Tiada siapa mampu mengubah negara dalam tempoh 368 hari sahaja, apatah lagi jika negara tersebut sentiasa mengikuti pemimpin berkuku besi. Mesir menapak dunia moden dengan Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Selama 55 tahun, rakyat hanya melihat tiga pemimpin ini sahaja.
Namun apabila Mohamed Morsi memenangi pilihan raya, beliau hanya diberikan tempoh begitu singkat. Ibaratkan baru selesa di Istana Heliopolis, beliau sudah dikeluarkan. Semuanya kerana Morsi cuba mencabut gigi di gusi yang bengkak.
Karier politik Morsi mula bersinar 11 tahun selepas ia bermula. Beliau ditahan bersama 24 pemimpin Ikhwanul Muslimin selama dua hari, yang berakhir selepas Penj4ra Wadi el-Natrun digegarkan katanya Hamas dan Hizbullah (Tarek & Salma, 2013).
Nama beliau naik sebagai calon Ikhwanul Muslimin selepas Khairat el-Shater tidak layak. Maka dengan jawatan Presiden Mesir, Morsi akhirnya diberikan peluang untuk menerapkan kepercayaannya.
Pendapat beliau malangnya bercanggahan dengan norma negara. Beliau pernah menyatakan bahawa tiada apa boleh menandingi Perlembagaan Negara, yang seolah-olah menimbulkan pertikaian terhadap status ket3nteraan.
Pertikaian ini dikukuhkan lagi apabila Morsi menyatakan belanjawan pertahanan harus diimbangi Parlimen untuk lebih telus tanpa sebarang kerahsiaan (Blair & Elyan, 2012). Antara langkah paling awal Morsi pun melibatkan perintah ket3nteraan juga.
Beliau pada 10 Julai 2012 memulakan semula Dewan Parlimen, yang dibubarkan pegawai-pegawai keselamatan melalui Mahkamah Perlembagaan Agung. Semua wakil rakyat yang dipilih pada tahun 29 November 2010 dikembalikan, tetapi majoritinya daripada parti Morsi (Watson, 2012).
Dengan dewan ini, Morsi ingin meminda perlembagaan baharu untuk memelihara hak awam dan undang-undang syariah (Fleishman, 2012). Ini pun sebenarnya melawan arus yang ditetapkan kuasa ket3nteraan. Jadi dari awal lagi, bidangkuasa eksekutif dan pertahanan sudah bertembungan.
Sebulan selepas membuka Dewan Parlimen, Morsi membuat suatu keputusan pantas. Beliau mengumumkan bahawa pindaan perlembagaan oleh Majlis Agung (pun pihak ket3nteraan) dibatalkan serta-merta.
Sehubungan dengan itu, dua pembesar keselamatan diminta meletakkan jawatan (BBC, 2012). Pindaan tersebut awalnya mengehadkan kuasa seorang presiden, dengan dua pembesar berkaitan dikekalkan sebagai penasihat sahaja.
Dari sinilah datangnya Abdel Fattah el-Sisi yang dipilih sebagai Menteri Pertahanan. Tindakan Morsi kiranya dicabar hanya dalam tempoh sebulan, menandakan bukti wujudnya persengketaan kuasa di Mesir.
Selepas Mohamad Tantawi dan Sami Anan, Morsi memecat Murad Muwafi pula (Iqbal, 2012). Muwafi dibuang semasa Mesir dikejutkan dengan suatu s3r4ngan mengejut di Semenanjung Sinai.
Beberapa hari kemudian Morsi membentuk badan penasihatnya sendiri, yang dianggotai 21 orang. Barisan ini ditubuhkan untuk melaksanakan ilhamnya. Beliau ingin menjadikan Terusan Suez sebagai zon perindustrian pesat dengan pelaburan sekurang-kurangnya AS$8 bilion daripada Qatar (Werr, 2012).
Projek ini turut menarik perhatian Kesatuan Eropah yang memberikan €1 bilion. Projek ini tidak sempat direalisasikan Morsi, kerana sebulan kemudian musibah Mesir bermula. Suasana politik dunia pada 22 November 2012 dilihat begitu tenang, dengan satu-satunya kemelut ialah persidangan Kesatuan Eropah antara David Cameron dan Francois Hollande.
Namun di Kaherah, Morsi mengisytiharkan penubuhan Majlis Perlembagaan 2012 yang bertujuan untuk meminda Perlembagaan Mesir. Pengisytiharan ini membuatkan Morsi tidak boleh disentuh undang-undang, sehingga perlembagaan baharu disahkan (Kirkpatrick, 2012).
Inilah dikatakan musibah Mesir, kerana negara tersebut mula tidak stabil selepas pengisytiharan ini. Hanya Ikhwanul Muslimin saja yang menyokong Morsi dalam hal ini. Pihak pembangkang terutamanya Mohamed ElBaradei yang menggelarkan Morsi “Firaun Mesir Baharu” (Birnbaum, 2012).
Dataran Tahrir yang kesepian selepas kejatuhan Mubarak kembali aktif dengan desakan dan pertembungan bersama pihak polis. Hari demi hari rakyat membantah perintah Morsi, dengan pihak berkuasa mengambil kesempatan.
Sebelum mendapat kuasa, Morsi telah berjanji untuk menepati Perlembagaan Mesir, bahawasanya parti beliau takkan membuat gesaan kepada rakyat berdasarkan kepercayaan sendiri (Amrani, 2011).
Jelas sekali Morsi tidak dapat mengotakan kenyataannya sendiri. Dan pihak yang menentang beliau pun memperkudakan hujah tersebut, dengan semangat anti-Morsi semakin membuak-buak sehinggalah 1 Julai 2013.
Kata putus yang diberikan kuasa ket3nteraan telah berakhir dengan penggulingan satu-satunya presiden dipilih secara demokrasi. Kejatuhan Morsi menjadi pengajaran untuk semua, terutamanya ahli-ahli politik Mesir bahawa impian harus dikerjakan secara berperingkat.
Sepanjang pemerintahan Nasser, Sadat dan Mubarak, kuasa ket3nteraan telah menjadi sebahagian daripada d4rah daging Mesir. Mungkin disebabkan itulah Abdel Fattah el-Sisi masih lagi kekal sebagai Presiden Mesir. Faktor di sini jelas, Morsi sedang cuba mencabut gigi ketika gusi itu sendiri bengkak.
RUJUKAN:
Amrani, I. (2011, Mei 18). An interview with the MB’s Mohamed Morsy. Arabist. Retrieved from https://arabist.net/blog/2011/5/18/an-interview-with-the-mbs-mohamed-morsy.html
BBC. (2012, Ogos 12). Egypt leader Mursi orders (ditapiskan) chief Tantawi to resign. Retrieved from https://www.bbc.com/news/world-africa-19234763
Birnhaum, M. (2012, November 22). Egypt’s President Morsi takes sweeping new powers. The Washington Post. Retrieved from https://www.washingtonpost.com/world/egypts-president-morsi-takes-sweeping-new-powers/2012/11/22/8d87d716-34cb-11e2-92f0-496af208bf23_story.html
Blair, E., & Elyan, T. (2012, April 21). New Brotherhood candidate pitched in to Egypt race. Reuters. Retrieved from https://www.reuters.com/article/us-egypt-presidency-islamist/new-brotherhood-candidate-pitched-in-to-egypt-race-idUSBRE83K0AE20120421
Fleishman, J. (2012, Jun 25). Egypt’s Mohammed Morsi moves into Mubarak’s presidential office, meets with (ditapiskan). Los Angeles Times.
Iqbal, F. (2012, Ogos 16). President Morsi fires Egypt’s Intelligence Chief over Sinai unrest. Al Arabiya. Retrieved from http://www.alarabiya.com/news/articles/173/President-Morsi-fires-Egypts-Intelligence-Chief.html
Kirkpatrick, D.D. (2012, November 12). Egyptian Judges Challenge Morsi Over New Power. The New York Times. Retrieved from https://www.nytimes.com/2012/11/25/world/middleeast/morsi-urged-to-retract-edict-to-bypass-judges-in-egypt.html
Tarek, E. & Salma, E. (2013, Jun 23). Egyptian Court Says Foreign Groups Involved in 2011 (ditapiskan). Bloomberg.
Watson, I. (2012, Julai 10). Court overrules Egypt’s president on parliament. CNN. Retrieved from https://edition.cnn.com/2012/07/10/world/meast/egypt-politics/
Werr, P. (2012, Oktober 10). Egypt sees revenue in Suez Canal corridor project. Reuters. Retrieved from https://www.reuters.com/article/us-egypt-canal/egypt-sees-revenue-in-suez-canal-corridor-project-idUSBRE8990Y920121010
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih