Sebut pasal sains forensik, kita sedia maklum ia berkait dengan siasatan jenayah terutama autopsi dan analisis bukti. Sains forensik ini bukan saja menentukan fakta sesebuah jenayah itu berlaku atau tidak tetapi juga menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau sebaliknya. Tetapi tidak ramai tahu, sains forensik sebenarnya bermula di China pada abad ke-13 Masihi hasil sumbangan seorang hakim dan pelopor sains forensik bernama Song Ci.

Biografi Song Ci

Song Ci atau nama lainnya Song Tzu dilahirkan pada tahun 1181 dalam sebuah keluarga pegawai kerajaan yang mengamalkan fahaman Confucius. Bapanya juga merupakan seorang hakim dan pada usia mudanya pernah berguru dengan Wu Chih, salah seorang anak murid kepada filsuf dan penulis era Dinasti Song. Semasa berusia 20 tahun, beliau menuntut di Universiti Diraja dan mendapat bimbingan Zhen Dexiu, seorang filsuf fahaman Neo-Confucius dan pemain penting dalam istana Dinasti Song Selatan. Selepas menamatkan pengajian dengan darjah chin shih pada tahun 1217, Song Ci kemudiannya ditawarkan jawatan sebagai sherif di bandar Chekiang. Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mengambil jawatan berkenaan kerana keluarganya masih lagi dibelenggu kesedihan selepas kematian bapanya yang tercinta.

Sembilan tahun selepas itu, Song Ci dilantik sebagai pendaftar mahkamah di Hsin-feng, sebuah bandar di Chiangsi dan mula membina namanya sebagai pegawai kerajaan yang cekap. Semasa berada di Hsin-feng, beliau bertanggungjawab menamatkan pemberontakan petani yang tercetus akibat masalah kekurangan makanan. Satu solusi yang digunakan ialah mengeluarkan makanan dari gudang simpanan kerajaan dan diagihkan kepada penduduk yang terkesan dengan masalah itu. Pada tahun 1238 pula, Song Ci dihantar ke Nan-chien dan beliau mendapati ramai orang kaya menyembunyikan bekalan beras sehingga mengakibatkan masalah kekurangan beras di bandar berkenaan. Berang dengan tindakan mereka, beliau membahagikan kelompok miskin kepada lima bahagian dan mengarahkan sebahagian harta golongan berkenaan disumbang kepada golongan miskin yang memerlukan.

Setahun selepas itu, Song Ci dilantik sebagai hakim di Kuangtung dan seperti dipaparkan dalam drama TVB Witness to a Prosecution, bertanggungjawab membebaskan ramai tahanan yang tidak bersalah dari tuduhan jenayah asal. Beliau juga bertanggungjawab menyelesaikan 200 kes jenayah membabitkan pembunuhan, bunuh diri atau kematian yang tidak disengajakan. Selepas menghabiskan masa dua tahun di Kuangtung, beliau dipindahkan ke Changchou pada tahun 1241 dan membantu Shih Neng-Chih mengumpul dan menambahbaik rekod sejarah dan geografi tempatan. Empat tahun selepas itu, Song Ci dilantik sebagai pentadbir tentera dan daerah Changchou sebelum dipindahkan ke Hunan pada tahun 1247 untuk menjawat jawatan hakim besar. Hunan juga menjadi saksi kepada hasil kerja agungnya yang dinamakan Hsi Yuan Chi Lu (Collected Cases of Injustice Rectified). Pada tahun 1249, beliau dilantik sebagai ketua hakim untuk seluruh wilayah Kuangtung dan menghembuskan nafas terakhir pada usia 64 tahun.

Hsi Yuan Chi Lu

Hsi Yuan Chi Lu dianggap signifikan kepada dunia sains terutama sains forensik kerana ia merupakan buku pertama yang menyentuh subjek berkenaan secara menyeluruh dan sistematik. Song Ci berbuat demikian kerana merasakan walaupun ada beberapa buku berkenaan sains forensik yang menjadi rujukan hakim dan pegawai penyiasat, masih wujud elemen ketidakjujuran dan tidak efisien dalam proses siasatan. Sekiranya dua unsur ini dibiarkan begitu sahaja, beliau bimbang ia akan mengakibatkan ketidakadilan terus berleluasa dan orang yang tidak bersalah dihukum atas kesalahan yang tidak dilakukannya.

Lihat prakata edisi Yuan tahun 1308 ini (prakata ditulis oleh beliau pada tahun 1247):

“Dalam urusan kehakiman, hukuman mati merupakan hukuman paling berat dan bagi kesalahan bunuh, pembuktian perlu dibuat menerusi motif dan keterangan saksi. Dari situ, barulah hakim akan menentukan sama ada tertuduh itu bersalah atau tidak. Hakim dan pegawai penjara perlu mengikut undang-undang yang dinyatakan dengan tegas. Baru-baru ini, kebanyakan mahkamah dan bandar kecil menugaskan tugas siasatan kepada pegawai-pegawai yang baru dilantik atau kadangkala, pegawai tentera yang langsung tiada pengalaman tetapi diarah melakukan siasatan.

Selain itu, kelicikan suspek dan korupsi yang menyelubungi kerani biasa boleh mengakibatkan fantasi dan pemalsuan fakta, sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Sekiranya seseorang itu cerdik sekalipun, dia tidak mempunyai cara atau sumber untuk mengaplikasikan kebijaksanaannya. Lebih buruk bila si penyiasat itu hanya memerhati tempat kejadian dari jauh, tidak mahu meneliti tempat kejadian atau mayat dan enggan melibatkan diri dalam proses siasatan!

Empat kali aku diangkat sebagai hakim dan walaupun aku tiada bakat untuk berbuat demikian, amat penting bagi aku berhati-hati bila menentukan kes perbicaraan. Sekiranya wujud unsur penipuan, maka penipuan si banduan itu harus dibuktikan betul atau sebaliknya. Sekiranya sesebuah kes itu sulit, aku tidak berani mengeluarkan penghakiman terlalu cepat kerana orang mati tidak boleh mempertahankan dirinya dari ketidakadilan. Aku merasakan kebanyakan keputusan salah di mahkamah berlaku kerana kenyataan saksi yang salah dan konklusi salah dari siasatan awal yang dijalankan.

Justeru, aku mengutip buku-buku terbaru yang menyentuh subjek ini dari Nei Shu Lu, menyemak semua kenyataan mereka, memilih item mana yang penting, menambah pandanganku dan aku kumpulkan semuanya dalam satu buku yang aku panggil Hsi Yuan Chi Lu. Blok cetakan diukir di pejabat Hakim Besar Hunan. Aku menunjukkan buku ini kepada rakan-rakanku agar ia boleh dijadikan sebagai rujukan dan pembelajaran sama. Ianya sama seperti para doktor membincangkan teknik-teknik perubatan lama. Jika kamu memahami sistem peredaran pneuma dan darah, maka kamu tidak akan terlepas tempat sesuai untuk memasukkan jarum akupuntur. Itulah faedah ‘Washing Away of Wrongs’ yang dilihat mempunyai merit yang hampir sama dengan menyelamatkan nyawa manusia dari kematian.”

Antara teknik forensik yang disenaraikan dalam Hsi Yuan Chi Lu ialah:

1. Penggunaan lampu pelita yang diletakkan dengan kaca merah atau kain sutera merah sebagai penapis untuk melihat bahagian lebam pada anggota badan, sama seperti lampu ultraungu yang digunakan oleh penyiasat forensik hari ini.

2. Untuk mengesahkan sama ada rangka tulang itu milik saudara mangsa atau tidak, setitis darah waris akan diletakkan pada tulang. Jika ia menyerap darah berkenaan, maka rangka tersebut memang ada pertalian dengan waris. Jika tidak, ia tidak akan diserap. Bagaimanapun, ini tidak berhasil kepada tulang yang sudah dibasahi air garam dan ini boleh menjejaskan ujian pengesahan. Ujian ini banyak disebut dalam teks-teks lama China sebelum era Song Ci dan dianggap ujian DNA pertama ketika itu.

3. Melihat pengaruh serangga pada mayat atau peralatan yang digunakan suspek. Ini diaplikasikan dalam satu kes pembunuhan seorang lelaki yang dibunuh kerana pertelagahan soal hutang. Selepas memeriksa mayat dan tempat kejadian, Song Ci meminta semua sabit diserahkan kepada mahkamah untuk diperiksa. Mana-mana pemilik sabit yang enggan berbuat demikian akan dianggap menghalang proses keadilan dan akan dihukum. Selepas memeriksa semua sabit yang diserahkan, beliau mendapati ada satu sabit yang menarik perhatian lalat. Bila ditanya siapa pemiliknya, pemilik berkenaan mengaku sabit itu miliknya dan mempunyai masalah hutang dengan si mati tetapi bertegas dia bukan pembunuhnya. Song Ci kemudian mendedahkan lalat itu sentiasa menghurungi sabit itu kerana sabit itu masih mengandungi bau darah si mati.

SUMBER

1. Needham, Joseph dan Gwei-Djen, Lu. (1988). A HISTORY OF FORENSIC MEDICINE IN CHINA. http://images.biomedsearch.com/3059100/medhist00061-0007.pdf?AWSAccessKeyId=AKIAIBOKHYOLP4MBMRGQ&Expires=1549497600&Signature=VIfR%2F9iesfK4tFdZE6leh1NeWFc%3D

2. Clearharmony.net. (2003). Ancient Chinese Forensic Medicine. http://www.clearharmony.net/articles/a11151-Ancient-Chinese-Forensic-Medicine.html#.XFj3bDvVJ1s


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.