Pada Zaman Pertengahan, populasi Yahudi bertebaran di serata Eropah dan Timur Tengah. Terdapat beberapa tempat yang menjadi tumpuan mereka. Antaranya seperti Jerusalem, Levant dan Poland. Memasuki kurun ke-16, muncul satu bandar yang secara tiba-tiba menjadi bandar utama mereka. Ia menghimpunkan ramai umat Yahudi, sampaikan pada satu ketika ia digelari ‘Jerusalem di Balkan’.
Bandar yang dimaksudkan ini ialah Salonika (kini Thessaloniki). Ia terletak di timur laut Greece, dan merupakan bandar pelabuhan yang bernaung di bawah kekuasaan Daulah Uthmaniyah.
Sebelum kurun ke-16, Salonika tidak banyak berbeza dengan kebanyakan bandar lain. Ia sekadar menempatkan beberapa ratus sahaja orang Yahudi. Ini kerana ketika itu, mereka masih selamat untuk bertebaran di serata Eropah.
Dianggarkan pada kurun ke-14, jumlah umat Yahudi di benua itu mencecah 2.5 juta orang. Satu pertiga daripadanya mendiami selatan Perancis dan Sepanyol. Angka ini bagaimana pun menyusut drastik berikutan Wabak Hitam (1348-1351).
Puncanya, umat Yahudi dipersalahkan atas penularan wabak tersebut. Tuntas, mereka diburu dan dibunuh. Di Strasbourg (Perancis) misalnya, seramai 900 dari 1,884 orang Yahudi dibakar hidup-hidup setelah dikumpulkan dalam sebuah rumah. Di Esslingen (Jerman) pula, mereka sendiri bunuh diri dengan berkurung dalam sinagog yang dibakar.
Ringkas kata, memang teruk Yahudi dibantai pada masa itu. Sampai dikatakan, seluruh umat Yahudi di Cologne (Jerman) hingga Austria habis dibunuh dalam masa setahun. Untuk bayangkan seberapa ramai yang terkesan, cuba anggarkan populasi kaum minoriti dari Johor hingga ke Kedah. Boleh dikatakan seramai itulah mangsanya – kerana jarak antara kedua-dua lokasi itu hampir sama.
Apa pun, peristiwa tersebut belum lagi menjadikan Salonika tersohor. Ini kerana insiden yang menyumbang kepada perkara itu hanya berlaku sekurun kemudian. Iaitu sewaktu pemerintahan Ferdinand dan Isabella.
Selepas menumbangkan bandar-bandar Muslim di Sepanyol, mereka berdua berhasrat mewujudkan keseragaman agama. Yakni menjadikan Kristian sebagai satu-satunya anutan di sana. Justeru, Dekri Alhambra pun dikeluarkan. Dekri ini memaksa umat Yahudi di Sepanyol memilih satu dari dua pilihan; iaitu anut Katolik atau berambus.
Menerusi paksaan sedemikian, seramai dua pertiga daripada mereka menukar agama. Namun, masih ada kira-kira 100,000 yang lain yang enggan. Kesemua mereka ini diusir dari bumi Sepanyol. Sememangnya, ‘diusir’ dan ‘Yahudi’ bukanlah satu kombinasi asing.
Sejak zaman Assyria lagi (722 SM), Yahudi kerap diusir. Begitu juga di Eropah pada Zaman Gelap dan Zaman Pertengahan. Baik di England, Perancis, mahupun Jerman. Cuma sebelum itu, pengusiran hanya bersifat sementara. Yakni, sesudah penguasa feudal merampas segala harta, mereka akan dibenarkan untuk pulang semula.
Tetapi apa yang berlaku di Sepanyol sama sekali berbeza. Mereka memang diusir habis. Mana-mana yang mencari suaka di Portugal pula tidak dapat bertahan lama. Ini kerana Manuel I ingin berbaik-baik dengan Sepanyol, justeru menghalau kesemua pelarian Yahudi yang ada dalam kerajaannya.
Negara-negara Eropah lain memang enggan bermesra dengan Yahudi. Afrika Utara pula ketika itu dilanda kebuluran. Jadi, mahu tidak mahu mereka perlu mencari tempat yang lebih jauh sebagai destinasi.
Kebetulan takdir pun seakan menyebelahi. Pada tahun 1481, Beyazid III (putera al-Fateh) mewarisi takhta Uthmaniyah. Baginda memang terkenal berjiwa besar, justeru mengikuti khabar dari Iberia dengan penuh prihatin.
Baginya, tindakan Ferdinand dan Isabella seumpama menutup periuk nasi sendiri. Ini kerana pada mata baginda umat Yahudi merupakan rakyat paling berharta, berpendidikan, dan berpenghasilan. Justeru baginda menempelaknya dengan berkata, “Kalian gelar Ferdinand sebagai raja yang bijak. Tetapi hakikatnya, dia hanya miskinkan kerajaan sendiri dan mengayakan kerajaan beta.”
Perintah serta-merta dikeluarkan, menggesa pelarian-pelarian Yahudi ini dibawa masuk. Kebanyakan mereka ditempatkan di Salonika. Pelarian Yahudi dari Eropah timur dan tengah juga menuju ke situ, tuntas lahirnya gelaran ‘Jerusalem di Balkan’.
Sepanjang kurun ke-16, komuniti Yahudi membentuk 70% populasi di Salonika. Mereka menyusun sistem pendidikan dan perdagangan tersendiri. Hinggakan, kehadiran mereka menjadi salah satu tunjang utama dalam rantaian perdagangan di Laut Aegean dan Mediterranean Timur.
Kehidupan harmoni yang dijalani juga membentuk budaya campuran yang unik antara Sepanyol, Greek, dan Yahudi. Salonika lantas menjadi pusat kebudayaan, dengan bahasa Ladino (campuran Yahudi-Sepanyol) dituturkan secara bebas. Populasi Yahudi di sana adalah antara teramai di dunia, iaitu lebih 80,000 orang pada kurun ke-20.
Namun, sebagaimana umum ketahui, kurun ke-20 adalah kurun tragedi buat umat Yahudi. Hatta Salonika pun tidak terkecuali. Pada 18 Ogos 1917, berlaku kebakaran yang meranapkan 52,000 buah rumah, 32 buah sinagog, 10 buah perpustakaan, 8 buah sekolah, dan sejumlah bangunan perniagaan – semua ini tidak termasuk pemilikan bukan-Yahudi.
Skala bencana ini memang besar. Tetapi, ia tidak lebih besar berbanding sewaktu Salonika diduduki oleh Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Dalam seminggu awal sahaja, seluruh pimpinan Yahudi di Salonika ditangkap. Rumah-rumah dan hospital dirampas. Puluhan ribu barang kebudayaan juga dilarikan.
Pada pertengahan Julai 1942, seramai 9,000 orang lelaki Yahudi berusia antara 18-45 tahun dipaksa mendaftar sebagai buruh. Sekitar 2,000 yang lain dikerah dalam projek ketenteraan. Mereka yang tinggal pula habis diasingkan sambil menunggu detik kematian. Ini kerana setahun kemudian, seramai 45,000 orang Yahudi-Salonika dipindahkan ke Auschwitz untuk dibunuh.
Sejumlah 300 orang dipindahkan ke Sepanyol (negara neutral), sementara yang lain sama ada melarikan diri ke Itali dan Palestin atau ke gunung bagi menyertai pasukan gerila. Pasca-perang, hanya 1,000 orang Yahudi sahaja berbaki di Salonika.
RUJUKAN:
Dillard, George. (2021, 26 January). The World’s Biggest Jewish City Used to Be In Greece. History of Yesteday.
Dinkins, Pariera. (n.d.). Persecution of the Jews during the Great Plagues of the 14th Century. Montana.
Freedman, Dan. (2020, 31 March). Why Were Jews Blamed for the Black Death? Moment Magazine.
Encyclopedia USHMM. (n.d). Salonika.
Naar, Devin E. (2017, 18 August). A Century Ago, Jewish Salonica Burned. Times of Israel.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih