Ketika ini, terdapat sembilan buah satelit Malaysia yang berada di orbit dengan yang terbaru ialah Innosat yang dilancarkan pada 2018. Tetapi tidak ramai sedar, tujuh daripadanya kini berada dalam fasa terakhir perkhidmatan mereka. Atau bahasa mudahnya, tujuh satelit ini akan mati!
Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MySA) Azlikamil Napiah, hanya dua satelit negara yang masih direkodkan aktif oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Hal Ehwal Ruang Angkasa (UNOOSA). Dua satelit tersebut ialah Measat-3B dan Measat-3A.
Sementara satelit lain termasuk satelit pertama negara, Measat 1 yang dilancarkan pada 1996 sudah tidak aktif. Hanya satu iaitu Measat 2 yang kini dilaporkan berada pada orbit perkuburan satelit. Manakala satelit-satelit lain masih berada pada kedudukan orbitnya sejak dilancarkan ke angkasa lepas.
Mungkin ada menganggap hal sebegini sebagai remeh-temeh dan tiada kena-mengena dengan kita. Tetapi sekiranya hal ini tidak dikendalikan dengan segera, ia bukan sekadar menjejaskan usaha melancarkan satelit baru negara ke angkasa lepas. Jika itu berlaku, ia boleh menjejaskan banyak aspek seperti komunikasi dan teknologi maklumat yang menjadi teras kepada revolusi teknologi dunia hari ini.
Malah, ia akan menambah lagi sampah angkasa lepas dan berpotensi mengancam stesen-stesen angkasa lepas yang berada di orbit seperti Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan Tiangong (China). Pada November tahun lepas, orbit ISS turun sebanyak 310 meter dalam tempoh beberapa minit. Ini bagi mengelakkan stesen itu bertembung dengan sampah angkasa berupa fragmen kenderaan pelancar Amerika Syarikat yang dialncarkan pada 1994.
Malaysia mempunyai beberapa pilihan untuk menangani isu satelit ‘mati’ ini. Pilihan pengurusan sisa angkasa terbaik ketika ini ialah melalui kaedah ‘pusat pengumpulan satelit’. Kaedah ini dianggap yang paling praktikal dan mampu mengurangkan risiko kepada operasi satelit-satelit aktif yang lain terutama yang berada di orbit geosegerak (GEO).
Tambah Azlikamil lagi, terdapat beberapa kaedah lain yang turut dipertimbangkan. Antara cadangan tersebut ialah melancarkan misi satelit untuk mengutip semula satelit yang tidak aktif dan melancarkan roket isian semula bahan api bagi satelit yang tidak aktif yang berada di orbit GEO. Tetapi pada akhirnya, semua ini ditentukan oleh faktor teknologi, kewangan dan perundangan antarabangsa.
Hal ini dilihat menjadi pendorong kepada perancangan jangka panjang penerokaan angkasa lepas negara iaitu Malaysia Space-X 2030. Pelan ini yang dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan MySA menggariskan strategi pelan selama 10 tahun. Ini merangkumi Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PJPJN) dan peningkatan kapasiti penyelidikan serta infrastruktur Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS).
Pelan ini turut diperkukuhkan menerusi kelulusan Akta Lembaga Angkasa Malaysia di Parlimen pada penghujung tahun lepas. Menerusi akta ini, semua aktiviti berkaitan dengan angkasa lepas negara termasuk membina, mengilang dan melancarkan satelit ke orbit bumi dikawalselia oleh kerajaan. Ini mendorong pemilik satelit untuk lebih bertanggungjawab terhadap aset mereka termasuk apabila ia menghampiri fasa terakhir kehidupannya.
RUJUKAN
Yap, M. (2022, 10 Januari). 7 Malaysian satellites still in GEO orbit are no longer active. TechNave.
Hassan, M. S. (2022, 8 Januari). Sudah hujung nyawa. Harian Metro.
Reuters. (2021, 3 Disember). International Space Station forced to swerve to avoid US space junk. The Guardian.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih