Hari Raya Aidiladha atau yang biasa kita sebut sebagai Hari Raya Korban kini tiba lagi. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa Hari Raya ini bertitik tolak daripada peristiwa sejarah besar yang diimani oleh tiga buah Agama Samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam.
Kita semua percaya bahawa ianya merupakan fakta sejarah dan bukannya sekadar lagenda atau mitos. Biasa juga kita dengar bahawa Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail, namun akhirnya digantikan dengan seekor kibasy. Tetapi tahukah kita bahawa sebahagian ulama mengatakan bahawa yang disembelih itu sebenarnya bukanlah Nabi Ismail tetapi adik baginda iaitu Nabi Ishak.
Bagaimana munculnya perbezaan pandangan ini?
Perkara ini berpunca daripada kesamaran teks yang menyebut
berkenaan siapa sebenarnya yang disembelih. Di dalam al-Quran, peristiwa ini
termaktub dalam Surah Saffat pada ayat 102 hingga 107. Hanya saja, Allah tidak
menyebut secara jelas nama anak Nabi Ibrahim yang disembelih itu. Pada masa
yang sama, kitab Taurat (Old Testament) yang turut dijadikan sebagai sebahagian
sumber rujukan sejarah menyebut dengan jelas bahawa yang disembelih adalah
Ishak, bukannya Ismail.
“Ambillah anakmu yang tunggal itu, yang engkau kasihi, yakni Ishak,
pergilah ke tanah Moria dan persembahkanlah dia di sana sebagai korban bakaran
pada salah atu gunung yang akan kukatakan kepadamu.” (Kejadian 22:2)
Lalu, mana satu yang lebih tepat? Ismail atau Ishak.
Perbincangan ini perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana para
ulama yang semestinya ilmu mereka jauh lebih tinggi itu pun berbeza pandangan
sesama mereka. Namun, kesimpulan yang boleh dibuat oleh penulis setelah
meneliti hujah daripada kedua-dua belah pihak adalah selari dengan pandangan
majoriti ulama iaitu yang benar disembelih adalah Nabi Ismail dan bukanya
Ishak.
Mengapa?
Jika kita teliti teks di dalam Taurat (Kejadian 22:2) itu pun, kita
akan mendapati sedikit percanggahan di mana dinyatakan bahawa Ishak yang
dikorbankan itu merupakan anak tunggal Nabi Ibrahim. Jadi hujah utama berkenaan
masalah ini adalah pada poin ‘anak tunggal’ itu. Adakah benar pada ketika itu
Ishak merupakan anak tunggal Ibrahim?
Dalam Kitab Kejadian (16:16), dinyatakan bahawa ketika Nabi Ibrahim
berusia 86 tahun, Hajar yang merupakan isteri kedua Nabi Ibrahim melahirkan
Ismail. Manakala dalam Kitab yang sama pada fasal yang berbeza (17:15-16),
Sarah iaitu isteri pertama Nabi Ibrahim dikurniakan anak bernama Ishak setelah baginda
berusia 99 tahun. Di sini jelas menunjukkan bahawa Ismail itulah anak sulung
dan tunggal sebelum lahirnya Ishak dan terdapat perbezaan masa yang besar
antara kedua-dua kelahiran anak baginda iaitu seawal-awalnya adalah 13 tahun.
Dalam Tafsir an-Nasafi dan Tafsir Ibnu Kathir menyebutkan bahawa
ketika penyembelihan itu berlaku, umur anak Nabi Ibrahim adalah 13 tahun. Dan
itu selari dengan perbezaan usia antara Nabi Ismail dan Ishak. Bermakna ketika
Nabi Ismail disembelih, Nabi Ishak belum lahir pun. Maka terbukti bahawa Ismail
itu anak tunggal Ibrahim pada ketika itu.
Bukti yang lain pula adalah bahawa penyembelihan itu dilakukan di Bakkah (nama lama Mekah). Anak Nabi Ibrahim yang membesar di Mekah cumalah Ismail manakala Ishak tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. Bukti seterusnya adalah tanduk haiwan yang digantikan dengan putera Ibrahim itu digantung di Ka’bah. Andainya Ishaq yang cuba disembelih, pastilah tanduk itu digantungkan di Baitul Maqdis, Palestina kerana baginda membesar di sana.
Antara hadis yang mengisyaratkan
bahawa yang disembelih itu adalah Ismail dan bukannya Ishak adalah sabda Nabi Muhammad
dalam sebuah hadis yang kesahihannya diperselisihi oleh para ulama, “Aku
merupakan anak dua orang yang disembelih.” Siapakah yang dimaksudkan oleh Nabi
sebagai dua orang yang disembelih? Pertama adalah bapanya sendiri iaitu
Abdullah, di mana pada asalnya Abdullah ingin disembelih sebagai nazar oleh
Abdul Mutalib, tetapi akhirnya diganti dengan 100 ekor unta. Kedua, sama ada
Ismail atau Ishak.
Sudah pastilah jawapannya Ismail
kerana keturunan Arab itu berasal daripada zuriat Ismail. Manakala zuriat Ishak
adalah Bani Israil daripada anak Nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Syeikh
Wahbah Zuhaili sebagaimana para ulama tafsir sebelumnya turut menulis berkenaan
perbezaan pandangan ini dan kesimpulan yang beliau dapati adalah yang
disembelih itu merupakan Nabi Ismail dan bukannya Ishak. Apa-apa pun, ini
merupakan perbezaan pandangan dan perbezaan ini perlu dihormati selagi mana
menepati hujah akademik.
Di sini saya cuma menekankan
daripada sudut hujah bagi golongan yang mengatakan bahawa Nabi Ismail sebagai
yang disembelih, dan saya tidak menekankan daripada sudut kehujahan golongan
yang mengatakan bahawa Nabi Ishak yang disembelih kerana ianya perlu kepada
penulisan yang lebih panjang. Akhir kata, apa pula hikmahnya Nabi Ismail
disembelih? Adakah itu merupakan satu petanda bahawa ketika akhir zaman nanti
bangsa Arab yang merupakan keturunan Ismail itu akan dikerumuni oleh
bangsa-bangsa yang lain dan disembelih tanpa belas kasihan? Hanya Allah yang
tahu.
RUJUKAN:
Ismail Ibnu Kathir (2013), Kisah Para Nabi, Klang Books
Centre: Selangor
Ismail Ibnu Kathir (2003), Tafsir Ibnu Kathir, Pustaka Imam Syafie:
Jakarta
Dr. Afif Abdul Fattah Thobbaroh (2005), Kisah Nabi-Nabi dalam
al-Quran, Victorie Agency: Kuala Lumpur
Ahmad Deedat (2012), The Choice, Berlian Publications: Selangor. http://www.sabda.org/alkitab/




No comments yet