Kalau dulu orang sebut Pattani, ramai akan terbayang konflik berpanjangan dengan serangan bom dan wilayah Melayu yang bergolak di Selatan Thailand.
Tapi sekarang, Pattani mula bangkit di persada bola sepak.
Pada 23 Mei 2026, Pattani FC mencipta sejarah terbesar kelab apabila berjaya naik ke Thai League 1 buat pertama kali sejak kelab itu ditubuhkan pada tahun 2009.
Dan cara diorang naik memang penuh drama.
Pattani FC sebenarnya bukan pasukan besar Thailand. Selama bertahun-tahun diorang main dekat liga bawahan. Kadang-kadang habis dekat tangga kedua, kadang-kadang ketiga, kadang-kadang tersangkut lama dekat liga wilayah Selatan.
Musim 2022–23 contohnya, Pattani cuma tamat di tempat keempat Thai League 3 zon Selatan. Tak ramai pun ambil serius pasukan ni.
Tapi perlahan-lahan diorang membina.
Musim 2024–25 jadi titik perubahan besar apabila Pattani berjaya naik ke Thai League 2 buat kali pertama dalam sejarah selepas menang playoff.
Ramai sangka diorang akan jadi pasukan belasahan dekat liga kedua Thailand.
Sekali musim 2025–26, Pattani terus jadi pencabar promosi.
Diorang tamat musim di tangga ketiga Thai League 2, cuma dua mata di belakang Sisaket United yang dapat slot automatik ke liga utama.
Disebabkan habis tempat ketiga, Pattani terpaksa lalui playoff untuk rebut slot terakhir ke Thai League 1.
Lawan terakhir diorang ialah Nongbua Pitchaya FC.
First leg dekat tempat lawan, Pattani kalah 2-1.
Maksudnya dekat Pattani nanti, diorang wajib menang kalau nak cipta sejarah.
Dan malam itu, satu Pattani turun stadium.
Rainbow Stadium penuh sesak. Penyokong datang dengan bendera, flare dan sorakan yang buat suasana jadi macam final. Untuk ramai orang Pattani, ini maruah wilayah diorang.
Pattani akhirnya menang 2-1 dalam masa biasa hasil jaringan Marlon da Silva. Agregat jadi 3-3.
Extra time pula langsung tak berubah apa-apa.
Jadi semuanya ditentukan melalui penalti.
Dan masa penalti terakhir masuk, stadium terus bergegar.
Pattani menang penalti 5-4 dan sah naik ke Thai League 1 buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Pemain veteran diorang, Ekkachai Samre sendiri mengaku dia sangat bangga sebab berjaya bawa Pattani ke liga tertinggi Thailand. Dia siap cakap musim depan mana-mana pasukan yang datang Pattani akan fikir dua kali sebab penyokong Pattani memang luar biasa ramai.
Sebenarnya, budaya bola sepak Pattani ni memang unik.
Walaupun berada dalam Thailand, identiti Melayu-Muslim dekat Pattani masih sangat kuat. Nama jolokan diorang pun ada unsur sejarah Melayu seperti “Langkasuka” dan “Phaya Tani Cannons”.
Ramai pemain tempatan diorang merupakan Melayu Pattani seperti Muhammadnasay Kolaeh, Abdulhakim Cehsani, Nasree Dueloh dan Imron Hayiyusoh.
Sebab itu ramai orang Pantai Timur Malaysia rasa dekat dengan Pattani FC.
Hubungan bola sepak Pattani dengan Kelantan pula memang dah lama wujud sejak zaman Kelantan FA lagi sebelum pasukan itu dibubarkan akibat krisis kewangan. Hari ini, semangat itu diteruskan oleh Kelantan Red Warrior FC atau KRW.
Malah, KRW sendiri mengucapkan selamat berjaya kepada Pattani FC sebelum aksi playoff. KRW turut memberi bayangan kemungkinan aksi persahabatan pra-musim antara kedua-dua pasukan musim depan.
Dan sebenarnya benda itu tak pelik pun.
Ramai orang Pattani membesar tengok Liga Malaysia terutama bola Kelantan. Loghat pun hampir sama. Budaya pun dekat. Sebab itu bila Pattani naik Thai League 1, ramai penyokong bola Pantai Timur Malaysia turut rasa bangga.
Sekarang cabaran sebenar baru bermula.
Thai League 1 akan menyaksikan Pattani bakal lawan kelab-kelab besar macam Buriram United, BG Pathum United dan Muangthong United yang penuh pemain import mahal dan bajet besar.
Tapi Pattani dah buktikan musim ini yang kadang-kadang semangat penyokong dan identiti tempatan boleh bawa sebuah pasukan jauh lebih besar daripada duit semata-mata.
Dan sekarang, seluruh Thailand akhirnya terpaksa pandang Pattani.




No comments yet