Sebut saja sumo, ramai membayangkan dua penggusti beradu di gelanggang dan cuba menolak lawan keluar seperti dalam filem Sumolah!. Sukan ini bukan saja unik tetapi melambangkan pelbagai nilai Jepun seperti kehormatan dan kegigihan semasa beradu di gelanggang. Tetapi benarkah sukan ini berasal dari Jepun atau ada bukti lain yang menyatakan sebaliknya?

Ada sebab munasabah mengapa penulis membangkitkan persoalan ini. Baru-baru ini, sekumpulan pakar arkeologi mengekskavasi makam-makam diraja era Dinasti Han dan Qing. Di situ, mereka menemui sisa dinding batu yang dihias dengan lukisan penggusti-penggusti menyerupai penggusti sumo. Persamaannya tidak boleh dinafikan iaitu mereka tidak memakai seurat benang dengan alat sulit mereka ditutup dengan kain.

Selain sisa dinding batu, mereka turut menemui patung-patung kecil penggusti beradu antara satu sama lain di makam-makam yang berasal dari abad kelima hingga ketiga SM. Malah, mengikut rekod, gusti Shuai jiao dikatakan bermula 4,000 tahun lalu atau lebih tepat 6000 SM! Populariti gusti di China berakhir selepas kejatuhan Dinasti Qing sekitar 1912.

Jadi, siapa yang memperkenalkan gusti China di Jepun? Sesetengah cendekiawan percaya ia dibawa oleh penjelajah dan ahli sihir istana Xu Fu semasa mendarat di Jepun pada 200 SM. Ada pula mendakwa ia diperkenalkan oleh duta China era Dinasti Han sebagai cara memperkukuh hubungan China-Jepun. Ada juga berpandangan ia dibawa oleh tentera-tentera upahan China semasa era Tiga Kerajaan. Mereka dibawa ke Jepun sebagai askar upahan untuk daimyo-daimyo yang bertelagah.

Bagi orang Jepun, mereka tetap berpendapat sumo sudah lama ada di negara itu menerusi mitologi dan rekod sejarah mereka. Sumo pada asalnya merupakan tarian ritual sebagai cara menawarkan persembahan kepada dewa-dewi Shinto dengan harapan mendapat hujan mencukupi dan hasil pertanian yang baik. Cerita ini direkodkan sebelum Jepun mempunyai sistem bahasanya sendiri.

Sumo juga turut dinyatakan dalam mitologi dewa-dewi Shinto dan kewujudan pulau-pulau utama negara itu. Mengikut mitologi, dua dewa Shinto iaitu Takeminakata (dewa angin, air dan pertanian) dan Takemikazuchi (dewa penaklukan, pedang dan kilat) bergusti sumo bagi menentukan siapa yang layak memiliki pulau-pulau Jepun. Pada akhir perlawanan, ia dimenangi oleh Takemikazuchi.

Rajah 1: Dewa Takemikazuchi berjaya memperoleh pulau-pulau Jepun selepas mengalahkan Dewa Takeminakata dalam satu perlawanan sumo.

Dari segi sejarah, sumo dikatakan berusia 1,500 tahun. Ini berdasarkan buku Nihon Shogi, buku sejarah klasik kedua tertua di Jepun. Dalam buku tersebut, perlawanan sumo terawal diadakan pada 23 SM semasa pemerintahan Maharaja Suinin. Perlawanan sampai itu menyaksikan seorang penggusti bernama Nomi no Sukune mengalahkan lawannya bernama Taime no Kuehaya.

Rajah 2: Nomi no Sukune

Tetapi perlawanan pertama sumo yang disahkan berlaku pada tahun 642 Masihi semasa era pemerintahan Maharaja Kogyoku. Perlawanan sumo diadakan sebagai bentuk hiburan kepada delegasi dari Semenanjung Korea yang mengadakan lawatan ke Jepun ketika itu. Sejak itu, ia dijadikan sebagai sukan dan hiburan popular di istana.

Disebabkan ia kini bersifat hiburan dan mempunyai kepentingan dari segi sejarah dan budaya, maka perlawanan sampai mati yang wujud sebelum ini sudah tamat. Ini berikutan perlaksanaan kod peraturan formal yang digubal semasa era Heian (794-1185 Masihi). Bagaimanapun, ia mula mengalami kemerosotan semasa era Keshogunan Kamakura sehingga 1333. Semasa tempoh ini, Jepun berdepan ketidakstabilan dan perang sehingga mengakibatkan perubahan besar kepada sistem ekonomi dan sosial ketika itu.

