Tengok apa yang berlaku pada filem biopik Michael Jackson bertajuk Michael yang dibintangi oleh Jaafar Jackson, anak saudara Michael sendiri. Baru sahaja masuk pawagam, filem itu terus meletup di box office. Orang datang bukan semata-mata sebab nak tengok lagu Michael dinyanyikan semula. Orang datang sebab mereka mahu rasa semula zaman itu. Mereka mahu tengok bagaimana seorang budak dari Jackson 5 boleh berubah menjadi Raja Pop dunia.
Kalau Hollywood boleh bagi ruang besar untuk Michael Jackson, Elvis Presley dan Freddie Mercury, kenapa Malaysia masih belum ada sebuah filem biopik tentang Sudirman Haji Arshad?
Ya, kita pernah ada Hoore! Hoore! yang dibintangi antaranya Akim Ahmad pada tahun 2012. Filem itu memang dibuat sebagai filem muzikal yang menggunakan lagu-lagu Sudirman seperti Hoore! Hoore!, Balik Kampung, Salam Terakhir, Merisik Khabar, Pelangi Petang, One Thousand Million Smiles dan banyak lagi. Tapi filem itu bukan biopik Sudirman. Ia lebih kepada filem muzikal yang meraikan lagu-lagu beliau, bukan filem yang benar-benar menyelam kehidupan Sudirman sebagai manusia, seniman, anak kampung, pelajar undang-undang, pelakon, pengacara, kartunis, usahawan dan ikon negara.
Sebab itu, biopik Sudirman masih perlu dibuat.
Kalau pembikin filem betul-betul mahu buat, filem ini boleh bermula dengan satu babak yang sangat kuat.
Malam. Jalan Chow Kit. 14 April 1986. Kamera perlahan-lahan bergerak dari atas bangunan, menampakkan lautan manusia memenuhi jalan. Orang berdiri di atas bumbung. Ada yang panjat pokok. Ada yang berpaut pada papan tanda. Ada yang duduk atas jambatan pejalan kaki. Jalan yang biasanya penuh dengan kereta, bas, penjaja dan orang kota tiba-tiba jadi pentas konsert. Lebih 100,000 orang hadir untuk melihat seorang lelaki kecil bernama Sudirman menyanyi secara percuma. Konsert jalanan ini memang dicatat sebagai antara detik paling besar dalam sejarah hiburan Malaysia.
Kemudian lampu pentas menyala. Bunyi sorakan bergema satu Kuala Lumpur.
Sudirman muncul. Dia “mendarat” ke pentas menggunakan skylift. Orang menjerit. Ada yang ternganga, ada yang melambai-lambai. Ini babak pembukaan filem yang boleh buat penonton Gen-Z faham, “Oh, rupanya Sudirman ni memang penyanyi luar biasa.”
Tapi selepas sorakan itu, filem perlu kembali ke asal usul beliau.
Temerloh, Pahang. Seorang budak kecil sedang menyanyi untuk keluarga dan jiran. Dia belum jadi Penghibur Nombor Satu Asia. Dia belum berdiri di Royal Albert Hall. Dia belum membuat 100,000 orang memenuhi Chow Kit. Dia cuma Cokman, anak kampung yang suka menghiburkan orang.
Di rumah itu, kita boleh nampak akar Sudirman. Dia datang dari tanah yang sederhana, daripada keluarga yang membentuk jiwanya. Ibunya, Hajah Romlah Dahalan dikenang sebagai antara wanita yang aktif dalam masyarakat dan politik Pahang. Ayahnya pula, Haji Arshad Hassan memberi disiplin dan latar hidup yang dekat dengan rakyat. Sudirman lahir pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang dan membesar sebagai anak yang sangat dekat dengan dunia kampung serta masyarakat sekelilingnya.
Kemudian datang babak luka pertama.
Sudirman kehilangan ibunya ketika masih kecil. Filem biopik yang baik tidak perlu memaksa penonton menangis dengan muzik sedih yang berlebihan. Cukup tunjuk seorang anak kecil yang tidak sepenuhnya faham apa itu kematian, tapi sedar satu pelukan paling penting dalam hidupnya sudah hilang. Dari sinilah penonton boleh faham kenapa Sudirman di kemudian hari seperti sentiasa mahu memberi kasih sayang kepada orang lain. Mungkin kerana dalam dirinya sendiri, ada ruang kosong yang tidak pernah benar-benar penuh.
Lepas itu, filem bergerak ke zaman sekolah dan Universiti Malaya. Ini bahagian yang penting sebab ramai generasi sekarang kenal Sudirman hanya sebagai penyanyi lagu Raya dan Merdeka. Mereka mungkin tak tahu bahawa Sudirman ialah graduan undang-undang UM. Di sinilah biopik itu boleh tunjuk konflik besar dalam dirinya. Di satu sisi, dia ada laluan profesional sebagai orang undang-undang. Di satu sisi lagi, jiwanya hidup bila berada di atas pentas.
Kemudian masuk babak Bintang RTM 1976.
Ini wajib dibuat dengan sangat teliti. Bayangkan suasana Dewan Pay Fong, Melaka pada 11 Ogos 1976. Seorang anak muda kecil molek naik ke pentas. Orang mungkin tidak jangka dia akan jadi sebesar itu. Tapi bila dia buka mulut, bila dia spontan melayan penonton, dia memukau semua orang. Pada malam itulah Sudirman muncul sebagai Johan Bintang RTM 1976. Dalam pertandingan akhir itu, beliau mempersembahkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender in the Cabaret memperlihatkan kebolehan beliau bergerak antara nuansa tempatan dan persembahan antarabangsa.
Dari sini, filem boleh tunjuk kebangkitan Sudirman yang sangat menarik. Dia masuk studio. Dia rakam lagu. Dia buat persembahan kecil. Dia belajar berdepan kamera. Dia kena pandai ambil hati penonton. Dia kena lalui tekanan industri. Dia kena buktikan yang tubuh kecil bukan penghalang untuk jadi penghibur besar. Dalam babak-babak awal ini, kita boleh nampak Sudirman sebagai anak muda yang lapar untuk berjaya, tapi bukan dalam cara sombong. Dia lapar untuk menghiburkan.
Dan di sini juga filem perlu tunjuk masa tu RTM menjadi antara ruang yang membesarkan namanya. Pada zaman itu, televisyen bukan macam sekarang. Tidak ada TikTok, YouTube, Instagram atau Netflix. Kalau seseorang artis muncul di RTM, satu negara boleh kenal.
Sudirman bukan hanya menyanyi di televisyen. Dia juga menjadi pengacara dan personaliti TV. Program seperti Keluarga Bahagia Singer, Istimewa Bersama Sudirman dan Mekar Sejambak memperlihatkan sisi Sudirman yang sangat spontan, kelakar, mesra kamera dan pandai mengawal suasana. Dalam filem, babak studio RTM ini boleh jadi sangat menarik. Kamera besar, lampu panas, kru sibuk bergerak, penonton studio menunggu. Tapi apabila lampu merah kamera menyala, Sudirman terus hidup. Dia menyanyi, bercakap, menyakat, mengusik penonton dan dalam masa sama tetap profesional.
Kemudian filem masuk ke zaman hit.
Merisik Khabar. Milik Siapakah Gadis Ini. Pelangi Petang. Anak Gembala. Basikal Tua. Balik Kampung. Satu demi satu lagu keluar dan melekat dalam hati rakyat. Tapi jangan jadikan lagu ini hanya montaj biasa. Setiap lagu patut ada cerita.
Di sinilah penonton akan nampak sisi Sudirman yang dekat dengan rakyat. Sebab itu bila dia menyanyi tentang kampung, orang percaya. Bila dia menyanyi tentang Malaysia, orang ikut sama. Bila dia nyanyi pasal pekerja punchcard pun orang terhibur.
Sebelum itu, jangan lupa satu babak penting dalam karier seni Sudirman iaitu filem Kami pada tahun 1982.
Ini satu-satunya filem lakonan Sudirman. Dalam Kami, Sudirman membawa watak Tookoo, seorang anak muda jalanan yang hidup susah di Kuala Lumpur dan berkawan dengan seorang kanak-kanak bernama Din. Filem ini mengangkat kisah dua anak muda terbiar yang cuba bertahan dalam dunia kota yang amat mencabar.
Dan dari filem Kami inilah juga lagu Pelangi Petang menjadi antara karya yang sangat diingati. Dalam biopik, lagu ini boleh muncul sebagai simbol zaman muda Sudirman yang penuh pencarian. Belum terlalu gelap, belum terlalu menang, tapi sudah ada warna-warna hidup yang mula terbentuk.
Kemudian masuk kepada Balik Kampung.
Dalam filem, lagu ini boleh digunakan untuk menunjukkan bagaimana Sudirman memahami perasaan rakyat Malaysia. Lagu ini bukan asalnya lagu Raya tapi akhirnya menjadi lagu yang paling kuat dikaitkan dengan suasana pulang ke kampung. Dalam filem, bayangkan babak perantau di Puduraya, ada orang bawa beg besar. Ada anak kecil tidur di pangkuan ibu. Ada ayah tengok jam sebab bas lambat.
Kemudian Merisik Khabar.
Ini antara momen paling wajib masuk dalam filem. Anugerah Juara Lagu 1987, Sudirman muncul dengan emosi dan kemudian menyalakan pemetik api. Api itu jadi simbol rindu, kenangan dan luka. Lagu itu sendiri ditulis oleh Habsah Hassan dengan susunan Manan Ngah dan persembahan Sudirman pada AJL 1987 dikenang sehingga hari ini kerana kekuatan emosinya.
Dan pemetik api itu ada cerita.
Pemetik api itu sebenarnya berkait dengan bekas isterinya, Kamariah atau Kay ketika mereka masih sama-sama di Universiti Malaya. Sudirman pernah menyukai pemetik api itu walaupun beliau sendiri tidak merokok. Bila pemetik api tersebut hilang, beliau dikatakan sangat sedih dan Kay kemudian membelikannya pemetik api baharu menggunakan duit biasiswanya. Pemetik api itulah yang kemudian muncul dalam persembahan Merisik Khabar.
Tapi filem ini jangan lupa bahawa Sudirman bukan hanya hidup di pentas. Dia juga hidup di atas kertas.
Sudirman melukis. Dia menulis. Dia menghasilkan kartun. Dia melihat dunia dengan mata seorang seniman yang sentiasa mahu mencipta. Inilah sisi Sudirman yang ramai generasi baru mungkin tidak tahu. Dia pernah menghasilkan karya autobiografi Dari Dalam... Sudirman, komik Sejarah Awal Sudirman, kartun-kartun kehidupan harian serta buku kanak-kanak Taming Si Budak Pintar.
Kemudian filem boleh masuk kepada sisi Sudirman sebagai usahawan melalui air minuman Sudi.
Hari ini kita biasa tengok artis buat produk sendiri. Ada minyak wangi, tudung, baju, makanan, minuman, kosmetik. Tapi Sudirman sudah buat benda ini jauh lebih awal. Beliau melancarkan minuman berkarbonat jenama Sudi, satu langkah yang menunjukkan beliau faham kuasa jenama diri sebelum perkara itu menjadi trend seperti sekarang. Sudirman mahu membina sesuatu yang lebih besar, sesuatu yang boleh berdiri sebagai produk tempatan.
Selepas itu, filem boleh masuk kepada sisi Sudirman yang lebih besar daripada sekadar lagu cinta. Dia menyanyi untuk negara.
Ini bahagian yang wajib diberi ruang besar kerana patriotisme Sudirman bukan patriotisme yang dibuat-buat. Jiwa Malaysia memang ada dalam dirinya. Dalam setiap persembahan, dia membawa nama negara, budaya rakyat, bahasa, pakaian, lawak, lagu dan semangat masyarakat Malaysia.
Album Abadi pada tahun 1982 sangat penting untuk dimasukkan dalam filem. Pada masa penyanyi lain mungkin lebih selesa merakam album cinta atau pop komersial, Sudirman berani menghasilkan album bertema patriotik. Album yang diterbitkan oleh S. Atan itu memuatkan lagu-lagu seperti 31 Ogos, Warisan, Tegakkan Bendera Kita, 8 Ke 4 1/4 (Punch Card), Di Bumi Bertuah dan beberapa lagu lain.
Bayangkan babak dalam studio EMI di Singapura. Sudirman duduk bersama S. Atan. Muzik sedang disusun. Ada orang di syarikat rakaman mungkin bimbang album patriotik tidak laku. Biasalah, orang bisnes fikir jualan. Lagu cinta lebih selamat. Lagu pop lebih mudah dijual. Tapi Sudirman tetap mahu buat album patriotik. Dia percaya lagu tentang negara pun boleh hidup dalam pasaran. Dia percaya rakyat Malaysia boleh menyanyi tentang tanah air dengan rasa bangga, bukan hanya dalam majlis rasmi.
Dan dia betul. Lagu patriotik pun boleh jadi evergreen.
Dan fakta menarik, lagu * Ke 4 1/4 (Punch Card) itu diinspirasikan daripada pengenalan kad perakam waktu atau punch card untuk kakitangan kerajaan pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir.
Kemudian kembali semula kepada Chow Kit.
Konsert Chow Kit Road mesti jadi “set piece” utama filem. Ia perlu dibina perlahan-lahan. Tunjuk proses mendapatkan permit. Tunjuk kerisauan polis. Tunjuk kru mendirikan pentas di tengah jalan. Tunjuk orang mula datang terlalu awal sebelum konsert bermula. Tunjuk peniaga Chow Kit, pekerja kedai, budak muda, keluarga, orang tua, semua tertanya-tanya macam mana konsert percuma di jalan raya ini akan berjalan.
Dan paling penting, tunjuk rasa cemas. Sebab konsert itu terlalu besar. Kalau sesuatu berlaku, ia boleh jadi tragedi. Tapi malam itu jadi sejarah. Sudirman mengawal khalayak bukan dengan kuasa polis, tapi dengan karisma. Inilah momen yang boleh menjadi jantung filem. Kalau dibuat betul, babak Chow Kit ini boleh jadi macam babak Live Aid dalam Bohemian Rhapsody tapi versi Malaysia. Bezanya, ini bukan stadium di London. Ini sebatang jalan di Kuala Lumpur.
Kemudian filem menuju ke Royal Albert Hall.
Ini babak kemenangan.
19 Mac 1989. London. Royal Albert Hall. Sudirman membawa lagu One Thousand Million Smiles mewakili Malaysia. Pertandingan itu menghimpunkan nama-nama besar dari Asia dan Sudirman akhirnya menang sebagai Asia’s No. 1 Performer di Asian Popular Music Awards. Inilah puncak karier antarabangsa beliau dan ia masih menjadi antara pencapaian paling besar artis Malaysia di pentas luar negara.
Tapi selepas puncak, filem mesti berani turun ke bahagian paling gelap.
Kerana hidup Sudirman bukan hanya cahaya pentas. Ada kesunyian, keletihan, tekanan industri, kehidupan peribadi yang retak,dan tubuh yang semakin tidak kuat. Di sinilah Salam Terakhir boleh masuk. Lagu ini jangan digunakan sembarangan. Ia mesti disimpan untuk bahagian akhir. Bukan semestinya tepat ketika beliau meninggal dunia, tetapi ketika filem mula menunjukkan bayang-bayang pemergian. Suara Sudirman menyanyikan Salam Terakhir memang ada rasa perpisahan yang sukar dijelaskan. Seolah-olah lagu itu dicipta untuk menjadi pesan terakhir, walaupun lagu itu lahir sebelum kita benar-benar memahami maknanya.
Babak akhir pula boleh dibuat dengan sangat sederhana.
Tidak perlu terlalu melodrama. Tidak perlu tunjuk spekulasi pelik-pelik. Cukup tunjuk rumah kakaknya di Bangsar. Suasana pagi 22 Februari 1992. Negara belum tahu lagi bahawa satu suara besar sudah pergi. Kemudian berita tersebar. Radio mula memainkan lagu Sudirman. Orang di Temerloh, Kuala Lumpur, kedai kopi, rumah kampung, pejabat, studio RTM, semua terdiam. Sudirman meninggal dunia pada usia 37 tahun selepas beberapa bulan bertarung dengan masalah kesihatan. Laporan menyebut beliau meninggal dunia akibat radang paru-paru atau pneumonia.
Kemudian jenazah dibawa pulang ke Temerloh.
Di sinilah filem boleh kembali kepada tempat asal. Dari Temerloh dia bermula. Ke Temerloh juga dia pulang. Tanah yang melahirkan bintang itu akhirnya menerima semula jasadnya. Tapi suara itu terus hidup.
Sebenarnya, filem biopik Sudirman juga boleh menjadi cara untuk membetulkan cara kita mengingatinya. Selama ini, kita selalu kata Sudirman legenda. Kita kata dia tiada ganti. Kita pasang lagu dia setiap Merdeka dan Raya. Tapi bila tengok keadaan rumah beliau di Kampung Tok Embun yang pernah dilaporkan terbiar, rosak dan hanya tinggal sisa struktur selepas kebakaran, betul ke kita menghargai legenda kita? Laporan media pernah menyebut penduduk dan peminat mencadangkan rumah itu dibina semula atau dijadikan galeri supaya generasi baru boleh mengenali asal-usul Sudirman.
Ini antara sebab filem biopik Sudirman penting. Filem boleh menghidupkan semula minat orang ramai. Bila orang tengok kisahnya di pawagam, orang akan cari lagu-lagunya. Orang akan cari dokumentari. Orang akan ke Temerloh. Orang akan tanya mana rumahnya, mana sekolahnya, mana kuburnya, mana galeri untuk mengenangnya. Filem boleh membuka semula perbincangan tentang warisan seni negara yang selama ini kita biarkan berselerak.
Lebih menarik, idea filem biopik Sudirman ini juga pernah datang dari anak saudaranya, Razman Azrai Zainuddin atau Atai. Beliau pernah berkata bahawa sudah tiba masa untuk pembikin filem Malaysia menghasilkan biopik Sudirman terutamanya selepas melihat kejayaan filem-filem biopik seperti Elvis dan Bohemian Rhapsody.
Malah pelakon Nadhir Nasar juga pernah menyatakan impian untuk membawa watak Sudirman dalam sebuah filem biopik. Katanya, Sudirman adalah idola yang sangat dihormati dan perjalanan hidup beliau dekat di hati seluruh rakyat Malaysia.
Sejujurnya, Sudirman bukan mudah untuk dilakonkan. Tapi kalau berjaya, filem ini boleh jadi antara biopik paling penting dalam sejarah Malaysia.
Michael Jackson ada Michael. Freddie Mercury ada Bohemian Rhapsody. Elvis Presley ada Elvis. Kita pula ada Sudirman Haji Arshad.
Lebih besar daripada itu, filem biopik Sudirman boleh menjadi cermin kepada Malaysia sendiri. Kita akan nampak Malaysia era 1950-an, 1960-an, 1970-an, 1980-an dan awal 1990-an. Kita akan nampak Temerloh, Kuala Lumpur, Universiti Malaya, industri hiburan, media cetak, RTM, hotel-hotel besar, kaset, studio rakaman dan suasana rakyat yang sedang membina identiti negara selepas merdeka.
Jadi persoalannya, apa lagi yang kita tunggu?
Sudirman pernah menyanyi untuk kita. Mungkin sekarang sudah tiba masa kita pula bercerita tentang dia.




No comments yet