Kalau cakap pasal Cina Kelantan, mesti ramai akan ingat Mekyun dan penyanyi lagu viral Apa Salah Aku Kelate, Dennis.

Persoalannya, bagaimana orang Cina Kelantan ni boleh bertutur loghat Kelantan dengan begitu fasih?

Jawapannya terletak pada sejarah panjang hubungan antara masyarakat Cina dan Melayu di Kelantan yang penuh dengan kisah interaksi budaya, perkahwinan campur dan asimilasi.

[Sejarah Kemasukan Orang Cina ke Kelantan]

Kemasukan orang Cina ke Kelantan bermula sejak abad ke-15 lagi ketika negeri ini menjadi pusat perdagangan utama di rantau Asia Tenggara.

Kapal-kapal dari China singgah di Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Kemboja, Siam dan wilayah lain melalui Teluk Siam.

Kelantan ketika itu bukan sahaja menjadi persinggahan pedagang, tetapi juga menjadi tempat mereka bergaul dan menetap.

Dalam rekod sejarah, nama Kelantan muncul dalam pelbagai dokumen pedagang dan mubaligh. Orang Portugis memanggilnya Calantan, manakala pedagang Cina mengenalinya sebagai Ho-lan-tan dan Chi-lan-tan.

Nama-nama ini membuktikan betapa pentingnya Kelantan sebagai titik pertemuan budaya dan perdagangan antara Timur dan Barat.

Pedagang-pedagang Cina yang tiba di Kelantan kebanyakannya berasal dari wilayah Fukien, Kwantung, Kwangsi dan Hainan di selatan China.

Mereka datang dalam kumpulan kecil, membawa barang dagangan seperti teh, sutera, dan tembikar.

Sebahagian daripada mereka akhirnya menetap di Kelantan menjadikan negeri ini rumah kedua mereka. Kehidupan di Kelantan menawarkan peluang ekonomi yang stabil, khususnya dalam bidang perdagangan dan pertanian.

[Proses Asimilasi: Perkahwinan Campur dan Kehidupan Bersama]

Hubungan rapat antara masyarakat Cina dan penduduk tempatan di Kelantan tidak berlaku dengan segera.

Ia bermula dengan interaksi harian di pasar, ladang dan kawasan perkampungan. Namun, faktor yang paling penting dalam proses asimilasi ini adalah perkahwinan campur.

Kebanyakan perkahwinan campur berlaku antara lelaki Cina dan wanita Siam kerana agama Buddha yang dianuti oleh kedua-dua pihak memudahkan hubungan mereka.

Anak-anak hasil perkahwinan ini dikenali sebagai Jin-Sayam atau Cina-Siam. Mereka membesar dalam budaya yang mencampurkan elemen Cina, Siam, dan Melayu termasuk loghat Kelantan.

Perkahwinan antara lelaki Cina dan wanita Melayu pula jarang berlaku terutamanya kerana perbezaan agama.

Namun, bagi yang berlaku, lelaki Cina yang berkahwin dengan wanita Melayu akan memeluk Islam dan mengamalkan budaya Melayu sepenuhnya. Anak-anak hasil perkahwinan ini biasanya lebih dikenali sebagai Melayu.

Proses perkahwinan campur ini akhirnya membawa kepada pembentukan komuniti unik yang dikenali sebagai Cina Peranakan Kelantan.

Mereka mengadaptasi budaya Melayu, termasuk bahasa, pakaian dan makanan sambil mengekalkan elemen tradisi Cina seperti dialek Hokkien.

[Bahasa: Loghat Kelantan yang Sebati]

Salah satu ciri paling menonjol masyarakat Cina Kelantan ialah kecekapan mereka bertutur dalam loghat Kelantan. Loghat ini bukan sekadar dipelajari, tetapi telah menjadi bahasa harian mereka.

Proses ini berlaku kerana hubungan rapat mereka dengan masyarakat Melayu di Kelantan.

Dialek Hokkien yang asal turut mengalami perubahan, dengan pengaruh kuat daripada loghat Melayu Kelantan dan unsur bahasa Siam. Hasilnya ialah dialek unik yang hanya wujud di kalangan masyarakat Cina Kelantan.

Malah, golongan tua dalam komuniti ini masih fasih membaca tulisan jawi, hasil pendidikan formal di sekolah Melayu pada era 1940-an dan 1950-an.

[Budaya Hidup: ‘Sebijik’ Melayu, Tapi Tetap Cina]

Selain bahasa, budaya hidup masyarakat Cina Kelantan juga memperlihatkan pengaruh Melayu yang ketara.

Dalam kehidupan harian, lelaki Cina Kelantan sering memakai kain pelikat atau kain batik, manakala wanita pula memakai kain batik lepas atau baju kurung.

Apabila berada di rumah, mereka kerap tidak berbaju, sama seperti kebiasaan tradisi lelaki Melayu kampung.

Dari segi makanan, nasi kerabu, gulai dan budu menjadi sebahagian daripada diet mereka.

Walaupun mereka berketurunan Cina, selera mereka terhadap masakan berempah, pedas dan bersantan mencerminkan pengaruh budaya Melayu.

Mereka juga mahir membuat kuih tradisional Melayu seperti tapai, ketupat dan dodol.

[Nama dan Identiti: Gabungan Dua Budaya]

Nama-nama masyarakat Cina Kelantan juga menunjukkan pengaruh budaya Melayu. Contohnya, nama-nama seperti Mek Bunga dan Awang Lee adalah hasil gabungan nama Cina dan Melayu.

Nama seperti ini memudahkan mereka berinteraksi dengan masyarakat Melayu setempat sambil mengekalkan nama keluarga Cina mereka.

[Cina Kampung vs. Cina Bandar]

Masyarakat Cina di Kelantan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Cina Kampung dan Cina Bandar.

Cina Kampung ialah komuniti yang telah lama wujud di kawasan pedalaman, biasanya terlibat dalam pertanian.

Sebaliknya, Cina Bandar ialah komuniti yang berhijrah pada abad ke-20 semasa era penjajahan British dan lebih terlibat dalam perniagaan di bandar.

Kedua-dua komuniti ini bersama-sama membentuk kepelbagaian masyarakat Cina Kelantan yang unik.

[Galeri Persatuan Peranakan Cina Kelantan: Pintu ke Masa Silam]

Jika anda ingin melihat sendiri kekayaan sejarah dan budaya masyarakat Peranakan Cina Kelantan, Galeri Persatuan Peranakan Cina Kelantan di Tanah Merah adalah tempat terbaik untuk dikunjungi.

Terletak di sebuah rumah kayu tradisional yang dibina pada tahun 1923, galeri ini menawarkan pengalaman menarik untuk memahami komuniti unik ini.

Rumah tersebut asalnya dimiliki oleh Yeap Boon Yang yang kemudiannya mendermakannya kepada persatuan pada tahun 2015 untuk dijadikan galeri.

Di dalamnya, anda boleh menjumpai pelbagai artifak, dokumen dan maklumat tentang bagaimana masyarakat Cina Kelantan mula berhijrah ke negeri ini sejak abad ke-15.

Antara tarikan utama ialah pameran yang memaparkan kehidupan tradisional mereka di sepanjang tebing Sungai Kelantan, Sungai Pengkalan Datu dan Sungai Kemasin.

Sungai-sungai ini bukan sahaja menjadi laluan pengangkutan tetapi juga sumber utama kehidupan mereka.

Malangnya, banyak perkampungan tradisional ini semakin hilang akibat penghijrahan generasi muda ke bandar dan perubahan pada struktur rumah tradisional kepada bangunan batu moden.

Selain sejarah, galeri ini turut memberi fokus kepada budaya hiburan masyarakat ini. Anda mungkin terkejut mendengar bahawa masyarakat Peranakan Cina Kelantan turut menyertai aktiviti tradisional Melayu seperti dikir barat dan wayang kulit.

Malah, ada yang menjadi tok dalang dalam persembahan wayang kulit, membuktikan sejauh mana asimilasi budaya mereka.

Galeri ini bukan sekadar pameran sejarah, tetapi juga pengiktirafan kepada kekayaan budaya Malaysia yang berbilang kaum.

Jadi, jika anda berada di Kelantan, pastikan anda meluangkan masa untuk melawat galeri ini. Ini satu peluang untuk menghargai keindahan dan harmoni antara budaya.

Kisah masyarakat Cina Kelantan adalah contoh terbaik bagaimana dua budaya yang berbeza boleh bergabung secara harmoni.

Loghat Kelantan yang mereka gunakan bukan sahaja mencerminkan keakraban dengan budaya tempatan, tetapi juga simbol kekayaan warisan budaya negeri ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Comments are closed.