Shah Jahan sebagai pembina Taj Mahal, kedua-duanya sukar dipisahkan bak irama dan lagu. Ia bukan sekadar lambang cinta abadi baginda terhadap isterinya Mumtaz Mahal. Tetapi ia juga lambang kehebatan seni bina Mughal semasa era baginda.
Shah Jahan atau nama sebenarnya Putera Khurram diputerakan pada 5 Januari 1592 di Lahore, Pakistan. Baginda merupakan putera lelaki ketiga Putera Salim (kemudiannya bergelar Jahangir) dan Jagat Gosain (nama sebenar Manavati Bai), puteri Jodhpur.
Tidak ramai tahu nama Khurram yang bermaksud kegembiraan dalam Bahasa Parsi ini sebenarnya diberi oleh nendanya Akbar. Kedua-duanya memang mempunyai hubungan rapat dengan baginda dibesarkan di istana Akbar dan bukan bersama Jahangir. Malah, ayahandanya masih ingat nendanya menggelar Khurram sebagai puteranya sendiri.
Tetapi selepas kemangkatan Akbar pada 1605, baginda kembali diletakkan di bawah jagaan bondanya Jagat Gosain. Walaupun terpisah sejak lahir, Khurram amat mengasihi bondanya dan sentiasa menggelarnya sebagai Hazrat semasa menghadap di istana.
Kecintaannya terhadap bonda tercinta turut menjelaskan mengapa baginda berkabung selama 21 hari selepas Jagat Gosain mangkat pada 8 April 1619. Dalam tempoh tersebut, baginda tidak muncul dalam mana-mana mesyuarat awam. Isteri yang amat dikasihi, Arjumand Banu Begum (kemudiannya digelar Mumtaz Mahal) mengetuai bacaan al-Quran setiap pagi, mengagihkan infaq kepada golongan asnaf dan sentiasa menasihati baginda agar bersabar dengan ketentuan Ilahi itu.
Dua tahun selepas kemangkatan Akbar, Khurram ditunangkan dengan Banu Begum – cinta sejati bakal maharaja Mughal itu. Bagaimanapun, perkahwinan itu terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang kepada perkahwinan-perkahwinan Khurram yang diatur Jahangir bagi mengukuhkan kedudukan baginda.
Dua isteri terawal baginda ialah Qandahari Mahal (dikahwini pada 1610) dan Akbarahadi Mahal (dikahwini pada 1617). Kedua-dua perkahwinan ini menghasilkan cahaya mata. Tetapi itu langsung tidak memadamkan cinta Khurram kepada Arjumand yang membawa kepada perkahwinan mereka pada 1612.
Dalam tempohnya sebagai putera Mughal, baginda didedahkan dengan pelbagai ilmu seperti al-Quran, kesusasteraan, ketenteraan dan pentadbiran. Malah, Khurram diberi kepercayaan mengetuai ekspedisi ketenteraan Mughal untuk menakluk Mewar (satu kawasan di Rajput) dan Deccan antara 1614 hingga 1617.
Walaupun dianggap setahun jagung, cucu kesayangan Akbar itu membuktikan kemampuannya sebagai komander medan yang hebat. Dalam tempoh tersebut, Mewar dan Deccan menjadi jajahan takluk Mughal. Ini menyebabkan Jahangir memberi gelaran Shah Jahan kepada Khurram yang bermaksud Raja Dunia dalam Bahasa Parsi. Ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pewaris takhta Mughal.
Seperti mana era Turki Uthmaniyah, amalan pembunuhan saudara (fratricide) wujud sebagai cara memilih pewaris takhta seterusnya. Ini sama sekali berbeza dengan amalan sistem monarki biasa di mana raja boleh memilih mana-mana putera yang disukainya (kebiasaannya putera sulung) sebagai pengganti apabila baginda mangkat.
Hakikat ini sememangnya disedari oleh semua putera Jahangir iaitu Khusrau, Shah Jahan dan Shahryar. Atas sebab itulah, tidak lama selepas kemangkatan nenda mereka, Khusrau terlebih dahulu bangkit memberontak pada 1606. Bagaimanapun, usaha tersebut tidak bertahan lama selepas kekanda Shah Jahan itu tewas di Bhairowal.
Disebabkan konflik antara mereka, Shah Jahan memilih untuk tidak masuk campur. Baginda tahu sekiranya baginda cuba melakukan perkara sama, sudah pasti baginda juga akan dikerjakan oleh angkatan perang Mughal. Justeru, lebih baik bagi Shah Jahan bersabar dan menanti masa sesuai untuk mendapatkan takhta Mughal.
Begitupun, kesabaran baginda ada batasnya terutama selepas melihat sendiri perilaku bonda tirinya Nur Jahan. Selepas berkahwin dengan Jahangir pada 1611, setiap tindakan baginda terutama yang berkait dengan politik dikawal sepenuhnya oleh Nur Jahan. Malah, ramai ahli keluarga baginda dipilih sebagai bangsawan dan pegawai kerajaan sehingga sesetengah sejarawan menggelar pemerintahan Jahangir sebagai junta Nur Jahan.
Lagi menjengkelkan Shah Jahan ialah tindakan bonda tirinya itu cuba menolak adinda tirinya, Shahryar sebagai pewaris takhta. Hal ini sekaligus merenggangkan hubungan baginda dengan Jahangir yang terjalin selama ini. Lantas, seperti kekandanya Khusrau, Shah Jahan bangkit memberontak.
Bagaimanapun, tempoh empat tahun baginda memberontak menyaksikan nasib serupa seperti kekandanya. Tetapi Shah Jahan bernasib baik apabila Jahangir bersedia menawarkan pengampunan kepadanya. Namun begitu, sebagai tukaran, baginda harus melepaskan dua puteranya iaitu Dara Shikoh dan Aurangzeb tinggal di istana Jahangir di Lahore. Ketiga-tiganya hanya bersatu semula selepas Shah Jahan ditabalkan sebagai Maharaja Mughal pada Januari 1628.
Setahun selepas baginda menyerah diri kepada ayahandanya itu, Jahangir mangkat. Dan ini membawa kepada perang saudara antara Shahryar yang disokong Nur Jahan dengan Shah Jahan. Tetapi baginda bernasib baik kerana wazir Mughal ketika itu, Asaf Khan memilih menyokongnya. Asaf Khan bukan sekadar bangsawan tetapi kekanda Nur Jahan dan ayahanda mertua Shah Jahan.
Atas sebab itu, bagi mengekang pengaruh adindanya itu, Asaf Khan memenjarakan Nur Jahan. Tanpa sokongan bonda mertuanya itu, Shahryar mudah dikalahkan oleh Shah Jahan. Selepas menaiki takhta pada Januari 1628, adindanya itu dihukum bunuh bersama anak-anak Putera Khusrau dan sepupu-sepupu baginda. Kesemua hukuman ini dijalankan oleh Asaf Khan.
Di sebalik sikap pragmatiknya dalam mendapatkan takhta, itu tidak bermakna Shah Jahan tiada belas kasihan terhadap Nur Jahan. Walaupun dikenakan tahanan rumah, baginda memberi sejumlah besar wang kepadanya sebagai elaun perbelanjaan. Ini membantu bonda tirinya itu meneruskan pembinaan kompleks makam untuk ayahandanya, Mirza Ghiyas Beg di Lahore.
Selepas bergelar maharaja, Shah Jahan berdepan pemberontakan dan cabaran dari dalam dan luar negara. Tetapi itu tidak menghalangnya meneruskan dasar perluasan kuasa Mughal. Dalam dekad pertama pemerintahannya sahaja, Shah Jahan berjaya menakluk kerajaan-kerajaan Rajput di Baglana dan Bundelkhand di barat, kerajaan-kerajaan Bijapur dan Golconda (kedua-duanya wilayah di Deccan) di selatan serta kerajaan-kerajaan kecil di Kashmir dan Himalaya.
Begitupun, usaha baginda untuk mengakali Dinasti Safavid terutama di Balkh (Afghanistan) merupakan satu kegagalan. Selepas menakluk Kandahar pada 1638, Abbas II yang memerintah dinasti itu kemudiannya merampas semula kota itu 11 tahun kemudian. Sejak itu, semua usaha merampas Kandahar baik semasa era baginda dan penggantinya, Aurangzeb berakhir dengan kegagalan.
Tetapi Shah Jahan lebih bernasib baik dalam berdepan dengan Portugal. Sejak dekad 1630-an, kuasa Eropah itu sentiasa berusaha menggugat armada laut Mughal di Teluk Bengal. Malah, hati Shah Jahan lebih panas selepas mendapat tahu paderi-paderi Jesuit menculik dan memaksa golongan petani miskin menganut agama Kristian.
Lantas, pada September 1632, baginda menggerakkan ketumbukan Mughal ke Bandel di barat Bengal dengan wilayah tersebut jatuh dengan mudah. Garison Portugal yang berpangkalan di situ dikenakan hukuman setimpal atas tindakan mereka.
Tiga tahun kemudian, Shah Jahan mengeluarkan firman (perkataan lain untuk dekri) Gereja Agra yang diuruskan paderi Jesuit dirobohkan. Bagaimanapun, paderi-paderi Jesuit dibenarkan mengamalkan agama mereka dalam majlis-majlis tertutup. Mereka juga turut diingatkan agar tidak menyebarkan dakyah Kristian kepada warga Muslim dan Hindu Mughal.
Tetapi pencapaian paling penting dan signifikan berbanding penaklukan-ketenteraan yang dilakukan oleh Shah Jahan ialah legasi seni bina yang ditinggalkan baginda. Seperti nendanya Akbar, Shah Jahan turut memiliki minat yang mendalam terhadap seni bina.
Pencapaian seni bina Shah Jahan yang paling ulung sudah pasti Taj Mahal – yang dibina di antara tahun 1632 hingga 1653M. Ia merupakan lambang cinta hakiki baginda terhadap Mumtaz Mahal. Selain itu, Shah Jahan juga bertanggungjawab memperindahkan lagi Kubu Merah (Red Fort) di Agra dan membina banyak masjid termasuklah Masjid Jama, Masjid Wazir Khan dan Masjid Moti.
Selepas kemangkatan Mumtaz Mahal pada 1631, ia memberi kesan teruk kepada kesihatan baginda. Lantas, ini juga menjelaskan mengapa Shah Jahan jatuh gering pada 1658. Seperti mana Jahangir yang memilihnya sebagai pewaris takhta, pilihan Shah Jahan ialah putera sulungnya Dara Shikoh.
Namun begitu, pada masa sama, baginda juga sedar pilihannya tidak semestinya akan berjaya pada akhirnya. Hanya yang paling licik sahaja yang akan meraih takhta Mughal. Dalam hal ini, Dara tiada kelebihan kerana itu kelebihan yang dimiliki adindanya dan bakal maharaja Aurangzeb.
Dan ini terbukti menerusi kekalahan teruk baginda di tangan pakatan Aurangzeb-Murad Bakhsh di Samugarh pada 1658. Shah Jahan yang baru pulih cuba membantu tetapi terpaksa menyerah kalah selepas bekalan air untuk Agra dipotong oleh putera ketiganya itu. Selepas menaiki takhta sebagai maharaja, Aurangzeb meletakkan baginda dalam tahanan rumah di Kubu Agra dengan pemandangan menghadap Taj Mahal.
Dalam tempoh lapan tahun terakhir hayat baginda, Shah Jahan dijaga oleh puteri kesayangannya Jahanara. Menjelang hari-hari terakhir kemangkatan baginda, semua bangsawan wanita istana termasuk bonda tiri Jahanara, Akbarahadi Mahal diletakkan di bawah seliaan puterinya itu. Akhirnya, pada 22 Januari 1666, Shah Jahan kembali ke hadrat Ilahi.
Jahanara berharap Aurangzeb bersetuju untuk mengurniakan upacara pemakaman negara buat ayahanda mereka. Bagaimanapun, hasrat adindanya itu ditolak oleh baginda. Tetapi baginda tidak menafikan hajat ayahandanya itu dimakamkan bersebelahan bonda mereka yang tercinta, Mumtaz Mahal di Taj Mahal.
Kalau anda berminat dengan artikel sejarah Islam di India seperti ini, kami nak cadangkan pembelian judul terbaru kami, MUGHAL: MUTIARA ISLAM DI INDIA sementara ada diskaun terakhir ini. Beli di: https://bit.ly/MughalShopee
RUJUKAN
Szczepanski, K. (2019, 2 Oktober). Shah Jahan. ThoughtCo.
Mingren, W. (2019, 8 Ogos). Shah Jahan: Mughal Emperor, Creator of the Taj Mahal, Champion of Fine Cuisine. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih