Jalan Chow Kit hari ini terkenal dengan suasana pasar yang sibuk dan sinonim dengan lambakan pendatang asing serta lagu ikonik Sudirman, Chow Kit Road.

Tapi korang tahu tak siapa sebenarnya Chow Kit ni?

[Asal Usul dan Kehidupan Awal]

Loke Chow Kit dilahirkan pada tahun 1864 di Pulau Pinang. Beliau berasal daripada keluarga Loke Kum Choon, sebuah keluarga imigran dari Guangdong, China.

Chow Kit menerima pendidikan di Penang Free School, sebuah sekolah berprestij yang melahirkan ramai pemimpin dan tokoh masyarakat di Tanah Melayu.

Selepas tamat pengajian, Chow Kit memulakan kerjaya di firma kontraktor Jerman Katz Brothers. Di firma ini, beliau menunjukkan disiplin kerja yang tinggi sehingga diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan penting.

Namun, selepas beberapa tahun, Chow Kit berpindah ke firma Huttenbach & Co. sebagai pembantu pengurus cawangan di Kuala Lumpur. Langkah inilah yang membawa Chow Kit ke bandar yang kelak menjadi pusat kejayaannya.

[Bertemu Loke Yew dan Perkembangan Kerjaya]

Ketika bekerja di Kuala Lumpur, Chow Kit bertemu dengan Loke Yew, seorang ahli perniagaan tersohor yang sudah dianggap sebagai jutawan pada ketika itu.

Loke Yew melihat potensi besar dalam diri Chow Kit yang merupakan seorang yang efisien, berdedikasi dan mempunyai kemahiran pengurusan yang luar biasa.

Loke Yew melantik Chow Kit untuk mengurus ladang-ladang miliknya di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Pada masa yang sama, Chow Kit turut terlibat dalam pelbagai projek perniagaan lain termasuk perlombongan timah dan pengusahaan candu yang ketika itu merupakan industri sah di bawah kawalan kerajaan kolonial.

Kecekapan Chow Kit dalam pelbagai bidang ini membantu beliau membina reputasi sebagai seorang tokoh perniagaan yang dihormati.

[Menubuhkan Chow Kit & Co.]

Selepas bertahun-tahun bekerja di bawah Loke Yew, Chow Kit akhirnya mengumpul modal dan pengalaman untuk membuka syarikatnya sendiri pada tahun 1905, iaitu Chow Kit & Co..

Syarikat ini merupakan gedung serbaneka pertama di Kuala Lumpur yang menawarkan pelbagai barangan seperti alat tulis, barang keperluan harian dan juga kenderaan seperti kereta dan motosikal.

Bangunan utama Chow Kit & Co. yang terletak di persimpangan Holland Street (kini Jalan Mahkamah Persekutuan) dan Clarke Street (kini Jalan Mahkamah) menjadi simbol kejayaan beliau.

Direka dengan gaya seni bina gabungan Cina dan Eropah, bangunan ini digelar sebagai salah satu binaan paling megah pada zamannya.

[Rumah Tangsi: Legasi Seni Bina]

Pada tahun 1903, Chow Kit membina sebuah rumah agam yang dikenali sebagai Rumah Tangsi. Rumah ini dibina dengan ciri-ciri seni bina klasik yang memadukan elemen tempatan dan Eropah.

Terletak di Jalan Tangsi, bangunan ini mendapat nama sempena lokasi yang dahulunya dikenali sebagai Barrack Road, kawasan yang pernah menjadi lokasi berek polis semasa era kolonial.

Pada asalnya, Rumah Tangsi adalah kediaman keluarga Chow Kit. Namun, mereka tidak tinggal di rumah ini untuk jangka masa yang lama.

Menjelang tahun 1909, rumah tersebut telah diambil alih oleh Empire Hotel Company Ltd dan diubah menjadi sebuah hotel.

Ia kemudian melalui beberapa perubahan termasuk dinamakan semula sebagai Peninsular Hotel pada tahun 1919, menjadikannya salah satu mercu tanda penting di Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun.

Rumah Tangsi menjadi saksi perubahan zaman. Pada tahun 1973, bangunan ini diambil alih oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan digunakan sebagai pejabat mereka selama beberapa dekad.

Namun, pada tahun 2012, bangunan ini telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan selepas melalui proses pemulihan selama hampir dua tahun.

Pemulihan ini merupakan sebahagian daripada usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memelihara bangunan bersejarah yang menjadi simbol kekayaan sejarah dan budaya bandar raya ini.

Hari ini, Rumah Tangsi berdiri megah sebagai sebahagian daripada Projek Pemuliharaan Bangunan Warisan DBKL.

Rumah Tangsi kini berfungsi sebagai ruang acara pelbagai guna. Dari majlis perkahwinan, seminar perniagaan, pameran seni hingga pertemuan budaya, bangunan ini terus menjadi platform yang memperkukuhkan hubungan sosial dan budaya di tengah-tengah ibu kota.

Baru-baru ini, Rumah Tangsi menjadi perhatian ramai apabila ia dijadikan lokasi rasmi untuk acara diplomatik.

Pada 6 Januari 2025, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menganjurkan jamuan makan malam bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.

Tiga hari kemudian, pada 9 Januari 2025, majlis makan tengah hari untuk Presiden Indonesia, Prabowo Subianto turut diadakan di Rumah Tangsi.

[Sumbangan kepada Masyarakat]

Selain daripada perniagaan, Chow Kit turut aktif dalam masyarakat. Pada tahun 1917, beliau dianugerahkan gelaran Jaksa Pendamai (J.P.) menjadikannya rakyat Malaysia pertama berketurunan Cina yang menerima pengiktirafan ini.

Sebagai Jaksa Pendamai, beliau bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan pertikaian dalam masyarakat menunjukkan pengaruhnya yang besar dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur.

Satu lagi fakta menarik tentang Chow Kit ialah beliau antara individu pertama di Kuala Lumpur yang memiliki telefon di rumahnya.

Selain Loke Yew dan K. Thamboosamy, Chow Kit menjadi simbol kemajuan teknologi pada masa itu.

[Akhir Hayat dan Kematian]

Malangnya, kejayaan besar Chow Kit tidak berlangsung lama. Beliau meninggal dunia pada 29 Ogos 1918 akibat radang paru-paru, pada usia 54 tahun.

Kematian beliau meninggalkan kekosongan besar dalam dunia perniagaan Kuala Lumpur. Jenazahnya disemadikan di Jirat Mount Erskine, Pulau Pinang, tanah kelahirannya.

Chow Kit meninggalkan dua orang balu dan 13 anak hasil perkahwinannya. Warisan beliau terus hidup melalui nama Jalan Chow Kit, sebuah kawasan yang kekal menjadi nadi Kuala Lumpur.

[Inspirasi Seorang Tokoh]

Kisah hidup Loke Chow Kit adalah bukti bagaimana usaha keras, visi yang jelas dan hubungan yang baik boleh membawa seseorang dari latar belakang sederhana menjadi tokoh yang dihormati.

Dari seorang pemuda di Pulau Pinang, Chow Kit membina empayar perniagaan, menyumbang kepada masyarakat dan meninggalkan nama yang terus dikenang hingga hari ini.

Jadi, lain kali apabila berjalan di sekitar Jalan Chow Kit, ingatlah tokoh yang menjadi perintis yang membawa perubahan besar kepada sejarah Kuala Lumpur.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Comments are closed.