Penghujung abad ke-18 telah melakar kegemilangan dalam sejarah negara Kazakhstan oleh siri kemenangan besar bangsa Kazakh semasa menentang dominasi Kekhanan Dzungar. Sebahagian pertembungan ini adalah kesan dari perpecahan dalaman yang tercetus di Dzungaria pada tahun 1727 dan menjadi penyebab kepada meletusnya perang di antara Kekhanan Dzungar dan Dinasti Qing yang berakhir dengan pembantaian Qing terhadap populasi Dzungaria (sebahagian Turkestan Timur, Kazakhstan dan Mongolia moden).
Pertempuran Anrakai merupakan sebuah pertempuran yang menjadi bukti keberanian bangsa Kazakh menentang pasukan tentera Mongol Kalmyk atau lebih dikenali sebagai Kekhanan Dzungar. Menurut sumber dari cerita rakyat yang boleh dipercayai, lokasi di mana pertempuran Anrakai berlaku adalah bertempat di bahagian timur laut lembah Anrakay di dataran Alakol.
Dan jika berdasarkan sempadan antara Anrakai zaman dahulu dari sisi barat daya, ia terletak di simpang sekatan air, di sisi timur laut – Beskol, di barat – sungai Kopaly dan memasuki Karakemer, di timur – tali air di dasar sungai Serybulak, hanya 210 kilometer persegi. Tepat di lokasi itu merupakan pusat pertembungan ketenteraan yang hanya bermula dari tindak balas ofensif Kazakh untuk menyekat pencerobohan tentera Dzungar, kemudian bertukar menjadi perang kemerdekaan Kazakh.
Para penyelidik mendedahkan bahawa lokasi Pertempuran Anrakai memiliki bentuk segitiga. Penduduk yang mendiami “Segitiga Anrakai” dengan gigih mempertahankan tanah air mereka dari serangan musuh. Hanya ada satu kekurangan di bahagian timur laut, di mana di lembah Kopaly, Karakemer, Sarybulak memiliki pertahanan yang lemah. Di situlah adanya Jalan Kalmak Besar yang terbentang sejauh 8-10 kilometer, meliputi bahagian selatan dan barat laut padang rumput Kazakhstan.
Dari ketepatan setiap sudut pandang ini Anrakai memiliki perancangan perang yang strategik. Sejak separuh kedua abad ke-17 hingga abad ke-18 antara Kekhanan Dzhungar dengan sungai-sungai Chu dan Talas ada sebanyak 19 buah atau lebih kubu tentera dibina. Walau bagaimana pun berlaku sedikit pertindihan pendapat yang masih tiada jawapan konkrit berkaitan tahun pertempuran ini kerana sebahagian penyelidik mengatakan bahawa pertempuran itu berlaku pada tahun 1729, manakala yang lain mengatakan ia berlaku pada tahun 1730. Tetapi isu perbezaan satu tahun ini kita tinggalkan dulu.
Kronologi
Kematian misteri Hong Taiji Tsewang-Rabtan adalah permulaan untuk pusingan baru perebutan kuasa. Penyandang kedudukan Khan, telah mengabaikan keutamaan negara, dengan senjata di tangan, dia melibatkan diri dalam pertikaian hak untuk mewarisi takhta tertinggi.
Namun, pada saat ini, di tahun 1729, Kekhanan Dzungar menghadapi ancaman pencerobohan secara mengejut oleh Dinasti Qing dari China, ini menyebabkan noyan-noyan (gabenor jeneral) Oirat terpaksa memindahkan pasukan tentera Dzungar secara tergesa-gesa dari sempadan barat ke timur.
Orang-orang Kazakh mahu memanfaatkan kekacauan yang bermula di Dzungaria, untuk memberikan tamparan terakhir kepada musuh tradisi mereka itu. Pada tahun 1729, 120 km ke selatan Balkhash, salah satu pertempuran penentuan yang paling besar telah berlaku di kawasan Anrakai.
Namun, banyak pasukan tentera Mongol dari cabang Oirat atau Kalmyk bertindak menentang suku-suku Kazakh di Anrakai, terutamanya Kekhanan Dzungar. Pada masa itu, Dzungar mempunyai kubu yang paling kuat di Semirechye. Kubu yang dibina pada tahun 1653-1667 dan dikenali sebagai kubu Kalmyktobe ini terletak di utara pergunungan Anrakai.
Pergunungan Anrakai dan Tasik Alakol adalah titik strategik yang penting di sepanjang Perang Kazakh-Dzungar fasa ketiga antara tahun 1723-1730. Di sinilah bermulanya gerakan ketenteraan Kazakh dan agenda pembebasan wilayah Semirechye. Bermula dari sini ke sepanjang Sungai Chu, hingga menemui jalan keluar ke Sarys dan pergunungan Ulytau. Dari kawasan ini, detasemen tentera Kazakh boleh berangkat secara besar-besaran ke pergunungan Karkaralinsky.
Kazakh sedang mencipta satu peluang kemerdekaan yang lebih besar untuk tanah air Kazakh dari pencerobohan Dzungar. Pada musim panas, kawasan ini gersang. Dan hanya pada musim bunga barulah ada sedikit kelembapan di sungai dan rumput muda berubah menjadi hijau. Pada saat inilah tahun melancarkan perang ditentukan. Namun berlaku sedikit penangguhan masa operasi yang digunakan untuk mempersiapkan bekalan makanan kuda, dan bekalan tentera.
Perubahan pelbagai lanskap di pergunungan memungkinkan serangan tentera berkuda dilaksanakan di wilayah ini secara ‘pukul dan lari’. Di sekeliling kawasan medan tempur itu sendiri dipenuhi hutan tugay (kawasan hutan riparian atau hutan dengan kawasan aliran sungai dan tadahan banjir di iklim kering Asia Tengah) yang memungkinkan tentera Kazakh secara senyap menumpukan fokus untuk mengerahkan pasukan tentera berkuda.
Pasukan tentera berkuda Kazakh meliputi sekitar 20-25 ribu penunggang kuda yang terbaik secara moral dan fizikal, bersedia untuk bertempur pada bila-bila masa. Di antara mereka ada askar berjalan kaki dari Karatau yang memerangi musuh di kaki bukit Mugodzhar, di Bulanty-Beleuts dan Ulytau. Tole Bi, pahlawan Koigeldy turut serta dalam barisan hadapan. Di sinilah bermulanya satu perumpamaan Kazakh yang berbunyi: “Tidak ada tuah tanpa Tole Bi, tidak ada perjuangan tanpa Koigelda.”
Perintah tertinggi pasukan tentera Kazakh dalam pertempuran ini diserahkan kepada Abulkhair Khan – Khan dari Kisi Zhuz (Gerombolan Muda), seorang panglima yang handal berketurunan Borjigin. Pasukan Gabungan Kazakh dipimpin oleh sekelompok baghatyr dari Bogembay, Kabanami dan Raiymbek.
Mereka mempraktikkan taktikal perang padang rumput tipikal yang pernah dipopularkan semasa era kebangkitan kuasa Empayar Mongol di bawah Genghis Khan beberapa abad sebelum itu. Satu kelompok kecil tentera Kazakh keluar menghadapi tentera Dzungar sebagai umpan yang kononnya menyerang kemudian berpura-pura kalah lalu berundur, akhirnya mereka mula mengheret tentera Dzungar yang mengejar mereka jauh ke dalam lembah sebelum serangan mengejut dilancarkan.
Serangan kilat, penggunaan sistem tunggangan ganti, atau jika perlu, detasmen tempur yang padat, dengan taktik pukul lari secara meluas, menjadi taktik terpenting bagi tentera Kazakh. Ditambah pula dengan maklumat risikan yang baik dan pengetahuan yang sangat mahir mengenai selok belok di kawasan ini.
