Nama Shinkansen mungkin asing dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi di Jepun, ia sesuatu yang amat dikenali populasi negara Matahari Terbit. Ini kerana ia sebenarnya merujuk kepada keretapi berkelajuan tinggi atau keretapi peluru. Semasa rangkaian keretapi ini dibangunkan, ia dibina dengan tujuan menyambung wilayah-wilayah Jepun yang jauh dengan ibu kota Tokyo, sekaligus membawa kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi serta berperanan sebagai rangkaian keretapi komuter. Tetapi bagaimana semua ini berlaku?
SEJARAH SHINKANSEN
Landasan keretapi pertama Jepun dibina pada tahun 1872 yang menghubungkan Shinbashi, Tokyo dan Yokohama dengan selatan wilayah Kanagawa. Landasan tersebut dibina menggunakan 1,067 milimeter landasan sempit atas nasihat jurutera-jurutera British yang dibawa pihak kerajaan semasa mahu memperkenalkan teknologi keretapi Eropah di negara tersebut. Menurut laporan beberapa pihak, mereka berhujah landasan yang lebih rapat dilihat lebih sesuai dengan keadaan muka bumi Jepun yang mendorong kepada pemilihan landasan sempit sebagai landasan pertama mereka.
Untuk dekad-dekad berikutnya, usaha mereka untuk menggunakan 1,435 milimeter landasan lebih luas menggantikan landasan sempit sentiasa berakhir dengan kegagalan. Tokyo merasakan dengan kemajuan ekonomi yang dikecapi ketika itu, negara tersebut memerlukan satu cara untuk menjadikan keretapi lebih pantas. Dan ini memaksa mereka mengeluarkan sejumlah besar modal politik untuk menolak agenda ini ke hadapan. Namun, landasan sempit terus kekal menjadi norma. Satu contoh cubaan ini ialah Projek Danggan Ressha (keretapi peluru) yang dirancang pada tahun 1939.
Tujuan perlaksanaan projek ialah meningkatkan kemampuan pengangkutan ke landasan Sanyo dan Tokaido termasuk menukar landasan sempit kepada landasan lebih luas untuk penggunaan keretapi laju penumpang dan kargo. Namun satu perkara yang menjejaskan projek ini ialah pertempuran sengit di Teater Pasifik semasa Perang Dunia Kedua (WWII). Walaupun kerajaan sudah menyediakan tanah untuk landasan dan terowong, ianya dihentikan dan terabai begitu saja sehinggalah apabila Jepun kembali memanfaatkannya dan menjadikan ia sebahagian daripada Tokaido Shinkansen.
Selepas tamat WWII, sudah mula kedengaran mahu membawa balik idea keretapi peluru dan ia sudah dirancang sejak tahun 1957. Namun ramai yang menentang idea tersebut kerana kedudukan keretapi sebagai pengangkutan utama semakin merosot. Para pembaca perlu faham, idea ini timbul lima tahun selepas berakhirnya penjajahan Amerika Syarikat di Jepun dan negara Uncle Sam itu masih lagi memainkan peranan penting dalam negara tersebut.
Tetapi selepas Tokaido Shinkansen dirasmikan oleh Maharaja Hirohito sembilan hari sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 1964, ia mula menjadi kegemaran para penumpang. Semasa ia diperkenalkan, ia berkemampuan bergerak dari Tokyo ke Osaka dengan kelajuan 210 kilometer sejam sekaligus menjadikan ia sebagai antara keretapi paling laju dan maju pada zamannya, mengatasi kelajuan keretapi lain termasuk keretapi British yang hanya bergerak dengan kelajuan 160 kilometer sejam. Dan ia menjadi pelopor kepada keretapi peluru lain seperti keretapi TGV (Perancis), keretapi ICE (Jerman) dan keretapi Pendolinos (Itali).
Tindakan Jepun yang mara ke hadapan dari segi ini sebenarnya hanyalah sebahagian daripada kebangkitan ekonomi dan budaya mereka dalam tempoh 20 tahun selepas WWII. Menerusi Tokaido Shinkansen, para pengunjung Olimpik 1964 menyaksikan sebuah negara yang kembali bertenaga dengan budayanya yang mengujakan seiring dengan perkembangan keretapinya.
Maka tidak hairanlah semasa dekad 60-an, Jepun menjadi tumpuan ikon dekad tersebut dari Ella Fitzgerald hinggalah kumpulan pujaan ramai, The Beatles. Ini ditambah pula dengan imej Tokaido Shinkansen menunjukkan keretapi ikonik itu melalui kawasan yang dipenuhi pokok sakura dengan latar belakang Gunung Fuji, sekaligus menunjukkan gabungan imej diraja lama dan dunia demokratik baru.
Tetapi tiada siapa boleh nafikan kos pembinaan Tokaido Shinkansen ini amat mahal. Malah, kos pembinaan melambung sebanyak 100% sekaligus memaksa Presiden Syarikat Keretapi Kebangsaan Jepun, Shinji Sojo dan ketua juruteranya, Hideo Shima meletak jawatan. Dan semasa Maharaja Hirohito merasmikan kebanggaan baru negara Matahari Terbit itu, kedua-duanya langsung tidak dijemput ke upacara pembukaan keretapi itu. Idea yang dianggap gila ini diperkenalkan pada tahun 1959 apabila Shima dijemput sebagai pereka dan jurutera untuk gerabak keretapi, landasan dan perkhidmatan keretapi.
Pasukan Shima mendapat idea untuk membina satu landasan baru yang boleh berjalan di atas jejambat gaya lebuh raya yang dinaikkan sambil memastikan tahap kecerunan kekal stabil sepanjang masa. Lengkungan pada landasan pula dipastikan sentiasa berada pada kadar minimum. Dan untuk memastikan ia mendapat reputasi sebagai kelajuan yang pantas dan ketepatan masa, model keretapi lama tidak dibenarkan berkongsi landasan dengan Shinkansen. Ini kerana model lama bergantung kepada landasan sempit untuk bergerak sementara landasan Shinkansen menggunakan ukuran standard Amerika dan Eropah iaitu 1.4 meter.
Rekaan landasan keretapi pertama Shima ini pada mulanya digunakan untuk generasi terakhir keretapi stim dan salah satu model ini memecah rekod kelajuan keretapi stim Jepun pada tahun 1954. Walaupun namanya sedikit tercalar kerana menyumbang kepada pertambahan kos Tokaido Shinkansen, beliau dilantik sebagai Pengerusi Agensi Pembangunan Angkasa Lepas Jepun (NASDA sebelum digabungkan dengan dua agensi angkasa lepas lain untuk membentuk JAXA) dan diangkat sebagai Bapa Shinkansen.
INOVASI DAN IMPAK SHINKANSEN
Sejak dibuka secara rasmi kepada orang ramai lebih 50 tahun lepas, Tokaido Shinkansen sudah membawa 5.5 bilion penumpang sementara rekaannya juga semakin menarik dan radikal. Dengan muncung yang panjang, roda tersembunyi dan cat hijau atau biru yang berkilat, model keretapi terbaru siri E5 dan E6 menawan hati sesiapa saja yang melihat. Selepas berlepas dari stesen, ia boleh bergerak dengan kelajuan 270 kilometer sejam dalam tiga minit dan pada sesetengah seksyen landasan, mampu bergerak dengan kelajuan 320 kilomter sejam.
Dalam gerabak, penumpang merasa selesa dan tidak terganggu dengan bunyi atau getaran keretapi yang selalu dialami bila menggunakan keretapi biasa. Para penumpang boleh menghela nafas lega kerana Shinkansen turut menyediakan tandas yang bersih, kerusi yang boleh direbahkan dan pramugari membawa minuman dan kotak bento sebagai hidangan kepada penumpang. Staf keretapi juga berpakaian kemas dan profesional serta berkelakuan sopan dan berhemah.
Muncung panjang Shinkansen ini bukan saja membantu meningkatkan kelajuan keretapi tetapi juga mengurangkan bunyi keretapi dari landasan dan semasa ia keluar dari terowong. Ini kerana isu ini amat membimbangkan penduduk yang menetap berhampiran dengan landasan keretapi itu. Untuk mengelak masalah itu timbul selepas ia dibawa ke mahkamah pada tahun 1986, Syarikat Keretapi Kebangsaan Jepun mula membina sekatan untuk mengurangkan pencemaran bunyi dan menambahbaik rekaan keretapi. Idea muncung ini diambil dari paruh burung raja udang hasil dari pemerhatian jurutera Eiji Nakatsu.
Nakatsu yang memang dikenali sebagai peminat burung melihat keupayaan burung itu terbang dari udara menuju ke air dengan pantas tanpa mencetuskan sedikit percikan. Muncung ini bukan saja menjadikan keretapi peluru yang digunakan pada tahun 1997 lebih laju tetapi juga mengurangkan kesan debum bunyi. Buktinya pada tahun itu, syarikat keretapi JR-West mula menggunakan Shinkansen 500 secara komersial di mana ia mampu bergerak selaju 300 kilometer sejam dan masih memenuhi standard kawalan bunyi yang ditetapkan. Selain itu, masa perjalanan antara Shin-Osaka dengan Hakata juga berjaya dipendekkan dari dua jam 32 minit kepada dua jam 15 minit.
Dan untuk memastikan keretapi peluru ini sentiasa menepati masa, para pemandu dilatih untuk berusaha menepati jadual perjalanan keretapi. Ini bukan sekadar satu kebanggaan bagi syarikat keretapi tetapi juga satu keperluan memandangkan bilangan penumpang yang perlu dibawa sepanjang masa. Justeru, sebarang bentuk pemindahan perlu dibuat dengan tepat. Ini kerana jika berlaku kelewatan atau penangguhan, ia boleh memberi kesan kepada keberkesanan jadual perjalanan Shinkansen untuk hari berkenaan. Justeru, tidak hairanlah wujud laporan tindakan disiplin melampau ke atas pemandu keretapi yang lewat atau terlalu awal sehingga menimbulkan kemarahan kesatuan pekerja di sana.
Sepanjang operasinya yang mencecah 55 tahun dan mengangkut 10 bilion penumpang, Shinkansen mempunyai rekod keselamatan yang bagus. Tiada laporan yang menyatakan penumpang mati akibat keretapi peluru tergelincir atau berlanggar dengan keretapi lain. Berikutan situasi Jepun yang berada dalam Lingkaran Api Pasifik, maka tidak hairanlah keretapi sebegini turut diuji dengan gempa bumi dan ribut taufan. Dalam situasi tersebut, Shinkansen mempunyai Sistem Penggera dan Pengesan Keretapi Segera (UrEDAS) iaitu sejenis sistem brek automatik yang membolehkan keretapi berhenti secara automatik jika sensor mengesan aktiviti gempa bumi di landasan. Bagaimanapun, ada kes di mana seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila pintu keretapi menghimpit mereka semasa ditutup. Ada juga laporan kes bunuh diri mereka berdiri di atas landasan semasa Shinkansen bergerak.
Rangkaian landasan keretapi Shinkansen ini terus berkembang dengan generasi terbaru keretapi ini akan bergerak ke Hokkaido melalui sebuah terowong dasar laut pada tahun 2016 dan dijangka boleh sampai ke Sapporo pada tahun 2035. Pada ketika itu, seksyen pertama generasi baru Chuo Shinkansen yang bergerak dari Tokyo ke Osaka sudah dibuka dengan menggunakan teknologi maglev. Sistem ini yang membolehkan keretapi mengambang di atas landasan boleh sampai ke Tokyo atau Osaka dalam tempoh sejam dengan kelajuan 500 kilometer sejam. Chuo Shinkansen dijangka mula beroperasi pada tahun 2027.
Teknologi Shinkansen sudah mula dieksport ke negara-negara luar dengan Syarikat Keretapi Kebangsaan Jepun memfokuskan kepada kebolehan keretapi berjalan mengikut jadual dan rekod keselamatannya yang cemerlang. Antara negara yang mendapat manfaat dari pengeksportan teknologi ini ialah Taiwan melalui Taiwan Shinkansen yang mula beroperasi pada tahun 2007. Sementara China mereka gerabak dan keretapi laju mereka berdasarkan rekaan gerabak Shinkansen.
Ketika ini tiada negara yang mengimport sepenuhnya sistem keretapi berkelajuan tinggi Jepun tetapi beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan India sudah menunjukkan minat membangunkan keretapi peluru versi mereka menggunakan teknologi Shinkansen. Namun, hanya 20 tahun selepas itu barulah Shinkansen ini menampakkan kesannya pada ekonomi Jepun. Pada tahun 1986, Jepun mengatasi KDNK Amerika dan Rusia untuk menduduki tempat pertama antara tiga negara perindustrian dunia ini. Shinkansen memerlukan 20 tahun untuk ia mendatangkan hasil yang memberi manfaat besar kepada negara Matahari Terbit itu.
