Menara Kuala Lumpur bukan sekadar bangunan tinggi yang menjadi ikon ibu kota Malaysia. Tapi bagaimana sebenarnya menara setinggi 421 meter ini dibina? Apa cabaran yang dihadapi dalam proses pembinaannya?
Dan yang paling menarik, apa rahsia yang tersembunyi di bawahnya?
[Kubu Perang Klang]
Sebelum Kuala Lumpur menjadi metropolis moden, Bukit Nanas merupakan lokasi penting dalam sejarah peperangan di Selangor.
Pada abad ke-19, ia dikenali sebagai Bukit Gombak dan menjadi kubu pertahanan masyarakat Mandailing yang dipimpin oleh Raja Asal.
Pada waktu itu, Selangor sedang berdepan dengan Perang Klang (1867–1874), konflik yang tercetus antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah akibat perebutan kuasa ke atas Klang.
Raja Mahadi mendapat sokongan masyarakat Mandailing yang menetap di Bukit Gombak dan bagi memastikan kubu mereka kebal daripada serangan musuh, mereka menggunakan taktik perang yang unik.
Di sekeliling bukit, mereka menanam pokok nanas yang berduri tajam sebagai benteng semula jadi. Ini bukan sekadar menghalang pergerakan musuh, tetapi juga dipercayai mampu “menawarkan” ilmu kebal mereka.
Pada masa yang sama, mereka menggali terowong rahsia yang menghubungkan kubu dengan Sungai Klang dan kawasan perlombongan bijih timah.
Terowong ini bukan sahaja menjadi laluan penyimpanan senjata dan makanan, tetapi juga digunakan untuk melancarkan serangan mengejut terhadap musuh.
Namun, kehebatan kubu ini akhirnya berakhir apabila Tengku Kudin, menantu Sultan Selangor bersama bala tentera Kedah dan Pahang termasuk pahlawan seperti Tok Gajah dan Datuk Bahaman berjaya menawan Bukit Gombak.
[Tapak Istana Lama?]
Bukit ini bukan sekadar kubu pertahanan, tetapi juga menjadi pusat kehidupan orang Mandailing di Kuala Lumpur. Untuk mempertahankan kawasan ini, Tuanku Raja Asal membina Bagas Godang Mandailing, sebuah istana besar bagi Raja Asal.
Pada tahun 1889, seorang kartografer British, W.T. Wood, melakar peta Kuala Lumpur yang menunjukkan sebuah istana usang di puncak Bukit Nanas.
Menurut catatan Thomas Braddell, Sultan Selangor ketika itu, Sultan Abdul Samad, bercadang untuk menjadikan tapak runtuhan istana lama tersebut sebagai istana rasmi negeri Selangor.
Catatan Braddell menyatakan:
“During the first ten years of colonial rule there was little money to spare, but by 1888 the dilapidated structure had been rebuilt as ‘an astana on a plan chosen by His Highness.’ But, by now the State Government had launched into a more ambitious building programme and the Bukit Nanas building was evidently deemed too small or otherwise unsuitable – it was later used as the state museum.”
Lebih menarik lagi, dalam The Journals of Frank A. Swettenham, terdapat satu lakaran yang mencatatkan istana ini sebagai ‘Malay Rajah’s house on hill’.
Ia turut digambarkan sebagai sebuah binaan yang dihiasi dengan taman-taman bunga, sejajar dengan ciri-ciri istana Mandailing yang sering dibina dengan unsur alam sekitar yang indah.
Namun, cadangan Sultan membina istana rasmi di Bukit Nanas akhirnya dibatalkan dan Klang dipilih sebagai pusat pentadbiran negeri baharu.
Pada tahun 1895, tapak ini ditukar fungsi menjadi Selangor Museum sebelum dipindahkan ke Jalan Damansara pada tahun 1906.
Kemudian, bangunan itu dijadikan Treacher Technical School sehingga 1915 sebelum bertukar menjadi Malarial Bureau pada tahun 1920. Akhirnya, bangunan tersebut dirobohkan pada tahun 1960 untuk memberi laluan kepada pembinaan St. John’s Primary School.
[Projek Gergasi Bermula: Pembinaan Menara Kuala Lumpur]
Idea untuk membina Menara Kuala Lumpur tercetus pada akhir 1980-an, ketika Malaysia sedang pesat membangun sebagai pusat ekonomi Asia Tenggara.
Kerajaan mahu membina sebuah menara komunikasi yang bukan sahaja meningkatkan keupayaan telekomunikasi negara, tetapi juga menjadi simbol kebanggaan negara.
Pada 1 Oktober 1991, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan peletakan batu asas menara ini.
Projek ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana Bukit Nanas masih menempatkan hutan simpan kekal yang berusia lebih 100 tahun.
Keutamaan diberikan untuk memastikan kerja-kerja pembinaan tidak merosakkan ekosistem semula jadi di kawasan tersebut.
Pembinaan menara ini mengambil masa hampir lima tahun dan dibahagikan kepada beberapa fasa.
Fasa pertama melibatkan pelebaran Jalan Bukit Nanas dan kerja-kerja penggalian tanah untuk membina asas bangunan.
Kemudian, fasa kedua menyaksikan pembinaan tapak menara dan tingkat bawah tanah. Proses ini sangat mencabar kerana melibatkan penuangan konkrit sebanyak 50,000 meter padu tanpa henti selama 31 jam, satu rekod dalam industri pembinaan Malaysia ketika itu.
Fasa ketiga merupakan pembinaan ‘superstruktur’ menara. Pada ketika ini, tiang utama menara mula dibina, diikuti dengan pemasangan kepala menara yang berbentuk bulat.
Kepala menara inilah yang menempatkan dek pemerhatian dan restoran berputar yang terkenal hari ini.
Akhir sekali, pada 13 September 1994, bahagian antena menara dipasang dalam satu majlis khas yang disempurnakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dengan pemasangan antena ini, Menara Kuala Lumpur akhirnya mencapai ketinggian penuh 421 meter.
Selepas proses pemasangan sistem telekomunikasi dan ujian keselamatan dilakukan, menara ini secara rasmi dibuka kepada umum pada 23 Julai 1996 dan dirasmikan secara rasmi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1 Oktober 1996.
[Kenapa Menara Kuala Lumpur Berbeza dari Menara Lain?]
Menara Kuala Lumpur bukan sahaja menara komunikasi, tetapi juga sebuah karya seni bina yang mencerminkan keunikan budaya Malaysia.
Reka bentuknya diilhamkan oleh elemen seni bina Islam, Jerman, Perancis dan tempatan. Bahagian dalamannya pula dihiasi dengan seni Muqarnas dari Esfahan, Iran yang merupakan satu corak geometri yang sering digunakan dalam seni bina Islam klasik.
Salah satu ciri paling menarik dalam menara ini ialah kubah kaca bertingkat tujuh yang terletak di lobi lif utama. Kubah ini direka untuk melambangkan tujuh petala langit dalam ajaran Islam.
Selain itu, seni ukiran kayu dan motif tradisional Malaysia turut digunakan dalam hiasan dalaman menjadikan Menara Kuala Lumpur sebagai gabungan sempurna antara tradisi dan teknologi moden.
Di bahagian atas menara, terdapat restoran berputar yang menawarkan pemandangan 360 darjah bandaraya Kuala Lumpur. Dengan ketinggian 276 meter dari aras tanah, ia adalah restoran berputar tertinggi di Asia Tenggara.
[Rahsia di Bawah Menara Kuala Lumpur]
Pada tahun 2013, satu penemuan mengejutkan berlaku ketika kerja baik pulih cerun runtuh di Bukit Nanas. Seorang kontraktor telah menemui pintu masuk ke sebuah terowong rahsia yang dipercayai berusia lebih 150 tahun.
Terowong sepanjang 10 meter ini dipercayai sebahagian daripada rangkaian laluan bawah tanah yang digunakan oleh masyarakat Mandailing semasa Perang Klang.
Penemuan ini mengesahkan kisah lisan masyarakat tempatan yang mengatakan bahawa Bukit Nanas sebenarnya menyimpan banyak rahsia sejarah.
Ada yang percaya bahawa jaringan terowong ini lebih besar daripada yang telah ditemui dan mungkin masih ada laluan lain yang tersembunyi di bawah bandaraya Kuala Lumpur.
Dengan sejarah yang begitu kaya, Menara Kuala Lumpur bukan sekadar bangunan moden yang menjulang tinggi, tetapi juga berdiri di atas tanah yang pernah menjadi saksi pertempuran sengit pada zaman silam.
Hari ini, Menara Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi pusat telekomunikasi utama negara, tetapi juga salah satu tarikan pelancongan paling popular di Malaysia.
Ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk dek pemerhatian, restoran berputar, mini zoo dan aktiviti ekstrem seperti BASE Jumping yang menarik penyertaan dari seluruh dunia.
Namun, di sebalik kehebatan teknologi dan kecanggihan menara ini, sejarah lama Bukit Nanas tetap bersemadi di bawahnya.
Dari kubu perang Mandailing hingga menjadi salah satu menara telekomunikasi tertinggi di dunia, Menara Kuala Lumpur adalah bukti bagaimana Kuala Lumpur terus berkembang tanpa melupakan akar sejarahnya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih