Melihat situasi di rantau Asia Timur ketika ini, penulis teringat hujah salah satu watak Iris II: New Generation, Choi Min (Oh Yeon-soo). Selepas pihak NSS (agensi keselamatan fiksyen Korea Selatan) menemui empat buah bom nuklear yang dihasilkan pada tahun 80-an, pentadbiran Seoul diketuai Presiden Ha Seung-jin (Jo Sung-ha) merancang untuk menjadikannya sebahagian daripada kelengkapan persenjataan mereka.

Bagaimanapun, rancangan ini dibantah oleh Choi Min yang berpandangan tindakan tersebut boleh saja memprovokasi negara-negara jiran seperti Jepun dan Taiwan untuk melakukan perkara sama. Ini boleh menyebabkan rantau Asia Timur sebagai rantau negara kuasa nuklear.

Dalam konteks dunia sebenar, debat sama ada Jepun perlu mempunyai senjata nuklear atau tidak kembali hangat. Ia bukan saja didorong oleh konflik Rusia-Ukraine yang berlaku ketika ini. Ia turut didorong oleh ujian peluru berpandu Korea Utara termasuk ujian terbaru peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang dibuat mereka baru-baru ini.

Debat ini dicetuskan kembali oleh bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. Bagaimanapun, majoriti rakyat Jepun menolak idea ini sekeras-kerasnya terutama bagi generasi penduduk yang pernah mengalami serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada akhir Perang Dunia Kedua (WWII). Malah, 75% responden kaji selidik mahukan Tokyo menandatangani Perjanjian Larangan Senjata Nuklear (TPNW).

Di sebalik semua ini, hujah Abe ada asasnya. Bagi rakan lama beliau Profesor Yoichi Shimada, Jepun harus mempunyai keupayaan serangan awal terhadap China atau Korea Utara termasuk senjata nuklear. Tetapi Abe juga tahu sebarang usaha mendapatkan senjata nuklear bagi Jepun boleh membunuh karier politik mana-mana pemimpin negara Matahari Terbit itu.

Lantas, alternatif yang dicadangkan beliau ialah membenarkan Amerika Syarikat menempatkan bom nuklear di Jepun seperti dilakukan di sesetengah negara Eropah semasa Perang Dingin. Bukan satu rahsia, negara seperti Jerman, Belgium, Itali dan Belanda menempatkan bom nuklear taktikal AS di negara mereka. Jika berlakunya insiden, mereka boleh mensasarkan mana-mana negara bagi pihak AS dengan senjata tersebut.

Tetapi masalah Jepun di sini ialah penguatkuasaan undang-undang anti-senjata nuklear Jepun. Sejak 1971, negara itu telah mengharamkan penempatan mana-mana senjata nuklear di negara berkenaan.

Sejak tamat WWII, Jepun terikat dengan perlembagaan yang bersifat keamanan yang ditetapkan pihak Bersekutu terutama AS. Di sebalik idea menjadikan negara Matahari Terbit itu sebagai pencinta keamanan, hakikatnya terdapat banyak fakta yang menunjukkan sebaliknya.

Dari segi keupayaan tentera laut mereka, tentera laut Jepun dianggap yang terkuat di dunia mengatasi Tentera Laut Diraja Britain (Royal Navy). Satu-satunya kekurangan mereka ialah keupayaan untuk melancarkan serangan awal terutama serangan jarak jauh.

Satu lagi sebab Abe membangkitkan hal ini ialah sejauh mana komitmen AS dalam melindungi Jepun. Tidak seperti Ukraine yang bukan ahli negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Tokyo merupakan sekutu Washington. Justeru, AS mempunyai komitmen untuk melindungi Jepun daripada serangan pihak asing termasuk penggunaan senjata nuklear.

Jika dahulu, strategi ini berkesan terutama terhadap Rusia, China dan Korea Utara. Tetapi hari ini, keupayaan ketenteraan China semakin hampir menyaingi AS. Dan komitmen ini semakin dipersoalkan apabila Donald Trump dipilih sebagai Presiden AS pada tahun 2016.

Sepanjang empat tahun penuh kontroversi dan drama di bawah pentadbiran Trump, negara-negara sekutu AS diingatkan bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepadanya dari segi pertahanan dan keselamatan. Walaupun Joe Biden kini bergelar Presiden, skripnya juga sama seperti Trump.

Justeru, Prof Shimada merasakan idea ini harus dipertimbangkan demi menjaga kepentingan jangka panjang Jepun. Satu halangan yang perlu diatasi ialah membuang idea pertahanan Jepun merupakan sesuatu yang tabu dan tidak boleh disentuh.

Bagi penulis buku The Abe Legacy, Hiromi Murakami, ia satu isu yang perlu diselesaikan segera. Benar, ia satu isu tabu yang boleh membunuh karier politik sesiapa yang menyentuhnya termasuk Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida. Tetapi selepas konflik Rusia-Ukraine, hal ini perlu dipertimbangkan semula agar Jepun tidak lagi diperbudak-budakkan oleh kuasa asing termasuk Korea Utara dan Rusia.

Bola telah digerakkan oleh Abe. Cuma persoalannya ialah apakah Kishida bersedia menjadikan idea ini satu realiti? Jika ya, ini bermakna detik Iris yang dikatakan sebagai senario fiksyen bakal menjadi kenyataan.

RUJUKAN

Wingfield-Hayes, R. (2022, 26 Mac). Will Ukraine invasion push Japan to go nuclear?. BBC News.

Sumber gambar: Toru Hanai/Reuters


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply