Menurut Teori Konspirasi kontemporari, matlamat Freemason, Illuminati, dan Banker Yahudi (Rothschild) adalah untuk menubuhkan sebuah “New World Order” yakni kerajaan dunia yang dikuasai oleh mereka. Malah ramai yang percaya mereka telah pun berjaya mencapai matlamat tersebut dengan mengawal pelbagai pertubuhan politik, ekonomi, syarikat dan media. [1] Menurut Teori Konspirasi yang disalutkan dengan nama Islam, New World Order dengan kata erti lain adalah rancangan jahat Dajjal dan pengikutnya untuk menakluki dunia.

“Carta Organisasi” New World Order yang dicipta oleh pendukung Teori Konspirasi

Salah satu “bukti” rancangan jahat tersebut ialah frasa “Novus Ordo Seclorum” yang tertera pada jata negara Amerika Syarikat yang juga dicetak atas wang kertas USD 1. Tengok, ada “mata Dajjal”, ada piramid Firaun. Sah, inilah tanda-tanda Dajjal yang diceritakan dalam al-hadith.

Pendukung Teori Konspirasi mengkritik penulis atas penggunaan sumber Barat (yang tersirat: Freemason dan Rothschild). Namun pada masa yang sama mereka tiada masalah menerima bulat-bulat dakwaan teori New World Order yang jelas dibawa oleh mubaligh Kristian. Kritikal, atau selektif?

Tafsiran yang mengaitkan Eye of Providence dengan Eye of Horus dan Anti-Christ (Dajjal Al-Masih) dengan Pharoah (Firaun) adalah dipetik daripada karya Mat Saleh, bukan tafsiran ikut piawaian ilmu Islamiah.

Dajjal menurut hadis mempunyai sepasang mata tetapi buta sebelah. Boleh jelaskan mengapa para penyembah setan (Freemason dan Illuminati) ini suka tunjuk mata Dajjal yang sempurna, bukan mata yang buta, atau kedua-dua matanya sekali? Mengapa matanya memancarkan cahaya? Adakah “mata Dajjal” ini menepati apa yang disebut dalam alhadith?

Sabda Rasulullah s.a.w.: “[Dajjal] itu seorang laki-laki gemuk, berkulit merah, berambut keriting, matanya buta sebelah dan matanya itu seperti buah anggur yang menonjol keluar”. (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim)
Dan boleh jelaskan apa kaitannya Dajjal dengan piramid? Apa kena mengena Dajjal dengan Firaun? Carilah mana-mana hadis sehingga jumpa. Tapi tidak apa, sementara para pendukung Teori Konspirasi google “hadis dajjal firaun”, biar kita lihat dulu bagaimana dakwaan New World Order muncul, oleh siapa, dan untuk apa? Adakah frasa Novus Ordo Seclorum membawa maksud “New World Order”? Apa faedah bagi mereka untuk membongkar rancangan rahsia tersebut kepada orang awam? Kalau mahu berkonspirasi pun, bukankah lebih baik berdiam? Untuk apa berheboh-heboh satu dunia?

Sebenarnya, Novus Ordo Seclorum hanyalah frasa Latin yang membawa maksud “New Order of the Ages”. Walaupun bunyinya hampir sama dengan “New World Order”, ia sebenarnya membawa maksud pembukaan sebuah era baru. Simbolisme mata (Eye of Providence) dan piramid juga ada penjelasannya. Berikut ialah penjelasan yang diberikan oleh pencipta jata itu sendiri, Charles Thomson pada 20 Jun 1782:

The pyramid signifies Strength and Duration: The Eye over it & the Motto allude to the many signal interpositions of providence in favour of the American cause. The date underneath is that of the Declaration of Independence and the words under it signify the beginning of the new American Æra, which commences from that date”. [2]


Penjelasan Charles Thomson tentang simbol mata dan piramid

Seperti yang telah dijelaskan dalam artikel pertama siri, penggunaan simbol-simbol ini mungkin dipengaruhi oleh fahaman ketuhanan Freemason (deisme dan naturalisme), bukan Dajjal. Para pengasas Amerika percaya bahawa Revolusi Amerika adalah di bawah pengawasan dan perlindungan (providence) Tuhan yang akan membuka sebuah era baru dalam sejarah manusia, yang akan membawa kepada pencerahan sejagat. Itu adalah fahaman yang popular ketika Era Pencerahan (Age of Enlightenment), kita tidak perlu percaya. Tetapi mengaitkannya dengan New World Order adalah terlalu dangkal.

Frasa New World Order hanya mula popular di sekitar 1920-an. Penggunaan istilah tersebut pun tiada kena-mengena dengan Novus Ordo Seclorum. Ia muncul selepas Perang Dunia Pertama tamat pada tahun 1918 di mana sebuah persidangan iaitu Persidangan Keamanan Paris (Paris Peace Conference) telah diadakan untuk membincangkan penyusunan tata dunia (world order) pasca perang.

David Lloyd George (Perdana Menteri Britain), Vittorio Orlando (Perdana Menteri Itali), Georges Clemenceau (Presiden Perancis) dan Woodrow Wilson (Presiden Amerika) semasa Persidangan Keamanan Paris.

Dalam persidangan tersebut, Presiden Woodrow Wilson telah mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah organisasi antarabangsa bernama Liga Bangsa (League of Nations) untuk menjaga keamanan dunia. Adakah ia kezahiran cita-cita Amerika untuk menguasai dunia?

Menurut pandangan Wilson, perang besar berlaku adalah kerana dalam tata dunia lama (old world order), negara bebas untuk bertindak, berperang dan membuat perjanjian, dan keadaan tersebut telah membawa kepada perang dunia. Maka, dengan adanya sebuah organisasi antarabangsa yang mampu mengawasi tindak tanduk negara, Wilson berharap ia dapat menghindari pengulangan perang besar di masa hadapan. Yang dimaksudkan sebagai “New World Order” adalah hubungan antarabangsa yang berasaskan undang-undang dan peraturan antarabangsa. [3]

Jikalau Amerika ada agenda untuk mendominasi dunia melalui Liga Bangsa pun, cita-cita tersebut tidak tercapai. Britain dan Perancis pada awal-awal kurang bersetuju dengan proposal Wilson, malah proposal Wilson telah ditolak oleh Kongres Amerika. Amerika tidak dapat menyertai Liga Bangsa, dan Liga Bangsa gagal berfungsi dengan baik dan telah dibubarkan selepas Perang Dunia Kedua dicetuskan oleh Hitler pada tahun 1939. [4]

Selepas Amerika menyertai Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, idea New World Order timbul kembali. Bagi pendukung gagasan New World Order, Perang Dunia Kedua membuktikan penubuhan sebuah organisasi global adalah penting bagi mencapai keamanan sejagat. Itulah yang dihujah oleh H.G. Wells dalam bukunya The New World Order pada tahun 1940.

Apa yang Wilson dan Wells anjurkan bukan konspirasi, tetapi solusi atau cadangan untuk memperbaiki keadaan dunia. Walaupun cadangan mereka bukanlah ubat mujarab kepada masalah dunia, namun ia juga bukan konspirasi seperti yang dibayangkan oleh pendukung Teori Konspirasai. Maka menjelang penghujung Perang Dunia Kedua, Presiden Amerika iaitu Franklin Delano Roosevelt telah menubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations – UN), Dana Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund) dan Bank Dunia (World Bank) sebagai penjaga keamanan dunia.

Liga Bangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Dua eksperimen Amerika untuk mewujudkan New World Order

Namun Amerika telah lama terasing daripada hal ehwal dunia, maka terdapat ramai di Amerika yang tidak selesa dengan perubahan dasar tersebut. Kumpulan seperti John Birch Society (JBS) mula berkempen untuk mendesak Amerika untuk menarik diri daripada UN. Mereka mendakwa UN adalah sebuah konspirasi untuk menggadaikan kedaulatan Amerika. Golongan seperti JBS ini digelar sebagai isolasionis yang selalu dikait dengan golongan konservatif, manakala kumpulan-kumpulan penasihat pro-UN seperti Council of Foreign Relations dan Trilateral Commission pula dilabelkan sebagai internasionalis dan selalu dikaitkan dengan golongan liberal-progresif (ini akan dikupas lebih lanjut dalam artikel seterusnya). [5]

Sepanduk John Birch Society

Meskipun para internasionalis menaruh harapan tinggi terhadap UN, namun ia tidak berfungsi dengan baik akibat pergelutan kuasa antara Amerika dan Soviet (Rusia) sepanjang Perang Dingin. Selepas Perang Dingin tamat pada tahun 1989, George Herbert Walker Bush (ayah George Walker Bush) telah memberi ucapan bersejarah mengenai New World Order pada 11 September 1990. Bush menyeru komuniti dunia untuk memperkasa semula UN dan menggantikan hubungan antara kuasa besar yang berasaskan persaingan senjata (rule of jungle) dengan undang-undang (rule of law).

Disebabkan oleh tarikh penyampaian ucapan tersebut jatuh pada 11 September, ia menjadi modal besar pendukung Teori Konspirasi. Namun kandungan ucapan Bush adalah tiada kena mengena dengan Peristiwa 9/11 dan kesan-kesannya. Apa yang Bush cuba sampaikan adalah sama seperti apa yang Wilson dan Roosevelt telah sampaikan. Namun begitu, ramai masih menaruh sangsi dan memberi reaksi paranoid terhadap gagasan Bush akibat dakyah yang disebarkan bertahun-tahun oleh JBS dan penulis konservatif yang lain seperti Gary Allen, penulis buku Rockefeller: Campaigning for the New World Order (1974) dan Say “No!” to the New World Order (1987).

Ucapan Bush mengenai New World Order

Antara buku mengenai New World Order yang terlaris ialah The New World Order yang dihasilkan oleh Pat Robertson pada tahun 1991. Menurut Robertson, maksud tersirat New World Order ialah sebuah rancangan jahat golongan elit di belakang tabir (behind-the-scenes Establishment) untuk menubuhkan kerajaan dunia (one-world government) yang akan diterajui oleh Iblis (Satan), rancangan yang telah disurat dalam ramalan Jesus (Nabi Isa) tentang tanda-tanda akhir zaman (end times). [6]

Inilah kitab pegangan pendukung Teori Konspirasi secara tanpa sedar

Siapakah Pat Robertson? Seorang mubaligh Kristian yang fanatik, yang suka komen negatif tentang Islam.

Inikah “guru” pendukung Teori Konspirasi?

Berlaku pertemuan idea antara eskatologi Kristian ekstemis dan “eskatologi” atau “ilmu fitan” pendukung Teori Konspirasi. Sebabnya ialah: isi buku Pat Robertson yang laris tersebut disalin dan ditampal ke dalam Internet dan telah dikitar semula oleh forum-forum “eskatologi” atas talian. Akhirnya idea New World Order yang dipelopori politikus ekstremis dan mubaligh Kristian di Barat telah disebarkan kepada peminat Teori Konspirasi dan menjadi sebahagian daripada iman mereka.

Ingatlah sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai mereka, katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami…” (Al-Bukhari, Sahih Bukhari, hadis nombor 4485)

Semua bangsa boleh bercita-cita untuk menguasai dan mendominasi dunia, namun tiada sesiapa pun yang berjaya setakat ini. Genghis Khan pernah cuba, Alexander The Great pernah cuba, Napoleon pernah cuba, Hitler pernah cuba, Amerika pun sedang cuba. Adakah hanya kerana Amerika Syarikat menyatakan hasrat untuk menerajui sebuah New World Order, maka kita terus menganggap mereka mampu menguasai dunia?

Apa yang membuat anda percaya AS yang tidak mampu memenangi Perang Korea (tahun 1950-1953) dan Perang Vietnam (tahun 1964-1975) mampu menguasai dunia dan membentuk sebuah kerajaan New World Order?

Amerika Syarikat dimalukan dalam Perang Vietnam

Mungkin sebab kalian sudah lupa tentang firman Allah SWT dalam ayat pertama Surah Al-Mulk yang bermaksud:

“Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Dan sebab yang lebih utama ialah kalian tidak mengkaji sejarah. Kalian hanya telan bulat-bulat sampah Internet yang dihasilkan oleh Mat Saleh. Artikel seterusnya akan memperkenalkan barisan Mat Saleh Amerika bengap yang menyebarkan fitnah Teori Konspirasi.