Unsur-unsur kejutan dalam setiap serangan dan hambatan musuh juga merupakan kaedah taktikal yang penting. Mereka menyatukan detasmen utama dari jumlah ratusan dan ribuan. Senjata utama seorang askar terdiri daripada pedang, pisau tempur, dan tombak (aybalta). Setiap penunggang juga dilengkapi dengan cambuk kamsha, batu, dan alat penangkap kuda dan musuh yang tak ubah seperti alat untuk menangkap seekor ayam. Namun apabila ia berada di tangan seorang pejuang yang mahir, semua ini menjadi senjata yang cukup memusnahkan.
Abulkhair Khan melaksanakan kaedah progresif taktik ketenteraan pada zaman itu. Pasukan tentera Kazakh tiba di Anrakai bukanlah melalui Jalan Kalmak Besar, tetapi sebaliknya dari arah tenggara Balkhash. Objektif utama tentera Kazakh ini adalah untuk membuat kepungan dari luar Anrakai lalu memusnahkan kubu Kalmyktobe, di mana ia menempatkan pasukan utama tentera Dzungar (Pasukan ke-5 dan ke-6).
Jika dilihat dari taktik ini, Abulkhair Khan telah menghidupkan kembali taktik perang padang rumput yang memiliki sejarahnya yang tersendiri selama berabad-abad. Tindakan ketenteraan ini disusuli oleh pecahan tiga pasukan tentera berkuda, di mana para baghatyr dan panglima Kazakh membentuk pasukan yang memantau lembah Sarybulak dan Kapaly, yang dapat membuka laluan ke arah musuh dan menyerang kubu Kalmyktobe.
Senjata api dengan daya kekuatan pemusnahnya yang tinggi turut digunakan. Tentera Dzungar tidak mampu bertahan dengan asakan pasukan berkuda Kazakh. Melalui sungai kecil padang rumput, pasukan Kazakh mendesak tentera Dzungar ke arah Tasik Alakol dan pergunungan Anrakai. Musuh cuba berundur ke gunung selepasnya atau mendaki ke puncak, tetapi detasemen tentera Kazakh berjaya memintas mereka.
Kesatuan organisasi tidak kekal lama di kem Dzungar. Hong Taiji Galdan Tseren gagal memikirkan strategi serangan balas terhadap pasukan berkuda Kazakh yang handal. Dzungar juga bahkan gagal mendapatkan bantuan dan sokongan dari mana-mana sekutu mereka. Apa yang lebih teruk, pada titik inilah bermulanya permusuhan antara Dzungar dengan Maharaja Dinasti Qing.
Semua ini dicetuskan oleh dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah Kekhanan Kazakh, Abylai Khan – dia menjalinkan hubungan sekutu dengan Dinasti Qing di China untuk memerangi Dzungar yang ketika itu dianggap sebagai menjengkelkan oleh semua pihak.
Pada tahun 1729 Dinasti Qing mengisytiharkan perang terhadap Kekhanan Dzungar dan pada akhir tahun ini juga mereka memusatkan fokus utama kekuatan ketenteraan mereka. Kerana itulah Kekhanan Dzungar mengalihkan pasukan tentera mereka yang terkuat di Anrakai untuk berperang dengan Qing. Dan tentera Kazakh yang diketuai Abulkhair Khan bertindak memanfaatkan detik itu. Pada tahun 1730 mereka bergerak ke bahagian tenggara Balkhash melalui sungai Shu, Talas dan memenangi Pertempuran Anrakai ini.
Dalam pertempuran Anrakai yang terbesar dan sengit ini, Kekhanan Dzungar dikalahkan dengan begitu teruk sekali hingga membawa kepada tragedi-tragedi susulan yang memuncak dengan pembantaian bangsa Dzungar oleh tentera Dinasti Qing, pembunuhan beramai-ramai ini dianggap antara yang terburuk dalam sejarah dunia kerana telah membunuh sebanyak 70 hingga 80 peratus populasi Dzungaria.
Setelah membersihkan populasi penduduk asli Dzungaria, pemerintah Dinasti Qing kemudian membawa masuk orang-orang Han, Hui, Uyghur, dan orang Xibe untuk mengusahakan industri perladangan di Dzungaria, bersama-sama dengan bangsa Manchu untuk memenuhkan kembali daerah tersebut sebagai sebuah wilayah panji-panji Qing, yang kini dikenali sebagai Utara Xinjiang dan turut meliputi sebahagian daripada Mongolia dan Kazakhstan.
Antara mereka yang menunjukkan keberanian dan kemahiran secara berkumpulan dalam pertempuran Anrakai kebanyakannya adalah golongan baghatyr (pahlawan), biy (gabenor), sultan, dan para leluhur bangsa Kazakh dan Mongol moden hari ini dari klan Borjigin, yang secara tidak langsung menyatukan mereka sebagai kaum kerabat yang sama dengan Genghis Khan.
Selain itu, perwakilan dari ketiga-tiga Zhuz Tua, Tengah dan Muda, iaitu Sanryk Toktybayuly, Barak Shorekuly, Tortaul Olzhabai, Otegen Otegululy, Bogenbay Bozkosuly, Aksha Sartkosuly, Aksha Sartkosuly Taileldak, Seldkosuly Kangeldy Eserken Zhamankarauly dan lain-lain. Selain pertempuran di Bulanty dan Anrakai, terdapat beberapa lagi pertempuran di pelbagai tempat di Sary-Arka, tebing Sungai Ili.
Sepanjang tempoh konflik pada penghujung Perang Kazakh-Dzungar, wilayah-wilayah besar di padang rumput Kazakh ditawan kembali dari penjajahan Dzungar, antaranya ialah wilayah Syr-Darya dan Arys, Ulytau dan Sarysu, wilayah Balkhash utara, lembah Talas dan Chu. Populasi Kazakh kembali memenuhi sempadan Sungai Ili.
Pertempuran Anrakai adalah penting kerana ia menjadi asbab kepada serangan tentera Kazakh di arah timur dan utara yang menjadi kunci kemaraan Kazakh di Semirechye, yang ketika itu masih berada di bawah saki baki pemerintahan Kekhanan Dzungar yang sedang runtuh. Perang Kazakh-Dzungar (fasa ketiga) antara tahun 1723- 1730 yang pada asalnya hanyalah sekadar tindakan balas terhadap pencerobohan Dzungar akhirnya menjadi kisah perjuangan kemerdekaan yang amat dibanggakan dalam sejarah negara Kazakhstan.
Bangsa Kazakh ketika itu mungkin sesuai dijadikan sebagai antara contoh kemerdekaan yang dibayar dengan harga yang tinggi. Rakyat perlu menanggung segala kepahitan, kekalahan, korban besar tetapi ketika itu mereka sangat memahami bahawa semua itu berlaku ada sebabnya.
Perang ini menuntut mobilisasi setiap tenaga, sumber dan material yang ada, namun ia memperkukuhkan bangsa dengan menyatukan semua klan dan suku-suku Kazakh. Mirip seperti saat Temujin menyatukan suku-suku nomad di bawah Empayar Mongol, bezanya adalah antara matlamat kemerdekaan dengan matlamat penaklukan. Dan organisasi serangan yang tepat terhadap musuh turut menyumbang kemenangan ini.
Kira-kira sepuluh ribu saki baki keturunan Dzungar, Derbet, dan Hoyt yang diketuai oleh para noyan dan tsereng, berjaya menyelamatkan diri dari dibantai oleh tentera Qing. Mereka melarikan diri ke Volga di wilayah Kalmyk. Beberapa kelompok Dzungar berpecah dan tersebar ke sekitar Afghanistan, Badakhshan, dan Bukhara yang kemudian diterima untuk berkhidmat dalam tentera oleh pemerintah tempatan. Dari sini, lahirlah keturunan Dzungat yang akhirnya memeluk Islam.
RUJUKAN:
Kazakh Khanate, Feudal Fragmentation. History of Kazakhstan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih