Pada Isnin lepas, sekumpulan sejarawan, penyelidik dan aktivis alam sekitar berjaya menamatkan satu perjalanan epik yang bermula seminggu sebelumnya. Mereka menjejak semula laluan yang digunakan Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar as-Siddiq r.a semasa berhijrah dari kota Makkah ke Yathrib (Madinah) termasuk menggunakan metodologi perjalanan mereka.

Kumpulan yang terdiri daripada sejarawan Abdulhafaiz Al-Graiqri, arkitek dan perancang bandar Amro Darwish, penyelidik Dr. Samir Barqah dan aktivis alam sekitar Hassan Abdulshakoor memulakan perjalanan mereka di Gua Tsur. Di gua inilah, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar bersembunyi selama beberapa hari bagi mengelak dikesan kumpulan penjejak musyrikin Quraisy sebelum meneruskan perjalanan ke Yathrib.

Malah, peristiwa ini turut diabadikan dalam al-Quranul Karim. Firman-Nya dalam ayat 40, Surah al-Taubah mafhumnya, “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negeri Makkah) sedang dia salah seorang dari dua sahabat semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya:

“Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi selama-lamanya kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Mubarakpuri, 2020)

Perjalanan kumpulan ini merangkumi jarak 500 km termasuk ekspedisi lapangan seperti bermalam di padang pasir sambil berdepan pelbagai faktor yang mencabar. Bagi Al-Graiqri, perjalanan ini merupakan kemuncak kepada semua kajian, ekspedisi lapangan, pengumpulan data termasuk koordinat GPS dan GIS serta pengiraan jarak yang dibuat selama ini.

Selain mengikut data yang dikumpul, ekspedisi ini turut mendapatkan khidmat nasihat penduduk kabilah tempatan yang menetap sekitar lembah berkenaan. Ini membolehkan mereka mengagak laluan mana yang digunakan Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar semasa berhijrah ke Yathrib. Seperti perjalanan hijrah yang berlaku lebih 1,400 tahun yang lalu, ekspedisi ini juga mencabar fizikal dan mental ahli ekspedisi.

Memandangkan mereka ingin mengikut jejak langkah penghijrahan baginda, maka mereka perlu berjalan dan menaiki haiwan tunggangan seperti unta untuk melengkapkan ekspedisi. Begitupun, pada dua hari pertama perjalanan, perjalanan mereka digugat oleh ribut pasir sekaligus berpotensi menjejaskan jadual perjalanan mereka.

Ini menyebabkan sesetengah ahli ekspedisi terpaksa menaiki kereta pacuan empat roda untuk meneruskan perjalanan. Tetapi bagi Darwish, pengalaman yang dilalui mereka pada akhirnya amat berbaloi. Malah, dia merasakan ekspedisi kali ini amat signifikan dari segi sejarah termasuk pengesahan laluan yang dilalui mereka merupakan laluan hijrah baginda ke Yathrib.

Semasa peristiwa hijrah ke Yathrib, cabaran yang dihadapi Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar pula berbeza. Cabaran mereka ialah berusaha mengelak perjalanan mereka dikesan oleh penjejak-penjejak musyrikin Quraisy. Ini mendorong mereka berehat di siang hari dan berjalan pada waktu malam.

Tetapi laluan perjalanan mereka dapat dihidu oleh seorang penjejak Bani Kinanah bernama Suraqah bin Malik. Bagaimanapun, usaha Suraqah tidak berhasil kerana setiap kali kudanya berjaya menghampiri mereka, beliau tersungkur dari kudanya. Bukan sekali, ya tetapi tiga kali!

Menganggap ini sebagai satu tanda kenabian Rasulullah s.a.w, Suraqah berjanji akan menghalang mana-mana penjejak dari menjejaki mereka. Dan beliau memenuhi janjinya dengan memberitahu mana-mana kumpulan pengejar bahawa kelibat Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a tidak pernah kelihatan. Sejak itu, perjalanan mereka berjalan lancar sehingga tiba di Yathrib. (Mubarakpuri, 2020)

Dokumentasi perjalanan ekspedisi kini menjadi bahan pameran bertajuk Dokumentasi Laluan Penghijrahan Rasulullah di Jeddah. Menerusi pameran ini, model-model dan imej-imej digunakan sebagai alat penerangan visual laluan yang digunakan Rasulullah s.a.w semasa berhijrah ke Madinah. Bagi Darwish, mendokumentasi perjalanan dan mengalami sendiri perjalanan hijrah merupakan satu impian mereka yang kini tercapai.

RUJUKAN

Arab News. (2021). Saudi team documents Prophet Muhammad’s migration to Madinah.

Mubarakpuri, S.R. (2020). The Sealed Nectar (Ar-Raheeq Al-Makhtum): Biography of the Noble Prophet Muhammad -Peace Be Upon Him-. Darussalam.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.