Akhir sekali, penulis ingin mengajak pendukung teori konspirasi (atau “ilmu fitan” / “eskatologi” seperti yang didakwa oleh mereka) untuk menyenaraikan karya-karya ulama Islam yang membicarakan New World Order, seboleh-bolehnya PADA TARIKH SEBELUM BUKU NEW WORLD ORDER DIKELUARKAN oleh Gary Allen, Pat Robertson dan penulis mat saleh untuk membuktikan bahawa mereka tidak “copy paste” daripada sumber Internet Mat Saleh.

Namun mereka tidaklah berdaya kerana mereka hanyalah golongan miskin hujah yang hanya mampu membalas hujah dengan cercaan.

Wallahua’lam.

Rujukan:

[1] Jovan Byford, Conspiracy Theories: A Critical Introduction (Palgrave Macmillan, 2011).

[2] Derek H. Davis, Religion and the Continental Congress 1774-1789: Contributions to Original Intent (Oxford University Press, 2000).

[3] Thomas J. Knock, To End All Wars: Woodrow Wilson and the Quest for a New World Order (Princeton University Press, 1992).

[4] Cara Lea Burnidge, A Peaceful Conquest: Woodrow Wilson, Religion, and the New World Order (University of Chicago Press, 2016).

[5] D. Mulloy, The World of the John Birch Society: Conspiracy, Conservatism, and the Cold War (Vanderbilt University Press, 2014).

[6] James R. Lewis & Olav Hammer, eds., The Invention of Sacred Tradition (Cambridge University Press, 2007)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

2 Comments

  1. better korg xprlu berbalah sesama sendiri..mantapkan iman menghadapi hari2 yg mendatang..lebihkan ukhrawi dari duniawi..masa kan ada 24jam sehari so pandai2lh bahagikn masa..byk prkara yg berlaku sama spt dlm hadis sblm kedatgn dajjal..teori ayman n freemason ni kita anggap sbg cabaran bkn kita agungkn diorg..diorg suka kita agungkn diorg smpai semua org islam lemah n tgk shj negara trtindas spt palestin, syria n sbgnya walhal dulu sblm turki uthmaniyah jatuh org islam sgt kuat..memg kita tahu freemason telah racuni fikiran kita dgn mewujudkn semua teknologi yg pd ketika dahulu Allah telah hapuskn umat sebelumnya..tp kita jgn guna teknologi yg ad utk tujuan duniawi semata2..carilh utk akhirat juga..freemason tlh jmpa thabut nabi sulaiman..so mereka guna dgn sebaik2nya utk lwn islam..jika mereka ad thabut maka kita ad mukjizat Allah iaitu al quran..kita mampu n yakin bole lwn mereka dgn al quran..perbanyakkn baca n fahami serta hafal alquran n hadis yg sahih..jgn trlmpau mncari n mengkaji teori ayman or freemason..kajilah al quran n hadis maka kita akn dpt jawapannya mengapa kita diwujudkan..wallahualam..

  2. Kembali kaji al-quran dan hadis.. bnyk silap penulis ni.. anda juga mengambil rujukan dari penulis2 dari kalangan mereka yg bebas manipulasi fikiran pembaca utk alih perhatian kamu dan dunia.. lihatlah dgn mata hati kamu dimana keamanan dunia bila palestin sentiasa diratah hari demi hari dan kita masih mengatakan teori tersebut tidak benar.. al-quran dh jelaskan ttg segalanya.. kupas al-quran bagi habis dulu sblm kamu kupas penceritaan mat saleh tu.. lihat lah betapa umat islam seluruh dunia sekarang sedang leka dan lalai dengan demokrasi, hiburan, riba dan semakin meninggalkan islam.. quran dh sebut jelas ciri2 manusia akhir zaman.. bagaimana kamu bole menidakkan sejarah yg telah tertulis dgn cerita2 fitnah mereka utk menutup kejahatan mereka? Semoga allah bersama org2 yg beriman dan berjuang utk berada bersama2 imam mahdi menentang dajjal

Leave A Reply