KELEBIHAN SHINKANSEN
1. Mengurangkan pencemaran udara terutama di kawasan urban.
2. Merancakkan lagi pembangunan kawasan pinggir bandar dan memperluas proses konurbasi.
3. Lebih banyak ruang kepada populasi untuk berjalan ke mana-mana destinasi termasuk sekolah, universiti atau pejabat.
4. Meningkatkan keberkesanan penggunaan masa dan mengurangkan kos perjalanan sekiranya menggunakan kereta.
5. Mengurangkan kesesakan lalu lintas sekaligus mengurangkan jumlah duit yang dibazirkan sekiranya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
6. Mengurangkan kebergantungan kepada sumber yang tidak boleh diperbaharui seperti minyak dan meningkatkan lagi penggunaan sumber tenaga diperbaharui.
7. Dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
8. Peningkatan pertumbuhan ekonomi seperti pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan produktiviti dan peningkatan akses pengangkutan pekerja dan barangan kepada para peniaga.
SISI HITAM SHINKANSEN
Tetapi di sebalik semua ini, projek Shinkansen dipergunakan oleh pihak kerajaan untuk memaksa kerajaan tempatan tunduk dan akur kepada permintaan mereka. Ini kerana kebanyakan dana dan projek pembangunan kerajaan tempatan disalurkan oleh kerajaan pusat. Dan bagi kebanyakan ahli politik, pembinaan keretapi peluru ini dilihat tiket untuk menarik pembiayaan kerajaan, tarikan pelancongan dan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk.
Tak percaya? Sila rujuk projek pembinaan Shinkansen yang menghubungkan Tokyo dengan tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 1998, Nagano. Keretapi peluru ini melalui laluan sama dengan landasan keretapi Shinetsu Hosen. Landasan ini menjadi tumpuan peminat kerana menawarkan pemandangan alam yang indah tetapi dianggap merugikan oleh pengendali landasan JR East. Selepas sebahagian besar landasan itu ditutup, penduduk yang bergantung dengan laluan keretapi itu terpaksa menggunakan kenderaan alternatif seperti kereta dan bas.
Di sebalik tarikan Shinkansen yang dianggap simbol kemajuan dan kebangkitan ekonomi Jepun, ia kini berhadapan dengan cabaran baru. Salah satu daripadanya ialah syarikat penerbangan tambang murah di mana tambang yang dikenakan bukan saja berpatutan berbanding tambang keretapi peluru dan masa perjalanan lebih singkat.
Selain itu, sikap pengendali keretapi yang terlalu fokus kepada ibu negara Tokyo mengakibatkan ia sudah tepu dari segi kepadatan penduduk dan bilangan penumpang yang menggunakan Shinkansen. Lebih baik jika Shinkansen turut ditumpukan kepada bandar-bandar utama Jepun lain seperti yang dilakukan China menerusi projek Shinkansen versi mereka. Di samping itu, bilangan populasi Jepun yang semakin berkurangan turut menjejaskan bilangan pengguna yang menggunakan keretapi peluru.
SUMBER
1. Markham, Derek. 8 Benefits of High-speed Trains.
How Stuff Works. https://science.howstuffworks.com/transport/engines-equipment/8-benefits-high-speed-trains.htm
2. Glancey, Jonathan. (2014). Japan’s Shinkansen: Revolutionary Design at 50. BBC. http://www.bbc.com/culture/story/20140714-built-for-speed-the-bullet-train
3. Ryall, Julian. (2014). Bullet train at 50: rise and fall of the world’s fastest train. The Telegraph. https://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/asia/japan/11133241/Bullet-train-at-50-rise-and-fall-of-the-worlds-fastest-train.html
4. Tsubuku, Masako dan Brasor, Philip. (2014). How the Shinkansen bullet train made Tokyo into the monster it is today. The Guardian. https://www.theguardian.com/cities/2014/sep/30/-sp-shinkansen-bullet-train-tokyo-rail-japan-50-years
5. Nippon.com. (2014). The Shinkansen Turns 50: The History and Future of Japan’s High-Speed Train. https://www.nippon.com/en/features/h00078/
6. McKeag, Tom. (2012). How one engineer’s birdwatching made Japan’s bullet train better. GreenBiz.com. https://www.greenbiz.com/blog/2012/10/19/how-one-engineers-birdwatching-made-japans-bullet-train-better
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih