Dalam bahagian pertama ‘Kita Adalah Iron Man’, kita sudah melihat sisi positif Iron Man atau alter egonya, Tony Stark. Kita tahu nilai-nilai ini menjadikan beliau simbol melawan Pakatan Axis bersama Captain America semasa Perang Dunia Kedua dan komunisme semasa Perang Dingin. Dan nilai-nilai ini juga yang menjadikan beliau sebagai wira moden masyarakat hari ini. Namun, tanpa kita sedari, di sebalik sisi cerah ini, tersembunyi ciri-ciri gelap hero kegemaran ramai ini yang perlu kita ketahui dan dijauhi. Bahagian akhir ‘Kita Adalah Iron Man’ akan bercerita lebih lanjut berkenaan sisi gelap Tony Stark.
Stark seperti diketahui ramai memang suka bergaduh sama ada dengan orang yang dikenali, sekutu atau musuh-musuhnya. Bahkan, ada peminat Marvel Cinematic Universe (MCU) menyatakan bahawa hampir kesemua watak dalam MCU menjadi sasaran permusuhan beliau semasa pertama kali berjumpa. Dari Thor (The Avengers) hingga Steve Rogers (Captain America: Civil War), beliau tanpa segan-silu mencetuskan provokasi atau menimbulkan kebencian jangka panjang gara-gara tindakan beliau yang dianggap nakal dan meloyakan. Dan sisi sebegini yang seharusnya kita jauhi. Pergaduhan antara elemen yang disukai syaitan kerana ia menyebabkan manusia sentiasa dalam keadaan berpecah-belah dan mendorong manusia melakukan lebih banyak kejahatan yang lebih teruk seperti fitnah dan pertumpahan darah. Pergaduhan bukan sahaja menyukarkan penyelesaian sebarang konflik malah ia boleh menyebabkan manusia menyesal di kemudian hari. Contoh akibat sisi gelap ini ialah kematian Phil Coulson di tangan Loki gara-gara pergaduhan tercetus antara Stark dengan ahli-ahli Avengers dan Nick Fury berkenaan Tesseract tanpa menyedari ancaman yang dibawa ejen-ejen yang dipengaruhi Loki diketuai Clint Barton. Walaupun kematian Coulson berjaya menyatukan Avengers sebagai satu unit, ia masih lagi satu pengajaran pahit kepada mereka terutama Stark.
Bagi yang mengikuti perkembangan Stark dalam komik terbitan Marvel Comics, semua mengetahui sikap terlalu mementingkan diri beliau walaupun selepas bergelar adiwira pujaan ramai. Sikap sebegini bukan saja menyebabkan manusia menganggap kita sombong dan angkuh malah boleh menyebabkan kita khayal dalam delusi ciptaan kita sendiri. Dan bila kita terlalu mabuk dengan kekuatan yang dimiliki, kita sebenarnya telah mencipta cara kejatuhan kita sendiri. Dan menerusi sifat ini, musuh-musuh dan kenalan Stark memanipulasi dan menewaskan Stark dengan permainannya sendiri. Contoh paling mudah, selepas kisah ‘AXIS’ di mana Stark mengalami perubahan moral yang signifikan, menawarkan virus Extremis secara percuma kepada penduduk San Francisco yang dambakan kecantikan, kesihatan yang baik atau panjang umur. Namun, pemberian tersebut ditamatkan dan digantikan setiap pembelian akan dicaj $99.99 sehari. Kerana terdesak untuk mendapatkan akses pada Extremis, penduduk sanggup melakukan apa saja termasuk melakukan jenayah. Tindakan Stark dikecam ramai pihak pada ketika itu termasuk Pepper Potts yang menganggap beliau terlalu mementingkan diri sendiri dan mengejar keuntungan semata-mata.
Stark juga dilihat mempunyai keinginan untuk mengawal secara melampau dan sukar melepaskan apa yang dianggap sebagai haknya kepada orang lain. Pada Stark, idea sut perisai besi ialah idea dan hak miliknya sendiri dan tiada sesiapa patut mempunyai kawalan ke atas sut tersebut walaupun yang memintanya ialah negara beliau sendiri. Sikap sebegini sebenarnya memperlihatkan paranoia Stark berkenaan kawalan dan bagaimana ia menjadi teras dalam kehidupannya, satu ciri yang dikongsi dengan jutawan, pencipta dan juruterbang terkenal, Howard Hughes. Dan paranoia tidak bertempat ini seharusnya dijauhi. Ya, tidak salah untuk kita bersikap waspada dalam kehidupan kerana di dunia ini setiap manusia punya ragam tersendiri. Ada saja mempunyai niat kurang baik tetapi itu tidak bermakna kita harus menjadikan ia sebagai lesen untuk bersikap prejudis dan tidak mempercayai orang lain. Pada satu ketika, kita harus belajar melepaskan paranoia yang membelenggu kerana jika ia dibiarkan, kita akan menjadi banduan penjara ciptaan kita sendiri. Dilema ini yang dihadapi Stark dalam kisah ‘Armor Wars’ di mana Stark menetapkan misi menghapuskan semua jenis sut perisai yang wujud di dunia sekiranya ia ditiru dari ciptaan asal sut perisai beliau tanpa mengira sama ada pemakai musuh atau kawan.
Satu sisi gelap Stark yang kita perlu jauhi ialah sikap pendendam beliau pada orang lain terutama James Buchanan ‘Bucky’ Barnes dalam Captain America: Civil War. Stark amat membenci Bucky kerana membunuh kedua-dua ibu bapanya, Howard dan Maria Stark walaupun rakan seperjuangan Avengers, Steve Rogers mengingatkan Stark tentang keadaan Bucky yang dikawal mindanya semasa perlakuan kejam itu berlaku. Walaupun kita faham akan kesedihan dialami Stark, itu bukan alasan untuk kita bersikap pendendam pada orang lain. Ini kerana individu sebegini akan sentiasa merasa tertekan dan merasakan hidup hanya berkisar pada dendam semata-mata. Dan apabila dendam kita sudah terlunas, maka kita akan cari sasaran lain semata-mata untuk memuaskan amarah kita. Tanpa kita sedari, keinginan sebegini akan mencetuskan kitaran keganasan dan konflik tanpa kesudahan, adakalanya sehingga bertahun-tahun sebelum ianya dapat dipadamkan. Dan dendam juga menyebabkan manusia kehilangan nilai empati dan simpati gara-gara terlalu mengikut amarah yang tak berkesudahan.
Akhir sekali, sisi gelap Stark yang patut dijauhi dan dijadikan ingatan ialah tidak melakukan perkara yang melangkaui had sebagai manusia biasa. Secara jujurnya, Tony Stark mempunyai impian yang bagus iaitu menyediakan jaringan keselamatan manusiawi dalam bentuk unit robot sut perisai sebagai iktibar insiden Perang New York antara Avengers dengan Loki dan bala tentera Chitaurinya dalam Avengers: Age of Ultron. Hasil dari impian inilah yang membawa kepada kewujudan Ultron (James Spader (The Blacklist, Boston Legal)) di mana beliau sangka Ultron adalah solusi kepada idea ini. Tetapi sebaliknya, Ultron mencetuskan krisis sehingga hampir menyebabkan manusia pupus atas nama mewujudkan keselamatan dan keamanan berkekalan di bumi. Walau sehebat mana kita di atas dunia, ingatlah kita hanyalah makhluk ciptaan Tuhan yang tak berdaya. Apa saja yang berlaku, semuanya berlaku atas ketentuan-Nya. Jangan kerana keangkuhan kita sehingga sukar menerima hakikat ini, yang menjadi mangsa bukan saja kita tetapi juga generasi-generasi seterusnya. Dan kerana kedegilan Stark, bumi hampir binasa dan Homo sapiens hampir pupus gara-gara mahu mengejar impian membina sistem perlindungan terhebat untuk semua orang.
Akhir kalam, Tony Stark hanyalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Ya, beliau ialah adiwira kebanggaan semua tanpa mengira bangsa, agama, fahaman atau taraf ekonomi. Tetapi beliau juga ada sisi gelap yang seharusnya kita jadikan iktibar agar kita dapat jadi lebih baik daripada beliau. Walau apapun pandangan kita berkenaan Iron Man, beliau akan terus menjadi inspirasi dan pencetus ilham kepada manusia di luar sana.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih