Bagi mana-mana individu yang pernah sampai ke Tanah Haram (Makkah), pasti rasa sebak bila mendengar atau melafazkan kalimah talbiah. Ini kerana di bumi inilah, mereka yang bertuah sebagai tetamu Allah di Baitullah berpeluang mengerjakan ibadat haji dan umrah. Tetapi apa itu talbiyah?
Talbiah secara ringkasnya ialah ucapan yang menandakan kehadiran para jemaah haji dan umrah yang dilafazkan oleh setiap jemaah. Biasanya, para melaungkan talbiah setelah mengenakan ihram semasa berada di Tanah Suci.
Tetapi apa erti di sebalik setiap lafaz talbiyah? Setiap lafaz talbiah mempunyai maksud yang mendalam di sisi Allah s.w.t. Yang dimaksudkan ialah menyahut seruan Ilahi untuk bertandang ke Tanah Haram sebagai tetamunya, pengakuan bahawasanya tiada yang layak disembah melainkan Dia dan komitmen perjanjian untuk terus mengimani-Nya.
Lafaz talbiyah boleh dilihat seperti di bawah:
لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ
Ertinya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”
Mungkin bagi sesetengah orang kita, lafaz ini mungkin sekadar lafaz talbiyah. Tetapi ia sebenarnya jawapan kepada seruan Allah s.w.t yang menyeru manusia agar menjadi tetamu-Nya di Baitullah. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 27, Surah al-Haj, “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan-mu) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
Menurut para ulama, orang pertama yang mengucapkan kalimah talbyiah tidak lain tidak bukan Nabi Ibrahim a.s. Selepas selesai membina Kaabah, Allah s.w.t berfirman, “Serulah manusia untuk mengerjakan haji.” Baginda menjawab, “Ya Tuhanku, suaraku tidak sampai.” Lantas, Dia berfirman lagi, “Serulah! Dan kamilah yang akan menyampaikannya.”
Berdasarkan kitab tafsir Imam al-Qurtubi, setelah mendengar firman-Nya, Nabi Ibrahim a.s pergi ke Jabal Abu Qubais dan berkata, “Wahai umat manusia maka tunaikanlah haji kepada-Nya. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kamu semua untuk melaksanakan ibadat haji di Baitullah ini. Dengan berbuat demikian, kamu dapat meraih pahala syurga dan terselamat daripada seksaan api neraka. Maka, laksanakanlah haji kamu semua!”
Sementara dalam Tafsir Imam Ibnu Katsir pula, baginda naik ke atas Maqam Ibrahim (tempat Nabi Ibrahim a.s berpijak semasa membangunkan Kaabah) dan melafazkan kata-kata yang sama. Gunung-ganang kemudiannya tunduk bagi membolehkan seruan baginda dapat sampai kepada semua termasuk pokok, batu dan janin yang belum lahir.
Dalam tafsir Imam al-Qurtubi, setiap manusia yang berada dalam sulbi lelaki dan wanita kemudiannya menjawab, “Labbaikallahumma labbaik.“ Para ulama yang membicarakan kitab ini menambah bilangan jawapan yang diberi mereka pada hari itu merupakan jumlah ibadat haji yang dilaksanakan sepanjang hayat mereka. Misalnya, jika mereka menjawab sekali, maka si polan itu akan mengerjakan haji sekali dalam hidupnya.
Hal sama turut diulas oleh seorang sahabat Nabi s.a.w bertaraf Ahlul Bait, Abdullah bin Abbas r.a. Menurut satu kisah yang diriwayatkan oleh Abi al-Tufail, pada satu hari beliau berbual dengan anak muridnya, seorang ulama berstatus tabiin bernama Said bin Jubair rahimahullah. Ibnu Abbas r.a bertanya, “Apa yang kamu tahu tentang asal-usul talbiyah?” Lantas beliau menjawab, “Aku tidak tahu.”
Lalu Ibnu Abbas r.a berkata, “Semasa Nabi Ibrahim a.s diperintahkan Allah s.w.t untuk menyampaikan seruan mengerjakan haji, gunung-gnnang merendahkan setiap puncak mereka dan meninggikan setiap desa dan bandar. Kemudian, apabila baginda menyampaikan seruan hajinya, setiap makhluk kemudiannya menyahut, “Labbaikallahumma labbaik.“
Jemaah haji dan umrah disunatkan membaca laungan talbiyah ini mengikut tempoh dan jenis ibadat mereka. Bagi jemaah umrah, lafaz talbiyah dilaungkan bermula dari berniat ihram sehingga permulaan tawaf. Sementara bagi jemaah haji pula, tempoh ucapan talbiyah ialah dari niat ihram sehinggalah mereka melontar jamrah al-Kubra, tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan.
Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan As-Saib bin Khallad r.a. Dalam hadis tersebut, Rasulullah s.aw. bersabda, “Telah datang kepadaku Jibril A.S, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah.” (Riwayat al-Tirmizi)
Bagi jemaah lelaki, mereka disunatkan untuk menguatkan dan meninggikan suara semasa bertalbiyah. Sementara untuk jemaah wanita pula, perkara itu tidak disunatkan kepada mereka. Yang pasti, talbiyah yang dilaungkan bersifat berterusan dan bergema di seluruh Tanah Haram – mengetuk pintu hati manusia yang mendengar agar dapat bertandang sebagai tetamu Allah di sana.
Semasa para jemaah bertalbiyah, ingatlah bukan anda seorang sahaja yang mengungkapkan kalimah Tuhan yang terindah itu. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya, “Tidak ada Muslim yang membaca talbiyah melainkan apa saja yang berada di kanan dan kirinya, batu, kerikil dan tanah juga turut membaca bersamanya, juga tempat yang paling jauh, dari timur dan barat.” (Riwayat al-Baihaqi dan al-Tirmizi)
RUJUKAN
Wahid, A. (2022, 30 Jun). Sejarah dan kelebihan membaca lafaz TALBIYAH. Utusan TV.
Rusli, M. F. (2017, 15 Ogos). BAYAN LI AL-HAJ SIRI 25 : PENGERTIAN TALBIAH DAN WAKTUNYA. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Hadi, S. (2015, Ogos). Sejarah dibalik Lafaz Talbiyah. CatatanFiqih.com
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih