Kalau korang rasa bini korang kuat jealous, pernah buka kisah rumahtangga Rasulullah?
Nabi ada seorang isteri bernama Safiyyah dari kerabat Yahudi. Pernah sekali Aisyah mengadu kepada Nabi dengan gaya tangan, “Safiyyah itu begini-begini (maksudnya pendek)” Nabi lantas marah. Baginda membalas, “Kamu telah mengeluarkan kata-kata yang jika dilebur dengan air laut, nescaya merosak.” Aisyah cepat menyedari kesilapannya dan laju memohon maaf.
Pada suatu hari, Nabi membawa isteri-isterinya ikut serta menunaikan haji. Setiap daripada mereka menunggang unta masing-masing. Awalnya, perjalanan berlangsung lancar. Tiada perkara yang menggugah keamanan. Tiba-tiba, unta yang dinaiki Safiyyah terdiam kaku, enggan bergerak. Perempuan kecil molek yang berjiwa lembut ini mengalirkan air matanya. Melihatkan titisan tangis membasahi pipi Safiyyah, segera Rasulullah datang memujuk. Bila dipujuk Nabi, bukan tangisnya mereda, malah kian membasah pula. Puas Nabi menghiburkan, tidak juga kunjung tenang. Sampaikan rombongan terpaksa ikut berhenti. Sebagai penyelesaian, Nabi meminta salah seorang isterinya, Zainab agar meminjamkan seekor daripada untanya kepada Safiyyah.
Zainab jengkel. “Apa? Apakah untaku akan kuberikan kepada perempuan Yahudimu itu?” Kata-kata Zainab kepada madunya ini menusuk hati Nabi. Maka, Nabi tidak bercakap-cakap dengan Zainab sepanjang musim haji sampailah ke bulan Rabiul Awal tahun berikutnya.
Di antara isteri-isteri Nabi, ada dua orang yang kemuliaan darjatnya tidak boleh dinafikan. Mereka ialah Aisyah dan Hafsah. Seorang anak Abu Bakar dan seorang lagi anak Umar. Kedua-duanya figur penting dalam Islam dan bangsawan orang arab. Pernah satu masa mereka mengucapkan kepada Safiyyah, “Kami lebih mulia di sisi Rasulullah. Kami adalah isteri Rasulullah sekaligus anak pakcik beliau.” Mendengar sindiran ini, Safiyyah langsung mengadu kepada Nabi. Jawaban baginda, “Kenapa tak kaujawab, ‘Bagaimana kalian bisa lebih baik daripadaku sementara suamiku Muhammad, ayahku Harun dan pakcikku Musa?’”
Dalam satu episod duka, Nabi gering tidak bermaya. Di tengah-tengah keresahan ini, Safiyyah mengeluh, “Demi Allah, kuingin akulah yang menanggung sakitmu ini dan engkaulah yang sihat ya Rasulullah.” Ucapan polos dari Safiyyah ini mengundang reaksi sinis madunya yang lain. Menyedari isyarat mata dari isteri-isterinya, Nabi lantas menegur,
“Bersihkan mulut kalian!”
“Bersihkan daripada apa ya Rasulullah?”
“Dari apa yang kalian katakan baru tadi. Demi Allah, Safiyyah berkata benar.”
Safiyyah hidup bahagia dengan Nabi walaupun dia seorang perempuan Yahudi di tengah-tengah pemerintahan bangsa Arab. Setelah Rasulullah wafat, Safiyyah melewati kehidupan dengan kerinduan kepada suami tercinta. Safiyyah wafat pada 670M dan dikuburkan di Baqi. Dia sempat mewasiatkan 1/3 hartanya kepada anak saudaranya yang masih beragama Yahudi.
Sewaktu hidup di zaman Umar al-Khattab, isteri Nabi ini pernah ditanya apakah dia masih pekat dengan keyakinan Yahudi? Jawab Safiyyah, “Hari Sabtu tak kucintai lagi sejak Allah menggantikan untukku hari Jumaat. Sedangkan mengenai orang Yahudi, di situ ada keluargaku dan aku menyambung silaturrahim dengan mereka.”
Redha Allah memayungi Safiyyah dan semua isteri-isteri Nabi. Adapun kecemburuan dan sindiran sesama mereka sekadar asam garam kehidupan. Iman mereka tidak luak sekelumit pun. Pengajarannya, dengan melihat kisah hidup mereka, kita belajar bagaimana Rasulullah mendidik perempuan biasa menjadi selayaknya isteri Nabi yang luarbiasa dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan baginda!
Buku KITAB TAMADUN YAHUDI yang dinanti-nantikan dah ada kat Shopee. Jom beli di https://bit.ly/yahudishopee
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih