Baginda ialah pemerintah pertama dalam kerajaan purba Silla yang menerima gelaran ‘Maripgan’, malah namanya adalah yang pertama tercatat dalam rekod kerajaan China purba yang sezaman dengan Kerajaan Silla.
Ini adalah kisah tentang pemerintah ke-17 dalam Kerajaan Silla, iaitu salah sebuah kerajaan purba dalam tamadun Korea. Baginda yang dimaksudkan ialah Raja Naemul, yang ditabalkan menjadi raja pada tahun 356 M dan meninggal pada 402 M. Baginda juga adalah anak saudara kepada Raja Michu, iaitu pemerintah ke-13 Kerajaan Silla. Raja Naemul ini telah berkahwin dengan sepupunya sendiri, iaitu puteri kepada Raja Michu, yang digelar Lady Boban.
Apa yang menarik tentang Raja Naemul ini adalah beliau telah dikurniakan banyak gelaran sepanjang menjadi pemerintah Kerajaan Silla. Dalam catatan Samguk sagi, ada dinyatakan bahawa baginda diberi gelaran Isageum, seperti yang disandang oleh pemerintah lama Silla. Paling utama, baginda menjadi orang pertama yang menyandang gelaran ‘Maripgan’ dalam mana-mana rekod sejarah Silla.
Apa maksud ‘Maripgan’ ini?
Ia adalah daripada perkataan ‘marip’ yang bermakna ‘status ulung/tertinggi’ dan ‘gan’ yang sama maksud seperti ‘khan’ atau ‘pemerintah.’ Jadi, Raja Naemul ini bolehlah dianggap pemerintah ulung atau agung pertama mendapat gelaran itu dalam Kerajaan Silla.
Ada sebabnya Raja Naemul ini berhak mendapat gelaran itu. Silla ketika era pemerintahannya, menerima kemasukan besar budaya Cina, dan penggunaan aksara Cina juga sangat meluas ketika ini. Baginda mempunyai misi tersendiri untuk mengukuhkan kerajaannya, lantas menghantar misi penghormatan kepada Raja Dinasti Jin Timur (Dong) pada tahun 381 M, dengan bantuan Goguryeo.
Meskipun Silla hadir sebagai antara negeri di bawah Goguryeo, namun ia berjaya menampakkan kehadiran Kerajaan Silla di mata pemerintah besar dalam dinasti Cina itu. Selepas misi penghormatan ini, Silla berjaya melakukan urusan import dan eksport barangan ke China.
Pemerintahan Raja Naemul kemudiannya terganggu oleh pencerobohan berulang oleh Wa Jepun dan suku Malgal utara. Ini bermula dengan pencerobohan Jepun secara besar-besaran pada 364 M, yang berjaya dipatahkan dengan kehilangan nyawa yang besar.
Disebabkan baginda memakai gelaran Maripgan, maka makamnya juga agak berbeza daripada pemerintah lain. Makam baginda yang terletak di Gyeongju, sebesar 80 meter dari segi diameternya, serta 20 meter tinggi, yang seumpama puncak gunung kecil jika dilihat dari jauh.
Raja Naemul atau Naemul Maripgan diingati kerana usahanya memperkenalkan Silla kepada kerajaan dunia lain selama 47 tahun pemerintahannya. Baginda juga berperanan besar dalam meningkatkan keselamatan negara Silla daripada serangan Jepun.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih