Sedekah, zakat dan wakaf banyak memberi manfaat kepada umat Islam sepanjang lipatan sejarah. Ia memberi kesan yang bukan sedikit bukan saja dari segi politik, ekonomi, sosial dan undang-undang. Malangnya pada hari ini, tidak ramai yang melihat wakaf sebagai sumber ekonomi terpendam ummah yang harus dieksploitasi dan dijaga dengan baik bagi membolehkan umat Islam dapat meraih manfaat secukupnya. Ini kerana institusi ini menjadi tulang belakang ekonomi tamadun Islam dari dahulu hingga sekarang dan trend sebegini harus dibangkitkan semula demi kebaikan ummah.

Sejarah wakaf di Malaysia

Aktiviti pewakafan harta di Malaysia sudah bermula sejak kedatangan Islam di Nusantara beratus tahun dahulu. Bagi membolehkan Islam terus berkembang pesat, kesultanan-kesultanan Melayu mula mewakafkan tanah mereka untuk tujuan pendidikan. Ini yang membawa kepada penubuhan institusi pondok atau pesantren di Indonesia. Pada hari ini, beberapa universiti awam (UA) mengambil pendekatan proaktif dengan melancarkan skim wakaf berdasarkan waaf based university.

Antara UA terawal mempelopori skim ini ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Mac 1999. Dana ini dimulakan dengan sumbangan RM3.5 juta oleh kerajaan Malaysia selain ditambah sumbangan individu dan tokoh korporat dalam dan luar negara. Antara yang menyumbang ialah bekas rektor UIAM sendiri, Dato Dr Abdul Hamid Sulayman yang mewakafkan gratuiti persaraannya sebanyak RM400,000. Setiap tahun, dana yang diberi nama Tabung Waaf Universiti Islam Antarabangsa (IEF) berjaya membantu 4,000 pelajar melalui bantuan biasiswa hasil penjanaan dana wakaf terkumpul. Walau bagaimanapun, dana ini tidaklah diklasifikasikan sebagai wakaf untuk mengelak berlakunya konflik perundangan yang mengelaskan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah.

Ini disusuli pula oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melaksanakan skim sama pada tahun 2002. Skim yang diberi nama Wakaf Ilmu UPM itu memberi peluang kepada individu atau organisasi berinfak dan berwakaf dalam bentuk wang tunai dengan mewakafkannya dalam Dana Wakaf Ilmu UPM di mana ia berperanan sebagai pemegang amanah dengan niat berwakaf kerana Allah s.w.t. Manfaat wakaf disalurkan untuk pelbagai jenis aktiviti seperti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti dakwah, penyelidikan dan komuniti. Berdasarkan maklumat, dana tersebut sudah menyalurkan RM50,000 kepada pelajar tahun akhir untuk latihan ilmiah mereka. Sementara RM60,000 lagi disalurkan dalam bentuk sumbangan Al-Quran dan kitab di surau kampus dan surau-surau berhampiran.

Sementara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula menjana Dana Wakaf dan Infaq UKM demi menjana dana pendidikan universiti. Kewujudan skim ini membolehkan warga dan alumni UKM serta masyarakat setempat menyumbang kepada UKM untuk skim wakaf dan infaq. Terdapat 3 skim yang disediakan iaitu Skim Hadiah dan Derma UKM, Skim Waqaf Tunai UKM dan Skim Waqaf

Takaful UKM. Matlamat pengenalan program wakaf ini ialah menggerakkan sumbangan dana waqaf dan infaq, menjana pendapatan universiti, mengagihkan pendapatan dari harta waqaf dan infaq kepada yang berkelayakan di samping dapat meningkatkan kesedaran warga dan alumni UKM dan masyarakat umumnya tentang kelebihan menginfakkan harta di jalan Allah. Manfaatnya diagihkan untuk Skim Pendidikan dan Kebajikan Pelajar, Skim Pembangunan Pelajar, Skim Pembangunan Akademik dan Penyelidikan dan Skim Jaringan UKM Industri dan Masyarakat. Walau bagaimanapun, sehingga kini manfaat wakaf terkumpul belum dapat diagihkan kerana masih sedikit dan tidak mencukupi untuk pengagihan dilakukan.

Ada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengorak langkah dengan memperkenalkan skim wakaf pembiayaan pendidikan dan pembangunan institusi. Salah satu daripada IPTS ini ialah Universiti Kolej Bestari (UCB) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) di Kuala Terengganu. Pengurusan universiti telah mengambil langkah dengan menjual keseluruhan tanah kampus UCB di Kuala Terengganu berkeluasan 320 ekar dan diwakafkan dengan kadar RM30 bagi 0.1 meter persegi. Konsep jual dan wakaf ini dilihat berjaya menyumbang pulangan lumayan kepada UCB yang sehingga kini berjaya mengumpulkan RM6 juta daripada derma wakaf tersebut. Malah secara purata Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia (YAWATIM) yang bertanggungjawab menguruskan dana wakaf tersebut berjaya mengumpulkan RM 500,000 hingga RM 600,000 setiap bulan. Keunikan skim wakaf UCB dapat diperhatikan kepada manfaat wakaf tersebut yang disalurkan terus kepada anak-anak yatim dan miskin dalam bentuk pembiayaan pendidikan, kos makanan dan penginapan secara percuma di UCB.

Bagi entiti-entiti korporat pula, mereka mula mengadakan model wakaf korporat dengan meniru apa yang dilakukan beberapa entiti korporat di luar negara. Antara entiti korporat pertama yang mengorak langkah ialah Johor Corporation (JCorp) yang melancarkan wakaf korporat pada tahun 2006 dengan mewakafkan saham miliknya yang bernilai RM200 juta di dalam anak syarikatnya iaitu Kulim (M) Berhad, KPJ Healthcare Berhad dan Johor Land Berhad. Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) merupakan sebuah syarikat berhad dengan jaminan tanpa syer yang ditubuhkan oleh Johor Corporation (JCorp) dan berperanan dalam mengurus aset dan saham syarikat dalam Kumpulan JCorp yang diwaqafkan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah memberi fokus kepada aspek kesihatan melalui penubuhan Hospital dan rangkaian Klinik Wakaf An-Nur dengan kadar caj minima dikenakan bagi setiap pesakit sebanyak RM 5.00 termasuk ubat-ubatan. Perkhidmatan perubatan di Hospital dan rangkaian Klinik Waqaf An-Nur ini boleh dinikmati oleh semua lapisan  masyarakat pelbagai bangsa dan agama. Selain daripada dividen saham-saham yang diwakafkan, WANCORP turut membuka peluang kepada individu untuk menjadi ahli individu atau ahli korporat dengan membayar yuran keahlian yang ditetapkan. Aspek-aspek pengamalan etika tadbir urus korporat di dalam pengurusan aset wakaf oleh WANCORP dapat dilihat melalui pelaporan Laporan Kewangan Tahunan dan juga pelaporan aktiviti-aktiviti lain. Inisiatif berani JCorp ini digerakkan oleh Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Enam tahun selepas itu, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang memperkenalkan skim wakaf tunai Wakaf Selangor Muamalat. Melalui kerjasama ini, BMMB dan PWS adalah merupakan pengurus bersama aset wakaf yang diperolehi melalui pembelian sijil wakaf tunai yang boleh dilakukan di mana-mana cawangan BMMB. Selain itu sumbangan wakaf boleh juga dilakukan melalui perbankan internet, potongan bulanan dan arahan bayaran berkala. Di dalam aspek penyaluran manfaat wakaf ianya adalah bersifat umum, penerima-penerima wakaf adalah terdiri daripada daripada sektor pendidikan, kesihatan, keagamaan dan sosial. Diantara penerima-penerima seperti surau, masjid, sekolah dan juga indidvidu bagi menampung kos kesihatan dan pendidikan. Laporan berkenaan dengan kutipan dan agihan manfaat wakaf disediakan secara suku tahunan bagi memudahkan pihak-pihak yang berkepentingan mendapatkan maklumat berkenaan dengan wakaf secara terperinci.

Selain aspek pendidikan dan kesihatan, entiti korporat di Malaysia seperti Tabung Haji Properties (TH Properties) dan UDA Holdings telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal wakaf di negeri-negeri di dalam membangunkan dan menguruskan hartanah-hartanah wakaf. TH Properties telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menguruskan Menara Bank Islam yang merupakan aset wakaf yang telah dibangunkan dan disewa kepada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada tahun 2011. UDA  Holdings pula telah terbabit secara langsung dengan pembangunan harta wakaf di negeri Pulau Pinang iaitu yang dikenali sebagai Wakaf Seete Aisyah. Melalui perjanjian dengan Majlis Agama Islam Pulai Pinang (MAIPP), UDA Holdings telah diamanahkan untuk membangunkan tanah wakaf tersebut dan ianya telah berjaya dilaksanakan dan diserahkan semula kepada MAIPP pada tahun 2012. Namun, melihat kepada peranan entiti korporat terbabit yang hanya bertindak sebagai pemaju dan pengurus hartanah wakaf maka ianya tidaklah termasuk di dalam konsep wakaf korporat.

Isu menyelubungi wakaf

Pengenalan pelbagai inisiatif wakaf ini bagaimanapun tidak boleh mengaburi fakta bahawa wujud pelbagai isu menyelubungi pengembangan harta wakaf. Ini kerana ada sesetengah tanah ini terbiar dan tidak dimanfaatkan untuk kepentingan ekonomi umat Islam. Satu fakta yang perlu diketahui ialah Malaysia sebenarnya memiliki rizab tanah wakaf yang amat besar. Pembangunan tanah-tanah wakaf ini pastinya akan dapat menjana ekonomi umat Islam. Keluasan tanah wakaf di Malaysia ialah sebanyak 11,091.82 hektar di mana sebanyak 4, 836.50 merupakan tanah wakaf am dengan tanah wakaf khas pula sebanyak 6, 225.32. Negeri Johor merupakan negeri yang mempunyai paling banyak tanah wakaf diikuti oleh negeri Terengganu dan Sabah.

Di sebalik semua ini, masih banyak masalah yang timbul dalam perkembangan harta wakaf. Jika dilihat kepada sorotan sejarah sistem dan perlaksanaan wakaf di Malaysia, terdapat beberapa isu-isu dan masalah yang sering diperkatakan saban kali apabila menyebut mengenai pembangunan harta wakaf. Salah satunya ialah kurangnya kesedaran orang ramai tentang kepentingan wakaf itu sendiri. Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyentuh soal ini menerusi satu kenyataan, “Kalaulah semua umat Islam menyimpan seringgit seorang sebulan (untuk tujuan wakaf), dan bayangkan jika umat Islam berjumlah enam juta orang, maka modal terkumpul sebulan (bagi umat Islam) ialah sebanyak enam juta ringgit.” Malangnya program sebegini gagal mendapat sambutan berikutan kesedaran masyarakat masih di tahap rendah berkenaan isu wakaf. Sebaliknya, masyarakat banyak disibukkan dengan isu-isu bersifat ranting sehingga gagal melihat isu sebenar di depan mata.

Selain itu, isu perundangan turut mengundang masalah besar untuk menyelesaikan isu wakaf di Malaysia. Masalah perundangan di sini membabitkan ketidakseragaman undang-undang wakaf antara negeri-negeri yang mewujudkan perbezaan dalam pemahaman, tafsiran, tatacara pengeluaran fatwa dan hukum. Ini berpunca daripada kedudukan harta wakaf seperti mana perkara-perkara agama lain terletak di bawah bidangkuasa negeri (Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai 2 (1)) dan tiada enakmen

khusus berkaitan pengurusan dan pentadbiran wakaf di negeri-negeri kecuali Selangor (Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 7/1999). Ini menyebabkan enakmen dan akta tentang wakaf sedia ada kelihatan sempit dan tidak fleksibel (mudah ubah). Isu kritikal berkaitan wakaf sebenarnya bertitik tolak dari polisi kerajaan dan perlembagaan Malaysia itu sendiri yang telah menjurangkan pengurusan wakaf kepada institusi agama negeri-negeri.

Selain ketidakseragaman undang-undang wakaf negeri-negeri, satu perkara yang dianggap mimpi ngeri ialah konflik bidang kuasa mahkamah. Ini kerana Hal Ehwal Pentadbiran Agama Islam dan Undang-Undang yang berkaitan dengan hukum syarak ditadbir di bawah negeri dan tidak di peringkat Persekutuan. Realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Perkara wakaf walaupun dikategorikan dalam urusan agama, namun apabila wakaf dibuat melalui wasiat atau surat pemegang amanah ia sudah terikat dengan Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208), maka beberapa elemen sivil dipertikaikan khususnya jika tanah itu tidak didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam, isu kaveat atau pertikaian yang membabitkan orang bukan Islam. Dalam hal ini, walaupun pada masa yang sama Mahkamah  Syariah berbidang kuasa mendengar kes terbabit, Mahkamah Sivil juga berkemampuan mendengar pertikaian berkenaan. Sesuatu fatwa mufti juga tidak mengikat keputusan mahkamah awam, bahkan mahkamah boleh untuk tidak mengambil kira fatwa tersebut. Implikasi daripada ini wujudnya pertindihan bidang kuasa antara Negeri dengan Persekutuan.

Satu contoh kes pertindihan bidang kuasa Negeri-Persekutuan ini ialah kes Tengku Abdul Kadir Bin Tengku Chik lawan Majlis Agama Islam Kelantan, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan membuat pengisytiharan ke atas keputusan kes tersebut, manakala Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa mengisytiharkan sesuatu perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Sivil atau lain-lain Mahkamah Sivil sebagai tidak sah walaupun sesuatu perintah itu tentang hukum syarak seperti wakaf dan lain-lain. Keputusan Mahkamah Tinggi Sivil adalah tidak muktamad dan boleh dipersoalkan lagi di peringkat Mahkamah Rayuan. Oleh itu, apabila keputusan berpihak kepada MAIK., Pihak Yang Menuntut mengemukakan kes ini ke Mahkamah Rayuan. Tambahan pula selepas perkara 121 Perlembagaan Malaysia dipinda, Mahkamah Awam mempunyai bidang kuasa membicarakan kes yang berkaitan dengan wakaf, hadhanah, harta sepencarian dan sebagainya. Dalam kes ini juga Mahkamah Tinggi Kota Bharu bertindak membatalkan Wakaf Khas keluarga, secara tidak langsung mengetepikan institusi mufti dengan tidak  merujuk terlebih dahulu kepada keputusan Jamaah Ulama Kelantan.

Satu masalah membangunkan tanah wakaf ialah kebanyakkan harta wakaf terletak di lokasi yang kurang strategik dan tidak mempunyai nilai pembangunan. Manakala, tanah wakaf di kawasan pedalaman pula tidak dapat digunakan oleh kerana tiada keperluan dan tiada nilai komersial selain jauh dari kawasan pembangunan. Ada pula sesetengah tanah dirasakan tidak sesuai digunakan sebagai kawasan pertanian. Ini mengakibatkan tanah-tanah sebegini terbiar dan gagal dimanfaatkan sebaiknya untuk pembangunan ekonomi umat Islam. Dan ini turut mengundang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh dan memanfaatkan tanah tersebut untuk kepentingan mereka.

Isu rekod dan dokumentasi tanah wakaf juga merupakan antara punca tanah wakaf gagal didaftarkan dan dibangunkan sewajarnya. Sebagai contoh terdapat sebanyak 2,477 Lot tanah yang diwakafkan di bawah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), namun 70% daripadanya iaitu 1,734 Lot sahaja yang direkod. Manakala 30% lagi masih tidak direkod dan belum ditukar milik dan tidak diketahui dengan sebenar lokasi, perletakan, keluasan tanah dan lain-lain. Keadaan yang sama juga berlaku di negeri-negeri lain seperti di Melaka, Kedah dan Terengganu. Sesetengah tanah ini gagal didaftarkan kerana ia masih belum bertukar status tanah, pemegang amanah sukar dikesan dan tuntutan waris yang tidak tahu tanah pusaka sudah dijadikan sebagai tanah wakaf. Isu-isu sebegini bukan saja menyebabkan tanah-tanah wakaf sedia ada terbiar, malah mengakibatkan ia terperangkap dalam kes-kes mahkamah yang menelan belanja bukan sedikit.

MAIN juga dilihat tidak mempunyai polisi pembangunan sama ada bersifat jangka pendek, sederhana atau panjang membabitkan tanah wakaf. Ini kerana pembikin polisi tidak melihat potensi komersial tanah dan bagaimana ia dapat dimanfaatkan untuk kepentingan ekonomi umat Islam secara jangka panjang. Selain itu, sesetengah daripada mereka yang ditugaskan menguruskan wakaf dilihat tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan bagi memajukan tanah-tanah wakaf. Ini menyebabkan sesetengah tanah ini terbiar begitu saja tanpa sebarang pelan tindakan proaktif untuk membangunkannya. Selain isu polisi, MAIN juga mengalami kekurangan kakitangan yang cekap dan berpengetahuan dalam soal pengurusan wakaf. Ini kerana Unit Wakaf dan Unit Baitulmal merupakan dua unit yang digabungkan dan diletakkan di bawah pengawasan beberapa pegawai MAIN yang menguruskan soal Baitulmal dan lain-lain. Bebanan tugas yang banyak dan bidang kuasa terhad menyukarkan mereka bekerja secara efektif demi memastikan pengurusan wakaf berjalan lancar.

Sistem kewangan MAIN yang lemah turut menyukarkan mereka memanfaatkan tanah-tanah wakaf terutama dari segi kadar dan nilai sewaan. Ini kerana kadar dan nilai sewa yang dikenakan pada tanah-tanah wakaf terlalu rendah berbanding nilaian semasa khususnya bagi tapak tanah kediaman. Antara punca perkara ini berlarutan ialah tiada prosedur standard dan sistematik untuk menangani masalah ini. Ini ditambah dengan sesetengah sewa ini tidak disemak nilainya mengikut kadar semasa sejak dari tahun-tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Contohnya di Bandar Melaka, sewa tanah wakaf antara RM1.00 hingga RM14.00 sebulan. Manakala kadar sewaan tanah dan rumah kedai adalah antara RM17.75 sehingga RM430.00 sebulan. Di negeri Perak, hampir kesemua tanah yang disewa pada akhir kurun ke-19 dan awal abad ke-20 dikenakan sewaan pada kadar RM1.00 sebulan untuk tempoh 99 tahun. Bagi tanah yang disewa antara tahun 1964 dan 1965 dengan tempoh 66 tahun, kadar sewaannya adalah sebanyak RM10.00 sebulan. Secara umumnya kadar sewaan ini amat rendah terutama tanah wakaf yang berada di pusat bandar berbanding dengan kadar sewaan semasa. Situasi ini akan mempengaruhi pendapatan MAIN yang amat rendah.

Akhir sekali, satu lagi kelemahan berkenaan sistem wakaf di negara ini ialah ketiadaan badan yang bertindak sebagai pusat utama operasi wakaf negeri. Perbadanan wakaf berpusat dan jawatankuasa khusus wakaf perlu untuk menjamin kelancaran dan kelicinan perlaksanaan operasi wakaf di Malaysia. Perbadanan wakaf berpusat ini juga perlu bertanggungjawab mengawal selia semua operasi wakaf negeri-negeri di seluruh Malaysia. Selain mengawal selia operasi, badan ini juga berperanan sebagai penyimpan rekod bagi semua aktiviti wakaf di negara ini. Adanya badan sebegini amat membantu pihak berkuasa dan umat Islam untuk mengelakkan isu ini dari terus berlarutan.

Solusi

Untuk menyelesaikan pelbagai isu berbangkit berkenaan wakaf, ada beberapa cadangan yang perlu diteliti oleh semua pihak:

1. Pemantapan kesedaran masyarakat terhadap wakaf. Para ustaz, pensyarah dan guru agama di pusat pengajian agama contohnya, perlu merombak silibus pengajian dan kuliah-kuliah di masjid-masjid dan surau-surau. Mereka perlu sering mengetengahkan dan menerapkan tajuk-tajuk berkaitan dengan wakaf dalam setiap pengajian mereka agar dapat memberi maklumat berterusan terhadap kepentingan ibadah wakaf kepada umat Islam. Hal ini kerana, untuk membentuk kesedaran tinggi masyarakat terhadap wakaf, ia memerlukan usaha dan kerjasama yang berterusan dari pelbagai pihak.

Bahkan, masyarakat hari ini semakin sedar kepentingan dan kelebihan ibadah sunat lain seperti umrah dan korban sehingga mereka berlumba-lumba mengerjakannya juga hasil daripada penerapan dan penekanan yang dilakukan para ilmuwan terdahulu. Jadi,

kaedah yang sama juga perlu dilakukan untuk menarik masyarakat agar cenderung kepada ibadah wakaf. Sebenarnya, sejak 55 tahun yang lalu sebelum merdeka sehingga kini, konsep wakaf telah berkembang dan diterima pakai oleh orang ramai termasuk oleh golongan bukan beragama Islam untuk pelbagai tujuan, misalnya penerimaan konsep wakaf untuk tujuan pendidikan dan korporat. Tuntutan dan kesedaran masyarakat terhadap wakaf sebenarnya semakin meningkat dari tahun ke tahun, namun akibat isu perundangan yang masih belum selesai terutama membabitkan soal pertindihan bidang kuasa negeri-persekutuan, ia sedikit sebanyak merencatkan kerancakan dan perkembangan wakaf di negara ini.

2. Pentadbiran adalah perkara tunjang dalam memastikan kejayaan sesuatu rancangan. Dari segi pentadbiran, wakaf perlu diperbangun dan diperkembangkan lagi akan segala fungsi, produk dan kepentingannya dalam meningkatkan taraf hidup umat

Islam. Pengurusan dan perlaksanaan wakaf di Malaysia juga harus cekap dan telus dalam menjamin kejayaan untuk memartabatkan peranan maksimum wakaf dalam kehidupan negara umat Islam seluruhnya.

Kini, dengan penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri pada 27 Mac 2004 lalu bagi membantu MAIN melaksanakan pembangunan harta wakaf adalah bagus. MAIN masih tetap bertindak selaku pemegang amanah tunggal harta wakaf di setiap negeri sambil dibantu oleh JAWHAR. Semua projek pembangunan tanah wakaf perlu mendapat persetujuan MAIN dan JAWHAR terlebih dahulu. JAWHAR juga bertindak sebagai penyelaras dan mempertemukan antara MAIN dengan pihak yang berhasrat memajukan tanah wakaf.

Keputusannya, hasil kerjasama antara JAWHAR dan MAIN, sebahagian daripada 11,019.82 hektar tanah wakaf iaitu 4,836.5 hektar tanah wakaf am dan 6,255.55 hektar tanah wakaf khas sudah dibangunkan pada tahun 2012. Jadi, kerjasama antara JAWHAR dan MAIN cuma perlu diperkemas dan diperhebat lagi. Kedua-dua pihak juga mesti turun padang melancarkan kempen-kempen, kursus-kursus kesedaran kepada seluruh anggota masyarakat tentang wakaf, membentuk jawatankuasa khas wakaf, dan mencari dana wakaf melalui syarikat-syarikat besar yang berminat untuk membangunkan harta wakaf di Malaysia. Selain itu usaha untuk menyelaraskan pengurusan wakaf di seluruh negeri di Malaysia juga perlu dilakukan, ia dilihat mampu untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan harta wakaf di Malaysia.

Selain itu, MAIN juga perlu mempertimbang untuk mengasingkan Unit Baitulmal dan Unit Wakaf untuk menjadi satu unit berasingan dengan dua unit tersebut dijadikan sebagai badan berkanun dan mempunyai kuasa tersendiri. Sebarang keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa eksekutif wakaf bersifat muktamad dan tidak akan terkongkong oleh mana-mana pihak. Bila kedua-duanya dijadikan jabatan setaraf dengan MAIN dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), ia mempunyai bidang kuasa setaraf dengan kedua-dua organisasi tersebut. Walau bagaimanapun, menerusi rombakan itu, ini tidak bermakna ia akan mengenepikan peranan MAIN sebagai pengerusi dan sebarang ketetapan yang dibuat mereka. Mereka akan terus memberi input kepada kedua-dua jabatan demi memastikan kepentingan maslahah ummah terus terpelihara.

3. Mengadakan satu undang-undang bertulis berkenaan perlaksanaan pengurusan harta wakaf. Ini kerana sebelum tahun 1952, tiada satu undang-undang bertulis yang diguna pakai MAIN untuk pelaksanaan pengurusan harta wakaf. Kebanyakan wakaf dulu diserahkan kepada mereka yang berpengaruh di dalam masyarakat seperti imam masjid, nazir masjid dan ketua kampung. Proses penyerahan harta wakaf adalah atas dasar percaya mempercayai dan amanah. Pewakaf akan mengamanahkan harta yang diwakafkan kepada mereka yang berpengaruh dalam masyarakat untuk menguruskan harta wakaf tersebut.

Selepas tahun 1952, barulah pengurusan wakaf menjadi sistematik kerana mempunyai sandaran undang-undang yang digariskan di dalam enakmen sebagaimana yang dinyatakan di dalam enakmen pentadbiran Islam negeri masing-masing. Namun begitu, perundangan berkaitan hal ehwal wakaf masih perlu diselaraskan di peringkat negeri. Ini disebabkan negeri-negeri mempunyai fatwa berbeza-beza berkenaan hal ehwal wakaf bagi setiap negeri. Justeru, perlu diwujudkan satu kaedah dan fatwa khas berkaitan wakaf di peringkat nasional agar ia tidak mengelirukan orang ramai yang berminat untuk berwakaf.

4. Menambahbaik konsep wakaf dalam sistem perbankan dan kewangan Islam. dengan memperkenalkan konsep baru dan penambaikan konsep dalam wakaf, ia membuka peluang yang lebih luas kepada institusi kewangan di Malaysia. Bentuk-bentuk pelaburan wakaf ini boleh diusahakan dan dibangunkan institusi kewangan di Malaysia adalah banyak. Hal ini seperti melakukan penambahbaikan terhadap harta wakaf yang terbiar atau kurang berkembang, menggabungkan harta wakaf sedia ada untuk menjana hasil yang sama atau lebih, memberi pinjaman untuk keperluan operasi wakaf dan kos untuk meningkatkan fungsi harta wakaf serta memajakkan harta wakaf.

Secara umumnya, banyak bentuk pelaburan wakaf yang boleh dilakukan, dan ia memerlukan penambahbaikan konsep. Dengan cara ini, akhirnya ramai boleh melihat peranan wakaf dalam meningkatkan fungsi harta secara maksimum sesuai dengan niat murni orang yang telah mewakafkan harta untuk kemaslahatan ummah sejagat. Hasilnya, ia pasti akan melahirkan pelbagai produk-produk wakaf lain seperti aset-aset, bon-bon dan saham-saham korporat wakaf yang berpotensi untuk pasaran.

5. Akta dan enakmen wakaf yang diwujudkan perlu lebih terbuka dan dapat dirombak pada bila-bila masa sesuai dengan perkembangan semasa dan mengikut keperluan dan kepentingannya. Di samping itu, MAIN juga perlu memudahkan proses berhubung dengan harta wakaf agar semua orang tertarik untuk melaksanakan ibadah wakaf meskipun ia berkaitan dengan harta benda, yang sedia maklum agak banyak urusan dan proses dokumentasinya (Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Kanun Tanah Negara).

Contohnya seperti di negeri Kelantan sendiri, terdapat banyak harta-harta wakaf yang seakan “beku”, dibiarkan dan tidak memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri. Ianya juga tidak dapat digunakan untuk pembangunan oleh kerana ketiadaan akta dan undang-undang yang fleksibel tentang harta wakaf. Jadi, fatwa berkenaan kaedah istibdal dalam menangani harta wakaf yang tidak berkembang diwujudkan agar harta wakaf dapat dikembangkan untuk kegunaan lain. Undang-undang berkaitan proses mewakafkan tanah oleh kerajaan Persekutuan juga perlu dikaji semula agar segala proses pewakafan hak milik harta wakaf menjadi lebih mudah dan cekap.

6. Membangunkan semula tanah-tanah wakaf melalui amalan istidbal. Konsep dan perlaksanaan istibdal ini sebenarnya telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1982. Namun begitu, setelah sekian lama, pembangunan harta wakaf dan perkembangannya di Malaysia masih lagi kurang maju jika dibandingkan dengan negara Timur Tengah seperti Mesir, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Turki.

Konsep dan perlaksanaan istibdal ini seharusnya perlu lebih efisien. Antara agenda pembangunan yang boleh diketengahkan melalui kaedah ini ialah seperti mendirikan institusi masjid, institusi pendidikan, pusat tanggungjawab sosial (rumah anak yatim), penternakan, pertanian, pusat khidmat komuniti dan pusat perniagaan. Cara ini sekaligus boleh meningkatkan pendapatan dan ekonomi umat Islam dengan pulangan keuntungan dan peluang pekerjaan yang tersedia dengan pembangunan harta wakaf ini.

7. Mewujudkan jawatan Nazir Khas yang dilantik MAIN khusus untuk soal wakaf. Individu yang dilantik berasal dari kawasan atau kariah yang didiaminya bagi membolehkan penduduk merujuknya untuk isu wakaf. Nazir ini akan berkuasa dan dapat mengatasi (mengubah) niat (shighah asal) yang telah ditulis orang yang ingin mewakafkan sesuatu harta. Nazir ini bertanggungjawab dan berhak mengkaji dan memutuskan manfaat yang terbaik bagi pembangunan harta wakaf meskipun ia berlawanan dengan niat asal orang yang ingin mewakafkan harta. Nazir ini juga yang akan berurusan lebih lanjut dengan pihak MAIN. Dengan cara ini, harta wakaf akan kekal membangun dan boleh memberi manfaat untuk kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Ini sekaligus dapat memberi limpahan pahala kepada dermawan yang telah mewakafkan harta.

8. Membangunkan satu sistem khas berkenaan wakaf berdasarkan Sistem Maklumat Geografi (GIS). Sistem khas yang dikenali sebagai GISWAQF ini dicadangkan oleh sekumpulan penyelidik dari Kumpulan Kajian Harta Tanah (CRES), Universiti Teknologi Malaysia. Usaha ini membolehkan tanah-tanah wakaf dapat diuruskan dengan lebih efisien dan teratur oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan. Hal ini seterusnya akan memperlihatkan penglibatan tanah wakaf dalam pembangunan dan perancangan di peringkat Persekutuan, negeri, wilayah dan kerajaan tempatan.

9. Membangunkan konsep amanah (trust) seperti amalan wakaf dalam institusi kewangan semasa, perlu turut diserapkan sekali dengan amanah (trust) dalam perlaksanaan wakaf. Hal ini bukan disebabkan untuk mengikut rentak suasana rangka kerja ekonomi semasa yang mengikut cara Barat. Akan tetapi, ini dilakukan sebagai rancangan dan persediaan awal agar dapat mencari jalan keluar paling strategik daripada masalah mendatang.

Sehubungan dengan itu, institusi baitulmal juga boleh memainkan peranan dan bergandingan dalam membentuk konsep trust dan wakaf dalam hal ini. Sekiranya dilihat keboleh terimaan konsep amanah dalam perlaksanaan wakaf, maka benda-benda ini akan dititik beratkan, iaitu hak kepentingan pemegang saham (stake holders) akan dipelihara. Pengurusan juga akan dilantik dan diselia oleh pemegang saham sekiranya ada bentuk-bentuk saham yang diwakafkan serta pemantauan yang telus secara “check and balance” berdasarkan pemantauan berkala secara audit.

Sehubungan dengan itu, apabila konsep amanah (trust) ini diterima pakai dalam operasi dan pentadbiran wakaf , maka di dalam amanah (trust), perlu digunakan “trust deed”, iaitu manfaat kepada penerima hak / benefisiary sebagai instrumen. Kepentingan “trust deed” ini akan memberikan lebih keinginan dan keyakinan kepada selain umat Islam di Malaysia untuk bergiat dengan harta wakaf. Ia juga dapat menarik minat dan memperbanyakkan lagi pelaburan-pelaburan, wang tunai, stok, dan instrumen kewangan bernilai seperti tanah dan lain-lain. Di samping itu, ia juga mengandungi perlindungan daripada pemiutang ke atas harta amanah. Dengan cara ini, pemiutang tidak boleh membuat tuntutan terus terhadap harta zakat dan wakaf, tetapi hanya boleh membuat tuntutan ke atas keuntungan hasil pelaburan yang diperolehi dari harta amanah tersebut.

10. Wakaf dibangunkan bersama elemen Islam lain seperti zakat untuk tujuan bermanfaat seperti untuk program pendidikan. Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Great Britain sudah mula menjalankan dan membangunkan serta memaksimumkan aplikasi wakaf dalam urusan muamalah seharian mereka. Ternyata, ia dapat memberi keuntungan dan kemudahan terbaik dalam segenap lapangan untuk kesejahteraan hidup rakyatnya.

Wakaf pendidikan yang dilaksanakan oleh negara lain sudah pun membuahkan hasil dengan lahir dan berkembangnya pusat pengajian ulung seperti Universiti Oxford, Universiti al-Azhar al-Syarif, al-Jamiah al-Islamiyyah atau Universiti Islam di Madinah, Universiti Cordoba di Andalus dan sebagainya. Kesemua universiti ini maju dengan hasil dan sumbangan wakaf. Universiti al-Azhar misalnya telah membangun dan berkembang hasil sumbangan harta wakaf. Sehingga kini, pembiayaan Universiti al-Azhar yang dibina sejak 1000 tahun lepas telah memberi khidmat pengajian percuma kepada pelajar Islam di seluruh dunia.

Mengambil manfaat daripada negara lain, kini, Malaysia telah menubuhkan Universiti Islam Malaysia (UIAM) yang berteraskan wakaf selain sekolah-sekolah agama yang telah sedia ada. Wakaf pendidikan yang besar seperti pusat pengajian tinggi ini perlu diperbanyakkan dan diperhebatkan lagi. Hal ini kerana ia cukup berpotensi untuk memperkasakan lagi sektor ketiga ekonomi Islam, memperkasakan aktiviti ekonomi melalui pelbagai projek pembangunan, pelaburan dan perniagaan, dan seterusnya dapat menjadi pelengkap kepada skim bantuan dan kebajikan pelajaran oleh kerajaan serta akhirnya menyatupadukan rakyat berbilang bangsa atas dasar wakaf pendidikan nasional.

Sebagai penutup, sejarah perkembangan wakaf di Malaysia merupakan suatu proses yang amat panjang. Disebabkan pelbagai isu, institusi wakaf di negara ini masih belum berkembang setaraf dengan institusi sama yang wujud di negara-negara Islam yang lain. Tetapi dengan beberapa solusi yang dicadangkan, siapa tahu ia mampu menjadi tulang belakang ekonomi umat Islam seperti mana pada zaman dulu. Tiada yang mustahil sekiranya institusi ini dapat meraih pendapatan besar seperti yang dicapai pada era Bani Abbasiyyah. Pada era tersebut atau lebih tepat era Khalifah Harun Ar-Rashid, institusi wakaf mempunyai pendapatan berjumlah 900 juta dirham.

Amalan wakaf memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara bagi mencapai keseimbangan. Hal ini telah terbukti menerusi manfaat yang dapat disebarkan secara meluas melalui penyediaan kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, pusat ibadah dan lain-lain.

Adalah diharapkan peranan dan tanggungjawab yang diberikan kepada institusi wakaf dapat terus subur dan diperkasakan menerusi pelbagai instumen waqaf demi kebaikan masyarakat, negara dan sejagat. Bagi tujuan tersebut adalah perlu untuk waqaf dapat terus dipromosikan bagi menanamkan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat mengenai mulianya amalan wakaf sehingga berupaya menjadi satu budaya yang diterima untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Daripada beberapa manfaat yang telah terbukti dapat disebarkan melalui pewakafan, WANCorp komited terhadap usaha pewakafan melalui Waqaf Saham Larkin Sentral yang terus berjalan untuk mencapai matlamat dan tujuan serta objektif yang telah ditetapkan. Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai Waqaf Saham Larkin Sentral, bolehlah layari www.waqafsahamlarkin.com ataupun hubungi

SUMBER

  1. Jalil, Abdullah dan Mohd Ramli, Ashraf. (2017). Institut Kefahaman Islam Malaysia. Wakaf Korporat : Konsep & Perkembangan Di Malaysia dan Dunia Islam.
  2. Mat Rani, Mohd Afandi. (2012). Institut Kajian Zakat Malaysia. PEMBANGUNAN TANAH WAKAF DI MALAYSIA: ISU DAN HALANGAN. http://ikaz-uitm.blogspot.com/2012/10/pembangunan-tanah-wakaf-di-malaysia-isu.html
  3. Ramli, Mohd Anuar, Rosele, Muhammad Ikhlas dan Isamail, Mohamad Zaim. (2015). Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PEMERKASAAN WAKAF DI MALAYSIA: SATU SOROTAN.

 

 

 

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.