Sayang sekali, istilah ‘Rahmatan lil Alamin’ yang ada dinyatakan dalam Al-Quran telah disalahgunakan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka. Oleh itu, saya ingin mendedahkan pengertian sebenar istilah tersebut berdasarkan sejarah kegemilangan Tamadun Islam.
Illustrasi mozaik King Roger II
Buku ‘Syariah Di Hati King Roger
II’ mendedahkan bagaimana Tamadun Islam memberikan sumbangan yang amat besar
kepada sistem perundangan di Eropah. Sebelumnya, sistem perundangan di benua
itu bersifat agak berat sebelah dan zalim.
Salah satu kepincangan sistem ini
adalah meletakkan bebanan tuduhan terhadap yang tertuduh (defendan). Dalam hal
ini, yang tertuduh perlu membuktikan dirinya tidak bersalah. Jikalau gagal
untuk berbuat demikian, tertuduh akan dijatuhi hukuman.
Hal ini berbeza dengan hukum
syariah yang meletakkan bebanan tuduhan terhadap yang menuduh (pendakwa). Yang
menuduh perlu membuktikan bahawa tuduhannya adalah benar. Jikalau gagal berbuat
demikian, tuduhan akan digugurkan atau pendakwa yang akan dikenakan hukuman
seperti yang kita boleh lihat dalam hukum qazaf zina.
Selain itu, sistem perundangan
Eropah masa itu terkenal dengan bentuk-bentuk hukuman yang kejam lagi
menyeksakan. Antaranya ialah membakar hidup-hidup, merosakkan alat sulit,
memecahkan kepala dan menyiat kulit orang hidup-hidup. Tidak kurang juga
terdapat pengadilan dalam bentuk pertarungan sampai mati. Ngeri, bukan?
Illustrasi kejatuhan Kota Syracuse, Sicily kepada tentera Islam
Pada tahun 831 Masihi, tentera
Islam Aghlabiyyah telah berjaya meluaskan kekuasaan wilayah Islam ke atas
Kepulauan Sicily. Sepanjang penguasaan oleh kerajaan Islam, Kepulauan Sicily
juga telah menjadi pusat peradaban yang maju di Eropah di samping Andalusia.
Hal ini berterusan sehinggalah
pada tahun 1091 Masihi, apabila tentera Norman bawah pimpinan King Roger I
telah berjaya menguasai seluruh kepulauan tersebut. Berbeza dengan nasib
Andalusia selepas diperintah oleh Sepanyol, King Roger I amat bertoleransi
dengan umat Islam Sicily dan masih mengekalkan banyak sistem dan gaya hidup
umat Islam di sana.
Apabila King Roger II pula menaiki takhta, baginda telah menerapkan banyak unsur-unsur daripada sistem perundangan syariah ke dalam sistem perundangan wilayah Norman Sicily. Kemudian, beberapa orang pembesar Norman Sicily termasuk Thomas Brown telah memperkenalkan sistem perundangan Islam di England.
Atas inisiatif mereka bersama King Henry II of England, langkah penyeragaman pelaksanaan undang-undang telah dijalankan ke seluruh England. Dari situ, terciptanya sebuah undang-undang rasmi yang dikenali sebagai ‘Common Law’.
Ia tidak berakhir di situ sahaja, malah sistem ‘Common Law’ juga telah banyak diadaptasi oleh negara-negara Barat lain seperti Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol. Kemudian, pada zaman kolonial, sistem-sistem perundangan ini pula telah diadaptasi di wilayah-wilayah jajahan mereka di seluruh dunia.
Hari ini, sistem perundangan
‘Common Law’ telah kehilangan sebahagian daripada unsur-unsur sistem
perundangan Syariah. Namun, sistem ini masih lagi mengekalkan proses perbicaraan
yang ketat lagi rumit bagi memastikan pengadilan yang lebih adil dan telus.
Hasilnya, masyarakat Eropah dan hampir seluruh dunia mempunyai kehidupan yang
lebih terjamin bawah sistem perundangan yang jauh lebih baik.
Beginilah yang dimaksudkan oleh
istilah ‘Rahmatan lil Alamin’ dalam Al-Quran. Islam menjadi rahmat buat seluruh
alam apabila masyarakat sedunia menikmati keamanan dan kemakmuran hasil
daripada implementasi keseluruhan syariat Islam. Bukan sebaliknya.
Rujukan:
- Hasanuddin Yusof. (n.d.). Syariah Di Hati King
Roger II. Batu Caves, Selangor: AlHijrah Production.




No comments yet