kabir, berdasarkan kisah dari Quran iaitu:

Perjalanan pertama: Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s untuk menghantar isterinya, Siti Hajar bersama bayinya, Ismail ke lembah Bakkah. Setelah Nabi Ibrahim a.s meninggalkan Siti Hajar dan bayinya, Ismail di sebuah kawasan yang tandus dan tidak berpenghuni, baginda kembali semula ke Kanaan.

Setelah beberapa jam ditinggalkan berduaan, bekalan air milik Siti Hajar pun semakin kering. Keresahan meresap ke dalam diri seorang ibu. Bayinya, Ismail terus menerus menangis mahukan susu badan, tetapi apakan daya, beliau pun tidak mampu menyusukan Ismail. Siti Hajar membaringkan Ismail di tengah padang pasir lalu bangun berlari-lari anak selama tujuh kali diantara Gunung Safa’ dan Gunung Marwah untuk mencari air.

Dari puncak Safa dan Marwah, Siti Hajar tercari-cari jikalau ada kafilah pedagang yang lalu di kawasan tersebut atau wujudnya sebuah oasis. Tetapi usahanya tidak membuahkan hasil. Siti Hajar semakin lesu. Ketika inilah, mukzijat Allah swt ditunjukkan. Hentakan kaki Ismail yang meronta mahukan susu mengenai permukaan bumi Mekah lalu keluarlah air mata air. Siti Hajar berlari mendapatkan Ismail kembali dan cuba mengumpulkan curahan air mata air sambil berkata “Zamzam.. zamzam” yang membawa maksud “Berkumpullah”.

Hasil daripada pancuran air mata air tersebut, Siti Hajar dan Ismail diselamatkan dari kehausan yang membahang. Pancuran air mata air zamzam terus menerus keluar tanpa henti berhari-hari sehinggakan ada pada pedagang yang melintas kawasan tersebut berhenti untuk berehat. Daripada sebuah kawasan tandus lalu ia menjadi pusat persinggahan pedagang. Suku pertama yang dikatakan menetap dan tinggal bersama Siti Hajar dan Ismail adalah dari Bani Jurhum.

Dari suku Jurhum, Ismail belajar berbahasa Arab. Lama-kelamaan, manusia mula memenuhi tanah Bakkah. Penempatan mula dibangunkan. Perigi dibina di atas pancuran air zamzam. Daripada sebuah tempat tidak berpenghuni akhirnya ia menjadi sebuah kota. Kota Mekah. Nabi Ismail a.s tumbuh besar di Mekah dan berkahwin dengan seorang perempuan dari Bani Jurhum.

(Pendapat lain menyatakan, sayap malaikat Jibril dihentak ke atas tanah berdekatan dengan Nabi Ismail a.s lalu keluarlah air mata air, Zamzam).

Perjalanan kedua: Nabi Ibrahim kembali semula ke Mekah untuk menziarahi Siti Hajar dan Ismail setelah mendapat keizinan dari Sarah. Sarah berpesan supaya tidak tinggal terlalu lama di Mekah dan terus pulang ke Palestin, sekiranya urusan telah selesai. Pada waktu ini, Mekah sudah didiami oleh masyarakat yang datang dari pelusuk semenanjung Arab. Perasaan gembira Nabi Ibrahim a.s bertukar menjadi sayu. Baginda mendapat khabar buruk.

Isteri keduanya, Siti Hajar sudah meninggal dunia dan anaknya, Ismail tidak berada di kota Mekah pada waktu tersebut. Berita ini disampaikan oleh isteri Nabi Ismail a.s. Setelah berehat beberapa hari, baginda meneruskan perjalanan pulang kembali ke Damaskus.

Pada waktu inilah, Nabi Ibrahim a.s menyampaikan pesan kepada isteri Nabi Ismail a.s supaya bercerai dengan isterinya. Berita ini disampaikan oleh isterinya kepada Nabi Ismail a.s. Nabi Ismail a.s akur dan menceraikan isterinya dan berkahwin dengan wanita yang lain dari Bani Jurhum.

Ada yang mengatakan setelah kewafatan Siti Hajar, Nabi Ibrahim a.s berkahwin dengan seorang perempuan bernama Keturah dan dari hasil perkahwinan mereka, lahir beberapa orang anak. Tetapi ini hanyalah sekadar cerita bersumber Israiliyat. Isteri Nabi Ibrahim a.s hanya dua orang sahaja, iaitu Sarah dan Siti Hajar sepertimana yang dikisahkan dari Quran.

Perjalanan ketiga: Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s untuk mengerjakan haji di Baitullah, Mekah. Di kota Mekah, Nabi Ibrahim menyeru masyarakat untuk mengerjakan haji di Baitullah. Jemaah haji yang pertama mengikuti seruan baginda adalah dari Bani Jurhum. Sebelum terjadinya peristiwa haji pertama, pada waktu perjalanan ketiga inilah, terjadinya dua peristiwa besar yang lain, iaitu pengorbanan Nabi Ismail a.s dan pembinaan Baitullah.

Sejarah pembinaan Baitullah: https://thepatriots.asia/ibrahim-hembusan-wahyu-membina-baitullah/

KORBAN: BERLUTUTNYA SI HAMBA MENUNAIKAN PERMINTAANNYA

Pada suatu malam, Nabi Ibrahim a.s mengalami sebuah mimpi. Di dalam mimpi tersebut, baginda diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya iaitu Nabi Ismail a.s.

Nabi Ibrahim a.s mengetahui bahawasanya, itu bukanlah sebuah mimpi dari syaitan, bahkan ia merupakan sebuah wahyu dari Allah swt. Nabi Ibrahim a.s mampu menafsirkan mimpinya berdasarkan bukti dari surah Yusuf ayat 6:

Dan Demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkanNya kepadamu sebahagian dari ta’bir mimpi-mimpi dan disempurnakanNya nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Baginda dalam dilema. Imannya tidak goyah, hanya berserah dengan ketentuannya. Baginda tahu, setiap perkara yang berlaku ke atasnya, mempunyai tujuan dan sebab yang tertentu dari Tuhannya.

Nabi Ibrahim a.s menyampaikan wahyu Allah swt yang diterima di dalam mimpinya kepada Nabi Ismail a.s. 

Surah as-Shaffat ayat 102: Wahai anakku sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi, aku menyembelihmu, maka bagaimana pendapatmu.

Pada sangkaan baginda, anaknya akan menolak suruhan tersebut, tetapi berlaku sebaliknya. Nabi Ismail a.s bersetuju dan menyerahkan dirinya untuk dikorbankan atas nama Tuhannya.

Surah as-Shaffat ayat 103: Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya).

Kesetiaan dan pengorbanan dua orang beranak tersebut bukanlah malapetaka bagi mereka. Ia adalah sebuah pembuka sejarah gemilang menandakan betapa redha para hambaNya dalam menerima segala perintahNya.

Matahari bersinar terik. Pantulan cahaya dari pisau Nabi Ibrahim menunjukkan betapa tajamnya bilah tersebut. Sayatan yang mampu merobek kulit dan daging manusia tanpa sedar dalam sekali libas.

Di dalam riwayat kisah yang lain, dinyatakan yang sebenarnya bukanlah Nabi Ismail a.s yang disembelihkan tetapi Nabi Ishak a.s. Bab ini sudah diterangkan oleh sahabat saya di dalam pautan ini: https://thepatriots.asia/siapakah-yang-disembelih-oleh-nabi-ibrahim/

Saat Nabi Ibrahim a.s ingin menyembelih anaknya, maka Allah swt mengutuskan malaikat Jibril untuk menukarkan Nabi Ismail a.s dengan seekor kambing. Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s gembira. Maka, diletakkan kambing tersebut dihadapan Nabi Ibrahim a.s, lalu baginda pun menyembelihnya.

Penyembelihan kambing inilah, merupakan tanda sebuah kemenangan. Kemenangan bagi hambaNya yang berkorban segalanya untuk Tuhannya.

Sepertimana yang kita sudah ketahui umum, maka yang disembelih oleh Nabi Ibrahim a.s adalah seekor kambing, bukannya Nabi Ismail a.s. Peristiwa bersejarah ini ditandai sebagai sebuah perayaan besar dalam agama Islam sebagaimana hadis Rasullah saw.

Dari Anas r.a, Rasulullah saw bersabda:

Ketika Nabi saw datang ke Madinah, penduduk Madinah memiliki dua hari raya untuk bersenang-senang dan bermain-main di masa Jahiliyah. Maka beliau berkata: “Aku datang kepada kalian dan kalian mempunyai dua hari raya di masa Jahiliyah yang kalian luangkan dengan bermain-main (meraikan). Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik bagi kalian, iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha”.

(Hadis riwayat An Nasai).

ANTARA DUA WAHYU: KHABAR BAIK DAN BURUK.

Setelah 30 tahun kelahiran Nabi Ismail a.s, datangnya para utusan Tuhan membawa wahyunya. Kedatangan tiga orang pemuda ke rumah Nabi Ibrahim a.s tanpa kenderaan ataupun membawa barang. Baginda tidak mengetahui siapakah gerangan tiga orang pemuda tersebut. Baginda menjemput mereka sebagai tetamu lalu meminta Sarah untuk menyediakan makanan buat para tetamu mereka. Inilah peristiwa pertama manusia menjemput dan menghidangkan tetamu dengan makanan.

Surah Hud ayat 69: Dan Sesungguhnya utusan-utusan kami (malaikat-malaikat) telah datang kepada lbrahim dengan membawa khabar gembira, mereka mengucapkan: “Selamat”. Ibrahim menjawab: “Selamatlah”. Maka tidak lama Kemudian Ibrahim menghidangkan daging anak lembu yang dipanggang.

Tetapi, hidangan yang disediakan oleh Nabi Ibrahim a.s tidak dijamah oleh para tetamunya. Baginda mula berasa takut dan risau. Adakah tetamu tersebut berniat yang tidak baik kepada dirinya? Tidak lama setelah itu, salah seorang tetamu tersebut bersuara.

Khabar baik.

Surah az-Dzariyat ayat 28: (Tetapi mereka tidak mahu makan) kerana itu Ibrahim berasa takut terhadap mereka. Mereka berkata: “Janganlah kamu takut”, dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak).

Setelah disampaikan berita tersebut, baginda pun mengetahui bahawasanya mereka adalah para utusanNya. Berita baik yang disampaikan adalah kelahiran anaknya yang lain, yang bakal diangkat sebagai salah seorang nabi, iaitu Nabi Ishak a.s. 

Khabar buruk.

Surah Hud ayat 74 sehingga 76.

74: Maka tatkala rasa takut hilang dari Ibrahim dan berita gembira telah datang kepadanya, dia pun bersoal jawab dengan (malaikat-malaikat) kami tentang kaum Luth.

Setelah disampaikan khabar baik, maka mereka menyampaikan khabar buruk kepada baginda. Khabar buruk tersebut adalah, selain diutuskan membawa berita gembira kelahiran Ishak dari rahim isteri pertamanya, Sarah, mereka juga ditugaskan oleh Allah swt untuk melaksanakan azab di kota Sodom, kota Nabi Luth a.s.

75: Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang yang penyantun lagi penghiba dan suka kembali kepada Allah.

Nabi Ibrahim a.s bersangka baik terhadap kaum Sodom. Baginda berharap kaum tersebut sudah bertaubat dan menyambut seruan Nabi Luth a.s. Namun, sebelum baginda menyimpulkan tentang persoalan mengapa kaum Sodom bakal diazab oleh Allah swt, para utusan bersuara.

76: Hai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini, Sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan Sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak.

Nabi Ibrahim a.s menerima kenyataan tersebut. Baginda terdiam. Tiada apa lagi yang mampu dipersoalkan. Para utusan tersebut meminta kebenaran untuk beransur pergi dan meneruskan perjalanan mereka ke kota Sodom.

Nabi Ishak a.s lahir ketika Nabi Ibrahim a.s berumur 120 tahun dan Sarah berumur 90 tahun.

KETURUNAN YANG DIMULIAKAN: BAPA SEGALA NABI.

Surah an-Nisa ayat 163: Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya’qub dan anak cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.

Surah al-Ahzab ayat 7: Dan (Ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari para nabi dan dari kamu (sendiri) dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putera Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh.

Surah al-Ankabut ayat 27: Dan Kami anugerahkan Ishak dan Ya’qub kepada Ibrahim, dan Kami jadikan kenabian dan al-Kitab (Zabur, Taurat, Injil dan Quran) kepada keturunannya, dan Kami berikan kepadanya balasannya di dunia, dan Sesungguhnya dia di akhirat, benar-benar termasuk (kalangan) orang-orang yang saleh.

Syeikh Abdurrahman Nashir as-Sa’di r.a mengatakan: “Tidak ada seorang pun nabi setelah Nabi Ibrahim a.s, kecuali berasal dari anak keturunan beliau (Nabi Ibrahim a.s) dan tidak satu kitab pun yang diturunkan kecuali kepada anak keturunan beliau (Nabi Ibrahim a.s), termasuk kepada penutup para Nabi iaitu Nabi Muhammad s.a.w”.

Setelah sekian lamanya menyebarkan seruan dakwahnya untuk menyembah Allah swt di serata pelusuk semenanjung Arab dan Palestin, Nabi Ibrahim a.s wafat ketika mencapai usia 200 tahun di Damaskus.

Perjuangan menyebarkan dakwah baginda diteruskan oleh dua anaknya, Nabi Ismail a.s, Nabi Ishak a.s dan cucunya, Nabi Yaakub a.s. Dari Nabi Yaakub a.s, lahirlah Nabi Ayyub a.s dan disambung pula oleh Nabi Yusuf a.s.

Akhir sekali, daripada penulis yang ringkas ini, kita boleh menyimpulkan yang Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di kota Ur, Iraq pada zaman pemerintahan diantara Dinasti Sumeria-Dinasti Babylonia. Baginda menghadapi tentangan umatnya yang menyembah Dewa Marduk dan menghancurkan berhala-berhala ini di sebuah ziggurat. Seterusnya, baginda berhijrah ke Harran sebelum pergi ke Kanaan (Palestin). Di Kanaan, baginda berpisah dengan Nabi Luth a.s dan meneruskan perjalanan ke Kemet (Mesir) bersama isterinya, Sarah.

Di sana, terjadinya sebuah peristiwa sehinggakan raja Mesir menghadiahkan seorang hamba kepada Sarah iaitu Siti Hajar. Siti Hajar berkahwin dengan Nabi Ibrahim a.s dan dari hasil perkahwinan mereka, lahirlah Nabi Ismail a.s. Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s membawa Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s ke lembah Bakkah (Mekah).

Di sini, terjadinya sebuah peristiwa keluarnya air zam-zam. Setelah beberapa lama, Nabi Ibrahim a.s datang ke Bakkah buat kali ketiga untuk menunaikan wahyu Allah swt membina Baitullah bersama anaknya. Setelah itu, baginda menerima perintah untuk menyembelih anaknya di Mina tetapi berlaku sebaliknya. Allah swt memerintahkan Nabi Ibrahim a.s melaksanakan ibadah haji yang pertama di dalam sejarah Islam. Setelah itu, Nabi Ibrahim a.s kembali ke Kanaan dan hidup bersama Sarah dan anak keduanya, Nabi Ishak a.s sehingga ajal menjemput. 

Wallahu’alam. 

RUJUKAN:

1. Message Of Abraham oleh Ibrahin Canan.

2. Islam, Science & Renaissance: Their Impact on Universe & Society oleh Prof.Syed Akheel Ahmed.

3. Tarikh Kota Sodom: The Annals of the World oleh James Usher, The Bible Timeline oleh Thomas Robinson, Archaeology and the Old Testament oleh Merrill Unger, The Archaeological Results of an Expedition to Moab and the Dead Sea oleh F. W. Albright dan The Discovery of the Sin Cities of Sodom and Gomorrah oleh Bryant G. Wood.

4. Kisah Para Nabi oleh Ibnu Katsir (Bahagian Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s).

5. al-Islam oleh Iftikhar Ahmed Mehar (Bahagian Prophet Abraham).

6. Prophet Ibrahim oleh Kamal al-Syyed.

7. Shahih Bukhari, Hadis No.3358.

8. The Story of Abraham (7 Bahagian) oleh Imam Mufti.

9. Tabaqat al-Kabir oleh Ibnu Saad.

10. Jazirah al-Arab oleh Dr. Jamal Abdul Hadi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.