Saya pasti ramai tertanya-tanya mengapa saya menulis Seven Deadly Sins untuk artikel kali ini, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia. Pada saya, Seven Deadly Sins yang menjadi inspirasi Dante Alighieri untuk sajak beliau, The Divine Comedy sebenarnya ada pengajaran yang kita boleh ambil sebagai teladan dan sempadan dalam hidup kita.
- Lust (Nafsu/Luxuria)
Bila kita sebut tentang lust atau nafsu, perkara pertama orang boleh kaitkan ialah ia berkait dengan perkara-perkara berbaur seksual seperti zina, homoseksual, lesbian dan rogol. Namun jika diteliti dengan lebih lanjut, ia sebenarnya lebih daripada itu. Schopenhauer, seorang ahli falsafah Jerman berpandangan nafsu ialah penghalang kepada manusia daripada mencapai apa-apa matlamat yang penting tak kira sama ada perkara tersebut besar atau kecil. Dan jika ia dibiarkan berleluasa, ia berpotensi menyukarkan manusia daripada mencapai potensi diri sepenuhnya dan merosakkan mana-mana struktur atau sistem yang menyokong potensi tersebut.
Menurut pandangan Islam, nafsu ialah ketiadaan kawalan pada kemahuan atau kehendak diri sehingga menyebabkan individu tersebut lari dari jalan Allah s.w.t. Nafsu ini tidak terhad kepada perkara bersifat seksual semata-mata, ia sebenarnya lebih menjurus kepada perkara-perkara bersifat duniawi seperti harta dan kekuasaan. Bila mana manusia terlalu mengikut serakah dan mempersetankan Al-Quran dan As-Sunnah, tanpa disedari, manusia tersebut sebenarnya membenihkan perbuatan-perbuatan dosa yang lain seperti hasad, mengumpat, fitnah dan pembunuhan. Atas sebab itulah, Rasulullah s.a.w bila ditanya tentang apa jihad paling besar, jihad terbesar ialah melawan kehendak nafsu diri. Ini kerana pertarungan ini berlaku bukan sekali dua tetapi setiap hari dalam kehidupan kita sampailah kita dipanggil kembali ke hadrat-Nya setelah masa kita di dunia sudah luput.
Dan nafsu ini usah dipanggil enteng. Sebelum manusia diciptakan, Allah mencipta akal dan nafsu terlebih dahulu. Tidak seperti akal yang mengakui hakikatnya sebagai makhluk-Nya, nafsu mengungkapkan kalimah ini, “Aku adalah aku, engkau adalah engkau.” Murka dengan jawapan nafsu, Allah mencampakkan nafsu dalam neraka selama beratus tahun. Bila ia dipanggil semula, nafsu tetap memberi jawapan sama lalu dicampak sekali lagi dalam neraka untuk tempoh yang sama. Kali ketiga, nafsu masih enggan berganjak daripada jawapannya lalu dicampak ke dalam neraka untuk tempoh beratus tahun. Kali keempat, barulah nafsu mengakui hakikat dirinya sebagai makhluk ciptaan-Nya. Dan anda masih kata nafsu ini bersifat remeh-temeh?
- Gluttony (Gelojoh/gula)
Saya dapat dengar ada yang gelak bila berbicara soal gluttony atau gelojoh. Hakikatnya, ia satu perbuatan yang seharusnya kita jauhi. Saya tahu bila bab makan terutama semasa berbuka puasa, kita rasa nak makan semua lauk yang disediakan atau beli lauk-lauk di pasar Ramadan kerana rasa lapar yang teramat. Tetapi saat kita makan sebegitu rupa, kita sebenarnya menafikan hak diri kita untuk menikmati hidangan seadanya. Sudahlah makan tak ikut peraturan, nafasnya ke mana, airnya ke mana. Belum campur lagi lauk-lauk yang tak habis dan dibuang dalam tong sampah. Bukankah itu membawa kepada pembaziran bukan saja dari segi tenaga tetapi juga dari segi kewangan kita? Rasulullah s.a.w menegah perbuatan ini berdasarkan satu hadis, “Kita (kaum Muslimin) adalah kaum yang hanya makan semasa lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.” Bahkan, Cicero, seorang cendekiawan Yunani mencela perbuatan ini berdasarkan petikan dari Rhetorrica ad Herrenium IV 28, “ Makan itu seharusnya untuk bantu kita hidup, bukannya kita hidup untuk makan.”
- Greed (tamak/avaritia)
Greed atau tamak bukan sesuatu yang baru bagi manusia. Malah ia banyak muncul dalam lipatan sejarah manusia sama ada kisah-kisah para anbiya atau peradaban silam. Kerana tamak, Qarun ditenggelamkan bersama-sama dengan hartanya berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat 81, Surah Al-Qasas. Kerana tamak, manusia sanggup memfitnah dan berbunuhan demi mendapatkan sesuatu bernama kuasa dan harta. Bahkan, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru r.a, Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada umat Islam agar menjauhi perbuatan tamak kerana perbuatan tersebut memusnahkan kaum-kaum terdahulu dan menukar perwatakan mereka jadi kedekut dan kejam kepada orang lain. Persoalan, bagaimana perkara ini boleh timbul? Tamak timbul kerana keengganan manusia berpuas hati dengan apa yang dimiliki dan mahu memiliki kesemuanya, walaupun itu bermakna melakukan dosa-dosa lain bagi memastikan semua itu menjadi miliknya. Walaupun sifat ini cuba dipertahankan oleh Ivan Boesky dan menjadi inspirasi watak Gordon Gekko (Michael Douglas) dalam filem Wall Street dan Wall Street: Money Never Sleeps, hakikatnya sifat ini ialah satu lubang hitam yang menarik pertimbangan moral manusia dan menjadikan ia hamba kepada serakahnya. Dan sifat ini turut mendorong kepada pengambilan risiko yang tak berbaloi, kadang-kadang sampai ke tahap meragut nyawa. Contoh paling mudah, seorang lanun Belanda bernama Hendrick Lucifer berjaya merampas emas-emas Cuba selepas bertarung habis-habisan mendapatkannnya daripada dua buah kapal dagang Honduras. Beberapa jam selepas merampas emas-emas tersebut, Lucifer mati akibat kecederaan parah yang dialaminya.
- Sloth (malas/tristitia/acaedia)
Penyakit malas atau enggan bertindak ini bukan sesuatu yang baru. Bahkan, sangat kronik sehingga ada yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan tanpa melakukan apa-apa tindakan seperti yang dilakukan pendukung fahaman Jabariyah. Hakikatnya, sindrom sloth ini mendapat kritikan keras daripada Rasulullah s.a.w sehingga dalam satu hadis, baginda berdoa agar terlindung daripada penyakit malas. Manusia yang malas tidak akan ke mana kerana mereka tidak menyumbang apa-apa tindakan untuk mengubah situasi mereka. Jika mereka ada matlamat dan pelan tindakan sekalipun, selagi mana kemalasan ini wujud, ia sekadar di atas kertas dan bersifat angan-angan. Edmund Burke menyelar individu sebegini kerana individu tersebut hanya akan jadi beban dan tidak menyumbang apa-apa dalam perjuangan menentang kejahatan. Sementara Geoffrey Chaucer menganggap malas sebagai halangan terbesar kepada motif dan sumber untuk bekerja.
- Wrath (kemarahan melampau/ira)
Saya pasti ada yang akan menggunakan sifat ini sebagai alasan untuk tidak marah. Nak marah, silakan selagi mana ianya bersebab dan tidak mengundang apa-apa kemudaratan kepada diri atau orang lain. Marah di sini ialah kemarahan yang tidak boleh dikawal sehingga mencetuskan kemusnahan yang dahsyat. Marah sebegini yang harus dijauhi kerana ia menimbulkan banyak sentimen negatif seperti kebencian dan dendam. Dan bila ini berlaku, orang tersebut membiarkan serakah menjadi tuan kepada dirinya menurut Henry Edward. Dan Will Rogers menyifatkan orang yang didorong perasaan sebegini akan banyak melakukan kesilapan dari segi pertimbangannya. Ini kerana pada ketika itu, logik akal tidak lagi menjadi panduan sebaliknya kehendak diri menjadi keutamaan tatkala kemarahan menguasai diri. Ini boleh dilihat dalam banyak kes terutama jenayah amuk di mana si pelaku langsung tidak sedar apa yang dilakukannya kerana terlalu terpengaruh dengan sifat marahnya. Apabila si polan itu kembali waras, makanya barulah rasa kesal tak terhingga timbul tapi nasi sudah jadi bubur seperti dinyatakan Saidina Ali r.a, “Kemarahan itu bermula dengan kegilaan dan ia berakhir dengan penyesalan.” Kerana itulah, Rasulullah s.a.w memuji orang yang dapat menahan kemarahannya sebagai orang yang kuat.
- Envy (hasad/invidia)
Hasad itu bagus andai ia digunakan untuk saluran yang baik seperti mana dinyatakan Rasulullah dalam satu hadis iaitu hasad dalam soal menuntut ilmu dan hasad dalam soal berinfaq di jalan-Nya. Namun, hasad dalam konteks buruk ini langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada manusia. Hasad memarakkan lagi ketidakpuasan hati manusia dan mencucuk lagi elemen-elemen kebencian sehingga mendorongnya melakukan kezaliman yang tidak disangka-sangka pada orang lain. Makanya, kata-kata Fudhail bin Iyadh rahimahullah sesuai sekali menggambarkan hasad dan kaitannya dengan orang munafik, “Hormat itu sebahagian daripada iman sementara hasad itu sebahagian daripada kemunafikan. Orang beriman menghormati dan tidak hasad kepada orang lain sementara orang munafik bersikap hasad dan tidak menghormati orang lain. Orang beriman tidak mencari kelemahan, menegur dan memberi nasihat yang baik. Sementara orang munafik suka mencari kesalahan, menghina dan mengkhianati orang lain.” Bertrand Russell pula menganggap orang yang bersikap hasad sentiasa tidak gembira, menyakitkan orang yang mereka dengki dan membawa kesedihan dalam kehidupan mereka. Kerana hasad, manusia berantakan sehingga ke tahap berbunuhan. Contoh paling mudah, pembunuhan pertama di atas muka bumi oleh Qabil terhadap saudara kandungnya, Habil.
- Pride (angkuh/superbia)
Bila kita berbicara soal keangkuhan ini, ia satu dosa yang amat menakutkan. Mengapa saya berkata demikian? Kerana angkuh yang selayaknya memilikinya hanya Allah s.w.t kerana Dia Penguasa Alam Semesta dan Penguasa Hari Kebangkitan. Namun, sesetengah daripada kita tetap menginginkan sifat sebegini kerana pada mereka, ia menunjukkan kemegahan mereka berada di puncak kejayaan atau menunjukkan mereka lebih baik daripada orang lain. Alexander Pope dalam sajaknya, An Essay of Criticism menganggap individu sebegini sebagai orang yang tolol. Bila mana keangkuhan ini wujud dalam diri, si polan menganggap dirinya sempurna dan bebas daripada melakukan kesilapan. Dan mereka juga sentiasa bertindak terburu-buru dalam menunjukkan kehebatan tanpa memikirkan kos sama ada dari segi moral, maruah atau kewangan. Mereka juga tidak teragak-agak bertindak kejam pada orang lain jika merasakan ego mereka tercabar. Dan ciri-ciri ini banyak wujud dalam diktator-diktator sama ada Hitler, Stalin dan Firaun. Buktinya, dalam ayat 38, Surah Al-Qasas, Allah menceritakan perintah Firaun kepada orang kanannya, Haman untuk membina sebuah mahligai yang tinggi agar dia dapat melihat Tuhan Nabi Musa a.s. Kerana itu, tanya kepada diri sendiri, apakah berbaloi bersikap angkuh dengan orang lain? Pakar psikologi menganggap orang sebegini sebenarnya mengalami krisis keyakinan yang kronik dan terpaksa menyembunyikan di sebalik persona palsu yang dibina. Dan keangkuhan bukannya mendorong manusia menghormati si pelaku, membenci lagi adalah. Kesudahannya, dibenci pada pandangan manusia dan terhina di sisi-Nya. Kerana itu, Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada mana-mana individu yang ada sikap sebegini walaupun ia hanya bersaiz biji sawi, individu tersebut tidak akan dapat lesen masuk syurga Allah s.w.t.
Sumber:
- Landau, Ronnie. The Seven Deadly Sins: A Companion.
2. Elias. Abu Amina. 2016. Daily Hadith Online. Hadith on Greed: Beware of greed, miserliness, cutting family ties, and wickedness, http://dailyhadith.abuaminaelias.com/2016/01/21/hadith-on-greed-beware-of-greed-miserliness-cutting-family-ties-and-wickedness/
3. Elias. Abu Amina. 2015. Daily Hadith Online. Fudayl on Faith: The Believer is happy for others and has good will towards others. http://dailyhadith.abuaminaelias.com/2015/10/21/fudayl-on-faith-the-believer-is-happy-for-others-and-has-good-will-towards-others/
4. Blackburn, Simon. Lust: The Seven Deadly Sins.
5. Booth, Jim. Islam & Lust. http://peopleof.oureverydaylife.com/islam-lust-6325.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih