“Alexa, buka lampu.” Lampu dapur, melalui WiFi, dihidupkan selepas itu. Ada masanuya juga Alexa ditanya dengan pelbagai soalan dan ia akan melayan sehingga anda berpuas hati. Tapi, siapa di sebalik suara Alexa ini? Adakah ia janaan AI?
Alexa pertama kali dikeluarkan pada tahun 2014 dan telah menjadi salah satu pembantu yang diaktifkan suara paling popular di pasaran. Amazon Alexa boleh melakukan pelbagai tugas tetapi digunakan terutamanya untuk memainkan muzik dan menjawab soalan.
Menariknya, di sebalik segala urusan layanan pertanyaan dan permintaan oleh Alexa ini, pihak Amazon sendiri tidak pernah mendedahkan siapa wanita yang memberi suaranya kepada arahan dan soalan untuk Alexa.
Amazon sendiri telah menjual lebih daripada 100 juta peranti yang membawa suara Alexa sejak ia mula-mula memasukkannya ke dalam peranti Amazon Echo pada 2014. Suara itu telah dimasukkan dalam pelbagai iklan dan lakaran komedi sejak itu.
Ada sesetengah fikir ia adalah hasilan teknologi dan janaan AI, namun pengarang Brad Stone dalam bukunya, Amazon Unbound telah mendedahkan pemilik sebenar suara Alexa.
Brad Stone menjejakinya, dan akhirnya mendedahkan bahawa suara Alexa adalah milik Nina Rolle, seorang artis alih suara yang berpangkalan di Boulder, Colorado.
Eksekutif Amazon ketika itu, Greg Hart dan rakan-rakannya menghabiskan masa berbulan-bulan menyemak rakaman pelbagai calon yang disediakan oleh GM Voices, sebuah syarikat terkemuka dalam pengeluaran suara untuk aplikasi, GPS dan perkhidmatan lain kepada mereka.
Mereka membentangkan pilihan utama kepada CEO Amazon, Bezos. Pasukan syarikat itu meletakkan kedudukan terbaik, meminta sampel tambahan, dan akhirnya membuat keputusan memilih Rolle.
Alexa Amazon mempunyai suara yang biasa kepada jutaan orang: tenang, hangat dan jelas. Tetapi seperti kebanyakan pertuturan sintetik, nadanya mempunyai asal usul manusia. Dalam hal ini, suara seseorang perlu dirakam, dianalisis dan dihasilkan semula secara algoritma untuk mencipta Alexa seperti yang kita ketahui sekarang.
Ini bukanlah kali pertama, kerana sebelum ini, Susan Bennett, suara asal bagi Siri turut mendedahkan dirinya. Malah dia turut berkongsi proses di sebalik penciptaan suara yang disintesis itu. Namun, di akhirnya, kesemua mereka di sebalik suara peranti ini tidak mahu hanya dikaitkan dengan peranti yang mereka wakili.




No comments yet