Istana Terlarang atau Kota Larangan yang terletak di Beijing, China mempunyai sejarah lebih 600 tahun. Kompleksnya besar dan dinamakan sebagai Tapak Warisan UNESCO. Dan, di sebalik kompleks ini, ada sebuah kawasan yang dinamakan sebagai Istana Dingin.
Kota Larangan dibina ketika era Dinasti Ming oleh Maharaja Yongle, yang memindahkan ibu kota ke Dadu dan menamakannya sebagai Beijing pada 1403. Baginda mahu membina ibu kotanya dan menubuhkan pentadbiran istananya di Beijing di mana baginda berasa lebih selamat.
Pembinaan Kota Larangan bermula pada 1406. Pembinaan berlangsung selama 14 tahun, dan mereka menggunakan 100,000 tukang mahir dan lebih sejuta pekerja dan hamba.
Antara 1411 dan 1415, seramai 165,000 buruh mengorek dasar terusan di Shandong dan membina terusan baharu. Tahun 1421, apabila Beijing secara rasmi menjadi ibu negara, penghantaran bijirin mula melebihi 200,000 tan setiap tahun, dan dengan itu Kota Larangan dan Beijing makmur.
Keseluruhan Kota Larangan mempunyai 980 buah bangunan dan lebih 8,000 buah bilik. Ia dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian utara, kompleks istana tempat maharaja, keluarga dan para pegawai tinggal, dan selatan tempat pentadbiran dijalankan.
Jadi, di manakah lokasi Istana Dingin yang dimaksudkan ini?
Sebenarnya, secara khusus, tidak ada bangunan khusus yang dipanggil Istana Dingin di Kota Larangan. Kawasan ini menunjukkan tempat maharaja mengurung gundik atau puteranya yang telah melakukan kesilapan yang serius.
Dan kawasan ini biasanya ialah istana yang pernah mereka diami. Pintu pagar akan dikunci, bilangan pembantu rumah dan sida akan dikurangkan kepada minimum, dan makanan yang diberi selalunya tak dapat dimakan.
Bumbung tempat tersebut juga mungkin bocor semasa hari hujan, dan bilik akan menjadi sejuk tidak terbanding semasa musim sejuk. Mereka yang dianggap bersalah ini hanya ditinggalkan di sana dan menunggu untuk mati.
Disebabkan itulah, ia dipanggil Istana Dingin, meskipun ia bukanlah merujuk kepada bangunan spesifik dalam Kota Larangan. Dalam erti kata lain, mana-mana tempat yang memenjarakan gundik dan putera yang menimbulkan kemarahan maharaja boleh dipanggil Istana Dingin.
Menurut sejarah rasmi dinasti Ming dan Qing, beberapa bangunan terpencil telah digunakan sebagai Istana Dingin. Sebagai contoh, Gundik Wang terkurung di kawasan terpencil Jingyang Gong dan tidak dapat bertemu dengan anaknya selama sedekad.
Gundik Li (1605-1637) telah dihalau ke Istana Qianxi, dan tiada siapa yang menghidangkan makanan kepadanya selama setengah bulan. Gundik Zhen (1876-1900) juga tinggal di Istana Dingin selama beberapa tahun sebelum terjun ke dalam perigi dan membunuh dirinya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih