Jumaat, 16 Oktober 202616 Okt 2026
Panglima Bakir Dari Saribas Diracun!
Alam Melayu

Panglima Bakir Dari Saribas Diracun!

RAKYAT Sarawak
sendiri mungkin tertanya-tanya siapakah gerangan individu yang bernama Panglima
Bakir dari Saribas kerana agak kurang pendedahan cerita sejarahnya di Sarawak
itu sendiri.  Namun begitu sekiranya kita
rajin menggodek jurnal-jurnal lama sewaktu Brooke di Sarawak sudah tentu nama
ini agak popular didendangkan kerana Panglima Bakir dari Saribas merupakan
antara pemimpin yang pro Brooke suatu waktu dahulu lebih-lebih merupakan
sahabat karib kepada Tuan Muda Charles Brooke (sebelum menjadi Tuan Rajah
menggantikan ayah saudaranya James Brooke). 




Antara konflik perang yang disertai oleh Panglima Bakir dari Saribas adalah
untuk mempertahankan Kubu Lily di Betong pada tahun 1885 bersama-sama dengan
Tuan Muda Charles Brooke pada masa itu. Difahamkan Kubu Lily yang menjadi
lambang kekuasaan Brooke di Betong cuba untuk diserang oleh seorang pengikut
setia Rentap yang bernama Aji Apai Limpa. 
Ini kerana beliau tidak berpuashati dengan Tuan Muda Charles Brooke dan
angkatannya yang telah memusnah dan membakar rumah panjangnya di Nanga Padeh
pada tahun 1884.  Pada ketika inilah
Panglima Bakir dengan angkatan Melayu Saribas telah bersama-sama Brooke untuk
mempertahankan Kubu Lily biarpun akhirnya Aji Apai Limpa membatalkan niatnya
atas sebab-sebab tertentu. 

Dengan nama
sebenarnya Ampuan Bakir bin Salleh dan berasal dari Saribas, Panglima Bakir
dicatatkan sebagai seorang yang pernah bertugas sebagai panglima atau pengawal
peribadi kepada Datu Abang Haji Muhammad iaitu seorang Pegawai Anak Negeri
(Native Officer) di Sibu, Bahagian Ketiga Sarawak pada tahun 1875.  Turut dinyatakan Panglima Bakir yang terkenal
sebagai seorang anak Melayu yang pandai ilmu mempertahankan diri serta bermain
senjata merupakan sepupu sekali kepada Datu Abang Haji Muhammad sendiri dan kerana
itulah segala hal keselamatan beliau diserahkan di tangan sepupunya
sendiri. 

Ada satu ketika
diceritakan Panglima Bakir mohon untuk bercuti sementara dari tugasannya
sebagai Panglima kerana ingin mengembara dengan belayar menggunakan jong atau
kapal layarnya melihat negeri orang. 
Setelah siaga segala kelengkapan untuk belayar maka berangkatlah
Panglima Bakir bersama-sama dengan Abang Bujang (anak kepada Datu Abang Haji
Muhammad yang baru angkat bujang), Awang Inut (anak Panglima Bakir) dan beberapa
orang anak tempatan dari Sibu menuju destinasi utara Pulau Borneo. 

Setelah banyak
perhentian mereka singgahi sewaktu di dalam pelayaran akhirnya mereka sampai ke
utara Borneo iaitu satu pulau yang dinamakan sebagai Pulau Simpang
Mengayau.  Jika kita merujuk kepada
lokasi peta sekarang apa yang disebut sebagai Simpang Mengayau itu sememangnya
wujud iaitu terletak di kawasan Kudat, Sabah. 
Satu kawasan yang terkenal dengan keindahan pantainya serta
pelancongannya di Sabah. 

Itu cerita sekarang
mengenai Simpang Mengayau yang sudah tentu berasak-asak memanggil pelancong
menyinggahi tempat mereka namun suatu ketika dahulu ketika semangat jatidiri
begitu menebal di kalangan rakyat tempatan, barangsiapa yang bukan orang
tempatan akan sentiasa tidak dialu-alukan kedatangan mereka.  Dan diceritakan penduduk di Pulau Simpang
Mengayau tersangat kebal dan sentiasa berwaspada menjaga pulau mereka dari
dimasuki oleh sesiapa.  Dek kerana begitu
ketat mereka menjaga maka banyak kapal hanya berlabuh di kawasan lautan tidak
jauh dari pulau dan jarang yang berani hampir ke jeti pulau. 

Namun untuk kes jong
Panglima Bakir lain pula ceritanya. 
Walau begitu ketat dijaga kawasan Pulau Simpang Mengayau, pada satu
subuh yang hening tanpa disangka-sangka tiba-tiba sebuah jong atau kapal layar
yang mengibarkan bendera Sarawak mampu berlabuh di jeti pulau tanpa
disedari.  Malah dikatakan tiada seorang
pun pengawal jeti Pulau Simpang Mengayau yang melihat bagaimana dan kenapa jong
tersebut mampu berlabuh dengan begitu mudah dengan pandangan kasar. 

Atas hal yang tidak
disenangi ini cukup membuatkan keriuhan di Pulau Simpang Mengayau itu
sendiri.  Ini kerana mereka almaklum
sesiapa sahaja yang berada dan menjadi juragan jong yang mengibarkan bendera
Sarawak itu bukanlah pelayar yang sembarangan. 
Kalau ilmu hanya sekerat mana mungkin boleh menembusi halangan ketat
kawalan penduduk Pulau Simpang Mengayau yang juga turut terserlah sebagai
antara “orang pulau” yang cukup “ilmu” di dada mereka.  Dek kerana itulah, Penghulu Pulau merasakan
dirinya tercabar lantas mengundang Panglima Bakir untuk naik ke darat dengan
alasan bertukar-tukar fikiran dengan tetamu yang baru tiba. 

Jemputan daripada
Penghulu Pulau bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan malah jika tidak
diterima ianya adalah satu perbuatan yang biadap biarpun hakikatnya Panglima
Bakir mengetahui sudah tentu ada hal yang tidak baik berlaku.  Dek kerana sebagai seorang muslim yang
segalanya berserah dan bertawakal kepada Allah maka beliau bersama Abang Bujang
dan Awang Inut menyantuni ajakan Penghulu Pulau tersebut.  Sebelum memijak tangga rumah Penghulu Pulau
itu lantas Panglima Bakir berpesan kepada anak dan anak saudaranya.  Walau apa jua yang terjadi, Abang Bujang dan
Awang Inut harus segera pulang ke Sibu tanpa beliau ada sekalipun. 

Dipendekkan cerita
ketika di rumah Penghulu Pulau, tetamu dari Sarawak dilayan seperti tiada apa
yang berlaku malah mereka dijamu dengan pelbagai makanan.  Tanpa merasa was-was Abang Bujang dan Awang
Inut menikmati segala juadah yang disediakan dengan restu dari Panglima
Bakir.  Dan tatkala mereka pulang ke jong
mereka di jeti, kedua-duanya sudah kekenyangan dan terus masuk tidur.  Namun hal ini jauh berbeza dengan Panglima
Bakir ini kerana sejak pulang itu juga dikhabarkan beliau sakit perut yang amat
sangat dan disusuli dengan muntah darah. 

Keesokan harinya
baharulah Abang Muhammad dan Awang Inut serta anak kapal yang lain menyedari
apa yang berlaku ke atas Panglima Bakir setelah melihat keadaannya yang pucat
lesi dan sebagainya.  Maka berusahalah
mereka untuk mencari ubat bagi merawat beliau sehinggalah Panglima Bakir ketika
di dalam separuh sedar mengarahkan anaknya untuk mencabut kayu turus pengikat
perahu di jong mereka kemudian hiriskan kulitnya untuk dicampur di dalam air
minumannya.  Tanpa berlengah dan kasih
sayang seorang anak kepada ayahnya melakukan apa sahaja untuk kesembuhan
ayahnya. 

Keesokannya,
Panglima Bakir yang lemah sebelumnya sudah ceria dan kembali bertenaga malah
sudah mampu mengimamkan solat Subuh di jong mereka.  Dan beliau turut mengarahkan anak-anak buahnya
untuk bersedia kerana mereka akan meninggalkan Pulau Simpang Mengayau pada hari
itu.  Cukuplah hanya tiga hari sahaja
berada di pulau tersebut dan tibalah masa untuk kembali ke tanahair bertemu
sanak saudara. 

Dan sebelum beliau
memulakan pelayaran balik, Panglima Bakir tekad untuk mengunjungi rumah
Penghulu Pulau.  Kedatangan beliau yang
tanpa diundang itu telah menjadi kejutan kepada Penghulu dan anak-anak buahnya
yang sedia ada.  Ini kerana jika
diikutkan kepada “rahsia” racun yang dihidangkan di dalam minuman Panglima
Bakir, cukup tiga hari maka sudah habislah nyawa si peminumnya namun ini
langsung tidak ada pada Panglima Bakir. 
Penghulu Pulau lantas memohon maaf kepada Panglima Bakir kerana terlalu
berdendam ke atas perbuatan jong Panglima Bakir yang boleh memasuki jeti
Pulau.  Sedangkan ianya bukan disebabkan
ilmu kebatinan yang tinggi tetapi kerana kelalaian anak-anak buahnya sendiri. 

Di pihak Panglima
Bakir pula sebagai seorang yang sudah biasa dengan diplomasi tidak mahu ianya
dipanjang-panjangkan ini kerana kita semua bersaudara.  Sebelum jong Panglima Bakir meninggalkan
Pulau Simpang Mengayau dikatakan beliau bersumpah tidak mengizinkan anak
cucunya sehingga tujuh keturunan mendatangi dan melawat Pulau Simpang
Mengayau.  Tidak lama kemudian, Panglima
Bakir dan angkatan jongnya tiba di Sibu dan kembali ke pangkuan keluarga
seadanya serta terus menabur bakti untuk keselamatan Sarawak sehingga ke akhir
hayat.

Tikar pucuk tikar
bangkuang

Tempat duduk Raja Melayu

Ikan busuk jangan
dibuang

Pakai merampai
sidaun kayu

Berbuat baik aduhai
rakan

Ke dalam laut engkau
campakkan

Jika tidak dikenal
ikan

Tuhanmu Allah kenal
ya kah bukan.

-HB-

#kameksayangSarawakbah!

Rujukan:

  1. http://www.sabahtourism.com/destination/the-tip-of-borneo-tanjung-simpang-mengayau/
  2. Borneo Oracle – Fort
    Lily, Betong
  3. Sidang temuramah penulis dengan
    generasi keluarga Orang Kaya Paduka Setia Diraja Abang Haji Bujang bin Abang
    Haji Muhammad, 21 Januari 2019, Kampung Boyan/Gresik, Kuching, Sarawak  

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet