Pernah layan tak wayang The Scorpion King yang mana pelakon terkenal iaitu Dwayne ‘The Rock’ Johnson melakonkan watak utama bernama Mathayus? Kisahnya tentang pahlawan orang Akkad yang menentang raja penakluk yang kejam, kemudian menjadi Raja Kala Jengking yang membawa keamanan kepada penduduk Mesir, begitu mengasyikkan.

Namun, wujudkah Raja Kala Jengking sebenar seperti apa yang wayang ini sajikan atau ia hanyalah wayang genre fiksi sejarah, semata-mata memuaskan hati penonton yang sukakan aksi dengan unsur sejarah?

Sebenarnya, warga dunia tidak pernah tahu akan kewujudan raja ini dalam tamadun Mesir Purba sehinggalah wayang-wayang seperti The Mummy Returns dan The Scorpion King keluar. Dari sinilah, kita kenal apakah Raja Kala Jengking serta kewujudannya yang pernah memerintah tamadun Mesir Purba sebelum fasa penyatuan seluruh Mesir.

ASAL-USUL NAMA KING SCORPION

Sebenarnya nama King Scorpion masih tidak diketahui asal-usulnya namun apa yang ahli sejarah Mesir Purba boleh kaitkan adalah nama tersebut berasal dari nama dewi Serget (juga disebut Serket). Dewi Serget adalah dewi perubatan, sihir, alam, dan haiwan. Tidak pasti akan kewujudan kumpulan sembahan dewi ini namun dewi Serget sentiasa dikaitkan dengan kala jengking.

Berkemungkinan, kala jengking yang telah lama hidup di padang pasir sebelum kewujudan tamadun Mesir Purba menjadikan Raja Kala Jengking ini mengambil nama haiwan tersebut sebagai simbol panjang umur atau raja itu mahu memperlihatkan dirinya sebagai jelmaan dewi Serget.

Dalam artikel ini, terdapat dua orang raja yang memegang nama yang sama dan juga memerintah Mesir Purba: King Scorpion I dan King Scorpion II.

KING SCORPION I

Semasa fasa Pre-dynastic, iaitu fasa kewujudan Mesir Atas (dunia orang Mesir) dan Mesir Bawah (dunia orang Nubia), King Scorpion I menetap di kota Thinis pada 3200 SM, seabad atau dua abad sebelum pemerintahan King Scorpion II. King Scorpion I memerintah seluruh Mesir Atas semasa fasa kebudayaan Nagada III, iaitu sekitar 3200 – 3000 SM.

Tidak seperti kisah hidup Mathayus dari The Scorpion King, King Scorpion I begitu misteri kerana ahli sejarah Mesir Purba masih tidak ketahui nama sebenarnya, bila waktu dia mula memerintah, dan apakah asal-usulnya, sama ada raja ini orang Mesir atau orang asing.

Gambar 1: Batu Gebel Tjauti Tableau menunjukkan kisah pep3rangan King Scorpion I. Anak panah merah menunjukkan simbol raja itu adalah kala jengking. Gambar 2: Simbol-simbol kala jengking diukir dalam makam U-j

Walaupun begitu, terdapat dua bukti yang mampu membuktikan kewujudan King Scorpion I ini. Pertama, penemuan batu yang mempunyai lukisan graffiti ditemui di kota purba Abydos. Batu bernama Scorpion Tableau ini menceritakan tentang kejayaan Raja Kala Jengking berp3rang dengan raja jiran – berkemungkinan besar adalah raja orang Nagada.

Bukti kedua adalah penemuan makam bernama U-j, juga berada di Abydos. Dikatakan makam ini adalah penempatan terakhir King Scorpion I sebelum wafat. Makam ini bagi ahli arkeologi adalah ‘syurga’ mereka untuk mengkaji raja-raja Mesir yang kehilangan jejak pada fasa Pre-dynastic.

Kedua-dua bukti ini mempunyai lukisan diskripsi berbentuk kala jengking (rujuk gambar). Ini juga menjadi kunci utama bahawa simbol ini bermaksud ‘raja kala jengking’, menurut pemahaman orang Mesir Purba.

Makam U-j adalah salah satu makam diraja tertua ditemui di Abydos. Ahli arkeologi menemui pelbagai saiz gading di dalam makam tersebut. Makam itu juga mempunyai bilik di mana dalamnya terdapat tempayan berisi dengan wain, termasuklah biji anggur, dan kulit haiwan. Melalui pentarikhan karbon pada barangan tersebut, makam ini disyaki dibina pada 3150 SM.

Penemuan wain dalam makam King Scorpion I bermaksud orang Mesir Purba adalah kaum terawal mengamalkan wain sebagai minuman. Dikatakan semasa pemerintahan King Scorpion I, tamadun Mesir Purba mengalami fasa keamanan dengan kekayaan sumber.

Raja ini sendiri sebenarnya adalah pahlawan dan ahli politik yang berkaliber. Terdapat juga kumpulan penyembah dewi Bast (dewi kucing) yang semakin berkembang namun segala penerangan tentang kumpulan penyembah ini hilang ditelan zaman.

KING SCORPION II

King Scorpion II memerintah pada tahun 3100 SM dan dikatakan raja ini mempunyai pertalian kuat dengan tamadun Mesopotamia. Pengkaji menemui bukti yang cukup untuk membuktikan terdapat aktiviti perdagangan dan hubungan politik antara kedua-dua kerajaan tertua dunia ini.

Contohnya, bangunan yang dibina pada zaman pemerintahan King Scorpion II mempunyai seni bina serupa dengan Mesopotamia. Tambahan lagi, orang Mesir Purba menggunakan idea-diea pembangunan arkitek dari Mesopotamia, dan adaptasikan untuk membentuk sebagai idea baru pembinaan bangunan-bangunan dengan unsur budaya Mesir.

Pasu Scorpion Macehead menunjukkan King Scorpion II menggali tanah.

Kewujudan King Scorpion II ini dibuktikan dalam ukiran luaran pasu bernama Scorpion Macehead. Pasu ini biasa digunakan untuk tujuan upacara spiritual dan ia ditemui di kota purba bernama Hierakonpolis. Pasu Macehead ini bertarikh sekitar fasa akhir Pre-dynastic hingga fasa Dinasti Firaun.

Raja dalam gambaran tersebut memakai mahkota Mesir Atas putih dan memegang cangkul. Hamba yang berada di hadapan raja ini mengangkat tanah dan hamba di sekeliling membawa kipas untuk mengipasi baginda. Gambaran ini juga dilengkapi dengan kehadiran penari, pendeta, dan beberapa dewa-dewi kuno.

Namun gambaran di luar pasu ini mempunyai persamaan dengan gambaran dalam batu Narmer Palette yang diukir pada zaman pemerintahan Firaun Narmer, penyatu Mesir Atas dan Mesir Bawah. Maka, ahli sejarah berspekulasi bahawa King Scorpion II adalah nama kedua Firaun Narmer.

Manakala sebilangan ahli sejarah berpendapat Firaun Narmer adalah musuh King Scorpion II. Dikatakan setelah menyatukan Mesir Atas dan Mesir Bawah, King Scorpion II menggunakan nama Narmer sebagai nama yang mengukir sejarah penyatuannya.

Seperti King Scorpion I, pengkaji menemui batu ukiran yang menceritakan kejayaan King Scorpion II berp3rang dengan musuhnya. Batu tersebut terletak di Gebel Sheikh Suliman dan ia menggambarkan seekor kala jengking yang besar berdiri mengalahkan orang Nubian.

Gambaran jelas tentang King Scropion II. Simbol kala jengking adalah bukti identiti raja tersebut yang memegang cangkul dan memakai mahkota putih Mesir Atas.

Tetapi makam King Scorpion II masih dalam pencarian. Terdapat dua buah makam yang disyaki adalah makan raja itu. Makam pertama ditemui di Umm el-Qa’ab, kota nekropolis pada fasa dinasti Firaun terawal, bertempat di Abydos manakala makam kedua terletak di Hierakonpolis. Kedua-dua makam mempunyai gading yang berukir simbol kala jengking.

Sehingga sekarang, para arkeologi masih rancak mencari makam sebenar King Scorpion II untuk mengorek kisah sebenar raja yang penuh misteri ini.

RUJUKAN:

Klimczak, N (6 August 2020). Searching for the Lost Footsteps of the Scorpion Kings. Ancient Origins. Retrieved from 13 August 2020. https://www.ancient-origins.net/…/searching-lost-footsteps-…


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.