Pada 2020, pengkaji haiwan percaya mereka telah melihat sifonofor buat kali pertama. Dengan panjang 45 meter, haiwan yang dijumpai di lembah dasar laut di luar perairan Australia itu boleh diiktiraf sebagai haiwan terpanjang di dunia. Disebabkan manusia mengambil masa lama untuk mencari haiwan bersaiz besar ini, apakah masih wujud haiwan gergasi yang belum dijumpai di luar sana?

Jawapan kepada persoalan ini ialah ya. Ini kerana masih banyak perkara yang tidak diketahui tentang hidupan di bumi. Dengan penemuan sifonofor ini, ia merupakan penemuan terbaru hidupan yang direkodkan oleh komuniti saintifik. Sifonofor tinggal pada kedalaman antara 700 hingga 1,000 meter di bawah paras laut.

Tetapi manusia tidak perlu turun terlalu jauh ke dalam laut bagi mencari spesies hidupan terbaru di bumi. Pada 2011, satu bangkai ikan paus besar aneh yang terdampar di New Zealand menarik perhatian saintis. 10 tahun selepas itu, mereka percaya ikan paus itu merupakan ahli terbaru keluarga ikan paus muncung – sejenis ikan paus yang suka menyelam ke laut dalam dan jarang dilihat hidup-hidup.

Tatkala laut diteroka untuk mencari spesies hidupan baru, usah pula dilupakan haiwan di daratan. Walaupun ada mengatakan haiwan gergasi sukar dijumpai di daratan, harapan masih ada menerusi penemuan fosil termasuk fosil dinosaur. Fosil dinosaur yang diharap dapat menjawab persoalan ini ialah sekumpulan dinosaur jenis sauropod yang dipanggil titanosaur. Ia diberi gelaran sedemikian kerana ia spesies herbivor yang mempunyai badan yang besar dan leher panjang.

Sesetengah sauropod dikenalpasti mempunyai saiz sama seperti tujuh gajah Afrika dewasa. Bagi membantu para pembaca memahami konteks ini, gajah – lebih tepat gajah Afrika merupakan spesies haiwan daratan terbesar di dunia. Jika sauropod boleh mencecah saiz sebegitu, ia membuatkan manusia merasa kerdil dengan kebesaran ciptaan Ilahi yang telah pupus itu.

Satu sauropod yang patut diambil kira sebagai pencabar ialah Argentinosaurus. Ditemui di Argentina pada 1993 oleh pengkaji paleontologi, fosil dinosaur tersebut menunjukkan ia boleh mencapai ukuran 35 meter panjang dan berat sehingga 70 tan.

Contoh fosil femur Argentinosaurus

Tetapi lebih banyak pencabar berpotensi mencabar kedudukan Argentinosaurus. Di Patagonia pada 2014, ahli paleontologi menemui fosil sauropod yang diberi nama saintifik Patagotitan mayorum. Berdasarkan fosil yang ditemui, ia boleh mencapai ukuran 37 meter panjang dan berat 60 tan. Dan pada tahun lepas, satu lagi spesies titanosaur ditemui dan berpotensi lebih besar daripada Argentinosaurus dan Patagotitan. Bagaimanapun, ia masih belum boleh diekskavasi sepenuhnya.

Di sebalik peningkatan kadar penemuan fosil terutama di Amerika Utara dan Eropah, itu bukan bermakna ia boleh ditemui dengan mudah. Untuk fosil Argentinosaurus, ia hanya diketahui menerusi penemuan 12 tulang sauropod berkenaan.

Bagi ahli paleontologi Paul Barrett dari Muzium Sejarah Alam Semulajadi London, amat sukar untuk sauropod menjadi fosil. Bagi memastikan ia terpelihara dalam batu-batan, haiwan itu perlu ditanam mengikut keadaan yang tepat termasuk diliputi lumpur atau pasir. Seterusnya, semasa proses berlaku, ia tidak menjadi mangsa mudah haiwan karnivor seperti Velociraptor atau dihakis oleh perubahan masa.

Dengan menilai semua faktor di atas dan melihat haiwan tersebut ialah sauropod, peluang dinosaur ini tertanam tanpa sebarang isu amat rendah sekali. Jika ada sekalipun menurut Barrett, pasti ada anggota badan dinosaur ini akan terkeluar.

Setakat ini, komuniti saintifik tidak menetapkan had maksimum saiz haiwan daratan. Tetapi jika ada sekalipun, ia perlu mengambil kira berapa besar saiz haiwan berkenaan dan bagaimana ia menyokong beratnya yang dicampur dengan tarikan graviti. Selain itu, untuk haiwan sebegini, mereka memerlukan sumber makanan yang banyak untuk menjana tenaga diperlukan untuk bergerak.

Oleh sebab itulah, kriteria ini digunakan oleh komuniti saintifik untuk menolak hidupan kriptozoologi seperti Bigfoot, yeti dan raksasa Loch Ness. Alasannya mudah, hidupan-hidupan sebegini memerlukan sumber makanan yang banyak untuk terus hidup dan bergerak. Tanpa diet berkenaan, amat mustahil untuk haiwan berkenaan bertahan dalam tempat didakwa sebagai habitat mereka.

Bagi Barrett, beliau percaya dinosaur boleh saja membuat kejutan dari segi perubahan saiz melalui fosil-fosil yang ditemui. Walaupun ada beranggapan itu sebagai mustahil, beliau merasakan ia tidak patut diketepikan begitu saja. Dengan lebih banyak penemuan dilaporkan setiap bulan, komuniti saintifik harus bersikap terbuka jika ada penemuan baru yang boleh membuatkan mereka terpukau.

RUJUKAN

Pester, P. (2022, 20 Februari). Are there any giant animals humans haven’t discovered yet?. Live Science.

Sumber gambar: Institut Laut Schmidt


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply