Setiap kali musim Raya Haji datang, ada satu benda yang tiba-tiba akan muncul balik di media sosial. Video lama sekumpulan artis Malaysia menyanyikan lagu “Panggilan Haji” dalam program Muzikal Aidiladha.
Dan dalam video itu, selain Anuar Zain dan Siti Nurhaliza, satu orang paling susah orang nak lupa.
Abang baju oren. Mode Ruffedge.
Cara dia menyanyi dengan penuh perasaan bersaing emosi dengan Anuar Zain, semuanya jadi bahan usikan netizen setiap kali Aidiladha tiba.
Sebab pelik juga sebenarnya.
Hari Raya Aidilfitri ada banyak lagu. Buka radio saja, berlambak lagu raya keluar. Ada lagu balik kampung, lagu mak tunggu di pintu, lagu sedih pagi raya, lagu salam kosong-kosong, lagu kuih raya, macam-macam lagi. Tapi bila tiba Hari Raya Haji, pilihan lagu kita tak banyak.
Namun antara semua lagu yang sedikit itu, ada satu lagu yang paling kuat melekat dalam kepala orang ramai.
“Panggilan Haji”.
Atau ada juga orang kenal sebagai “Panggilan Kaabah”.
Lagu ini lebih berat daripada lagu raya kebiasaannya. Ia bercerita tentang haji, Kaabah, Arafah, Muzdalifah, Mina, tawaf, sa’i dan harapan paling besar seorang Muslim iaitu mendapat haji yang mabrur.
Tetapi peliknya, walaupun temanya berat, lagu ini tetap masuk ke jiwa orang kita, malah generasi yang tak sempat pun hidup pada zaman kegemilangannya.
Tapi, siapa sebenarnya yang mencipta dan mempopularkan lagu paling ikonik setiap kali Raya Haji ini?
Lagu “Panggilan Haji” dipopularkan oleh Hajah Nur Asiah Jamil bersama Orkes El Suraya dari Medan, Indonesia. Lagu ini dicipta oleh Prof. H. Ahmad Baqi pada tahun 1978.
Prof. H. Ahmad Baqi ialah seniman Melayu dari Medan, Sumatera Utara, lahir di Kampung Baru, Medan pada 17 Jun 1921. Lagu-lagunya banyak membawa dakwah, nasihat agama dan seruan kembali kepada Allah. Antara lagu ciptaannya yang disebut masih terkenal ialah “Pusara Kasih”, “Cita-cita”, “Cintaku”, “Sadarlah”, “Hawa dan Nafsu”, “Petuah Guru” dan “Fatwa Orang Tua”.
Beliau jugalah yang menubuhkan Orkes El Surayya sebagai wadah muziknya.
Menariknya, lagu ini juga mempunyai latar yang jauh lebih sayu daripada yang ramai orang sangka. Ia dikaitkan dengan tragedi pesawat haji Martin Air yang membawa jemaah haji Indonesia. Tapi kisah penuh tragedi itu wajar diceritakan dalam artikel lain, sebab di situ ada satu babak sejarah yang lebih panjang dan menyedihkan.
Nama Hajah Nur Asiah Jamil sangat besar dalam dunia nasyid tradisional Nusantara. Beliau berasal dari Kotari, Medan, Sumatera Utara dan dikenali bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga qariah, pendakwah dan tokoh seni Islam. Dalam hayat seninya, beliau cipta ratusan rakaman lagu nasyid tradisional termasuk dua lagu yang sangat kuat melekat dalam memori masyarakat Melayu iaitu “Panggilan Haji” dan “Selimut Putih”.
Selimut Putih ni lagu apa eh?
"Bila Izrail datang memanggil,
Jasad terbujur di pembaringan"
Dah ingat?
Pada zaman 1970-an dan 1980-an, nasyid belum jadi arus perdana seperti zaman Raihan meletup dengan “Iman Mutiara” pada tahun 1990-an. Waktu itu hiburan Melayu banyak dipengaruhi pop yeh-yeh, kugiran, joget lambak dan muzik pentas. Majlis kahwin pun biasa ada band dan nyanyian rancak. Dalam waktu itu, Orkes El Suraya muncul sebagai satu bentuk hiburan alternatif untuk masyarakat agama.
Menariknya, kalau kita tengok dari kacamata hari ini, rupa dan gaya Orkes El Suraya mungkin tak sama dengan bayangan nasyid moden yang biasa kita lihat. Penyanyinya berkebaya. Ada yang tidak bertudung. Susunan muziknya pula ada elemen orkes dan irama Timur Tengah. Tetapi dari segi lirik, lagu-lagu mereka kuat dengan mesej agama, kematian, doa, ibadah dan nasihat kehidupan.
Di sinilah kita kena faham konteks zaman.
Nasyid dulu tidak semestinya datang dengan imej seragam jubah putih, kopiah dan latar pentas masjid. Ia bergerak dalam dunia seni yang lebih luas. Yang penting, liriknya membawa peringatan. Melodinya mudah masuk. Dan mesejnya sampai kepada orang ramai.
Sebab itu liriknya kuat.
Mungkin sebab itu lagu ini diterima luas bukan sahaja di Indonesia, tetapi juga di Malaysia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand. Ia bergerak merentas sempadan kerana bahasa emosinya sama. Kalau sebut pasal "Panggilan Haji", orang Melayu di mana-mana pun faham rasa rindu kepada Makkah. Orang Islam di mana-mana pun faham keinginan untuk menjadi tetamu Allah.
Di Malaysia, lagu ini pernah menjadi antara lagu wajib musim haji. Bagi generasi yang membesar sekitar 1970-an hingga 1990-an, “Panggilan Haji” sering berkumandang di radio dan televisyen apabila bulan haji tiba. Lagu ini juga biasa dinyanyikan dalam majlis agama, acara sekolah agama dan persembahan masyarakat.
Kita kena ingat, sebelum dunia media sosial, lagu seperti ini hidup melalui radio, kaset, TV, pentas kampung dan majlis masyarakat. Bila satu lagu itu dimainkan berulang kali setiap musim, lama-kelamaan ia menjadi sebahagian daripada ingatan bersama masyarakat. Orang mungkin tak tahu siapa penciptanya. Orang mungkin tak tahu tahun ia dicipta. Tapi apabila melodinya bermula, semua tahu, musim haji sudah datang.
Pada awal 2000-an pula, lagu ini mendapat nafas baharu di Malaysia melalui program Muzikal Aidiladha terbitan Siti Nurhaliza Productions. Waktu itu, sekitar tahun 2003 hingga 2004, beberapa syarikat artis tempatan mula mendapat ruang siaran di RTM untuk menerbitkan program sendiri.
Selain nama-nama seperti Rosyam Nor, Azwan Ali dan Erra Fazira, syarikat Siti Nurhaliza atau SNP juga mula aktif menghasilkan rancangan televisyen seperti 3D Siti dan beberapa program santai selebriti. Apabila tiba musim raya dan Aidiladha, SNP menerbitkan Muzikal Aidiladha dengan memanggil rakan-rakan artis popular ketika itu termasuk mereka yang baru sahaja hangat selepas pentas AJL18.
Dari situlah lahir versi “Panggilan Haji” yang menemukan Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Misha Omar, Ella, Ezlynn, Waheeda dan Ruffedge dalam satu persembahan yang sampai hari ini masih diulang orang setiap kali musim Raya Haji.
Versi inilah yang kemudian menjadi bahan meme di internet.
Setiap kali Aidiladha datang, klip itu naik semula. Kemunculan Mode Ruffedge dalam video itu pun sampai hari ini masih jadi bahan usikan netizen, bukan kerana orang mengejek lagu itu, tetapi kerana lagu itu sudah jadi sebahagian daripada memori raya mereka.
Sebuah lagu yang asalnya popular sebagai nasyid tradisional boleh hidup dalam beberapa zaman. Tidak banyak lagu agama mampu bertahan begitu lama.
Lebih menarik, “Panggilan Haji” tidak perlu lirik yang terlalu kompleks untuk meninggalkan kesan. Ia kuat kerana ia menyentuh satu impian yang sangat dekat dengan umat Islam. Hampir semua orang Islam, walaupun belum mampu pergi haji, pernah menyimpan angan-angan untuk melihat Kaabah dengan mata sendiri.




No comments yet