Kemunculan sistem feudalisme menerusi samurai dan sistem ekonomi berasaskan pertanian terhasil akibat pergolakan era berkenaan. Bagi golongan samurai, sumo bukan saja satu hiburan tetapi sebagai latihan ketenteraan. Sumo dilihat berkesan menambah keberkesanan mereka sebagai pahlawan di medan perang.

Selepas tamat era Kamakura, ia digantikan oleh era Muromachi (1336-1573 Masihi). Sumo masih diadakan tetapi ia dianjurkan di kuil-kuil Shinto. Ini menjadikan sukan itu bukan saja sebagai hiburan untuk semua. Malah, ia turut menjana sejumlah besar derma untuk sesebuah kuil menerusi derma orang ramai dan golongan bangsawan.

Penggusti sumo turut menikmati kelebihan kewangan daripada semua ini. Penggusti-penggusti mendapat sebahagian daripada wang perlawanan dan menarik kehadiran ramai penonton. Bagi para daimyo, mereka menjadi penaung bukan saja penggusti-penggusti sumo tetapi sekolah-sekolah latihan sukan berkenaan.

Seseorang penggusti berpeluang menjadi terkenal sekiranya mendapat tajaan oleh para daimyo. Sekiranya mereka berjaya mendapat hak penaung daripada seseorang daimyo, maka si penggusti berpotensi mendapat ganjaran kewangan dan kemungkinan dianugerah gelaran samurai. Antara daimyo yang dikenali kerana meminati sukan sumo ialah Oda Nobunaga.

Pada Februari 1578, beliau menganjurkan satu pertandingan sumo di Istana Azuchi yang disertai oleh 1,500 orang penggusti. Pertandingan ini dianggap istimewa kerana memperkenalkan dohyo atau gelanggang sumo khas berbentuk bulatan. Gelanggang ini berukuran 4.55 meter diameter di mana ia dibentuk oleh bandela padi-gandum sebagai garis sempadan.

Sejak hari itu, dohyo menjadi sebahagian daripada komponen penting pertandingan sumo. Dohyo kini diletakkan di atas platform tanah liat berbentuk segi empat sama yang berukuran 66 cm tinggi dan 6.7 meter lebar.

Begitupun, zaman gelap dan kebangkitan sumo berlaku pada era Edo atau era Keshogunan Tokugawa. Ini kerana kebiasaannya dalam setiap perlawanan, wujud pergaduhan penonton atau lebih teruk, penggusti sumo sendiri. Akibatnya, rejim Tokugawa mengarahkan sukan sumo diharamkan, Perintah ini bagaimanapun tidak menghalang ia diadakan secara senyap-senyap di jalanan sunyi atau di kuil-kuil.

Bagi mengelak nama baik sukan itu terus tercalar, sekolah-sekolah sumo profesional diwujudkan dengan sekolah-sekolah ini bertanggungjawab membentuk peraturan sukan sumo dan diterima oleh semua pihak. Bagi memastikan peraturan-peraturan ini dikuatkuasakan dengan adil, sekolah-sekolah sama turut melatih pengadil-pengadil. Semua perubahan ini menjadikan sumo dikenali sebagai sukan tontonan umum dan mendorong Keshogunan Tokugawa menarik balik pengharaman berkenaan.

Pengiktirafan ini dibuat seawal 1684 melalui seorang bangsawan yang memberi restu kepada acara tersebut diadakan. Selepas pengharaman sumo ditarik balik, penggusti-penggusti sumo sekali lagi berpeluang mendapat naungan daimyo dan sokongan kewangan oleh para pedagang. Dan seperti sebelumnya, mereka boleh mendapat gelaran samurai terima kasih kepada kemahiran gusti mereka.

Walaupun peraturan sumo ditambahbaik dari semasa ke semasa, sumo terus menjadi sukan ikonik Jepun dan menjadi sebahagian daripada kebudayaan negara Matahari Terbit. Dan melihat kepada tradisi yang diamalkan semasa pertandingan, ia ibarat jendela pelbagai detik bersejarah negara itu.

RUJUKAN

Vuckovic, A. (2021, 18 Disember). Sumo Wrestling: From Ritual Origins to Honorable Sport. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply