Anak-anak tokoh yang hebat sering ditakdirkan untuk kekal dalam pengaruh bapa mereka, tidak kira berapa banyak kebaikan yang mereka miliki.  Di sebalik segala sumbangan baginda, Sultan Selim II tetap dibayangi oleh ayahandanya, Sultan Suleiman I, yang merupakan seorang pemerintah yang agung.

Sultan Uthmaniyyah ke-11 dan khalifah Islam ke-76 Sultan Selim II adalah putera Sultan Suleiman I, juga dikenali sebagai Suleiman al-Kanuni. Baginda merupakan satu-satunya sultan yang lahir dan mangkat di Istanbul. Baginda digambarkan sebagai seorang yang tinggi, kacak dan mempunyai dahi yang tinggi dan mata berwarna hazel. Baginda dikenali sebagai “Selim Yang Perang”, mungkin kerana rambut cantik yang diwarisi daripada ibunya, Hurrem Sultan.

Baginda mungkin dianggap sebagai sultan yang paling tidak popular sepanjang sejarah Uthmaniyah, bahkan imejnya dikotori dengan tuduhan seperti gemar meminum arak, namun ada banyak jasa dan sumbangan baginda yang jarang diketahui umum. Wallahualam.

Baginda tidak ada cita-cita mahu berkuasa ketika masih berstatus seorang şehzade (putera). Baginda hanya berdiam diri seolah-olah hanya menunggu takhta yang datang sendiri kepadanya.

Selim II pernah bertanya kepada sahabatnya, Celal Bey, “Apa yang orang katakan tentang kita?”  “Tentera menyokong Şehzade Mustafa manakala Şehzade Bayezid disokong oleh ibu bapa dan wazirnya,” jawab Celal Bey.

Atas jawapan ini, Selim berkata: “Biarlah yang kuat mahukan Sultan Mustafa. Biarlah kesultanan Bayezid dituntut oleh ibu bapanya. Biarkan Selim yang malang ini dikasihi oleh Mawlanya (Tuhan)! Marilah kita bersenang-senang. Hari esok adalah milik Tuhan.”

Para kekanda baginda, Mehmed dan Cihangir jatuh sakit dan meninggal dunia. Ambisi Şehzade Mustafa dan Bayezid, yang bangkit menentang bapa mereka itu akhirnya mengorbankan nyawa mereka.

Sultan Selim II menerima kunjungan utusan Safawiyah di Edirne pada tahun 1567.

Akhirnya, berkat kesabaran Şehzade Selim itu telah membuktikan bahawa baginda adalah calon yang paling layak untuk mewarisi takhta. Kesabaran adalah nilai yang paling berharga bagi seorang negarawan.

Sebenarnya, ayahandanya juga cenderung untuk menyokong Şehzade Selim untuk menggantikannya menduduki takhta kerana Selim seorang anak yang taat. Baginda mengambil bahagian dalam ekspedisi-ekspedisi ketenteraan bersama bapanya.

Selim membuktikan kemahirannya ketika berkhidmat sebagai gabenor di Manisa, Kütahya dan Karaman. Apabila Sultan Suleiman I berangkat melancarkan ekspedisi ke wilayah Parsi, baginda meninggalkan Selim sebagai pemangku sultan.

Mencegah Penjajahan

Selepas menaiki takhta, Sultan Selim II menyerahkan urusan pentadbiran di tangan wazir dan menantunya yang bijaksana, Sokollu Mehmed Pasha. Baginda ketika itu seumpama seorang raja di negara monarki Eropah yang demokratik hari ini. Tetapi baginda sentiasa berwaspada terhadap ambisi orang lain di sekelilingnya.

Baginda menyokong negarawan-negarawan seperti Lala Mustafa Pasha, Özdemiroğlu Osman Pasha, Kılıç Ali Pasha dan Piyale Pasha dan melindungi mereka daripada Wazir Besar Sokollu Mehmed Pasha, yang merupakan seorang tokoh yang berkuasa dan bercita-cita tinggi.

Sokollu ialah wazir kedua dan terakhir yang kekal memegang jawatan sepanjang pemerintahan sultan dalam sejarah Uthmaniyah. Yang pertama ialah Çandarlı Ali Pasha, wazir semasa era Sultan Bayezid.

Pemerintahan Sultan Selim II adalah salah satu zaman paling cerah dalam sejarah Empayar Uthmaniyah. Tunisia telah dibebaskan daripada tangan Sepanyol, penentangan Zayidi di Yaman telah dipatahkan dan penguasaan Uthmaniyah telah menjadi dominasi di Yaman pada zamannya.

Sultan turut bertanggungjawab mengirim bala tentera, artileri dan armada perang laut untuk membantu umat Islam di Kesultanan Aceh dalam menentang Portugis. Dengan itu, Kesultanan Aceh mampu mengekalkan kemerdekaannya sehingga tahun 1914.

Atas permohonan bantuan daripada khan Astrakhan, Perang Rusia-Turki, atau Kempen Don-Volga-Astrakhan 1569, telah dilancarkan. Ia bertujuan untuk menghubungkan Laut Hitam dan Laut Kaspia dengan membuka saluran pada titik di mana Sungai Volga yang mengalir ke Laut Kaspia dan Sungai Don yang mengalir ke Laut Azov menjadi sangat rapat antara satu sama lain, sekali gus memberikan perlindungan kepada Turkistan daripada  Ekspansionisme Rusia. Projek telah dimulakan, namun, ia tidak dapat diteruskan kerana musim sejuk dan sebab-sebab lain.

Miniatur menunjukkan Sokollu Mehmed Pasha (kanan) dan pegawai Uthmaniyah Feridun Ahmet Bey.

Khan Crimea Devlet I Giray, yang menerima bantuan daripada Sultan Selim II, menyerang Moscow dan memaksa Rusia untuk berdamai. Justeru, baginda menghalang Asia daripada jatuh ke tangan penjajah. Namun, Projek Terusan Suez pada zaman sultan yang ingin mengukuhkan penguasaan politik dan komersialnya di Lautan Hindi tidak direalisasikan.

Sultan Selim II adalah seorang pemerintah yang cintakan keamanan. Baginda berdamai dengan Iran, Austria dan Venetia, dan bertanggungjawab di atas pembinaan semula negara.

Baginda merupakan sultan pertama yang tidak keluar berkempen selepas menaiki takhta. Ini kerana hampir semua kempen-kempen pada zamannya adalah ekspedisi laut, dan para sultan tidak mengiringi tentera laut dalam misi.

Atas sebab ini, Sultan Selim II dikenali sebagai personaliti yang membosankan oleh ramai pihak dan ahli sejarah hingga baginda tidak pernah diberikan tempat yang sepatutnya dalam sejarah.

Impian Sultan

Campur tangan dalam urusan pentadbiran kebiasaannya jarang berlaku tetapi ia berlaku dalam penaklukan Cyprus pada Julai 1571. Cyprus telah ditawan oleh umat Islam semasa pemerintahan Khalifah Muawiya pada abad ketujuh dan juga Ummu Hiram binti Milhan, ibu saudara Nabi Muhammad S.A.W. telah syahid di sini.

Bagaimanapun, Cyprus kemudiannya jatuh ke tangan musuh, yang menjadi asas legitimasi bagi Uthmaniyah untuk melancarkan kempen menakluki kepulauan tersebut.

Di samping itu, Cyprus telah menikam ke dalam tanah Uthmaniyyah seperti pisau, dan Venetia yang merupakan pemilik pulau itu mengancam keselamatan Uthmaniyah di Mediterranean. Memandangkan penaklukan pulau itu sangat sukar, Divan-I Hümayun (Majlis Mesyuarat Kerajaan) menentang ekspedisi di sana.

Khabar angin menyebut Sultan Selim II bermimpi pada masa itu, di mana, Nabi Muhammad S.A.W. memberitahu bahawa baginda akan menakluki Cyprus dan mahu baginda membina sebuah masjid sebagai tanda kesyukuran.

Masjid Selimiye di Lefkoşa, Cyprus.

Selepas kejadian ini, yang berulang beberapa kali, sultan berkeras untuk melancarkan ekspedisi penaklukan pulau itu. Akibat fenomena mengenai mimpi ini meningkatkan populariti sultan, tentera laut yang baharu telah ditubuhkan.

Uthmaniyah yang sebelum itu teragak-agak untuk melancarkan kempen, akhirnya berjaya menakluki pulau itu dalam masa yang singkat. Kemudian, Sultan Selim II memerintahkam Masjid Selimiye dibina di Nicosia (Lefkoşa).

Pada 7 Okt. 1571, tentera laut Uthmaniyah mengalami kekalahan buat kali pertama menentang tentera laut persekutuan Negeri-negeri Kepausan, Malta, Venice dan Sepanyol. Sebanyak 152 kapal telah hilang, malah laksamana besar turut syahid.

Sultan yang sangat kecewa, memerintahkan tentera laut diperbaharui dalam tempoh lima bulan. Apabila Laksamana Besar Kılıç Ali Pasha menyatakan rasa terkejut tentang perintah itu, Sokollu Mehmed Pasha menawarkan jawapan bersejarah kepadanya:

“Pasha! Pasha! Kamu tidak kenal negara ini. Kekuasaan negara ini berada pada tahap yang jika semua tiang tentera laut diperintahkan dibuat daripada perak, tali dibuat daripada benang sutera, dan layar dibuat daripada satin, ia akan disiapkan dengan mudah. Jika ada kapal yang kehabisan peluru, ambillah dari aku!”

Oleh itu, armada laut dengan 200 kapal telah dibina dengan kerja keras sepanjang musim sejuk. Joseph von Hammer-Purgstall mengaitkan ini dengan keunggulan ekonomi dan teknikal Uthmaniyah dan menyatakan, “Seolah-olah orang Turki telah memenangi Pertempuran Lepanto.”

Lakaran Pertempuran Lepanto oleh Martin Rota.

Pada tahun 1567, apabila pemberontakan Belanda menentang Sepanyol bermula, pemimpin pemberontakan, Willem Orange meminta bantuan Sultan Selim II. Sultan berjanji untuk membantu atas dasar “musuh yang sama” tetapi kekalahan semasa Pertempuran Lepanto tidak mengizinkan Uthmaniyah membantu secara langsung.

Pada masa itu, slogan “Liever Turks dan Paaps” (Aku lebih rela menjadi orang Turki daripada menjadi Katolik) amat popular di Belanda. Pihak tentera Belanda juga memakai jata berbentuk bulan sabit dengan slogan ini pada topi mereka.

Seperti semua anak lelaki Sultan Suleiman, Selim II menerima pendidikan dan latihan yang sangat baik dan merupakan salah seorang yang paling intelek pada zamannya. Baginda menghargai golongan ulama dan merupakan seorang sultan yang soleh yang tergolong dalam tarekat sufi Khalwati. Baginda mendapat panduan oleh Syeikh Suleiman Amedi.

Sultan sangat mahir berburu dan memanah. Tidak ada seorang pun yang mampu menarik busur lebih baik daripada baginda pada zamannya. Baginda pernah berenang di Selat Bosporus.  Baginda juga seorang yang baik dan merendah diri.

Lukisan menggambarkan Selim II sedang berburu.

Sultan Selim II juga seorang penyair hebat yang menghasilkan diwan (koleksi puisi oleh seorang pengarang). Baginda pernah menulis puisi dengan nama pena ‘Selimi’.

Penyair Turki Yahya Kemal Beyatlı memuji sultan dan menyamakan bait-baitnya dengan Masjid Selimiye secara puitis, dengan berkata: “Dia mempunyai bait dan masjid yang begitu indah.” Bait sultan yang dipuji oleh Beyatlı berbunyi:

“Kami adalah burung bulbul cinta yang mengadu tentang perpisahan dengan nafas yang terik

Angin pagi yang lembut menjadi api jika ia bertiup melalui tasbih kami.”

Semasa pemerintahan Sultan Suleiman, larangan membuka pub atau kedai arak ditetapkan di kawasan kejiranan di mana orang Islam adalah majoriti. Larangan itu dibatalkan semasa pemerintahan Sultan Selim II untuk menampung kerugian cukai.

Orang bukan Islam boleh membeli, menjual dan meminum arak dalam negara Islam. Di Empayar Uthmaniyyah, terdapat pub milik orang bukan Islam. Kerajaan pernah mengutip cukai daripada mereka, dan orang Islam tidak boleh memasuki tempat-tempat ini. Kebanyakan mereka yang tidak mengetahui peraturan ini, beranggapam bahawa sultan adalah seorang yang meminum arak.

Mahakarya

Sultan Selim II memerintahkan beberapa kerja amal, termasuk masjid, madrasah dan imaret (dapur sup), di seluruh negara. Kubah Masjid Selimiye, yang dibina oleh arkitek Uthmaniyah Mimar Sinan di Edirne dan diisytiharkan sebagai “mahakarya,” adalah lebih besar daripada Hagia Sophia.

Masjid Besar Hagia Sophia dapat bertahan hari ini berkat tembok penahan yang telah diperintahkan pembinaannya oleh sultan untuk struktur tersebut. Baginda juga memerintahkam sebuah madrasah dan dua menara yang elegan dibina di sebelahnya.

Bahagian luar Masjid Selimiye

Baginda mengarahkan laluan air Mekah dibaikpulih dan menghiasi Kaabah dengan kubah marmar yang indah. Antara kerja amalnya yang lain ialah Masjid Selimiye dan Pondok Aziz Efendi di Lefkoşa, Menara Pelabuhan Navarin dan Masjid Besar Antakya.

Sultan Selim II mengasaskan kota Karapınar di Konya. Baginda membina sebuah masjid dan kompleks di sini. Baginda telah membaiki Istana Topkapı, yang mengalami kerosakan akibat bencana kebakaran.

Salah satu kebiasaan yang dilakukan pada zamannya adalah menghiasi menara masjid dengan lampu minyak yang dipanggil mahya pada bulan Ramadhan dan malam-malam yang dianggap berkat.

Ruang dalaman Masjid Selimiye.

Kematian Syeikh al-Islam Ebussuud Efendi yang sangat disayanginya pada Ogos 1574 banyak memberi kesan kepada sultan. Baginda lebih bersedih di atas kematian Ebussuud Efendi daripada kematian anaknya dua tahun sebelum itu.

Kemudian, baginda berundur ke pondoknya dan menghabiskan masa dengan beribadah.

Semasa melawat struktur bangunan dan rumah mandi yang dibina semula di istana selepas kebakaran, sultan tergelincir dari lantai marmar, jatuh dan akhirnya mangkat akibat pendarahan otak.

Sultan Selim II berumur 50 tahun ketika baginda meninggal dunia pada tahun 1574, selepas lapan tahun memerintah.  Baginda mangkat pada usia yang sama dengan datuknya, Sultan Selim I, dengan nama yang sama baginda.

Selain itu, kedua-dua Selim ini memerintah untuk tempoh yang sama. Baginda kemudiam dikebumikan di makam yang dibina oleh Mimar Sinan di halaman sekitar Hagia Sophia.

Baginda kurang menyukai kehidupan harem. Satu-satunya isteri tercintanya, Nurbanu Sultan, adalah salah seorang wanita yang paling baik dalam sejarah. Dia meminta Mimar Sinan membina Masjid Atik Valide di Üsküdar dan kompleksnya serta Toptaşı Bimarhane (hospital sakit mental), yang kini beroperasi di Bakırköy.  Terdapat banyak badan amal lain yang telah ditugaskan olehnya. Nurbanu Sultan juga bertanggungjawab menyalirkan air ke Istanbul.

Potret Sultan Selim II oleh Lambert de Vos.

Sultan Selim II mempunyai lapan anak lelaki bernama Murad, Mehmed, Ali, Süleyman, Mustafa, Cihangir, Abdullah dan Osman dan empat anak perempuan bernama Esmehan, Gevherhan, Fatma dan Shah Sultan.

Keturunan anak-anak Esmahan yang lahir dari nasab Sokollu Mehmed Pasha dan Gevherhan dari Piyale Pasha masih hidup dan bertahan hingga ke hari ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply