Nikola Tesla tiba di Amerika Syarikat pada tahun 1884. Ketika itu beliau berusia 28 tahun, meninggalkan kehidupan berpindah-randah ketika di Eropah. Smiljan ialah kota kelahiran Tesla.

Tetapi beliau membesar di beberapa bandar, seperti Gospić, dimana bapanya bekerja sebagai seorang paderi. Kemudian beliau berpindah lagi ke Karlovac, tempat beliau bertemu dengan seorang guru bernama Martin Sekulic. Guru inilah membuka minat beliau untuk mendalami ilmu elektrik.

Pulang ke Smiljan, beliau melarikan diri ke Tomingaj kerana tidak mahu menjadi anggota ten-tera Austria. Dari Tomingaj, beliau bergerak ke Graz, apabila gagal dalam universiti kerana gejala perjµdian.

Rezeki beliau terbuka apabila mendapat kerja di Paris bersama Continental Edison Company.

Pihak pengurusan menyedari kepakarannya dalam bidang kejuruteraan. Berkali-kali juga beliau berulang-alik dari Perancis ke Jerman untuk menyelesaikan masalah berkaitan kejuruteraan.

Pada tahun 1884, seorang pengurus bernama Charles Batchelor pulang ke Amerika Syarikat untuk mengurus Edison Machine Works (EMW).

Batchelor mahu membawa Tesla sekali. Tiba saja di Manhattan, Tesla perlu bekerja dengan ratusan buruh yang sedang berhempas-pulas menyiapkan sebuah projek bekalan elektrik.

Tesla hanya bertahan selama enam bulan sahaja, tidak berpuas hati kerana mungkin EMW enggan memberikan bonus (Carlson, 2013).

Mungkin kerana Batchelor memang kedekut… ataupun EMW tiada duit.

Berpakat Dengan George Westinghouse

Pada Mac 1885, Nikola Tesla bertemu dengan seorang peguam bernama Lemuel W. Serrell. Pertemuan ini membuahkan hasil, kerana Serrell membawa Tesla untuk berjumpa dengan dua peniaga yang mahu melaburkan dalam projek Tesla (Seifer, 1998).

Sepanjang tahun beliau berusaha mendapatkan paten, yang mengharumkan namanya dalam kalangan pihak media.

Dua peniaga ini kemdian membuang Tesla (kerana paten ini didaftarkan milik syarikat, bukan individu) kerana mahu menjalankan sistem elektrik biasa (Carlson, 2013).

Seorang pendatang Austria meskipun cekap dalam bidang elektrik terpaksa bekerja mengorek longkang. Beliau dibayar gaji AS$2 sehari (lebih kurang AS$60 nilai sekarang).

Agak tinggi untuk seorang buruh, tetapi Tesla terpaksa bekerja untuk menyara diri. Ini bukan matlamat hidupnya.

Berbulan-bulan beliau menumpahkan keringat, hingga bertemu dengan Alfred S. Brown dan Charles F. Peck.

Dua orang ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat bersama Tesla, dengan perkongsian untung 33.33 peratus setiap seorang.

Brown dan Peck kemudian berunding dengan George Westinghouse (pesaing kental Thomas Edison) untuk mendapatkan rekaan transformer dan motor.

Tetapi Westinghouse mengupah Tesla dengan bayaran AS$2,000 sebulan (AS$57,000 hari ini) untuk menjadi seorang penasihat dalam Westinghouse Electric & Manufacturing Company (Klooster, 2009).

George Westinghouse

Daripada AS$2 sehari, ke AS$2,000 sebulan, Tesla benar-benar mengubah haluan hidupnya.

Dipinang J.P. Morgan

Nikola Tesla mahu mengubahkan industri elektrik supaya tidak bergantung pada aliran berwayar. Beliau mencuba nasib di New York, mencari pelabur semasa di Delmonico dan Waldorf-Astoria.

George Westinghouse tidak berminat untuk membeli projek ini. Tetapi beliau meminjamkan AS$6,000 dan bantu Tesla mendapatkan dana.

Henry O. Havemeyer dan Thomas Fortune Ryan enggan terlibat dalam projek ini. Tesla walau bagaimanapun mendapat sokongan daripada John Jacob Astor yang membeli 500 pegangan saham.

Tetapi pada November 1900, Tesla mendapat perhatian seorang hartawan popular bernama J.P. Morgan. Dalam pertemuan ini, Tesla menjaminkan bahawa sistemnya boleh menandingi Guglielmo Marconi.

Yakin, Morgan bersetuju untuk melaburkan AS$150,000 (AS$4.61 juta nilai sekarang) untuk digunakan Tesla, yang mula merancang sebuah menara di New York.

Begitu lama menara ini terbengkalai dalam lukisan Tesla. Selepas mendapat dana, Tesla terus memesan beberapa penjana (generator) dan transformer daripada Westinghouse Electric Company.

Tiga bulan selepas mendapat dana, Tesla dikejutkan dengan berita kejayaan Marconi yang menghantar isyarat radio begitu jauh. Marconi siap memetik “Tesla coil” dan “dihubung dengan Bumi” dalam ciri-ciri ciptaannya.

Ini membuatkan Tesla berfikir bahawa Marconi sedang meniru sistemnya. Jadi Tesla membuat keputusan untuk memperbaharui rekaannya.

Tetapi rekaan baru ini memerlukan dana yang jauh lebih banyak. Maka beliau kembali ke meja perbincangan, menerangkan pada Morgan tentang rancangan ini.

Dalam fikiran Tesla, rancangan ini membolehkan Morgan dapat produk yang lebih maju (sekali gus lebih banyak untung). Tetapi dalam fikiran Morgan, cadangan Tesla sebenarnya melanggar prasyarat kontrak ditetapkan.

Krisis Ekonomi Yang Membantutkan

Menara Wardenclyffe dibina di Shoreham, 105 kilometer dari Bandar New York. Ketinggiannya bukan untuk menandingi bangunan pencakar langit. Diameter pula untuk merealisasikan rancangan Nikola Tesla.

Projek ini dalam skala kecil sebenarnya menjadi. Sekarang Tesla cuma perlu membesarkannya. Jadi sementara Guglielmo Marconi mampu menghantar isyarat daripada menara ke kapal, Tesla mahu menghantar elektrik tanpa wayar.

Sejak merancang lagi, Menara Wardenclyffe akan menjadi pusat rangkaian 30 menara di seluruh dunia.

Tetapi tanpa imbuhan baru daripada J.P. Morgan, perancangan ini sukar dilaksanakan. Pembinaan Wardenclyffe dijangka memerlukan AS$14,000.

Kos akhir sebenarnya jauh lebih tinggi, angkara Morgan sendiri yang menjadi buah catur di sebalik masalah kewangan tahun 1901.

Krisis ini menaikkan semua jenis harga barangan. Tesla terpaksa membeli semua barangan pada harga lebih mahal (Munson, 2018).

Masalah mula timbul kerana Morgan masih belum menjelaskan AS$150,000 yang dijanjikan (tidak memberi sepenuhnya).

Morgan kemudian menjadi buah catur yang menyebabkan masalah kewangan tahun 1901. Ketika ini Tesla terpaksa membeli semua barangan pada harga jauh lebih mahal.

Berkali-kali Tesla mengirim surat kepada Morgan. Pada 3 Julai 1903, Tesla bertanya dalam surat, “apakah tuan akan membantu saya atau sengaja membiarkan projek hebat saya (yang hampir siap) melingkup?”

11 hari kemudian, jawapan daripada Morgan amat menghampakan: “saya berasa sekarang ini tidak perlu memberi dana lagi.”

Bermula malam itu, pihak media melaporkan Menara Wardenclyffe sedang memancarkan cahaya ke langit.

Sekadar gambaran.

Tesla tidak menjelaskan apa-apa, tetapi bebanan kewangan semakin menghimpit. Pihak Wall Street lebih suka melabur pada Marconi, yang sudah berjaya menghantar isyarat radio antara-benua.

Suara media mula mengatakan bahawa projek Tesla hanyalah suatu dongengan. Sebarang dana diperolehi Tesla daripada sumber ketiga hanya pergi untuk menutup lubang hutang.

Akhirnya pada tahun 1906, Tesla terpaksa membungkus. Duit sudah habis. Arkitek projek ini pula dibµnµh kerana mengadakan hubungan sulit dengan isteri orang.

Dan Menara Wardenclyffe dibiar terbengkalai. Tesla tidak dapat menjelaskan hutang AS$20,000 dan projek Wardenclyffe berakhir dengan perintah penyitaan.

RUJUKAN:

Carlson, W.B. (2013). Tesla: Inventor of the Electrical Age. Princeton University Press. Halaman 69-73, 75.

Klooster, J.W. (2009). Icons of Invention: the Makers of the Modern World from Gutenberg to Gates. ABC-CLIO. Halaman 305.

Munson, R. (2018). Tesla: Inventor of the Modern. W.W. Norton.

Seifer, M.J. (1998). Wizard: The Life and Times of Nikola Tesla. Citadel. Halaman 41.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.