Menara Berkembar Petronas atau KLCC bukan sahaja sebuah mercu tanda negara yang berdiri megah di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan ketinggian 452 meter, KLCC pernah memegang gelaran bangunan tertinggi di dunia dan kekal sebagai menara berkembar tertinggi hingga hari ini.
Namun, pembinaannya bukanlah semudah yang disangka. Ia penuh dengan cabaran besar dan detik-detik mencemaskan yang kini menjadi sejarah penuh inspirasi bagi kita semua.
[Cita-Cita Besar Tun Mahathir]
Pembinaan KLCC bermula dengan visi besar Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Beliau berhasrat untuk membawa nama Malaysia ke peta dunia dan memastikan negara ini tidak dipandang enteng oleh masyarakat antarabangsa.
Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, beliau mencadangkan pembinaan sebuah menara yang bukan sahaja tinggi tetapi juga bercirikan identiti Malaysia.
Tun Mahathir percaya bahawa sebuah pencakar langit mampu menjadi simbol kemajuan negara, lambang kebanggaan nasional dan bukti keupayaan Malaysia untuk bersaing dengan negara-negara maju.
Cabaran pertama bermula apabila beliau meminta agar reka bentuk menara ini mencerminkan keunikan budaya Malaysia.
Cesar Pelli, seorang arkitek terkenal dari Argentina, ditugaskan untuk mereka bentuk menara tersebut. Namun, apabila ditanya tentang apa yang dimaksudkan dengan “ciri Malaysia”, jawapan yang diberikan tidak begitu jelas.
Setelah kajian dilakukan, rekaan lantai berbentuk Rub el Hizb, simbol Islamik yang melambangkan tertib dan harmoni dipilih.
Rekaan ini kemudian diolah oleh Pelli dengan menambah separa bulatan pada setiap sudut untuk memberikan lebih ruang lantai tanpa mengorbankan nilai simboliknya.
Akhirnya, selepas beberapa siri penyesuaian, reka bentuk itu diterima oleh Tun Mahathir dan pembinaan bersedia untuk dimulakan.
[Tanah Yang “Buat Hal”]
Tapak pembinaan KLCC terletak di kawasan yang dahulunya merupakan padang lumba kuda Kuala Lumpur.
Namun, kajian awal mendedahkan bahawa tapak tersebut berada di atas mendapan batu kapur yang tidak stabil.
Masalah ini menjadi cabaran besar kepada jurutera kerana jika menara dibina tanpa asas yang kukuh, bangunan itu berisiko untuk tenggelam atau runtuh.
Selepas kajian terperinci, penyelesaian luar biasa dicadangkan iaitu tanah itu perlu dikuatkan dengan cerucuk konkrit yang dipasang sehingga kedalaman 120 meter, melepasi lapisan batu kapur yang rapuh.
Langkah ini menjadikan asas KLCC sebagai salah satu yang terdalam di dunia.
Proses menuang konkrit untuk asas bangunan juga menjadi satu lagi cabaran besar. Ia memerlukan konkrit dicurahkan selama 52 jam tanpa henti untuk memastikan asas yang kukuh dapat dibina.
Di tengah-tengah musim hujan tropika Malaysia, kerja ini menjadi lebih rumit. Hujan lebat yang turun tanpa henti hampir menghentikan kerja-kerja pembinaan, tetapi penyelesaian kreatif dijumpai.
Tapak pembinaan dilindungi dengan kanvas besar seperti khemah sarkas gergasi untuk memastikan konkrit tidak basah dan mengering secara sekata.
[Berlumba Siap Cepat]
Pembinaan Menara Berkembar Petronas bukan hanya tentang struktur gergasi, tetapi juga tentang pengurusan masa yang kritikal.
Tun Dr. Mahathir Mohamad menetapkan tempoh enam tahun untuk projek mega ini disiapkan, satu jangka masa yang dianggap hampir mustahil kerana biasanya pembinaan pencakar langit seperti ini memakan masa sekurang-kurangnya lapan tahun.
Namun, untuk memastikan projek ini siap dalam tempoh yang ditetapkan, satu strategi luar biasa dirangka. Dua syarikat pembinaan berbeza telah dilantik untuk membina setiap menara iaitu Hazama Corporation dari Jepun untuk Menara 1 dan Samsung Engineering dari Korea Selatan untuk Menara 2.
Keputusan ini bertujuan mewujudkan persaingan sihat dengan harapan kedua-dua syarikat akan berlumba-lumba menyiapkan tugas mereka dengan cepat tanpa menjejaskan kualiti.
Persaingan antara kedua-dua syarikat ini benar-benar sengit. Mereka bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, tanpa henti.
Beban kerja yang berat ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pekerja, tetapi juga menuntut koordinasi luar biasa untuk memastikan tiada kelewatan.
Setiap tingkat menara perlu disiapkan dalam tempoh empat hari sahaja, tetapi pada peringkat awal, pembinaan mengambil masa sehingga lapan hari untuk satu tingkat.
Untuk mempercepatkan kerja, teknik pembinaan baru diperkenalkan termasuk penggunaan konkrit berteknologi tinggi yang lebih kukuh dan fleksibel berbanding konkrit biasa.
Keunikan konkrit ini adalah ia diformulasikan khas di Malaysia menjadikannya simbol kekuatan tempatan yang menyokong struktur antarabangsa.
Namun, bukan semua berjalan lancar. Sepanjang pembinaan, pelbagai masalah teknikal timbul.
Salah satu tingkat Menara 2 terpaksa dirobohkan kerana konkrit yang digunakan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Walaupun ini menyebabkan kelewatan, langkah ini penting untuk memastikan keselamatan bangunan di masa depan.
Selain itu, Menara 1 mula condong beberapa milimeter ketika pembinaan mencapai separuh jalan. Bagi sebuah bangunan setinggi ini, masalah kecil seperti itu boleh membawa akibat yang besar.
Jurutera mengambil keputusan untuk membina tingkat-tingkat berikutnya dengan lebih berhati-hati dan mengimbangi beban untuk memperbetulkan kedudukan menara.
Di sebalik semua usaha ini, Menara 2, yang dikendalikan oleh Samsung Engineering berjaya mendahului Menara 1 dengan menyiapkan struktur utama lebih awal.
Menara 2 juga menggunakan strategi licik dengan memasang mercunya terlebih dahulu secara rahsia.
Dengan ini, Menara 2 secara rasmi menjadi menara pertama yang melampaui ketinggian Menara Sears di Amerika Syarikat dan merangkul gelaran menara tertinggi di dunia pada waktu itu, walaupun hanya untuk beberapa hari sebelum Menara 1 menyiapkan mercunya.
[Skybridge: Simbol Penyatuan]
Salah satu ciri paling ikonik Menara Berkembar Petronas ialah jambatan langit atau skybridge yang menghubungkan kedua-dua menara pada tingkat 41 dan 42.
Namun, skybridge ini bukan sekadar hiasan estetik. Ia berfungsi sebagai laluan keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.
Jika salah satu menara menghadapi bahaya seperti kebakaran, penghuni boleh berpindah ke menara yang satu lagi melalui jambatan ini.
Ini menjadikannya simbol penyatuan, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga secara metafora dimana dua menara yang bekerjasama untuk melindungi penghuni mereka.
Proses pemasangan skybridge adalah salah satu cabaran terbesar dalam keseluruhan projek.
Jambatan sepanjang 58.4 meter dan seberat 750 tan ini perlu diangkat ke kedudukan setinggi 170 meter dari permukaan tanah menggunakan teknologi hidraulik.
Setiap kali ia diangkat, hanya 30 sentimeter yang dapat dinaikkan pada satu masa. Proses ini memerlukan ketepatan luar biasa kerana sedikit kesilapan boleh menyebabkan jambatan itu tergelincir atau tidak sejajar yang akan membawa risiko besar kepada keselamatan struktur.
Masalah tidak berakhir di situ. Ketika hari pemasangan tiba, cuaca Kuala Lumpur yang tidak menentu menjadi musuh utama. Hujan lebat dan kilat berulang kali menyebabkan semua kerja dihentikan.
Pada satu ketika, keseluruhan sistem elektrik di tapak pembinaan terpadam akibat panahan kilat, menyebabkan jambatan tergantung di udara tanpa sokongan penuh.
Jurutera dan pekerja menghadapi tekanan besar, tetapi mereka tetap tabah dan mengambil langkah berjaga-jaga yang ketat untuk memastikan keselamatan jambatan dan pasukan pembinaan.
Pemasangan yang dijadualkan mengambil masa 20 jam akhirnya memakan masa 36 jam, dengan seluruh dunia memerhatikan proses ini. Kejayaan memasang jambatan ini bukan sahaja menjadi momen bersejarah tetapi juga membuktikan kehebatan teknologi dan kecekalan manusia.
Ketika jambatan itu akhirnya terpasang dengan sempurna, ia menjadi simbol kebanggaan bagi seluruh rakyat Malaysia.
Kini, jambatan ini bukan sahaja menjadi tarikan utama pelancong tetapi juga salah satu ciri keselamatan paling penting dalam reka bentuk Menara Berkembar Petronas.
[KLCC: Lambang Keberanian dan Kemajuan]
Menjelang akhir tahun 1996, kedua-dua menara berjaya disiapkan mengikut jadual. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran teknikal dan logistik, pembinaan KLCC membuktikan bahawa dengan kecekalan dan inovasi, sesuatu yang kelihatan mustahil boleh menjadi kenyataan.
Kos keseluruhan projek dianggarkan RM1.8 bilion, tetapi pulangannya jauh lebih besar daripada angka tersebut. KLCC tidak hanya menjadi mercu tanda Kuala Lumpur tetapi juga simbol global yang mewakili Malaysia di mata dunia.
Sehingga hari ini, Menara Berkembar Petronas kekal sebagai bangunan berkembar tertinggi di dunia. Ia bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan tetapi juga kebanggaan rakyat Malaysia.
Pembinaannya mengajar kita bahawa setiap cabaran ada penyelesaiannya dan kejayaan hanya datang kepada mereka yang berani bermimpi besar dan bekerja keras untuk merealisasikannya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.