Kalau buka cerita tentang Pulau Jawa, boleh kata nama Gajah Mada (1290-1364) dan Wali Songo  (1404) wajib ada. Seorang dengan jasa memacak bendera Majapahit di segenap Nusantara. Satu lagi pula dengan jasa menyuburkan Islam secara aman di bumi Jawa.

Namun sebelum kedua-duanya itu berjasa, Jawa terlebih dahulu mengenali Jayabaya (disebut Joyoboyo). Jayabaya ini merupakan raja bagi sebuah kerajaan di Jawa Timur. Iaitu Kerajaan Kediri (1042-1222). Kalau lihat peta pada hari ini, wilayahnya bermula dari Mataram hingga ke Banyuwangi. Makna kata, Semarang, Surabaya, dan Malang pun termasuk sekali.

Jayabaya.

Cuma sebelum era Jayabaya (1135-1159), Kerajaan Kediri ikutkan belum terbentuk secara rasmi. Masa itu, ia masih sebahagian dari Kerajaan Panjalu yang berseteru dengan Kerajaan Janggala di barat.

Dua kerajaan tersebut pada asalnya bersatu di bawah Kerajaan Kahuripan. Namun disebabkan berlaku perebutan, Airlangga (1019) sebagai pembangun pun membahagikannya kepada dua putera – Sri Samarawijaya mentadbir Panjalu dan Mapanji Garasakan memerintah Janggala.

Peta Kerajaan Kediri (Gunkarta / CC BY-SA 3.0)

Pembahagian ini ikutkan bertujuan supaya dua beradik itu dapat hidup harmoni. Tetapi kerana masing-masing mahu menjadi pewaris mutlak, maka apalagi… perang pun meledak. Sampai berpanjangan dekat sekurun juga lamanya.

Hinggalah pada era Jayabaya, Janggala dikalahkan lantas dua kerajaan itu pun disatukan sebagai Kerajaan Kediri. Bermula dari titik tersebut, Kediri pun membangun dalam bidang ekonomi, ketenteraan, dan kesenian.

Sampaikan dalam satu catatan, dikatakan yang kekayaan Kediri setanding dengan China. Armadanya kuat. Cakupan sasteranya juga mantap. Bayangkan, epik Mahabharata yang maha panjang itu selamba saja ditulis semula mengikut kesesuaian tempatan. Sehingga lahir hikayat Bharatayudha yang merupakan Mahabharata versi Jawa. Nak dibanding dengan kita sekarang, jangankan menulis semula hikayat asing jadi versi lokal, hikayat sendiri pun entah dijaga entah tidak.

Apapun, atas penyatuan dan pemakmuran yang dibuat oleh Jayabaya di Jawa Timur, beliau lantas dijulang sebagai ‘ratu adil’. Penghormatan ini diberi bukan setakat atas kapasitinya sebagai seorang raja. Tetapi juga seorang tukang ramal yang ramalannya banyak terlaksana. Hinggakan di Barat, beliau turut dikenal dengan gelar “Nostradamus Jawa”.

Untuk absahkan pemerintahan, Jayabaya mendakwa berketurunan Arjuna dari Lima Beradik Pandava dalam Mahabharata. Kisah ini lantas dijadikan alur cerita dalam wayang kulit (Gunawan Kartapranata / CC BY-SA 3.0)

Bagi yang dah biasa bergemulang dengan teori konspirasi dan ramalan masa depan, nama Nostradamus ikutkan tidak lagi asing. Dia ini ibarat The Simpsons dari era pertengahan. Kononnya, apa yang dia kata banyak yang jadi nyata. Baik pasal Revolusi Perancis, bom atom, ‘seniman tersakiti’, mahupun insiden sembilan-satu-satu – semua pun betul-betul berlaku.

Hal sama berlaku pada ramalan-ramalan Jayabaya. Antaranya adalah ramalan beliau mengenai ‘lelaki berkulit putih yang akan menakluki Jawa untuk masa yang lama, sebelum diusir oleh lelaki berkulit kuning dari utara yang bakal menjajah selama usia sebatang jagung’.

Ramalan ini kalau dilihat, memang selari dengan penjajahan Belanda di Indonesia (sejak 1595) yang kemudian disusuli oleh Jepun (1942). Sebab itu, banyak ramalan Jayabaya dipercayai dan cuba diterokai.

Contohnya ketika menyifatkan tentang kepimpinan ‘Jawa di era moden’, beliau memakai istilah Notonegoro yang secara harfiah bermaksud ‘pentadbir negara’. Istilah ini mengundang pelbagai persepsi. Persepsi paling ringkas; ia meramalkan yang ‘pemimpin Jawa’ di masa hadapan tidak memegang kuasa seperti raja-raja, tetapi sekadar mentadbir dan mewakili rakyat – sekali gus menuding kepada konsep presiden.

Petilisan (makam) Jayabaya, tempat orang ambil berkat

Ada juga penafsiran yang agak ‘naik ke bulan’. Di mana, notonegoro ini kononnya merujuk kepada nama-nama presiden Indonesia – bermula dari SoekarNO, SoeharTO, dan masuk saja ke BJ Habibie, mereka mula berteori konspirasi.

Katanya, ‘ne’ merujuk kepada presiden yang berasal dari luar Pulau Jawa. Sementara ‘goro’ pula diambil dari ‘goro-goro’ yang bermaksud ‘huru-hara’ – satu situasi yang dikaitkan dengan era Abdurrahman Wahid dan Megawati Soekarnoputri. Kemudian untuk presiden keenam, Yodhoyono, kitaran katanya bermula semula. Tetapi pada nama Joko Widodo, tidak tahulah bagaimana mereka ‘kona’.

Apapun, ada sebab mengapa ramalan satu ini sehabis mungkin cuba diberi makna. Sebab, ia menuding kepada kemunculan ‘Jayabaya 2.0’ yang konon, bakal mengeluarkan Jawa (Indonesia) dari lembah kegelapan lalu membawanya ke era paling gemilang. Justeru, ramalan ini terus dihidupkan bagi meneka siapa presiden seterusnya dan siapa yang bakal mengulangi kehebatan Jayabaya.

Tambahan, dalam ramalannya itu pun Jayabaya ada menyentuh tentang ‘tarikh kiamat’ yang konon, bakal berlaku pada tahun 2100. Ikutkan, ramalan pasal kiamat ini agak cliché. Sebab tamadun Maya yang lebih awal pun pernah buat. Tapi tak menjadi pun.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Sebab itu, Jayabaya kurang terkenal dengan ramalan ‘tarikh kiamatnya’. Pun begitu, ramalannya tentang ‘petanda kiamat’ cukup tepat. Kata Jayabaya, “Besok bila pedati dipandu tanpa kuda, perahu berjalan di udara, dan kalung besi memasung Jawa, ketahuilah yang itu tanda bahwa jaman Jayabaya sudah semakin dekat.”

Ikutkan selain ‘kereta dan kapal terbang’, Jayabaya juga ada menyebutkan 20 petanda lain. Namun, semua pun bersifat umum. Contohnya ‘rumah maksiat makin dipuji’, ‘anak biadab pada bapa’, ‘tetangga saling curiga’, dan ‘banyak peniaga menipu harga’. Kalau pasal ‘harga diri koruptor’, dalam senarai tak ada pula.

RUJUKAN

Aidah, Siti Nur. (2020). Prabu Jayabaya: History of Sang Peramal. Yogyakarta: Penerbit KBM Indonesia.

Fisher, Martini. (2016, 8 April). Jayabaya – The Seer King of Java who Predicted the Dutch and Japanese Occupation of Indonesia. Ancient Origins.

Ishak, Natasha. (2019, 15 September). Meet King Jayabaya, The Nostradamus of 12th-Century Indonesia. All That Interesting.

Kumairah. (2022, 14 January). Bikin Merinding, 20 Misteri Ramalan Prabu Jayabaya Disebut Terjadi pada Tahun 2022. Sonora.

Okezone. (2022, 7 March). Silsilah Kerajaan Kediri, Raja-Rajanya Keturunan Raja Airlangga.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply