Sejarah Mesir Purba meliputi ribuan tahun perjalanan dan ia dipenuhi dengan pelbagai macam keajaiban dan pencapaian, yang kebanyakannya masih terus diselimuti misteri. Dasawarsa temu dasawarsa, kerja-kerja ekskavasi arkeologi di Mesir tidak pernah henti dari melakukan aneka rencam penemuan yang menggemparkan dunia mahupun cendekia.

Pun begitu, kita jarang sekali membawa diri untuk merenungi sejarah Mesir pada zaman pra-dinasti dan zaman penubuhan tamadun berkenaan. Bermula daripada manakah segala sejarah Mesir ini? Bagaimana boleh warga di Lembah Nil berkembang dan membangun sehingga membentuk sebuah peradaban yang sedemikian maju?

MENINJAU SEJARAH MESIR PADA ZAMAN PURBAKALA

Kawasan di sekitar lembah subur Nil sememangnya merupakan kampung halaman bagi pembangunan manusia di sana. Untuk memahami lebih lanjut tentang masyarakat Mesir pra-dinasti di zaman awalnya, kita perlu meneroka jauh ke masa lampau.

Sebahagian daripada pembangunan terawal yang berlaku di Lembah Nil secara kasarnya bermula sekitar tahun 12 000SM. Salah satu masyarakat yang terbangun pada waktu itu dikenali sebagai Kebudayaan Achulea – yakni suatu peringkat pembangunan awal yang cirinya dapat dikenali menerusi alatan batu berbentuk bujur.

Sebaik sahaja homo sapiens mendominasi homo erectus secara bertahap, kebudayaan-kebudayaan berbeza pula yang mengambil alih dan membawa kemajuan lanjut dalam teknologi-teknologi primitif.

Salah satu kebudayaan unik yang terbangun dalam zaman prasejarah Mesir adalah Kebudayaan Khormoussan, yang meraih namanya bersempena tapak Khor Musa yang terletak berhampiran dengan tapak Wadi Haifa. Kebudayaan ini muncul pada tahun 45 00SM di sekitar Maghreb dan rantau selatan Sahara.

Ketika berbicara tentang kebudayaan ini, suatu perkara penting yang harus dikemukakan adalah kegiatan mereka yang secara bertahap meninggalkan daerah-daerah padang pasir dan berpindah ke kawasan yang lebih hampir dengan lembah subur Nil. Mereka mengamalkan gaya hidup nomad, berpindah seiring pergerakan haiwan-haiwan liar dan mendirikan khemah-khemah sementara di lembah-lembah sungai.

Wadi Haifa, Gurun Nubia

Wadi Haifa dianggap sebagai salah sebuah tapak tertua dalam rekod prasejarah Mesir, di mana sebahagian binaan purba yang ditemui mencecah usia 100 000SM. Di sekitar tapak inilah kelak tertubuhnya Kebudayaan Khormoussan. Identiti mereka dikenali menerusi pencapaian teknologi yang dicapai. Mereka mahir menggunakan alatan batu. Namun pada masa yang sama, mereka turut membangunkan penggunaan tulang dan hematit. 

Kebudayaan ini bermula pada 42 000 hingga 32 000 tahun sebelum sekarang (BP) dan berakhir sekitar tahun 16 000SM, di mana ia secara bertahap disusuli oleh kemunculan sejumlah kebudayaan baru yang lebih maju.

Salah satu tamadun baru yang dimaksudkan ini ialah Kebudayaan Qadan. Kebudayaan ini memasuki peringkat pembangunan Neolitik pada tahun 15 000 hingga 10 000SM dan identitinya mencirikan beberapa buah kawasan dan petempatan, seperti Elkab di Wadi Haifa, Faiyum, Deir el-Badari, Deir Tasa, dan El-Omari yang terletak berhampiran Halwan.

Kebudayaan Qadan menerapkan sejumlah pembaharuan dan ciri-ciri baru yang agak signifikan dalam proses kemunculan identiti proto Mesir secara bertahap. Merekalah kumpulan masyarakat pertama (di Mesir) yang mengambil langkah terawal dalam mengamalkan aktiviti pertanian secara sebenar.

Mereka menyediakan dan memakan rumput-rumput liar dan bijirin serta mengerah tenaga dalam mengusahakan dan menuai tumbuhan tempatan. Mereka juga melibatkan diri dalam aktiviti perburuan dan penangkapan ikan, serta membangunkan banyak senjata dan alatan yang lebih canggih.

Dalam tempoh beberapa ribu tahun awal perkembangannya, Kebudayaan Qadan mula memanfaatkan seni penghasilan tembikar dan anyaman bakul, di samping menyusun-atur amalan-amalan pengebumian unik yang melibatkan pembinaan necropolis dan tapak-tapak pengebumian seumpamanya.

Mereka juga membangunkan alatan sabit dan batu penggiling. Secara bertahap, kebudayaan-kebudayaan baru muncul dan mengambil alih posisi dan posesi Kebudayaan Qadan, di mana setiap satunya memperkenalkan kemapanan-kemapanan yang tersendiri dan menyumbangkan batu asas dalam pembentukan Tamadun Mesir di zaman kemudian.

Artifak-artifak Mesir dari zaman prasejarah, dari 4400 hingga 3100SM


MUNCULNYA SEBUAH IDENTITI TERSENDIRI – KEBUDAYAAN-KEBUDAYAAN NEOLITIK

Kebudayaan yang wujud di Lembah Nil pada zaman Neolitik dikenali sebagai Kebudayaan Faiyum. Sekitar tahun 6000SM, petempatan-petempatan yang memiliki ciri Neolitik mula muncul di sekitar Mesir.

Beberapa penyelidikan yang dijalankan oleh ilmuwan meletakkan foundasi Neolitik di Mesir ini pada para imigran dari rantau Hilal Subur (di Timur Dekat) yang berpindah ke Mesir sambil membawa bersama amalan pertanian. Kebudayaan Faiyum berkembang pesat pada tahun 4400 hingga 3900SM, dan ia mungkin muncul lebih awal daripada itu.

Sejarah kebudayaan ini menandakan sebuah era di mana warga rantau itu terpaksa berpindah berikutan perluasan gurun yang berlanjutan. Kebudayaan ini muncul di pantai utara dan bahagian timur laut tasik purba dan oasis Faiyum. Penghuni kawasan ini banyak bersandar pada aktiviti perburuan dan penangkapan ikan sebagai mata pencarian. Kebanyakannya mengamalkan gaya hidup nomad dan berpindah mengikut musim, bersama haiwan-haiwan liar.

Kebudayaan Faiyum mempunyai satu ciri menonjol, di mana mereka menggunakan alatan batu unik yang bertakik dan bergerigi. Mereka juga memanfaatkan kegunaan mata panah dan bilah batu bersoket. Bukti arkeologi mendapati bahawa mereka turut menghasilkan kain linen kasar, begitu jua dengan bakul anyaman.

Antara aspek menarik seputar Kebudayaan Faiyum ini adalah mereka hidup dalam kumpulan kecil atau kumpulan keluarga, yang diketuai oleh sejumlah pemimpin. Menerusi ciri yang satu ini, kita dapat menyaksikan kemunculan komuniti-komuniti yang memiliki ketrampilan yang jitu dalam kepimpinan di Mesir.


Kebudayaan-kebudayaan Neolitik awal mengamalkan gaya hidup nomad dan berpindah bersama ternakan mereka dari satu tempat ke satu tempat

Kurun berganti kurun, Kebudayaan Faiyum digantikan oleh kumpulan masyarakat yang memiliki teknologi yang lebih maju, seperti Kebudayaan Badarian yang berkembang pesat pada tahun 4500 hingga 4000SM.

Dalam kata-kata lain, kedua-dua kebudayaan wujud pada zaman yang sama. Hanyasaja Kebudayaan Badarian lebih mapan berbanding Faiyum. Warga kebudayaan ini menetap di Nil, el-Hamamiya, el-Matmar, el-Mostagedda dan seumpamanya.

Sedikit berbeza dengan kebudayaan-kebudayaan lain, warga Badarian hidup di dalam khemah yang diperbuat daripada kulit haiwan atau pondok yang dihasilkan daripada rumput lalang. Lebih daripada itu, mereka turut mengusahakan gandum dan barli, serta memetik buah-buahan dan herba dari belantara.

Mereka juga dipercayai memanfaatkan kegunaan biji kastor sebagai minyak. Rangka haiwan jinak merupakan antara ciri yang ketara dalam setiap jumpaan arkeologi di tapak-tapak Kebudayaan Badarian.

Di samping itu, Kebudayaan Badarian jua memperlihatkan kepada kita amalan pengebumian yang agak kompleks, di mana kubur-kubur berbumbung bujur dibina sebagai tempat bersemadinya si mati. Turut disemadikan di dalamnya alat-alat pengebumian yang diperbuat daripada gading dan batu, selain hidangan makanan. Dua buah kubur sebegini pernah diemui; satunya di penghujung daerah bergurun dan satu lagi di sebelah timur Nil atau tepatnya, di antara el-Matmar dan el-Etmantieh.

Kebudayaan Faiyum dan Badarian merupakan bahagian penting yang menyumbang kepada perkembangan Tamadun Mesir yang kita kenali pada hari ini.

Patung berukir dari kebudayaan Badarian, 4000SM

NAQADA – WAJAH TERAWAL TAMADUN MESIR PURBA

Walau bagaimanapun, antara kesemua kebudayaan yang ada, kebudayaan yang paling rapi diselidiki dan paling penting dalam kisah sejarah Mesir Pra-Dinasti adalah Kebudayaan Naqada. Bentuk terawal kebudayaan ini muncul sekitar tahun 4000SM. Ia turut dikenali sebagai Kebudayaan Amratia, atau Naqada I.

Terdapat sejumlah perkara yang mencirikan kebudayaan ini. Seni penghasilan tembikar semakin mapan, dan aktiviti perdagangan antara Mesir Hulu dan Mesir Hilir dipergiatkan. Begitu juga perdagangan dua hala dengan wilayah-wilayah Nubia, di mana obsidian dan emas diimport.

Peringkat berikutnya dalam sejarah Kebudayaan Naqada adalah peringkat II, atau turut dikenali sebagai Kebudayaan Gerzeh. Naqada II mengalami perkembangan pada tahun 3500 hingga 3200SM dan berpusat di sekitar Gerzeh. Era ini cukup penting dalam pembangunan asas-asas Tamadun Mesir.

Naqada II merupakan perkembangan secara bertahap daripada Naqada I, di mana ia muncul di delta Nil dan kemudian tersebar ke selatan melangkaui Mesir Hulu. Terdapat juga kemungkinan bahawa Naqada II terbentuk sebelum tahun 3500M lagi, seiring edngan Kebudayaan Omari B yang saiznya lebih kecil. Bukti arkeologi seputar kebudayaan ini mengisyaratkan berlakunya perkembangan lanjut dalam penghasilan barangan seramik yang diperindah dengan gaya unik, motif ikonik dan imej alami.

Kebudayaan ini menerapkan segala elemen yang kelak diserap oleh tamadun proto-Mesir – bermula daripada amalan pengebumian yang rapi terperinci, pembinaan necropolis, istiadat barangan pengebumian, dan banyak elemen lain lagi. Pada era ini, perdagangan rentas sempadan Mesir bergiat secara aktif. Bukti hubungan perdagangan dengan Sinai dan Palestin sudah pun dijumpai, dan seterusnya, sebuah kuasa berpusat pun muncul.

Seiring perubahan keadaan gurun yang semakin mengancam, warga kebudayaan ini semakin meletakkan pergantungan pada Lembah Nil sebagai sumber makanan dan aktiviti pertanian. Peningkatan simpanan makanan ini kemudiannya mendorong kepada berubahnya gaya hidup mereka, yakni daripada nomad kepada sedentri total. Lantas, masyarakat Mesir pun membangunkan kota yang sebahagiannya berupaya menampung sehingga 5000 orang ramainya.

Pada era Naqada II, tembaga sudah pun digunakan secara meluas. Walaupun senjata batu berkualiti tinggi masih dimanfaatkan, tembaga juga meraih kedudukan yang dominan. Salah satu contoh paling menonjol tentang persenjataan batu pradinasti yang datang dari era ini dikenali sebagai pisau Gebel el-Arak. Sebagai sebilah pisau yang memegang kefungsian signifikan dalam mana-mana upacara penting, Gebel el-Arak ditempa dengan pengaruh Mesopotamia yang agak kuat. Pemegangnya yang diperbuat daripada gading diukir dengan teliti, begitu juga bilah batunya yang diperhias indah. Pisau ini merupakan satu contoh utama bagi membuktikan hubungan awal antara Mesir dan Mesopotamia.

Pisau Gebel el-Arak

Pengaruh-pengaruh Mesopotamia yang terdapat pada Gebel el-Arak inilah yang menjadi faktor lahirnya teori yang mengandaikan bahawa Mesir pada era itu diperintah oleh seorang penguasa dari Mesopotamia. Pun begitu, teori ini tidak lagi didokong oleh ilmuwan.

Peringkat terakhir bagi era pradinasti Mesir yang sekaligus merupakan bahagian penting dalam pembentukan Tamadun Mesir dikenali sebagai era Naqada III. Dalam keadaan lain, ia turut disebut sebagai Dinasti 0 atau Zaman Proto-Dinasti.

Sebagai era yang mencirikan perkembangan lanjut terhadap Naqada II, ia berpanjangan dari tahun 3200 hingga 3000SM. Era Naqada III memperagakan kepada kita kemuncak usaha warga pradinasti Mesir ke arah penyatuan politik dan pembentukan sebuah negara.

Era ini juga menghadirkan sebutan pertama tentang raja-raja dari entiti politik kedaerahan yang dikenali sebagai polities. Pada era Naqada III, kita dapat melihat dengan ketara pembentukan-pembentukan awal Tamadun Mesir. Polities-polities berpengaruh yang muncul di Lembah Nil merupakan negara-negara kota, di mana tiga polities yang paling berkuasa pada masa itu ialah Thinis, Nekhen, dan Naqada. Negara-kota yang mengungguli carta tiga teratas ini adalah Thinis.

Thinis merupakan sebuah negara-kota yang kewujudannya telah pun disahkan dalam banyak sumber sejarah purba, merentas masa. Namun begitu, jejak tinggalannya tidak pernah dijumpai sehingga ke hari ini. Segala sumber dan bukti yang ada mengisyaratkan pada satu lokasi berhampiran Abydos, iaitu sebuah lagi kota penting Mesir.

Palet Kerbau, kepingan artifak masyhur yang dikaitkan dengan era Naqada III

PENYATUAN DUA MAHKOTA MESIR

Thinis kemudiannya menjadi pusat Konfederasi Thinis, iaitu suatu kesatuan suku yang secara efektif menjadi suatu langkah yang kelak membawa kepada penyatuan Mesir Hulu. Thinis berupaya menakluki Naqada dan menyatukan Mesir Hulu. Ia kemudian bergabung dengan Nekhen hampir tanpa melibatkan sebarang konflik, dan seterusnya menakluki Mesir Hilir. Para pemerintah dari era pradinasti ini sering dikelompokkan sebagai ‘Dinasti 0’.

Walau bagaimanapun, nama firaun yang bertanggungjawab menyatukan Mesir Hulu dan Mesir Hilir pada era proto-dinasti ini tidak diketahui secara pasti. Rekod-rekod Mesir purba menyebutnya sebagai Menes, iaitu seorang pemerintah yang kewujudannya belum dapat dibuktikan. Lantaran itu, sejarahwan lebih meyakini penyatu Mesir adalah Narmer. Narmer secara sepintas lalu bolehlah dianggap sebagai pemerintah ketiga Mesir yang namanya sudah pun disahkan dan dibuktikan oleh rekod arkeologi, sesudah Iry-Hor dan Ka.

Bukti paling penting bagi mendokong teori yang mengandaikan Narmer sebagai penyatu Mesir adalah ‘Palet Narmer’, iaitu salah sebuah penemuan arkeologi paling penting dari Mesir. Palet batu ini mengandungi beberapa inskripsi hieroglif dan gambaran seorang raja Mesir terawal yang diketahui.

Pada palet ini diukirkan babak-babak yang menggambarkan seorang pemerintah berkuasa (ramai yang memperkirakannya sebagai Narmer) yang berdiri sambil menggayakan postur dominan dan memegang cokmar di atas kepalanya – bersiaga mahu menghayunkannya pada seorang tawanan yang sedang melutut. Pada sisi palet sebelah sini, si pemerintah itu digambarkan memakai hedjet – iaitu Mahkota Putih Mesir Hulu.

Pada sisi palet sebelah lain pula, diukirkan beberapa babak yang agak kompleks. Di mana, babak yang memakan ruang paling besar mempamerkan sebuah babak perarakan kemenangan. Pada sisi ini, si pemerintah itu tadi digambarkan memakai deshret, iaitu Mahkota Merah Mesir Hilir, di samping memegang sebatang cokmar dan tongkat yang merupakan simbol tradisi kemahrajaan dalam kesenian Mesir. Menerusi palet ini, kita dapat melihat betapa raja berkenaan memakai kedua-dua mahkota Mesir, di mana gabungan keduanya itu kemudian membentuk sekhemti, iaitu mahkota berkembar diraja Mesir.

Selain itu, pada palet ini juga terdapat ukiran serekh, iaitu suatu lambang kebangsawanan yang mengandungi kodeks dalam bentuk seekor ikan keli dan pahat. Kodeks tersebut pada hakikatnya memikul nama seorang individu – ikan keli dalam bahasa Mesir Purba ialah n’r, manakala pahat pula mr. Apabila keduanya digabungkan, ia membentuk fonetik bagi nama Narmer.

TERBANGUNNYA PERADABAN DI MESIR

Dengan berlakunya penyatuan Mesir serta penubuhan kerajaan dan dinasti awal dalam sejarahnya, garis masa rasmi Mesir Purba pun bermula sebagaimana yang umum maklum. Zaman pradinasti berperanan dalam membekalkan kepada kita pengetahuan tentang proses pembangunan sesebuah tamadun yang agak rumit – suatu proses yang memakan masa ribuan tahun.

Ia juga menghidangkan kepada kita kisah kemunculan pelbagai macam kumpulan masyarakat yang berbeza, serta bagaimana mereka sirna dimamah zaman. Kita juga disuakan dengan gambaran bagaimana tiap kali kurun temu kurun, milenium temu milenium, manusia melangkah setapak ke hadapan dengan perkembangan teknologi dan alatan baharu.

Selangkah demi selangkah, kumpulan masyarakat yang menghuni rantau Mesir dan lembah subur Nil membangunkan sebuah tatanan kepercayaan dan mitos yang kompleks, di samping mengembangkan teknologi demi teknologi yang kemudiannya menghidupkan salah sebuah tamadun teragung dalam sejarah kemanusiaan.

TERJEMAHAN:

Aleksa Vuckovic. (29 Jun 2020). Predynastic Egypt: Life Before the Pyramids. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/predynastic-egypt-0013917


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.