Manusia sudah wujud di bumi China sejak sejuta tahun yang lalu. Dapatan saintifik ini terbukti benar dengan penemuan peralatan batu dan kesan penggunaan api (Zhu, et al., 2003).
Ada beza besar antara “api liar” dan “api terkawal”. Macam bab prasejarah, manusia akan membuat tungku api yang khas di sebuah tempat… oleh kerana diguna dengan kerap, kesannya boleh dibezakan berbanding api liar.
Tempoh jutaan tahun ini jika melibatkan manusia kategori Homo erectus.
Kategori ini bertebaran jauh hingga ke Semenanjung Iberia (Sepanyol) dan Kepulauan Jawa (Rizal, et al., 2020).
Fosil Homo erectus di China adalah seperti Orang Lantian, Orang Peking dan Orang Yuanmou.
Golongan ini mempunyai kebolehan untuk belajar sesuatu ilmu dengan menggunakan akal, berbeza dengan haiwan yang “belajar” melalui fitrah.
Homo sapiens mula timbul di bumi China paling lewat dalam lingkungan 80,000 tahun yang lalu (Hu, et al., 2018).
Banyak gigi ditemui berasal daripada zaman purbakala ini, terutamanya 47 batang di Gua Fuyan (Liu, et al., 2015).
Jenis Teknologi Dari China
Banyak peralatan prasejarah sebenarnya menepati spesifikasi yang agak khusus. Kalau sekadar tengok saja, memang nampak sama.
Namun apabila sarjana arkeologi membandingkan alat-alat mengikut zaman, ternyata banyak perbezaannya… terutamanya pada kaedah pembentukan. Kaedah yang ingin dibincangkan ialah Teknik Levallois.
Bukan semua kampung prasejarah mempunyai teknologi ini. Bermakna ilmu pengetahuan untuk membuat alat ikut spesifikasi ini diturunkan melalui tunjuk ajar (Adler, 2014).
Maksudnya, orang prasejarah perlu tengok kaedah pembuatannya… kemudian mengajar orang lain.
Bayangkan peralatan spesifikasi Levallois ditemui di Afrika, China dan Eropah.
Betapa jauh ilmu ini pergi, berputik barangkali sejak 300,000 tahun yang lalu (Higham, 2021).
Untuk membuat sebuah alat mengikut spesifikasi Levallois, orang prasejarah perlu mendapatkan batu yang bersesuaian terlebih dahulu.
Inilah sebab kenapa zaman mereka diberi nama “Paleolitik”, yang bermaksud “Zaman Batu”.
Selepas mendapat batu yang bersesuaian, mereka perlu mengetuk permukaan sampai menjadi seperti cangkerang kura-kura.
Kemudian mereka akan mengeluarkan bahagian di tengah batu untuk dijadikan alat.
Dengan menggunakan alat pengikis, orang prasejarah akan mengasah bahagian yang dikeluarkan.
Semasa zaman prasejarah di China, teknik Levallois digunakan untuk membuat pisau yang ditemui semula pada tahun 1923 di Shuidonggou oleh Vincent de Chardin (Peng, et al., 2014).
Bukti teknologi Levallois turut ditemui dalam Gua Guanyin. Bermakna suatu masa dahulu, kawasan ini menjadi tumpuan manusia prasejarah barangkali kerana faktor geografi yang memudahkan kehidupan.
Selama mana mereka berada di situ masih belum disahkan. Kerana ilmu arkeologi ditentukan berdasarkan penemuan. Banyak penggalian perlu dibuat untuk mencapai suatu hipotesis yang konkrit.
Akan tetapi, penemuan peralatan sebegini membuktikan kepintaran manusia prasejarah kerana membuat sesuatu untuk menepati keperluan asas harian.
Mereka didapati mengamalkan gaya hidup memungut hasil hutan sebelum pandai bercucuk tanam dan merancang pengumpulan makanan supaya lebih mandiri.
Antara huruf paling awal pun timbul daripada zaman prasejarah China, dalam bentuk simbol yang mungkin mengimarahkan akidah tempatan.
Gaya hidup mereka menjadi lebih kompleks ketika Zaman Neolitik, dengan sistem sosial tersendiri yang jauh lebih dinamik untuk dibandingkan dengan nenek moyang mereka semasa Zaman Paleolitik.
RUJUKAN:
Adler, D., et al. (2014). Early Levallois technology and the Lower to Middle Paleolithic transition in the Southern Caucasus. Science. 345 (6204): 1609-1613.
Higham, T. (2021). The World Before Us: How Science Is Revealing A New Story of Our Human Origins. Penguin. Halaman 35-36.
Hu, Y., et al. (2018). Late Middle Pleistoscene Levallois stone-tool technology in southwest China. Nature. 565 (7737): 82-85.
Li, W., et al. (2015). The earliest unequivocally modern humans in southern China. Nature. 526, 696-699.
Peng, F., et al. (2014). Blade production of Shuidonggou Locality (Northwest China): A technological perspective. A Quarternary International. 347: 12-20.
Rizal, Y., et al. (2020). Last appearance of Homo erectus at Ngandong, Java, 117,000-108,000 years ago. Nature. 577 (7790): 381-385.
Zhu, R., et al. (2003). Magnetostratigraphic dating of early humans of in China. Earth-Science Reviews. 61 (3-4): 191-361.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih