Sedar tak sedar, dah genap 10 tahun berlakunya kejadian hilangnya pesawat MH370.
Pesawat tersebut berlepas dari KLIA pada jam 12.41 pagi, 8 Mac 2014 dan dijadualkan mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi.
Sepanjang 60 minit pertama penerbangan, tiada sebarang masalah berlaku.
Ketua juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah (53 tahun) sempat memberikan mesej kepada KL ATSC (Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur) pada jam 1.19 pagi.
“Goodnight, MH370.”
Sebelas minit kemudian (jam 1.30 pagi), pesawat tersebut hilang dari radar DCA (Jabatan Penerbangan Awam Malaysia).
Ketika itu, MH370 sedang menyeberangi Laut China Selatan dan bakal memasuki ruang udara selatan Vietnam.
Usaha mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan di Laut China Selatan.
Sehari kemudian, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati MH370 melencong ke selatan Pulau Pinang sebelum menuju ke Laut Andaman.
Kawasan pencarian diperluas hingga ke Selat Melaka. Usaha awal ini turut melibatkan Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat.
15 Mac, operasi SAR dipergiat melibatkan 26 buah negara dengan anggota dan aset tersendiri merangkumi kapal terbang, kapal selam dan satelit.
Dianggarkan, kos pencarian pada bulan pertama sahaja mencecah $44 juta tak termasuk kos lain seperti penginapan kakitangan dan biaya pasukan penganalisa.
Pencarian MH370 yang berlangsung selama 1,046 hari dari 2014 hingga 2017 meliputi kawasan seluas 120,000 km persegi ini menelan kos tertinggi dalam sejarah kira-kira $200 juta.
Ia memang satu nilai yang tinggi. Tetapi untuk merungkai misteri melibatkan 239 nyawa manusia, ia sama sekali jauh daripada mahal.
Pada tanggal 24 Mac 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umumkan MH370 berkemungkinan besar terhempas. Lokasinya di selatan Lautan Hindi dan meragut kesemua penumpang.
Hal ini mendorong usaha pencarian untuk bertumpu di sana. Kali ini, operasi diketuai oleh Australia menerusi Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dengan fokus utama adalah mencari lokasi kotak hitam pesawat.
Isyarat ping memang sempat dikesan. Kali pertama oleh kapal Haixun 01 milik China dan kali kedua oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV). Pencarian itu gagal menemui apa-apa.
Hanya pada 2015 dan 2016, bahagian sayap (flaperon) sepanjang 2.7 meter milik MH370 dijumpai di Pulau Reunion pada 29 Jun 2015.
Begitu juga dengan serpihan kabin dan kepingan sayap pesawat yang dijumpai di Pulau Rodrigues (Mauritius) dan Pulau Pemba (Tanzania) setahun kemudian.
Bukti-bukti ni menguatkan kenyataan bahawa pesawat tersebut terhempas dan bersemadi di Lautan Hindi.
Pada Januari 2017, atas persetujuan antara ketiga-tiga negara (Malaysia, Australia dan China), operasi pencarian dihentikan.
Kontrak pencarian yang dimeterai dengan syarikat Ocean Infinity pada Januari 2018 pun hanya dikekalkan selama lima bulan sehingga 28 Mei. Itulah kali terakhir usaha mencari pesawat MH370 dilakukan.
Setelah itu, kisah MH370 ‘ditamatkan’ dengan pembentangan laporan akhir oleh badan penyiasatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada Julai 2018.
Namun laporan ini tidak ada satu pun yang menyentuh tentang apa yang sebenarnya terjadi.
Ini kerana maklumat yang direkodkan oleh Alat Perakam Data Penerbangan, Alat Perakam Suara Kokpit, dan peranti rakaman lain pada pesawat tidak dapat diakses, semuanya gagal dijumpai.
Sedekad selepas kehilangan pesawat, Anthony Loke memaklumkan kerajaan bersedia melaksanakan operasi pencarian selanjutnya jika ada petunjuk baharu kukuh.
Oleh: Azizul Farhan
___
Kalau korang nak tahu lebih mendalam tentang tragedi ini, dapatkan PENERBANGAN TERAKHIR: MH370 & MH17 yang ditulis oleh mantan Ketua Pengarah DCA yang terlibat dengan Operasi SAR ini iaitu Dato Sri Azharuddin segera: https://shope.ee/8zfps3AU4t
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih