Harimau, atau dalam Hangeulnya disebut sebagai 호랑이/ 범 (Horang-i/Beom) merupakan haiwan yang mempunyai simboliknya yang tersendiri dalam budaya di Korea. Suatu masa dahulu, keadaan geografi serta bentuk muka bumi Semenanjung Korea yang bergunung ganang menjadi habitat semulajadi yang amat sesuai bagi populasi harimau, sehinggakan ia pernah diberi gelaran sebagai ‘Tanah Harimau’ atau ‘Negara Harimau’.

Apakah simbolik serta mitos yang dibawa melalui paparan harimau ini? Dan bagaimana pula imej harimau ini menjadi suatu ikon budaya pop yang popular pada hari ini? Artikel ini akan mengupas serba sedikit kisah mengenai harimau di Korea serta simbolik yang dibawanya dalam mitos dan budaya di Korea.

Sejarah harimau dalam budaya Korea

Dalam mitos Dangun, ada diceritakan kisah mengenai seekor beruang dan seekor harimau yang berdoa kepada Dewa Langit agar menukarkan mereka menjadi manusia. Walaupun kisah ini berakhir dengan harimau itu kekal menjadi harimau, namun catatan ini merupakan rekod paling lama yang pernah ditemui mengenai kewujudan harimau di bumi Korea.

Rekod-rekod sejarah daripada dinasti purba yang menguasai bumi Semenanjung Korea banyak mencatatkan kisah yang ganas antara manusia dan harimau. Samguk Sagi (Sejarah Tiga Kerajaan), yang telah dikumpulkan pada abad ke-12 telah merekodkan kisah sembilan ekor harimau yang memasuki ibu kota Goguryeo pada tahun 659 Masehi dan menyerang ramai manusia sebelum diburu. Rekod Samguk Sagi juga mencatatkan banyak lagi situasi di mana harimau memasuki kawasan manusia, dan kejadian ini disifatkan sebagai suatu tanda kemarahan dewa terhadap dinasti yang memerintah pada waktu itu.

Penemuan arkeologi ibu kota Goguryeo. 

Gambaran imej harimau pada zaman purba ini memperlihatkan kedua-dua sisi baik dan jahatnya. Sebagai contohnya, dalam kisah San-sin (semangat gunung), iaitu dewa yang paling menonjol dalam sistem kepercayaan animisme tradisional Korea, watak harimau telah bertindak sebagao penghukum bagi orang yang jahat dan membantu orang yang baik. Imej harimau dilukis pada pintu-pintu kediaman rumah sebagai pelindung, penghalau roh jahat dan melindungi masyarakat.

Malah, ada peribahasa terkenal yang dikaitkan dengan harimau seperti “Anjing yang berusia sehari tidak mengetahui keganasan seekor harimau” (“The day-old dog does not know the terror of a tiger”) yang mencerminkan ketakutan terhadap kemampuan serta kekuatan seekor harimau.

Harimau ini juga dianggap sebagai penjaga atau pelindung daripada gangguan semangat serta roh jahat. Azimat dan tangkal yang dibuat oleh masyarakat purba kebanyakannya menyerupai bentuk harimau malah banyak juga objek-objek lain yang dilukiskan dengan imej harimau.

Dalam kisah rakyat Korea (folktales), cerita-cerita mengenai harimau ini banyak dikaitkan dengan sejarah lampaunya, sehingga ada satu ungkapan popular mengenainya, iaitu ‘호랑이 담배 피우던 시절’ (in the time when tigers smoked), yang bermaksud ‘suatu masa yang lama dahulu’.

Apa yang menariknya, berbanding imej harimau yang digambarkan sebagai memiliki kekuatan luar biasa serta bersifat penjaga, kisah-kisah rakyat Korea pula menunjukkan imej harimau yang sebaliknya. Kisah-kisah rakyat ini yang kebanyakannya diceritakan kepada kanak-kanak, banyak menggambarkan harimau sebagai haiwan cemerkap dan sering membuat keputusan yang tidak bijak!

Salah satu kisah rakyat popular mengenai harimau ini adalah kisah harimau dan pisang kaki (the tiger and the dried persimmon – 호랑이 곶감). Kisahnya berbunyi seperti ini:

“Kisah rakyat ini melibatkan seekor harimau yang datang memburu makanan di sebuah kampung. Harimau itu mendengar seorang ibu yang cuba menenangkan bayinya yang sedang menangis. Ibu ini memberitahu bayinya bahawa seekor harimau akan datang dan memakannya jika tidak berhenti menangis.

Namun begitu, bayi ini masih tetap menangis. Harimau ini berfikir bahawa bayi ini begitu berani sehingga tetap sahaja menangis walaupun disebut mengenai harimau yang ingin memakannya. Ibu ini kemudiannya menyebut tentang buah pisang kaki kering dan bayi ini tiba-tiba sahaja berhenti menangis. Harimau yang mendengarnya membuat anggapan bahawa buah ini mungkin makhluk yang lebih menakutkan berbanding dirinya sehingga bayi itu berhenti menangis.”

Kisah ini secara tidak langsung menggambarkan watak harimau yang kurang cerdik dan tidak tahu untuk membuat keputusan dengan tepat. Dalam hal ini, kisah-kisah rakyat berperanan untuk memberi hiburan dan kegembiraan buat rakyat, dan imej harimau digambarkan sebegitu rupa bagi memperlihatkan sisinya yang berbeza buat kanak-kanak berbanding imej sebenarnya yang menakutkan.

Lukisan-lukisan pada sekitar abad ke-19 juga banyak menunjukkan imej harimau serta peranan mereka. Sebuah lukisan yang dinamakan Sansindo telah menunjukkan imej semangat atau dewa gunung yang bersandar pada harimau serta menunggang harimau. Melalui lukisan ini, harimau ditunjukkan sebagai haiwan yang membantu dewa gunung, yang dikenali sebagai dewa yang membawa keamanan kepada kampung. Dewa gunung ini turut mengarahkan harimau untuk membantu melindungi kampung serta menjaga keamanannya.

Aspek paling menonjol dalam lukisan yang menggambarkan harimau Korea adalah pada bahagian mata; yang mana ia sering dilukis dengan penggunaan warna kuning terang. Para penggemar seni berpendapat bahawa ia ditonjolkan sebegitu rupa sebagai satu simbolik menunjukkan sifat harimau yang ganas, manakala dalam sesetengah lukisan ia dihasilkan bagi menggambarkan sisi harimau yang lucu.

Harimau putih Korea pula mempunyai peranannya yang tersendiri dalam budaya Korea. Dalam mitos Korea, seekor harimau yang menghadapi banyak ujian dan akhirnya memahami makna kehidupan, akan berubah menjadi putih dan menjadi haiwan suci.

Kebijaksanaan harimau putih ini digambarkan berperanan untuk mengawal tindakan para pemerintah dan mereka boleh menjadi sangat marah sekiranya pihak pemerintah tidak melayani rakyat mereka dengan baik. Disebabkan inilah, imej harimau putih dikatakan mampu mengubah orang berkuasa untuk menjadi rendah diri dan orang kaya menjadi pemurah.

Imej harimau pada zaman moden

Pada hari ini, imej harimau telah menjadi sinonim dalam masyarakat Korea. Seorang artis dan pelukis Korea, Cho Hyun Kwon menyatakan bahawa Korea adalah satu-satunya negara yang mana pusat budayanya berlatarkan imej harimau dan ia boleh dilihat melalui pelbagai acara serta kegiatan budaya yang menggunakan simbolik haiwan ini.

Pada tahun 2018, ketika Korea Selatan menjadi tuan rumah untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk, maskot untuk acara itu adalah seekor harimau putih yang diberi nama Soohorang. Sooho yang bermaksud “perlindungan” dalam bahasa Korea, melambangkan perlindungan yang ditawarkan kepada atlet, para peserta, dan penonton di Sukan Olimpik Musim Sejuk, serta berperanan menjaga keamanan dunia melalui semangat Sukan Olimpik. ‘Rang’ pula diambil daripada perkataan horang-i, yang bererti harimau.

Terdahulu, pada tahun 1988, maskot Korea Selatan untuk Olimpik Musim Panas dinamakan Hodori, juga berperanan untuk meletakkan kembali reputasi harimau Korea di mata dunia. Perkataan ‘Ho’ berasal daripada perkataan Korea untuk harimau, dan ‘dori’ adalah sebutan ringkas menunjukkan imej maskulin. Sarat dengan budaya Korea, imej Hodori ini digambarkan memakai topi tradisional, sambil bermain pungmul iaitu suatu jenis kesenian rakyat.

Dalam budaya pop Korea, harimau antara simbolik yang sering menjadi pilihan dalam aspek penceritaan kisah rakyat serta digambarkan melalui lagu-lagu pop Korea. Pihak pelancongan Korea sebagai contohnya, telah menggunakan tajuk lagu ‘Tiger is Coming’ sebagai salah satu lagu untuk mempromosikan Seoul, dalam projek promosi pelancongan mereka Feel the Rhythm of Korea yang mensasarkan pelancong asing. Lagu ini yang menggabungkan pansori, iaitu muzik tradisional Korea bersama elemen hip hop dan tarian unik bagi mempromosikan bandar Seoul sebagai destinasi pelancongan.

Kesimpulan

Pada era moden kini, harimau masih lagi menjadi imej popular dalam masyarakat Korea, bagi melambangkan sisinya yang bersifat pelindung serta kekuatan yang dimilikinya. Apa yang paling penting, gambaran imej harimau pada masa kini tidak hanya tertumpu sebagai satu mitos, tetapi telah dikembangkan menjadi komponen penceritaan untuk lagu-lagu pop komersil dan kisah-kisah moden dalam drama dan filem.

RUJUKAN:

Aw, G. (2019). Tigers ’ Place in Korean Folktales. Retrieved December 25, 2020, from https://gogohanguk.com/en/blog/the-tigers- in-korean-folktales/

Kore Limited. (2020). The Korean Tiger : A Hallmark of Korean Identity. Retrieved December 25, 2020, from https://korelimited.com/blogs/korelimited/the-korean-tiger- a-hallmark-of-korean-identity

Seeley, J., & Skabelund, A. (2015). Tigers – Real and Imagined – In Korea’s Physical and Cultural Landscape. Environmental History, 20(3), 475–503.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.