Berdekad lamanya seruan untuk anak muda bangkit daripada tidur dan menongkah arus berkumandang di setiap pembesar suara pentas ceramah dan dewan perhimpunan. Acap kali ahli-ahli politik melaungkan kata-kata semangat penuh seni dalam penyampaian mereka perihal mengajak orang muda melawan kezaliman dan memahami erti perjuangan parti yang mendokong mereka di atas pentas penuh tumpuan itu. Maka berbondonglah-bondonglah orang tua-tua menjadi asyik, bertepuk tangan tanda menyokong seruan itu.
Sebut sahaja veteran politik seperti allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar , Datuk Harun Idris seterusnya Datuk Seri Najib Razak serta Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang sering melaungkan reformasi dan seruan agar anak muda bangkit menentang rasuah yang berakar tunjang dalam sistem pemerintahan negara.
Anak muda diseru untuk mengenal erti perjuangan, dilatari pula dengan idea politik cidukan timur dan barat. Ada yang dibidani oleh pengkader, ditandai politiknya dengan perjuangan Islah maka terhasil generasi kaum muda lalu tertubuhnya Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini dikotemporarikan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
Tidak kurang juga pengkaderan dilakukan oleh parti politik sendiri, menerusi badan bukan kerajaan, kelab mahasiswa ataupun parti itu sendiri yang turun kelapangan untuk menyampaikan rukun perjuangan dan kepentingan anak muda bersama mereka dalam mendukung cita-cita parti.
Hakikatnya, situasi politik negara sudah berubah. Dahulu bahan bacaan anak muda adalah buku falsafah, komik ataupun novel cinta. Faktor rakan-rakan sekeliling juga mempengaruhi ideologi pemikiran mereka. Guru mereka hadir fizikal, bukan hanya spiritual. Kini, bahan rujukan generasi Z adalah Twitter, Youtube dan kadangkala TikTok. Hiburan mereka merentasi alam. Boleh jadi di alam realiti atau alam maya.
Semestinya ilmu-ilmu bacaan tidak formal ini memepengaruhi pemikiran anak muda lalu menghasilkan golongan berilmu yang mentah fikirannya. Ilmu yang seharusnya menjadi modal pembangunan kini digunakan sebagai senjata debat semata-mata.
Walhal ilmu itu sendiri memperkasakan amal, lalu membentuk amali yang membina tamadun. Realitinya jelas berbeza. Naratif persepsi telah mendapat tempat di alam maya dan menambat hati anak-anak muda. Tidak hairanlah mengapa peribadi seseorang itu lebih diminati berbanding hujah yang dibawa. Keperibadian seseorang itu diangkat anak muda lebih daripada sekadar hujah yang tertera.
Dek kerana permainan persepsi inilah berlaku defisit kepercayaan masyarakat terhadap ahli-ahli politik. Ini berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Trend ini sudah dikenalpasti seawal 2017 melalui kaji selidik yang dilakukan oleh YouGov di United Kingdom sejurus selepas Brexit diumumkan.
Tidak mengejutkan apabila ahli politik di UK hanya mendapat peratusan kepercayaan rakyat sebanyak 20% di tempat terakhir, disusuli ahli ekonomi (25%) di tempat kedua terakhir. Ini juga berlaku di Amerika Syarikat apabila kaji selidik dilakukan disana. Defisit kepercayaan yang teruk ini menjadikan ramai anak muda takut untuk terlibat secara lansung dalam mana-mana gerakan politik di negara ini terutamanya.
Adakah ini malapetaka ataupun peluang yang tersedia? Bicara jujurnya, ini adalah peluang untuk ahli politik muda mengatur langkah baru. Memperkasakan diri dengan nilai-nilai murni tanpa terbawa bayang mana-mana sosok. Ahli politik muda harus sedar, teladan, adab, tatasusila dan kejujuran adalah nilai yang tidak akan terhapus dengan persepsi.
Nilai-nilai ini merentas zaman dan menjadi ikutan pengikutnya. Dalam menjadi pemimpin, anak muda perlu keluar daripada bayang-bayang. Selama berada dalam bayang-bayang, suara anak muda tidak akan didengari dan rakan-rakan lainnya tidak akan mencontohi. Pemimpin-pemimpin muda juga perlu dimentorkan dengan orang yang betul kerana pemimpin muda yang dididik sewajarnya bakal mengharumkan nama gurunya.
Ini bertepatan dengan 16 saranan Ibn Khaldun dalam kitab ulungnya al-Muqaddimah iaitu,
- Giat menegakkan perbuatan yang baik dan menghidupkan sifat-sifat
- Suka menolong.
- Suka memaafkan kesalahan pada tempatnya.
- Suka melayan dan melindungi pihak yang lemah.
- Murah hati terhadap tetamu.
- Memelihara yang miskin.
- Sabar dalam kesusahan.
- Jujur dalam kata dan laku.
- Menghormati agama dan alim ulama.
- Menghormati guru dan orang yang lebih tua.
- Tidak sombong terhadap orang miskin.
- Suka mendengar teguran.
- Mempunyai semangat persatuan.
- Menghargai dan menghormati lawan.
- Menepati orang yang layak dalam jabatan dimana mereka diperlukan,
- Menjauhi hidup mewah yang dapat memerosotkan sifat kemajuan sebagai giat bekerja, tahan ujian, tidak putus harapan, dan seterusnya.
Sifat-sifat ini harus terangkum dalam jiwa semua pemimpin muda. Dalam meluncuri ombak besar politik negara yang rencam ini, haruslah terisi dahulu diri dengan ilmu dan semangat agar tidak terhempas badai ombak sebelum sempat meluncur. Kecekalan juga perlu ada pada diri pemimpin muda. Jika tidak, anak muda akan selamanya hanya mampu terapung di lautan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih