Adakah anda merasakan projek kolonisasi di planet Marikh yang diimpikan oleh Elon Musk merupakan salah satu projek tergila dan berwawasan yang pernah direkodkan di dalam sejarah dunia?
Tidak.
Ada sebuah lagi projek gila sebelum ini yang dimana, mereka ingin membina sebuah lautan gergasi di tengah gurun Sahara. Lautan tidak alami, lautan ciptaan manusia yang diyakini mampu membangkitkan kembali nuansa kehidupan di sebuah gurun yang tidak berpenghuni. Dalam teori lain menyatakan, sebelum Sahara berubah menjadi gurun yang kering dan panas, ia merupakan sebuah padang berumput savanna yang subur. Pertukaran antara iklim dan landskap di Sahara berubah 20,000 tahun sekali. Sahara dikatakan pernah menjadi sebuah padang berumput yang luas pada sekitar 15,000 tahun dahulu.
PROJEK LAUT SAHARA
Projek ini dikenali sebagai Laut Sahara atau The Sahara Sea. Sahara berasal dari bahasa Arab yang bermaksud gurun.
Sudah diketahui umum, gurun Sahara merupakan satu-satunya gurun beriklim panas yang paling terbesar di dunia yang terletak di benua Afrika setelah Antartika dan Artik. Negara-negara yang merangkumi gurun Sahara adalah Algeria, Chad, Mesir, Mali, Libya, Tunisia, Sudan, Niger, Morokko dan Mauritania yang menyamai keluasan sebanyak 9,200,000 km persegi (menyamai saiz negara China dan Amerika Syarikat).
Selain itu, gurun Sahara dibahagikan kepada enam bahagian utama, iaitu:
1. Barat Sahara.
2. Gunung Ahaggar.
3. Gunung Tibesti.
4. Gunung Aïr.
5. Gurun Tenere.
6. Gurun Libya.
Projek ini berlaku pada sekitar penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.
TITIK TERENDAH
Baik, untuk membina sebuah lautan buatan di sebuah daratan yang baharu, mereka wajib terlebih dahulu mencari titik-titik terendah yang berada di sekitar gurun Sahara, titik yang mana lebih rendah daripada bawah paras laut yang berfungsi sebagai sebuah takungan, berkemampuan mengisi bertrillion liter air laut tanpa limpahan.
Ada tiga buah lokasi yang diyakini berada pada titik terendah di sekitar gurun Sahara iaitu:
1. El-Djouf, Mauritania (326 meter dari bawah paras laut).
2. Chout al-Fejej, Tunisia.
3. Qattara, Mesir (133 meter dari paras bawah laut).
Ketiga-tiga lokasi inilah yang bakal diusulkan oleh para perancangnya untuk dijadikan sebagai sebuah lautan yang mampu mengubah landskap peta Afrika.
DARI TERUSAN SUEZ MENUJU KE EL-DJOUF
Projek rancangan untuk membina Laut Sahara pertama kali diusulkan oleh jurutera dari British, Donald McKenzie pada sekitar tahun 1877. Rancangan ini mengusulkan untuk membina sebuah terusan/saluran (sepanjang 644 km) yang mengalirkan air laut dari pantai Cape Juby, Morokko sehingga ke daratan rendah El-Djouf. Dari laut El-Djouf, air laut ini akan mengalir keluar ke sungai Niger. Keluasan laut buatan ini dianggarkan sebesar negara Ireland (84,421 km persegi). Ahli geologi menyatakan yang projek pertama ini juga pernah merancang untuk mengalirkan air dari Laut Atlantik ke takungan El-Djouf.
Projek ini juga disokong penuh oleh seorang diplomat dari Perancis, Ferdinand de Lesseps, yang sebelum ini bertanggungjawab dalam pembinaan Terusan Suez di Mesir. Tetapi, beliau mengusulkan teori yang lain. Beliau beranggapan daerah Tunisia tengah sesuai dijadikan sebagai sebuah takungan buatan yang mampu menampung air laut. Keluasan laut Ferdinand ini diperkirakan menyamai saiz daerah Massachusetts di Amerika Syarikat (27,337 km persegi). Saiz yang lebih kecil daripada saiz laut buatan McKenzie.
EL-DJOUF DIABAIKAN, CHOTT AL-FEJEJ PULA DIKEJAR
Pada tahun seterusnya, 1878, sekali lagi, Donald McKenzie mencadangkan pula untuk membina laut buatan di sebuah tasik garam kering di Chott al-Fejej di selatan Tunisia. Dalam rancangan kali ini, McKenzie menyatakan air laut akan dialirkan daripada Laut Mediterranean melalui Teluk Gabes.
Projek ini dianggarkan berharga 30 juta USD. Jumlah yang sangat besar untuk keuntungan yang sangat tinggi.
Tetapi, pihak penentang rancangan McKenzie menyatakan yang berkemungkinan laut buatan di al-Fejej mampu mengubah tatanan cuaca di situ dan mencipta sebuah paya gergasi yang dipenuhi oleh wabak penyakit. Selain berhadapan dengan kenyataan ini, projek McKenzie juga perlu berhadapan dengan kelulusan dari pihak pentadbiran negara Perancis.
Pihak Perancis menghantar beberapa orang pemantau untuk memeriksa adakah kawasan al-Fejej sesuai dijadikan takungan laut seperti yang diusulkan oleh McKenzie. Hasilnya memuaskan. Pihak pentadbiran Perancis membantalkan dan menolak rancangan gila McKenzie kerana titik kawasan ini tidak rendah seperti yang digembar-gembur olehnya.
Rancangan membina Laut Sahara terhenti buat sementara waktu sehinggalah pada tahun 1910, seorang profesor dari Perancis, Etchegoyen, mencadangkan untuk menyambung semula projek asal ini dengan menggali lebih dalam saluran air dan menambahkan kepanjangan saluran tersebut. Dan macam biasa, projek untuk memakmurkan gurun Sahara turut ditolak tanpa basa-basi oleh pihak Perancis.
Kesemua rancangan yang diusulkan oleh mereka hanyalah berdasarkan mengejar keuntungan semata-mata. Mereka merasakan apabila projek-projek ini mampu dilaksanakan, ia akan memberi keuntungan yang besar kepada pihak koloni dari benua Eropah. Dengan kewujudan Laut Sahara, jaringan perdagangan di daratan menggunakan karavan akan digantikan dengan kapal wap.
OPERASI PLOWSHARE
Ini merupakan salah satu usulan rancangan projek terakhir Laut Sahara.
Pihak pentadbiran negara Mesir pada waktu itu Presiden Anwar Saddat menyatakan ingin membina sebuah empangan yang menjana tenaga hidroelektrik di titik terendah di Mesir iaitu Qattara. Kawasan Qattara jarang dihuni oleh penduduk kerana kedudukannya yang jauh dari manusia dan jalur yang ditempuhi ke kawasan ini terlalu rumit untuk ditelusuri.
Impian Presiden Anwar Saddat ini disokong oleh seorang saintis dari Jerman Barat.
Saintis ini mencadangkan untuk meletupkan sebanyak 213 butir bom atom untuk membentuk saluran air dari Laut Mediterranean ke takungan Qattara. Operasi ini diusulkan ketika pentadbiran Amerika Syarikat menyatakan untuk menggunakan letupan bom nuklear dalam apa-apa projek pembangunan.
Tetapi sebelum projek ini berjaya dilaksanakan, banyak pihak luar membantah projek gila ini kerana hasil radiasi daripada 213 buah butir bom atom di kawasan ini mampu menjangkau ke negara-negara lain. Presiden Anwar Saddat juga menghalang rancangan ini kerana ia mampu membawa kesan yang lebih buruk daripada yang dijangkakan.
Akhirnya, projek Laut Sahara ini berakhir buat selamanya. Tiada lagi usulan-usulan projek untuk membina laut buatan di gurun Sahara.
Benarlah, yang alami, jangan diganggu. Biarkan ia kekal tanpa diubah atau kelak ia akan menjadi binasa pada umat manusia.
RUJUKAN:
1. The Sahara Sea: A Hypothetical Project To Create A Sea In The Sahara Desert, World Atlas.
2. France’s Failed Attempt to Turn the Sahara Desert into a Fertile Sea oleh Frank Jacobs.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih