Siapa yang asaskan Kuala Lumpur ialah satu persoalan yang sering bermain diminda warga kota.
Ada yang dakwa ia diasaskan oleh Yap Ah Loy atau Raja Abdullah tetapi tak disokong oleh fakta sejarah yang tepat. Kalau sebut nama Haji Abdullah Hukum, ia terhad kepada beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur. Justeru, pengasas sebenar Kuala Lumpur bukan tiga individu ini tetapi seorang figura Mandailing bernama Sutan Puasa.
Sutan Puasa atau nama sebenarnya Sutan Naposo merupakan seorang bangsawan berdarah Mandailing dari suku Lubis. Beliau berasal dari Tobang, sebuah kawasan yang terletak di Mandailing Atas, Sumatera. Sutan Puasa bersama-sama orang Mandailing lain berhijrah ke Tanah Melayu sekitar awal abad ke-19 selepas tercetusnya Perang Padri di Sumatera.
Apabila orang Mandailing membuka sesebuah petempatan di Semenanjung Tanah Melayu, terdapat beberapa persamaan dari segi lokasi yang dipilih. Pertama, lokasi petempatan terpencil tetapi mempunyai akses kepada air (sama ada tasik atau sungai). Ini bagi membolehkan aktiviti penanaman padi dan perlombongan dapat dijalankan di situ.
Kedua, ia merupakan sebahagian daripada misi kebudayaan mereka bagi menubuhkan sebuah kerajaan atau kawasan pentadbiran sendiri. Dan ketiga, jika berlaku ketegangan di kampung baru, sesetengahnya akan berhijrah dan membuka petempatan baru di tempat lain yang dikenali sebagai kampung anak. Ini berlaku kepada Raja Bugis dan Raja Mengampang di Hulu Langat, Selangor.
Kuala Lumpur atau lebih tepat Sungai Lumpur sebenarnya telah diduduki oleh orang Mandailing sejak 1800 lagi. Selepas tahun berkenaan, aktiviti perlombongan terutama bijih timah menjadi kegiatan ekonomi utama di situ. Tetapi yang menariknya di sini ialah kedudukan orang Mandailing (Kuala Lumpur) yang terletak di kawasan pedalaman.
Setelah beberapa tahun di Kuala Lumpur, Sutan Puasa mula membangunkan kawasan-kawasan di situ. Ini termasuk mengundang beberapa pelombong China iaitu Hiu Siew dan Ah Sze Keledek untuk membangunkan aktiviti perlombongan bijih timah di Ampang.
Menjelang 1850, Haji Abdullah Hukum merekodkan semasa beliau tiba di situ, Sutan Puasa telah diberi kebenaran oleh Sultan Selangor untuk mengutip cukai di Kuala Lumpur. Pada ketika itu, rumah-rumah kedai dan beberapa batang jalan telah wujud. Ini menunjukkan kemajuan di bakal ibu kota negara sebenarnya berlangsung lama sebelum ketibaan Kapitan Yap Ah Loy yang selalu didakwa sebagai pengasas Kuala Lumpur.
Tetapi semuanya berubah akibat Perang Klang. Di satu pihak ialah Raja Abdullah, Raja Ismail (putera Raja Abdullah) dan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad dan Yamtuan Selangor. Sementara di sebelah sana ialah kerabat diraja Selangor yang menyokong Raja Mahadi. Di Kuala Lumpur, pilihan telah dibuat dengan Sutan Puasa menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Raja Mahadi.
Sutan Puasa cuba memberontak bagi mendapatkan keadilan bagi orang Mandailing tetapi ia digagalkan di Hulu Langat pada 1875. Akibatnya, beliau dipenjarakan selama setahun sebelum dibebaskan dengan jaminan $5,000. Setelah itu, Sutan Puasa tinggal seketika di Jalan Batu sebelum memilih duduk di satu perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.
Beliau terus bekerja sebagai peraih bijih timah dan peniaga sehinggalah kembali ke rahmatullah pada 1905. Sutan Puasa kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, tempat sama ramai figura Mandailing yang terkenal dikebumikan.
Oleh: Azizul Farhan
…
Nak tahu lebih banyak lagi fakta menarik tentang budaya dan sejarah orang Melayu? Baca je KITAB TAMADUN MELAYU, sekarang kami ada Jualan PASCA PBAKL dengan diskaun istimewa. Cepat klik dekat https://bit.ly/40FLVup




No comments yet