Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Eksplorasi Karya

Marvel Yang Bangkit Dari Abu

Siapa yang mahukan kecelakaan pada ambang hari perayaan bukan? Namun itulah realiti yang pernah dialami ramai dalam kalangan pekerja-pekerja syarikat Marvel. Krismas 1996 merupakan hari yang paling pahit bagi mereka.

Sementara ramai orang menyambut secara gilang-gemilang, Marvel diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Bankrapsi Amerika Syarikat. Syarikat ini sedang kehilangan wang bagaikan tangki air yang retak. Dan masalah paling besar mereka ialah hutang, yang menyebabkan pemberhentian kerja seramai 275 orang (Leonhardt, 1996).

Namun pada hari ini, realitinya sangat berbeza bagi Marvel. Syarikat inilah paling berkuasa bagi pembikinan filem berdasarkan watak-watak komik. Tarikan, cerita dan konsistensi yang berjaya diterapkan dalam Marvel Cinematic Universe telah memberikan Avengers: Endgame laluan mudah untuk menundukkan Avatar sebagai filem kutipan paling tinggi dalam masa 90 hari sahaja.

Sebelum Tony Stark meninggal dunia akibat petikan jari yang mendebukan Thanos, Marvel juga mempunyai filem-filem berkeuntungan besar seperti Iron Man 3, Captain America: Civil War, Black Panther dan Captain Marvel iaitu filem komik pertama yang berjaya mencecah AS$1 bilion dengan wanita sebagai watak utama.

Transformasi yang dirancakkan sememangnya
meletakkan Marvel di tempat yang tinggi. Dengan sokongan, dokongan dan dorongan
daripada kuasa paling besar dalam industri perfileman, masa depan dilihat mekar
dan segar bagi Marvel. Namun 10 tahun sebelum Iron Man diterbitkan, mereka
sedang sengsara. Bagaimanakah Marvel membetulkan keadaan?

Risiko.

Marvel mempunyai dua pilihan: make or break.
Walaupun berjaya membayar hutang sebelum memasuki alaf baru, Marvel masih belum
selamat. Mereka mempunyai banyak rancangan, seperti restoran-restoran bertema
komik iaitu Marvel Mania. Idea ini dijayakan pada tahun 1998… yang tutup dalam
tempoh setahun. Jadi Marvel perlu sesuatu untuk berjaya. Kemuflisan
diisytiharkan dua tahun selepas filem Blade telah menyengat prestasi mereka.

Blade merupakan sebahagian daripada
perjanjian berisiko tinggi yang menyaksikan penjualan hak untuk X-Men dan
Spider-Man kepada 20th Century Fox (kini dibawah Disney) dan Sony
Pictures. Atas kertas, rancangan ini nampaknya berjaya. Hugh Jackman menajamkan
kuku X-Men pertama dengan kutipan hampir AS$300 juta dengan kos AS$75 juta
sahaja. Spider-Man 1 menjana keuntungan besar yang mencecah angka bilion jika
digabungkan kutipan pawagam dan jualan DVD.

Namun Marvel tidak mendapat satu sen pun
daripada keuntungan berganda ini. Hak perfileman telahpun dicapai kata sepakat
dengan pembayaran awal (up-front payment). Blade yang mengutip AS$70 juta pun
menyumbangkan sebanyak AS$25,000 sahaja kepada akaun Marvel.

Maka pada tahun 2003, seorang agen bernama David Maisel membuat pembentangan yang mempersoalkan strategi Marvel. Beliau menimbulkan persoalan tentang strategi semasa syarikat iaitu penyerahan aset atas yuran kecil. Maisel mencadangkan penubuhan Marvel Studios yang memiliki Marvel menguasai secara sepenuhnya. Pada ketika itu, perancangan relevan ini dilihat terlalu besar. Namun Maisel tetap menekankan bahawa strategi semasa Marvel yang tiada untung mahupun rugi tetap tidak membebaskan Marvel daripada belenggu kos operasi.

Pada tahun 2005, idea Maisel dilaksanakan
dengan sebuah perancangan tujuh tahun. Mereka memoon pinjaman sebanyak AS$525
juta daripada bank Merill Lynch. Filem-filem yang bakal dibikin pula akan
diedarkan oleh Paramount Pictures. Tetapi untuk mendapat dana AS$525 juta
tersebut, Marvel perlu mencagarkan 10 harta. Jika gagal, Marvel akan kehilangan
hak untuk the Avengers, Nick Fury, Black Panther, Ant-Man, Cloak & Dagger,
Doctor Strange, Hawkeye, Power Pack dan Shang-Chi kepada Bank of America,
termasuk juga Captain America.

Maka apabila Thanos melancarkan serangan
besar-besarannya, Iron-Man dan Thor Gemuk sahaja yang akan berdepan dengan
Black Order. Sebenarnya hak perfileman Iron-Man pun terlepas daripada tangan
Marvel juga. Tetapi hak ini diserahkan dari studio ke studio, bermula dengan
Universal sampailah New Line Cinema. Tiada seorang pun berjaya melepasi fasa
perancangan; maka hak kembali kepada Marvel, yang ditolak seramai 30 penulis
skrip atas alasan musykil dengan kemampuannya (Armitage, 2019).

Jika rancangan ini gagal, Marvel perlu
berdepan dengan pokok dan bunga pinjaman mereka – dan kehilangan hampir semua
harta mereka. Tanpa sebarang peluang dalam minit-minit layar perak, Iron-Man
sahajalah tombak utama Marvel. Dikemudikan Robert Downey Jr. yang turut mencari
peluang untuk menebus kariernya, Iron-Man boleh dikatakan mendapat keuntungan
yang menjaminkan masa depan mereka. Pengaruh Iron-Man mula merebak sehingga
penulis ini pun menyimpan jambang seperti Tony Stark.

Kini dibawah pentadbiran Kevin Feige, Marvel
telah mengutip sebanyak AS$26.6 bilion. Belum pernah mana-mana filem komik
dicalonkan sebagai Filem Terbaik dalam Academy Awards. Itulah yang membuatkan
Hugh Jackman menyanyi “how come comic book movies never get nominated? How can
a billion dollars beyond sophisticated? Everyone went to see the Dark Knight”
pada tahun 2009. Namun Kevin Feige memecahkan kebuntuan tersebut dengan Black
Panther yang menerima pencalonan tersebut, tetapi tewas pada Green Book. Namun
Black Panther memenangi Muzik Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik dan Rekaan
Pakaian Terbaik.

Dengan tujuh filem terbaru diumumkan yang
akan menyambung Marvel Cinematic Universe, tentu sekali Marvel takkan mudah
kecundang.

Sumber:

Armitage,
H. (2019). How Iron Man’s first
film almost destroyed Marvel
. [online] Digital Spy. Available at:
https://www.digitalspy.com/movies/a26232993/iron-man-marvel-loan-bankruptcy/
[Accessed 7 Feb. 2019].

Leonhardt,
D. (1996). What Evil Lurks In the Heart of Ron?. Bloomberg, p.44.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet